Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2027: APAKAH HUKUM JIKA KHATIB TERLUPA DUDUK ANTARA DUA KHUTBAH

APAKAH_HUKUM_JIKA_KHATIB_TERLUPA_DUDUK_ANTARA_DUA_KHUTBAH.jpg

Soalan

Assalamualaikum Dato, saya ada satu soalan. Khatib dan imam di tempat saya terlupa untuk duduk di antara dua khutbah Jumaat. Para jemaah di masjid ini masin-masing tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Kami hanya mengikut imam dan khatib sehingga selesai solat. Apakah yang perlu kami lakukan adakah sah solat Jumaat kami. Mohon pencerahan daripada pihak Dato. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Khutbah jumaat tidak sah. sekiranya khatib meninggalkan perbuatan duduk di antara dua khutbah kerana meninggalkan syarat khutbah. Para makmum hendaklah menegur dan mengingatkan khatib agar duduk di antara dua khutbah. Sekiranya tidak, maka para makmum tidak boleh mengikut imam dan khatib tersebut untuk mendirikan solat Jumaat berjemaah bersama kerana khutbah dan solatnya tidak sah. Makmum yang mengikut imam dan khatib tersebut hendaklah mengulangi semula dengan mendirikan solat Zuhur.

Huraian Jawapan

Dua khutbah merupakah salah satu daripada syarat sah solat Jumaat menurut pandangan jumhur para ulama termasuk mazhab al-Syafi’i.[1] Ini kerana dua khutbah tersebut menggantikan dua rakaat solat Zuhur dan sekiranya terdapat kekurangan pada khutbah tersebut, maka sama seperti tidak menyempurnakan dua rakaat bagi solat zuhur. [2]

Antara salah satu syarat sah khutbah adalah khatib hendaklah duduk di antara dua khutbah. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Samurah RA, katanya

أنَّهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْطُبُ خُطْبَتَيْنِ يَجْلِسُ بَيْنَهُمَا وَكَانَ يَخْطُبُ قَائِمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menyampaikan khutbah dengan dua khutbah dengan diselangi duduk di antara kedua-duanya dan Baginda berkhutbah dalam keadaan berdiri.”

(Riwayat Muslim)

Menurut Syeikh Hassan al-Kaf, duduk di antara dua khutbah merupakan satu kewajipan dengan kadar tamakninah dan afdalnya sekadar membaca surah al-Ikhlas.[3] Imam al-Nawawi menyatakan bahawa:

وأما الجلوس بينهما فواجب بالاتفاق وتجب الطمأنينة فيه صرح به إمام الحرمين وآخرون

Maksudnya: “Adapun duduk di antara keduanya (khutbah) hukumnya adalah wajib dengan sepakat para ulama. Wajib tamakninah (ketika duduk) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Haramain dan selainnya.”.[4]

Khutbah jumaat tidak sah sekiranya khatib sengaja meninggalkan atau terlupa untuk duduk di antara dua khutbah.[5] Oleh itu, para makmum hendaklah menegur dan mengingatkan khatib untuk duduk di antara dua khutbah. Sekiranya tidak, maka para makmum tidak boleh mengikut imam dan khatib tersebut untuk mendirikan solat Jumaat berjemaah kerana khutbah dan solat jumaatnya tidak sah. Makmum yang mengikut imam dan khatib tersebut hendaklah mengulangi semula dengan mendirikan solat Zuhur.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (t.tp: Dar al-Fikr, t.t) Jdl. 4 Hlm. 514

قد ذكرنا أن مذهبنا أن تقدم خطبتين شرط لصحة الجمعة وأن من شرطها العدد الذي تنعقد به الجمعة وبهذه الجملة قال مالك وأحمد والجمهور

[2] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413H) Jld. 1 Hlm. 205

إذ الخطبة كالصلاة، ولذلك كانت الخطبتان عوضاً عن ركعتين من فريضة الظهر، فاشترط لها ما يشترط للصلاة من الطهارة ونحوها

[3] Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf, al-Takrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah. (Madinah: Dar al-Mirath al-Nabawi, 1420H) Hlm. 333

الجلوسسُ بَينُهما فوقَ طُمَأنينةِ الصّلاة، والأفضل : أن يكونَ بِقَدْرِ سورة الإخلاص، فإذا لم يجلس حُسِبَتا واحدة.

[4] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (t.tp: Dar al-Fikr, t.t) Jdl. 4 Hlm. 514

وأما الجلوس بينهما فواجب بالاتفاق وتجب الطمأنينة فيه صرح به إمام الحرمين وآخرون قال أصحابنا وهذا الجلوس خفيف جدا قدر سورة الإخلاص تقريبا

[5] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1357H) Jld. 2 Hlm. 451

(قَوْلُهُ فِي الْمَتْنِ: وَالْجُلُوسُ) فَلَوْ تَرَكَهُ لَمْ تَصِحَّ خُطْبَتُهُ، وَلَوْ سَهْوًا فِيمَا يَظْهَرُ إذْ الشُّرُوطُ يَضُرُّ الْإِخْلَالُ بِهَا، وَلَوْ مَعَ السَّهْوِ (قَوْلُهُ: وَالْجُلُوسُ مَعَ الطُّمَأْنِينَةِ فِيهِ) ظَاهِرٌ أَنَّهُ لَا يَكْفِي عَنْهُ نَحْوُ الِاضْطِجَاعِ