Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1983: ISU SYARIAH BERKAITAN PENGGUNAAN SHOPEE PAY LATER

ISU_SYARIAH_BERKAITAN_PENGGUNAAN_SHOPEE_PAY_LATER.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, sebelum ini Datuk Mufti menyatakan bahawa SPay Later adalah tidak patuh syariah, namun kini mereka telah pun mendapat pengiktirafan patuh syariah. Jadi bagaimana dengan pandangan Datuk Mufti untuk kes begini? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum penggunaan Shopee Pay Later kini adalah harus kerana illah atau sebab pengharamannya sebelum ini iaitu adanya riba al-Qard dalam polisi mereka. Oleh yang demikian, hukum haram tersebut berubah menjadi harus.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Seperti yang kita maklum, Shopee Pte. Ltd. (nama dagang: Shopee) ialah syarikat teknologi multinasional Singapura yang mengkhususkan dalam e-dagang. Ia merupakan anak syarikat Sea Limited. Ia dilancarkan pada tahun 2015 di Singapura sebelum mengembangkan pasaran globalnya[1]. Mereka menyediakan pelbagai platform dan kemudahan buat para pengguna untuk berjual beli antaranya termasuklah dengan memperkenalkan Shopee Pay Later (SPay Later).

Shopee Pay Later yang mengguna pakai konsep ‘Buy Now Pay Later[2]’ ini kemudiannya diputuskan tidak patuh syariah atas sebab terdapat beberapa isu syariah yang timbul melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang dikenakan ke atas pengguna yang lewat membuat bayaran[3].

Meskipun begitu, kini Shopee Pay telah pun mengisytiharkan bahawa pelan pembayaran ansuran mereka iaitu SPay Later telah pun mendapat pengiktirafan patuh syariah daripada sebuah firma yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti. Bukan itu sahaja, mereka juga telah mengubah struktur bayaran lewat pada polisi SPay Later mereka.

Sebelum ini, apabila berlakunya kelewatan bayaran SPay Later, caj lewat bayar akan dikenakan kepada pelanggan tersebut. Pelanggan akan dikenakan caj tambahan sebanyak 1.5% daripada jumlah yang tertunggak secara bulanan. Kini, apabila pembeli lewat membayar, mereka tidak akan dikenakan caj lewat bayar seperti sebelum ini namun sebaliknya akaun SPay Later mereka akan dibekukan, dan mereka perlu melakukan pembayaran denda lewat bayar sebanyak RM10 sahaja untuk terus menggunakan perkhidmatan SPay Later berkenaan. Pihak Shopee juga ada menyatakan dalam polisi mereka bahawa:

To remain Shariah-compliant, any charges above the actual cost incurred will be donated to a charitable body approved by the Shariah Advisor.”

Maksudnya:Untuk kekal patuh Syariah, sebarang caj melebihi kos sebenar yang ditanggung akan didermakan kepada badan kebajikan yang diluluskan oleh Penasihat Syariah.”

Pada masa yang sama, yuran pemprosesan untuk ansuran juga kini ditingkatkan kepada 1.5% setiap bulan atas jumlah pembelian – berbeza dengan yuran yang dikenakan sebelum ini iaitu sebanyak 1.25%.

Dengan demikian, apabila caj lewat bayar tidak lagi dikenakan, maka SPay Later tidak lagi terdedah kepada elemen riba. Hal ini kerana sebagaimana yang telah kami nyatakan sebelum ini bahawa setiap hutang yang disertakan bayaran tambahan akibat berlaku kelewatan dalam pembayaran adalah termasuk dalam kategori Riba al-Qard[4].

Rentetan daripada itu, perlu diketahui bahawa ses uatu hukum itu ditetapkan bergantung kepada kewujudan illah atau sebab ia ditetapkan, sepertimana hukum haram disabitkan dengan wujud sebab pengharamannya pada sesuatu perbuatan. Jika tiada sebab pengharamannya maka hukumnya tidak jatuh haram. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya:Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.[5]

Sehubungan dengan itu, seiring dengan adanya dapatan terkini, polisi yang telah ditambah baik, malah telah disemak dan disahkan oleh Sekuriti Syariah, maka dapat disimpulkan di sini bahawa hukum penggunaan Shopee Pay Later dalam aplikasi Shopee adalah harus dan boleh digunakan.

Meskipun begitu, kami juga ingin menasihati orang ramai agar berjaga-jaga dan berwaspada dalam berhutang. Hal ini kerana, berhutang akan membebankan diri seseorang. Terdapat ancaman yang menunjukkan bahawa roh orang yang tidak melangsaikan hutang akan tergantung daripada tempat yang sepatutnya seperti mana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya:Roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.”

Riwayat al-Tarmizi (1078) dan Ibn Majah (2413) [Imam al-Tarmizi) 

Wallahu A’lam.

 

Rujukan: 

[1] Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Shopee#:~:text=Shopee%20Pte.,merupakan%20anak%20syarikat%20Sea%20Limited, laman web diakses pada 19/12/2023.

[2] Lihat: https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5540-irsyad-al-fatwa-siri-ke-758-hukum-buy-now-pay-later, laman web diakses pada 19/12/2023.

[3] Lihat: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/5049-irsyad-al-fatwa-siri-ke-638-isu-syariah-berkaitan-pengunaan-shopee-pay-later, laman web diakses pada 19/12/2023.

[4] Lihat juga: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5078-al-kafi-1847-jenis-jenis-riba-di-sisi-mazhab-syafie, laman web diakses pada 21/12/2023.

[5] Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I‘lam al-Muwaqqi‘in ‘an Rabb al-‘Alamin, (KSA: Dar Ibn al-Jauzi, cetakan pertama, 1423H), 5/528-529.