Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1999: ADAKAH BOLEH MEWANGIKAN JENAZAH WANITA DALAM TEMPOH IDAH KEMATIAN SUAMI?

ADAKAH_BOLEH_MEWANGIKAN_JENAZAH_WANITA_DALAM_TEMPOH_IDAH_KEMATIAN_SUAMI.jpg

 

SOALAN

Assalamulaikum, Adakah perlu perlu mewangikan jenazah wanita iddah yang kematian suami? Mohon pencerahan S.S Mufti. Terima Kasih.

RINGKASAN JAWAPAN:

Hukum mewangikan jenazah wanita yang dalam tempoh idah kematian suami adalah harus. Hal ini kerana pengharaman berwangi-wangian tertakluk kepada wanita yang menjalani tempoh idah tersebut ketika hidup. Sedangkan kematian telah membatalkan hukum idah ke atas jenazah wanita dan terhalang daripada lamaran lelaki ajnabi.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW,para sahabat,  serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Istilah al-ihdad (الْإِحْدَادُ)   atau dengan makna “berkabung” adalah larangan melakukan perkara-perkara tertentu atau meninggalkan perhiasan pakaian atau berhias yang boleh membangkitkan syahwat lelaki.[1]

Tempoh Ihdad (berkabung) bagi isteri yang kematian suami ialah 4 bulan 10 hari dan terdapat larangan memakai wangian bagi wanita yang menjalani tempoh berkabung disebabkan kematian suami. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ummu ‘Atiyyah R.anha bahawasanya Nabi ﷺ bersabda:

‏ لاَ تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلاَ تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ وَلاَ تَكْتَحِلُ وَلاَ تَمَسُّ طِيبًا   إلَّا إذا طَهُرَتْ، نُبْذَةً مِن قُسْطٍ، أوْ أظْفارٍ. 

MaksudnyaJanganlah seorang wanita itu berkabung (ihdad) untuk si mati melebihi tiga hari melainkan untuk suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Janganlah dia memakai pakaian bercorak dan berwarna-warni melainkan pakaian yang berwarna putih dan dia juga tidak boleh bercelak serta memakai wangian melainkan wanita yang telah suci, dia boleh memakai sedikit potongan kecil dahan qusq dan azfar (bauan wangi)”

Riwayat Muslim (313) dan Muslim (938)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, adakah tergugur larangan memakai wangi-wangian bagi jenazah wanita sedang menjalani tempoh ihdad (berkabung)? Hukum harus mewangikan jenazah dalam tempoh idah adalah pendapat yang paling kuat berdasarkan kenyataan Imam Nawawi dalam kitab Raudhah:

ولو ماتت معتدة محدة جاز تطييبها على الأصح

Maksudnya:”Sekiranya wanita meninggal dunia dalam tempoh menjalani idah kematian suami, harus mewangikan jenazah itu menurut pendapat yang muktamad”.[2]

PENUTUP

Menurut mazhab Syafi'i, hukum mewangikan jenazah wanita yang meninggal dunia dalam tempoh idah kematian suami adalah harus. Pengharaman wangian pada wanita yang dalam idah gugur dengan sebab kematiannya.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Mawardi, Al-Hawi al-Kabir Fi Mazhab Imam Syafie (Bayrut : Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 1999 ) J: 11 P: 273

قَالَ الْمَاوَرْدِيُّ: أَمَّا الْإِحْدَادُ فَهُوَ الِامْتِنَاعُ وَالزِّينَةُ مِنْ لِبَاسٍ وَغَيْرِ لِبَاسٍ إِذَا كَانَ يَبْعَثُ عَلَى شَهْوَةِ الرِّجَالِ لَهَا، وَسُمِّيَ إِحْدَادًا لِمَا فِيهِ مِنَ الِامْتِنَاعِ كَمَا سُمِّيَ الْحَدِيدُ حَدِيدًا؛

[2] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Mahya Ad-Din bin Syarah, Raudah at-Talibin   wa Umdatun al-Muftin (Bayrut, al-Maktab al-Islami, 1991)   J: 2 P: 107