Soalan:
Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Saya tinggal di kawasan perkampungan dan ada memelihara beberapa ekor kucing. Kebiasaan kucing-kucing itu akan meminum air daripada kolah mandian. Persoalannya, bolehkah saya berwuduk daripada air kolah mandian tersebut kerana kadangkala kucing-kucing saya pernah menangkap bangkai tikus dan cicak? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti
Ringkasan Jawapan:
Sisa air minuman kucing adalah suci kerana ia merupakan haiwan yang suci. Apabila kucing memakan benda-benda bernajis kemudian menjilat air di dalam bekas, maka hukum sisa air itu adalah suci jika selepas makan benda bernajis ia berkeliaran ke tempat lain. Hal ini kerana, kita mengandaikan mulutnya telah disucikan sewaktu tempoh ketiadaannya. Namun, jika yakin bahawa ia tidak menyucikan mulut selepas makan benda bernajis, maka hukum sisa air itu adalah najis.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Allah SWT menyifatkan kucing sebagai haiwan yang suci dan memberikan keringanan hukum berkaitan dengannya. Para ulama juga telah membahaskan tentang hukum sisa air jilatan kucing berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Kabsyah binti Ka’ab bin Malik bahawa beliau berkata:
أَنَّ أَبَا قَتَادَةَ دَخَلَ عَلَيْهَا - ثُمَّ ذَكَرَتْ كَلِمَةً مَعْنَاهَا - فَسَكَبْتُ لَهُ وَضُوءًا، فَجَاءَتْ هِرَّةٌ فَشَرِبَتْ مِنْهُ، فَأَصْغَى لَهَا الْإِنَاءَ حَتَّى شَرِبَتْ. قَالَتْ كَبْشَةُ: فَرَآنِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ: أَتَعْجَبِينَ يَا ابْنَةَ أَخِي؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ. قَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَاتِ
Maksudnya: "Abu Qatadah menemuinya Kabsyah lalu berkata: Aku menuangkan air ke dalam bekas untuk dia berwuduk. Kemudian, seekor kucing datang minum daripada air tersebut. Abu Qatadah memiringkan bekas supaya kucing tersebut dapat minum. Kabsyah berkata: Abu Qatadah mengetahui bahawa aku sedang memperhatikannya, lalu dia berkata: Adakah engkau terkejut wahai anak saudaraku? Aku menjawab: Ya. Abu Qatadah berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Kucing itu bukan najis kerana ia merupakan haiwan yang sering berkeliaran di sekelilingmu."
(Riwayat al-Nasa'i)
Secara umumnya, dapat difahami bahawa sisa minuman atau sisa makanan kucing bukan sesuatu yang bernajis bahkan suci untuk digunakan semula. Perkara ini sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi:
وَمَذْهَبُنَا أَنَّ سُؤْرَ الْهِرَّةِ طَاهِرٌ غَيْرُ مَكْرُوهٍ
Maksudnya: “Menurut pendapat kuat, sisa air minuman kucing adalah suci dan tidak makruh.”
Begitu juga sisa air yang diminum oleh haiwan-haiwan seperti kuda, keldai, binatang buas, tikus, ular, cicak dan semua binatang yang boleh dimakan dagingnya atau tidak boleh dimakan, maka sisa minuman dan peluhnya juga adalah suci serta tidak makruh. Keharusan ini terkecuali pada anjing, khinzir dan anak hasil daripada kedua-duanya.[1]
Tambahan lagi, Syeikh Zainuddin al-Ma’bariy ada menjelaskan berkenaan keadaan haiwan selain daripada anjing dan khinzir yang meminum air dalam keadaan mulutnya bernajis. Beliau berkata[2]:
وسؤر كل حيوان طاهر طاهر، فلو تنجس فمه ثم ولغ في ماء قليل أو مائع، فإن كان بعد غيبة يمكن فيها طهارته بولوغه في ماء كثير أو جار لم ينجسه ولو هرا وإلا نجسه.
Maksudnya: "Sisa minuman daripada setiap haiwan yang suci adalah suci. Jika mulutnya bernajis kemudian dia menjilat air yang sedikit atau cairan, (maka hukumnya diperincikan); jika haiwan itu sudah menghilang dan ada kemungkinan (ketika dia pergi) mulutnya menjadi suci dengan meminum air yang banyak atau air yang mengalir, maka air tersebut tidak menjadi najis walaupun haiwan itu adalah kucing. Namun, jika tidak sedemikian, maka airnya menjadi najis."
Apabila haiwan yang suci memakan atau menggigit benda-benda bernajis kemudian berkeliaran untuk tempoh yang lama, ketika ia pulang semula lalu meminum air di suatu bekas kecil, maka hukum sisa air minuman tersebut adalah suci. Hal ini kerana, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan ada kemungkinan haiwan itu akan menyucikan mulutnya dengan meminum air yang banyak atau air yang mengalir di kawasan lain.
Berbeza pula halnya ketika diyakini bahawa haiwan tersebut meminum air di suatu bekas sejurus selepas memakan benda bernajis. Justeru, sisa minuman haiwan pada ketika itu dihukumkan menjadi najis kerana tiada kemungkinan ia sempat menyucikan mulutnya. [3]
Kesimpulan
Sisa air minuman kucing adalah suci kerana ia merupakan haiwan yang suci. Apabila kucing memakan benda-benda bernajis kemudian menjilat air di dalam bekas, maka hukum sisa air itu adalah suci jika selepas makan benda bernajis ia berkeliaran ke tempat lain. Hal ini kerana, kita mengandaikan mulutnya telah disucikan sewaktu tempoh ketiadaannya. Namun, jika yakin bahawa ia tidak menyucikan mulut selepas makan benda bernajis, maka hukum sisa air itu adalah najis.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). Jld 1. Hlm 173.
وَكَذَا سُؤْرُ جَمِيعِ الْحَيَوَانَاتِ مِنْ الْخَيْلِ وَالْبِغَالِ والحمير والسباع والفار وَالْحَيَّاتِ وَسَامٍّ أَبْرَصَ وَسَائِرِ الْحَيَوَانِ الْمَأْكُولِ وَغَيْرِ المأكون فَسُؤْرُ الْجَمِيعِ وَعِرْقُهُ طَاهِرٌ غَيْرُ مَكْرُوهٍ إلَّا الْكَلْبَ وَالْخِنْزِيرَ وَفَرْعُ أَحَدِهِمَا
[2] Zainuddin al-Ma’bariy al-Malibariy, Ahmad bin Abd al-Aziz. Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-’Ain bi Muhimmat al-Din. (t.p: Dar Ibn Hazm, t.tt). Hlm 73.
[3] Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (t.p: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 1. Hlm 128.
قَالَ فِي التَّوْشِيحِ: وَلَا يُسْتَثْنَى مَسْأَلَةُ الْهِرَّةِ: أَيْ وَنَحْوِهَا، وَإِنْ كَانَ قَدْ اسْتَثْنَاهَا فِي أَصْلِ الرَّوْضَةِ؛ لِأَنَّ الْعَفْوَ لِاحْتِمَالِ أَنْ يَكُونَ فَمُهَا طَاهِرًا؛ إذْ لَوْ تَحَقَّقَ نَجَاسَتُهُ لَمْ يُعْفَ عَنْهُ بِخِلَافِ مَا نَحْنُ فِيهِ، فَإِنَّ الْعَفْوَ فِيهِ وَارِدٌ عَلَى مُحَقَّقِ النَّجَاسَةِ اهـ. وَهُوَ حَسَنٌ.