SOALAN:
Assalamualaikum. Saya baru sahaja diceraikan oleh suami dan sebelum ini kami ada melakukan hubungan seksual. Tetapi timbul persoalan kerana status saya masih dara. Adakah saya dilabel sebagai seorang janda berhias walaupun telah disentuh oleh suami, cuma tiada penetrasi dan masih berstatus dara? Adakah ini menjadikan perceraian saya tiada iddah dan tidak boleh dirujuk oleh bekas suami? Mohon pencerahan, terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN:
Menurut pandangan mazhab al-Syafi’i, sekiranya suami menceraikan isteri dalam keadaan dia belum disetubuhi, isteri tidak mempunyai iddah. Isteri yang diceraikan akan beriddah sekiranya berlaku perkara berikut:
- Persetubuhan dengan berlaku kemasukan zakar suami ke dalam faraj isteri
- Masuknya air mani suami ke dalam faraj isteri walaupun tanpa kemasukan zakar ke dalam faraj
Apabila tiada iddah, isteri tidak boleh dirujuk oleh bekas suami selepas berlaku perceraian dan penceraian itu dinamakan bain sughra. Manakala isteri kematian suami tetapi tidak pernah disetubuhi, wajib beriddah kematian suami iaitu selama empat bulan 10 hari. Wallahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN:
Isteri yang diceraikan tetapi tidak disetubuhi tidak mempunyai iddah berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang iddah yang kamu boleh hitungkan masanya.”
(Surah al-Ahzab: 49)
Syeikh Wahbah al-Zuhaili mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan تَمَسُّوهُنَّ ialah jimak dan penggunaan perkataan المس pada asalnya bermaksud menyentuh merupakan ketinggian adab dalam lafaz al-Quran.
Kewajipan iddah kepada isteri yang diceraikan semasa hidup adalah tertakluk kepada keadaan isteri sama ada dia telah disetubuhi atau berlaku kemasukan air mani suami sepanjang tempoh perkahwinan. Perkara ini disebut oleh Imam al-Nawawi:
عدة النكاح ضربان الأول متعلق بفرقة حي بطلاق وفسخ وإنما تجب بعد وطء أو استدخال منيه وإن تيقن براءة الرحم لا بخلوة في الجديد
Maksudnya: Iddah perkahwinan itu terdapat dua jenis. Pertama, iddah yang berkaitan dengan perceraian hidup dengan talak atau fasakh. Iddah diwajibkan selepas setubuh atau memasukkan air mani suami walaupun diyakini rahimnya kosong daripada kandungan. Iddah tidak diwajibkan jika hanya berkhalwat menurut qaul jadid.
Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan iddah yang berlaku selepas persetubuhan seperti berikut:
(وَإِنَّمَا تَجِبُ) الْعِدَّةُ إذَا حَصَلَتْ الْفُرْقَةُ الْمَذْكُورَةُ (بَعْدَ وَطْءٍ) فِي نِكَاحٍ صَحِيحٍ أَوْ فَاسِدٍ أَوْ فِي شُبْهَةٍ، سَوَاءٌ أَكَانَ الْوَطْءُ حَلَالًا أَمْ حَرَامًا كَوَطْءِ حَائِضٍ وَمُحَرَّمَةٍ، وَسَوَاءٌ أَكَانَ فِي قُبُلٍ جَزْمًا أَوْ دُبُرٍ عَلَى الْأَصَحِّ وَسَوَاءٌ أَكَانَ عَاقِلًا أَمْ لَا، مُخْتَارًا أَمْ لَا، لَفَّ عَلَى ذَكَرِهِ خِرْقَةً أَمْ لَا بَالِغًا أَمْ لَا
Maksudnya: Sesungguhnya iddah diwajibkan apabila berlaku perpisahan selepas persetubuhan dalam perkahwinan yang sah, fasid atau syubhah. Begitu juga jika persetubuhan itu berlaku sama ada dalam keadaan yang halal atau haram seperti ketika wanita dalam keadaan haid ataupun bersama wanita yang mahram, sama ada di qubul ataupun dubur mengikut pandangan yang muktamad, sama ada dia berakal atau tidak, sukarela atau tidak, zakarnya ditutupi kain atau tidak, baligh ataupun tidak.
Begitu juga, beliau menjelaskan lagi kewajipan iddah apabila dimasukkan air mani suami seperti berikut:
الْفُرْقَةُ بَعْدَ (اسْتِدْخَالِ مَنِيِّهِ) أَيْ الزَّوْجِ لِأَنَّهُ أَقْرَبُ إلَى الْعُلُوقِ مِنْ مُجَرَّدِ الْإِيلَاجِ، وَقَوْلُ الْأَطِبَّاءِ: الْمَنِيُّ إذَا ضَرَبَهُ الْهَوَاءُ لَا يَنْعَقِدُ مِنْهُ الْوَلَدُ غَايَتُهُ ظَنٌّ، وَهُوَ لَا يُنَافِي الْإِمْكَانَ فَلَا يُلْتَفَتُ إلَيْهِ، وَلَا بُدَّ أَنْ يَكُونَ الْمَنِيُّ مُحْتَرَمًا حَالَ الْإِنْزَالِ وَحَالَ الْإِدْخَالِ
Maksudnya: (Iddah juga diwajibkan) apabila berlaku perpisahan selepas kemasukan air mani suami kerana situasi itu lebih memungkinkan kejadian janin (dalam rahim) berbanding sekadar memasukkan kemaluan sahaja. Adapun pandangan doktor perubatan yang mengatakan bahawa air mani yang terdedah dengan angin tidak akan menghasilkan anak hanyalah sekadar sangkaan sahaja kerana ia tidak menafikan kemungkinan wujudnya anak, maka pandangan tersebut tidak diambil kira. (Disyaratkan) Air mani suami tersebut mestilah air mani yang terhormat iaitu pada keadaan ia dikeluarkan dan keadaan ia dimasukkan (ke dalam faraj).
Oleh yang demikian, walaupun isteri tidak pernah disetubuhi tetapi air mani suami telah masuk ke dalam farajnya, maka dia wajib beriddah apabila diceraikan. Sebagai contoh, isteri yang melakukan Intrauterine Insemination (IUI), iaitu meletakkan sperma suami yang bergerak pantas ke dalam rahim isteri semasa ovulasi atau melakukan persenyawaan in vitro (IVF) iaitu persenyawaan sperma suami dan ovum isteri di luar rahim kemudian dimasukkan embrio ke dalam rahim tanpa pernah melakukan persetubuhan dengan suami, maka isteri wajib beriddah sekiranya diceraikan.
Walau bagaimanapun, isteri yang kematian suami tetapi tidak pernah disetubuhi hendaklah beriddah kematian suami iaitu empat bulan 10 hari berdasarkan keumuman firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”
(Surah al-Baqarah: 234)
Wallahu a’lam.
Rujukan:
- Al-Zuhaili, Wahbah. Al-Tafsir al-Munir. (Beirut: Dar al-Fikr, 1991). 22:46. {أَنْ تَمَسُّوهُنَّ} أي تجامعوهن، ويعبر عن الجماع في القرآن أدبا بالمس والملامسة والقربان والتغشي والإتيان
- Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Hlm. 253.
- Al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Afaz al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1994). 5: 78.
- Al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Afaz al-Minhaj. 5:79.
- Portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, diakses pada 19 Julai 2024, melalui pautan: http://www.myhealth.gov.my/kaedah-kaedah-rawatan-kesuburan/