
SOALAN
Apakah hukum wanita yang menjalani iddah kematian membuat live di media sosial yang kadangkala dilihat ramai orang terutama ajnabi?
RINGKASAN JAWAPAN
Sekiranya membuat live merupakan salah satu medium untuk mendapatkan sumber pendapatan seperti live menjual barang, maka ia diharuskan dengan mematuhi garis panduan iddah dan ihdad atau berkabung yang ditetapkan oleh syarak. Namun begitu, jika live tersebut dilakukan tanpa sebarang tujuan, maka ia sewajarnya dielakkan bagi mengelakkan fitnah. Wallahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.
Menurut hukum syarak, tempoh ‘iddah bagi wanita yang kematian suami adalah selama empat bulan sepuluh hari. Penetapan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT berikut:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: Dan mereka yang meninggal dunia dalam kalangan kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.
Surah al-Baqarah (234)
Hikmah pensyariatan ‘iddah kematian suami bertujuan untuk menunjukkan kesedihan yang mendalam atau dukacita terhadap pemergian suami. Hikmah tempoh empat bulan juga sebagai ruang masa untuk memastikan isteri akan menunjukkan tanda kehamilan dan kewujudan janin dalam rahim sekiranya ada, kemudian ditambah tempoh sepuluh hari sebagai langkah berhati-hati serta menjaga kebajikan isteri.[1]
Hukum Berkabung (Ihdad)
Isteri yang kematian suami diwajibkan berkabung atau ihdad sepanjang tempoh ‘iddah. Ihdad dari sudut bahasa yang membawa maksud larangan daripada memakai sebarang pakaian, perhiasan, wangian, solekan dan sebagainya yang boleh menarik perhatian lelaki kepadanya.[2] Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Atiyyah:
لَا تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ، إِلَّا عَلَى زَوْجٍ، أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا، وَلَا تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا، إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ، وَلَا تَكْتَحِلُ، وَلَا تَمَسُّ طِيبًا، إِلَّا إِذَا طَهُرَتْ، نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ
Maksudnya: Seorang wanita dilarang berkabung atas kematian seseorang lebih dari tiga hari kecuali atas kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Janganlah dia memakai pakaian yang dicelup kecuali pakaian ‘asab (kain berasal dari Yaman yang diperbuat daripada benang yang yang dicelup dengan warna kemudian dipintal), janganlah memakai celak, jangan memakai minyak wangi kecuali ketika dia bersuci daripada haid, hendaklah dia mengambil sepotong qusth atau azhfaar (sabun bagi tujuan menghilangkan bau darah dan bukan tujuan berwangi-wangian).
(Riwayat Muslim)
Walaupun tidak boleh berhias dengan sesuatu yang boleh menarik perhatian lelaki ajnabi, wanita kematian suami tidak dilarang untuk menjaga kebersihan dan penjagaan diri seperti memotong kuku, menggunakan sabun untuk kebersihan diri dan pakaian kerana ia merupakan satu keperluan diri yang asas termasuk menjaga kebersihan rumah.
Konteks kehidupan pada zaman teknologi ini, ramai wanita menjadikan medium live di media sosial sebagai tempat mencari sumber pendapatan dengan menjual barangan, mengajar dan menimba ilmu atau sebarang tujuan lain yang diharuskan syarak. Penetapan tempoh ‘iddah dan ihdad ini bukanlah penghalang wanita kematian suami daripada membuat live, menghantar sebarang video di media sosial atau bercakap di khalayak ramai selagi kandungannya berfaedah dan patuh syariat. Hal ini kerana ia tidak termasuk dalam larangan semasa menjalani iddah dan ihdad tersebut.[3]
Namun begitu, dalam merai dan menjaga kebajikan wanita muslimah, keharusan ini terikat selagi wanita tersebut tidak melakukan apa-apa yang dilarang oleh syarak seperti berpakaian sopan, tiada unsur tabarruj ketika live atau melakukan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan akhlak Islam dan bercanggah dengan hukum dan suasana ihdad itu sendiri. Keadaan ini juga tidak terhad dalam tempoh iddah sahaja, bahkan sewajarnya diamalkan sentiasa oleh wanita muslimah.
Kesimpulan
Pensyariatan ihdad boleh dilihat sebagai menutup pintu fitnah dan menjaga maruah wanita. Apabila wanita tidak dibenarkan berhias, keluar tanpa keperluan atau menerima lamaran semasa dalam ‘iddah adalah bertujuan bagi mengelakkan syak wasangka dan menjaga maruah wanita, terutamanya dalam saat-saat rapuh selepas kematian suami.
Live di media sosial semasa iddah kematian tidak dilarang secara mutlak tetapi perlu dijaga adab, niat dan kandungan. Live di media sosial ini tidak termasuk dalam makna keluar rumah yang dilarang dalam ihdad. Jika ada unsur pendedahan, berhias berlebihan atau melalaikan, maka ia dilarang.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
[1] Al-Ramli, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad. Nihayah al-Muhtaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). 7/145.
وَلِأَنَّ الْقَصْدَ بِهَا التَّفَجُّعُ، وَالْحِكْمَةُ فِي ذَلِكَ أَنَّ الْأَرْبَعَةَ بِهَا يَتَحَرَّكُ الْحَمْلُ وَيُنْفَخُ فِيهِ الرُّوحُ وَذَلِكَ يَسْتَدْعِي ظُهُورَ حَمْلٍ إنْ كَانَ وَزِيدَتْ الْعَشَرَةُ اسْتِظْهَارًا وَلِأَنَّ النِّسَاءَ لَا يَصْبِرْنَ عَنْ الزَّوْجِ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ فَجُعِلَتْ مُدَّةَ تَفَجُّعِهِنَّ
[2] Muhammad al-Zuhailiy. Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam, 2015). 4/285.
إحداد الزوجة : وهو متعلق بالزوجة المتوفى عنها زوجها. تعريفه: هو الامتناع عن الزينة من لباس وحلي وطيب وكحل وغيرها إذا كان يبعث على شهوة الرجال لها ، وسمي إحداداً لما فيه من الامتناع ، ويسمى : حداداً أيضاً ، وهي حاد ، والحداد في البدن
[3] Ibid.
ولا يشمل الأثاث والفرش والتنظيف والامتشاط وقلم الأظفار والاستحداد ودخول الحمام ، وإزالة الأوساخ ، لأن ذلك ليس زينة ، بل هو تنظيف ، وكذلك لا يحرم عليها الكلام ، وحكمه أثناء العدة كحكمه خارج العدة سواء.