Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2005: ADAKAH SUAMI BOLEH MENUNTUT HARTA SEPENCARIAN DARIPADA PUSAKA ISTERI?

ADAKAH_SUAMI_BOLEH_MENUNTUT_HARTA_SEPENCARIAN_DARIPADA_PUSAKA_ISTERI.jpg

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, biasanya kita mendengar kes isteri memohon harta sepencarian, tetapi soalan saya bagaimanakah dengan para suami? Adakah mereka juga boleh memohon harta sepencarian? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.  

Ringkasan Jawapan

Suami boleh memohon harta sepencarian terhadap harta peninggalan isteri. Namun kadar tuntutan harta sepencarian ke atas harta yang dituntut itu akan ditentukan oleh pihak mahkamah berkadaran dengan sumbangan yang diberikan.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, harta sepencarian ialah harta yang diperoleh daripada usaha suami isteri. Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) pula, harta sepencarian ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Umum mengetahui harta sepencarian merupakan suatu perkara yang boleh dituntut oleh pasangan apabila berlakunya perceraian. Tidak sekadar itu, ia juga boleh dituntut bila mana suami memohon untuk berpoligami atau berlakunya kematian salah seorang pasangan. Meskipun tuntutan harta sepencarian selepas berlakunya kematian tidak ada diperuntukkan dalam mana-mana Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, namun ia ada terkandung dalam Arahan Amalan No. 5 Tahun 2003, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang berkuatkuasa mulai 1 November 2003.

Arahan amalan tersebut menyatakan bahawa:

…masa membuat tuntutan harta sepencarian dibolehkan sama ada semasa tuntutan perceraian atau selepas perceraian ataupun selepas kematian mana-mana pihak. Mahkamah dalam hal ini boleh menerima mana-mana tuntutan harta sepencarian yang dibuat selepas kematian mana-mana pihak dalam tuntutan tersebut dan rujukan hendaklah dibuat kepada mana-mana kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah yang lebih tinggi.”

Arahan amalan ini dengan jelas menyatakan tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan selepas kematian mana-mana pihak dalam tuntutan tersebut yang bermaksud tuntutan boleh dilakukan selepas kematian suami atau isteri.

Berkenaan tuntutan harta sepencarian, waris atau orang yang berhak menuntut harta sepencarian selepas kematian ialah pasangan kepada si mati yang masih hidup. Hal ini kerana, ia merupakan harta mereka berdua. Menurut Jabatan Bantuan Guaman, ada dinyatakan bahawa tuntutan harta sepencarian boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah oleh suami atau isteri atau ahli waris:-

a) Semasa tuntutan poligami;

b) Selepas perceraian; atau

c) Selepas kematian pihak suami atau isteri (ahli waris).

Berdasarkan kepada pernyataan ini, jelaslah bahawa para suami turut berhak membuat tuntutan harta sepencarian terhadap harta yang diperoleh secara bersama dalam tempoh perkahwinannya bersama isteri. Meskipun begitu, kadar tuntutan harta sepencarian ke atas harta yang dituntut itu mestilah berkadaran dengan sumbangan yang diberikan. Menyentuh berkenaan sumbangan terhadap harta sepencarian, ia boleh dinilai berdasarkan kepada dua perkara iaitu:

1. Sumbangan secara langsung yakni pihak-pihak kepada perkahwinan itu telah sama-sama memberikan sumbangan mereka dalam memperolehi aset dan harta berkenaan. Pasangan ini sama-sama mengeluarkan modal dan wang bagi membeli aset dan harta berkenaan.; dan

2. Sumbangan secara tidak langsung (iaitu suatu sumbangan yang bukan berbentuk wang atau benda tetapi mendatangkan dan menghasilkan harta atau aset tertentu. Sumbangan ini, sama ada melalui idea, dorongan, nasihat, memberi semangat, menjaga keselesaan, menimbulkan ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha secara langsung dan berjaya mendapatkan harta dan aset itu.

Sebagai tambahan, apa-apa sumbangan oleh isteri dalam menjaga keluarga dan rumah tangga atau apa-apa urusan lain yang berhubungan dengan pemerolehan harta hendaklah dikira sebagai usaha bersama dalam mentafsirkan takrif harta sepencarian, dan apa-apa sumbangan oleh suami dalam menunaikan kewajipannya untuk menjaga keluarga dan rumah tangga sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum syarak, tidaklah dikira sebagai usaha bersama bagi maksud mentafsirkan takrif harta sepencarian. Sebaliknya, tuntutan para suami ke atas harta sepencarian kebanyakannya melalui adanya sumbangan secara langsung daripada mereka.

Kesimpulan

i. Kuasa menentukan kadar tuntutan dan pengesahan tuntutan harta sepencarian adalah bidang kuasa mahkamah.

ii. Segala pembuktian dan takat sumbangan akan dipinta daripada pihak yang menuntut lalu pihak mahkamah akan menimbang tara permohonan berdasarkan kadar sumbangan yang dikeluarkan.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan:

  1. Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=harta, laman web diakses pada 22/1/2024.
  2. Lihat: Lembaga Penyelidikan Undang-undang, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), (Kuala Lumpur: Aura Productions Sdn. Bhd., t.c, 2001), hlm.8.  
  3. Rabi’ah Muhammad Serji, Mazliza Mohamad, Safinaz Mohd Hussein, Mahmud Zuhdi Mohd Nor, “Harta Sepencarian: Isu dan Konflik Perundangan dalam Tuntutan Selepas Kematian dari Perspektif Undang-Undang Tanah di Malaysia”, ISLĀMIYYĀT, 43(Isu Khas), (2021), 43-53. https://doi.org/10.17576/islamiyyat-2021-43IK-04 
  4. Mohamad Ali Roshidi Ahmad, Permasalahan Tuntutan Harta Sepencarian dalam Pembahagian Harta Pusaka Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, 24(2), (2021), hlm.7. https://doi.org/10.33102/jfatwa.vol24no2.352  
  5. Lihat: https://www.jbg.gov.my/images/doc/risalah/harta_sepencarian.pdf, laman web diakses pada 22/1/2024.
  6. Mohammad Taifor bin Ahmad Rusdi, Harta Sepencarian: Klasifikasi, Prosedur dan Pelaksanaan di Mahkamah Syariah di Malaysia, hlm. 5. Lihat: https://www.ikim.gov.my/new-wp/wp-content/uploads/2020/09/HS-IKIM-Taifor-Rusdi.pdf, laman web diakses pada 22/1/2024.