Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2026: HUKUM MELUNTURKAN WARNA RAMBUT (BLEACHING)

APAKAH_HUKUM_MELUNTURKAN_WARNA_RAMBUT_BLEACHING.jpg

Soalan

Assalamualaikum, apa hukum bleaching rambut? Kebiasaannya orang yang nak warnakan rambut dia akan lunturkan warna hitam rambut sebelum menggunakan dye rambut yang lebih cerah tone warnanya untuk nampak lebih sekata dan bersinar. Tetapi ada sesetengah orang yang lebih suka bleach rambut sahaja tanpa dye. Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Bleaching atau melunturkan warna rambut tanpa keperluan boleh membawa kepada satu pembaziran dan tabaruj dalam berhias termasuk dye rambut. Bleach dan dye rambut yang masih hitam berbeza dengan mewarnakan rambut yang telah beruban dengan inai kerana ia bertujuan menutup perubahan warna rambut disebabkan faktor penuaan.

Perbuatan ini wajar ditinggalkan untuk menjaga diri daripada meniru gaya dan budaya luar yang tidak baik sekalipun produk bleach rambut itu diperbuat daripada bahan yang halal dan tidak memudaratkan diri.

Namun begitu, sekiranya terdapat sebarang keperluan untuk bleach rambut seperti tujuan perubatan atau menutup keaiban, maka hendaklah ia dilakukan dengan sekadarnya.

Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Melunturkan rambut adalah satu proses penyingkiran pigmen rambut semulajadi menggunakan campuran alkali hidrogen peroksida dan ammonia. Ini menyebabkan batang rambut mengembang dan membolehkan pewarna yang dikenali sebagai ‘toner’ menembusinya dengan lebih mudah. Pelunturan rambut merupakan tindak balas kimia kompleks iaitu alkali oksidatif yang melibatkan melanin yang berlaku di dalam rambut. Pigmen melanin mempunyai komposisi kimia yang unik mempunyai ketahanan terhadap agen pengurangan, tetapi mudah terdegradasi oleh agen pengoksidaan. Hidrogen peroksida ialah pengoksida utama dalam proses tersebut, menyebabkan oksigen dibebaskan daripada keratin rambut.[1]

Proses melunturkan warna rambut bukan sahaja dilakukan di pusat kecantikan atau spa rambut bahkan ia juga dilakukan sendiri di rumah sebagaimana kaedah mewarnakan rambut. Banyak produk peluntur rambut dijual di pasaran dan dipakai sendiri di rumah mengikut langkah-langkah yang diberikan.

Selepas diteliti proses pelunturan warna dan kaedah pemakaiannya, didapati proses melunturkan warna rambut hampir sama dengan mewarnakan rambut (dye). Bahkan, rambut kelihatan lebih bersinar dengan warna rambut sekiranya seseorang melunturkan warna rambut sebelum diwarnakan mengikut warna yang diinginkan.

Mewarnakan Rambut yang Beruban

Mewarnakan rambut yang telah menjadi uban adalah sunat berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA bahawa bapa kepada Abu Bakar al-Siddiq, iaitu Abu Quhafah yang baru masuk Islam ketika itu dibawa bertemu Rasulullah pada hari pembukaan kota Mekah, lalu Baginda SAW bersabda:

غَيِّرُوا هَذَا بِشَيْءٍ، وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ

Maksudnya: Ubahlah warna uban ini dengan sesuatu dan elakkan daripada warna hitam.

(Riwayat Muslim)

Hadis di atas menceritakan bahawa Rasulullah SAW memerintahkan agar para sahabat menginaikan rambut dan janggut Abu Quhafah yang putih beruban seperti pohon kemboja.

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sunat mewarnakan rambut yang beruban dengan inai yang berwarna kuning atau merah dan diharamkan mewarnakannya dengan warna hitam.[2]

Tiada Keperluan untuk Meluntur Warna Rambut

Sebagaimana yang telah dijelaskan, menginaikan rambut yang beruban adalah sunat berdasarkan hadis Rasulullah SAW. Hal ini demikian kerana mewarnakannya dengan inai dilihat sebagai satu keperluan bagi menutup kekurangan yang wujud disebabkan faktor penuaan. Oleh sebab itu juga haram mewarnakan rambut dengan sesuatu yang berwarna hitam yang boleh membawa kepada penipuan.

Oleh yang demikian, mewarnakan rambut yang masih hitam tidak bertepatan dengan tujuan asal anjuran mengubah warna rambut uban. Hal ini demikian kerana rambut tersebut masih hitam dan tiada sebarang kekurangan. Tambahan pula, penggunaan inai pada rambut hitam tidak akan memberi kesan warna kepada rambut tersebut.

Rentetan daripada itu, melunturkan (bleach) warna rambut yang masih hitam dan sihat dilihat sebagai satu perkara yang tabaruj iaitu berlebihan dalam berhias dan tiada keperluan. Bahkan ia juga terdedah kepada amalan tasyabbuh iaitu menyerupai gaya hidup orang bukan Islam di kebanyakan negara Barat. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.

(Riwayat Abu Daud)

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-San’ani bahawa hadis di atas menunjukkan seseorang yang meniru perbuatan khusus golongan ahli fasik, ahli kafir mahupun orang yang berbuat bid’ah sama ada dari sudut pemakaian, tunggangan dan tingkah laku, maka dia tergolong dalam kalangan mereka.[3]

Selain itu, gaya rambut yang berwarna seakan-akan blonde ini juga jauh berbeza dengan kebiasaan warna rambut masyarakat di Malaysia. Justeru itu, jelaslah di sini bahawa meluntur warna rambut tidak hanya terkait pada isu bahan yang halal dan urusan sahnya wuduk dan solat, bahkan ia perlu diteliti dari sudut tabaruj dan tasyabbuh dalam perkara yang tidak baik.

Kesimpulan

Bertepatan dengan kaedah sad zari’ah atau menutup pintu-pintu yang membawa kepada perkara haram, melunturkan warna rambut perlu ditinggalkan supaya ia tidak menjadi satu budaya dalam masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan remaja. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan untuk melunturkan warna rambut seperti rambut beruban pada usia muda atau tujuan perubatan, maka hendaklah dilakukan dengan sekadarnya dan tidak berlebihan.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Zoe Diana Draelos (2005). Hair Care: An Illustrated Dermatologic Handbook. Taylor & Francis Group. Hlmn.132-134.

[2] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Islamiy,1972). 14/80.

وَمَذْهَبُنَا اسْتِحْبَابُ خِضَابِ الشَّيْبِ لِلرَّجُلِ وَالْمَرْأَةِ بِصُفْرَةٍ أَوْ حُمْرَةٍ وَيَحْرُمُ خِضَابُهُ بِالسَّوَادِ عَلَى الْأَصَحِّ وَقِيلَ يُكْرَهُ كَرَاهَةَ تَنْزِيهٍ وَالْمُخْتَارُ التَّحْرِيمُ

[3] Al-San’ani, Muhammad bin Ismail. Subul al-Salam. (Kaherah: Dar al-Hadith, t.t). 2/646-647

وَالْحَدِيثُ دَالٌّ عَلَى أَنَّ مَنْ تَشَبَّهَ بِالْفُسَّاقِ كَانَ مِنْهُمْ أَوْ بِالْكُفَّارِ أَوْ بِالْمُبْتَدِعَةِ فِي أَيِّ شَيْءٍ مِمَّا يَخْتَصُّونَ بِهِ مِنْ مَلْبُوسٍ أَوْ مَرْكُوبٍ أَوْ هَيْئَةٍ