Soalan
Assalamualaikum, saya ada satu soalan. Waktu saya solat jemaah di masjid kadang-kadang ada terdengar imam membaca surah al-Nas sebelum takbir. Adakah ia mempunyai kelebihan membaca solat surah tersebut sebelum solat. Mohon pencerahan Pejabat Mufti. Terima Kasih
Ringkasan Jawapan
Surah al-Nas merupakan surah yang diberi kelebihan sebagai doa pelindung. Surah ini juga, boleh dibaca dan diamalkan ketika hendak menunaikan solat sebagai ikhtiar dan doa kepada Allah SWT supaya diberi pelindungan terhadap gangguan syaitan daripada perasaan was-was dan lalai. Oleh itu, ibadah solat boleh ditunaikan dalam keadaan lebih khusyuk dan tenang.
Huraian Jawapan
Surah al-Nas merupakan surah yang terakhir di dalam al-Quran mengikut tertib susunannya. Antara kelebihan yang dianugerahkan kepada surah ini ialah salah satu surah yang disebut sebagai al-Mu’awwizatain iaitu surah yang digunakan sebagai doa pelindung sepertimana surah al-Falaq. Fakta ini disebut oleh Imam al-Qurtubi dalam kitabnya:
سورة" الناس" مثل" الفلق" لأنها إحدى المعوذتين
Maksudnya: “Surah “al-Nas” seperti surah “al-Falaq” kerana ia salah satu daripada al-Mu’awwizatain (doa pelindung)”.[1]
Perkara ini berdasarkan daripada Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir al-Juhani, Nabi SAW bersabda:
" قَدْ أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَىَّ آيَاتٍ لَمْ يُرَ مِثْلُهُنَّ: (قل أعوذ برب الناس) إِلَى آخِرِ السُّورَةِ وَ (قل أعوذ برب الفلق) إلى آخر السورة"
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan ke atasku ayat yang tak pernah dilihat seumpamanya iaitu: (قل أعوذ برب الناس) sehingga akhir surah dan (قل أعوذ برب الفلق) sehingga akhir surah”.
(Riwayat al-Tirmizi)
Dalam hal ini, solat merupakan ibadah yang penting dan juga disebut sebagai tiang utama dalam agama. Oleh itu setiap umat Islam hendaklah menunaikannya dengan penuh khusyuk dan bersungguh-sungguh agar solatnya diterima oleh Allah SWT. Malah mereka yang melakukan solat dengan khusyuk akan tergolong di dalam kalangan orang-orang yang dijanjikan dengan kejayaan di dunia dan akhirat. firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (2)”.
(Surah al-Mu’minun 1-2)
Dugaan dalam mengerjakan solat, syaitan akan sentiasa mengganggu anak adam agar tidak khusyuk serta lalai dan leka ketika mengerjakannya. Ini kerana Syaitan dan Iblis telah bersumpah dan berjanji akan mengganggu dan menyesatkan anak Adam sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran firman Allah SWT:
قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿١٦﴾ ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ ﴿١٧﴾
Maksudnya: Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; (16) "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". (17)
(Surah al-A’raf, 16-17)
Bagi menjauhkan diri daripada gangguan syaitan ketika menunaikan solat, seseorang itu hendaklah berusaha malah disarankan untuk memohon perlindungan dengan berdoa kepada Allah SWT sebelum memulakan solat supaya diberi kekhusyukan dan dilindungi daripada gangguan syaitan.
Antara amalan yang boleh dilakukan adalah dengan membaca surat al-Nas sebelum menunaikan solat. Hal ini kerana keistimewaannya sebagai al-Mu’awwizah atau doa pelindung daripada gangguan syaitan sepertimana yang dinyatakan di atas. Imam al-Ghazali dalam karyanya juga menyarankan supaya membacanya sebelum menunaikan solat bagi berlindung diri daripada gangguan syaitan:
فإذا فرغت من طهارة الحدث، وطهارة الخبث، في البدن، والثياب، والمكان ومن ستر العورة من السرة إلى الركبة، فاستقبل القبلة قائما مزاوجا بين قدميك لا تضمهما، واستو قائما، واقرأ (قل أعوذ برب الناس) تحصنا بها من الشيطان الرجيم.
Maksudnya: Apabila telah selesai menyucikan hadas, membersihkan kotoran pada badan, pakaian dan tempat, kemudian menutup aurat dari pusat hingga ke lutut. Lalu bangun berdiri menghadap kiblat dalam keadaan tidak merapatkan kedua belah kakimu, berdiri tegak (untuk menunaikan solat) dan membaca (قل أعوذ برب الناس) untuk berlindung daripada syaitan yang direjam.[2]
Bahkan sunat mengamalkan bacaan surah al-Nas menurut Imam Abdul Qadir al-Fakihi kerana manfaat surah ini sebagai penghindar kepada penyakit was-was.[3]
Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa surah al-Nas merupakan surah yang diberi kelebihan sebagai doa pelindung. Surah ini juga, boleh dibaca dan diamalkan ketika hendak menunaikan solat sebagai ikhtiar dan doa kepada Allah SWT supaya diberi perlindungan terhadap gangguan syaitan daripada perasaan was-was dan lalai. Oleh itu, ibadah solat boleh ditunaikan dalam keadaan lebih khusyuk dan tenang.
Wallahu’alam
Rujukan:
[1] Abu Abdillah Muhammad Ahmad Abi Bakr Farh al-Ansari al-Qurtubi ed. Ahmad Barduni, Ibarahim Athfaish. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Tafsir al-Qurtubi (Cairo, Dar al-Kutb al-Misriyyah, 1384H) 20:260
[2] Abi Hamid Muhammad al-Ghazali al-Thusi, ed. Dr. Muhammad Zainihim Muhammad ‘Azab. Bidayah al-Hidayah (Cairo, Maktabah Madbuli 1413H) hlm.44
[3] Hlm. 252
(واقرأ) ندباً )قل أعوذ برب الناس) إلى آخرها لأنها نافعة في دفع الوساوس وغيرها، ولذا قال (تحصناً) بها (من الشيطان الرجيم الخناس ، وأَحْضِرْ قلبك و معناه (فرغه من الوساوس) ونحوها، وهو كل شاغل