Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #656 : SOLAT HAJAT SECARA BERJAMAAH

Soalan:

Apakah ada petunjuk dari Nabi Muhammad S.A.W atau para sahabat baginda berkenaan solat hajat secara berjamaah ? Bagaimanakah cara Nabi S.A.W melaksanakan solat hajat ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum solat hajat. Ini kerana, dalil yang dijadikan hujah dalam isu ini diperselisihi status hukumnya. Sebahagian berpendapat bahawa hadis tersebut dhaif, dan tidak boleh untuk dijadikan hujah ke atas pensyariatan solat hajat. Manakala sebahagian yang lain berpandangan bahawa hadis tersebut boleh dikuatkan dengan syawahidnya, dan mereka turut menyatakan bahawa solat hajat ini termasuk di bawah fadhail al a’maal yang boleh menggunakan hadis dhaif sekiranya ia tergolong di bawah asal yang thabit.

Berikut kami nyatakan hadis yang dibincangkan. Daripada Abdullah Ibn Abi Awfa Al-Aslami R.anh beliau berkata: Rasulullah S.A.W pada suatu hari telah keluar menuju ke arah kami lalu bersabda:

‏ مَنْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ إِلَى اللَّهِ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ خَلْقِهِ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لْيَقُلْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ أَسْأَلُكَ أَلاَّ تَدَعَ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا لِي ثُمَّ يَسْأَلُ اللَّهَ مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ مَا شَاءَ فَإِنَّهُ يُقَدَّرُ

Maksudnya: Sesiapa yang mempunyai sebarang hajat kepada Allah atau kepada salah seorang daripada makhluk-Nya, maka hendaklah dia berwuduk dan kemudiannya solat dua rakaat lalu dia membaca:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ أَسْأَلُكَ أَلاَّ تَدَعَ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا لِي

Maksudnya: Tidak ada tuhan yang diabdikan diri selain Allah, Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mulia. Maha suci Allah, tuhan kepada ‘arasy yang agung. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendatangkan rahmat-Mu, serta pengampunan-Mu, ghanimah dari setiap kebaikan, dan kesejahteraan daripada semua dosa. Aku juga memohon ampun kepada-Mu, supaya Kau tidak meninggalkan kepadaku satu dosapun kecuali telah Kau ampunkannya. Tidak juga sebarang kegusaran melainkan Kau pemudahkan ia, serta tidak ada hajat yang Kau redha kepadanya melainkan kau laksanakan ia untuk diriku.

Kemudian dia meminta kepada Allah berkenaan perkara dunia dan akhirat, maka sesungguhnya ia ditakdirkan.

Riwayat Ibn Majah (1384)

Kaifiat Solat Hajat

Berdasarkan hadis di atas, berikut merupakan noktah-noktah penting berkenaan tatacara solat hajat:

  • Ini membawa maksud hendaklah dilakukan wuduk dengan meraikan perkara-perkara wajib dan sunat semasa berwuduk.
  • Menunaikan solat dua rakaat. Inilah solat yang dimaksudkan sebagai solat sunat hajat. Melihat kepada hadis ini, tidak dinyatakan berkenaan bacaan surah tertentu pada kedua-dua rakaat. Justeru, dibolehkan untuk membaca mana-mana surah yang mudah untuk dibaca di dalam solat.
  • Kemudian diikuti dengan bacaan doa yang diajarkan di dalam hadis di atas. Turut tidak dinyatakan bilakah waktunya ia dibaca, sama ada di dalam solat atau di luar solat. Kami lebih cenderung agar ia dibaca di dalam solat, semasa sedang sujud. Ini kerana, sujud disifatkan oleh Nabi S.A.W sebagai keadaan paling hampir seorang hamba itu dengan tuhannya, maka perbanyakkanlah doa semasa sujud.

Menunaikan Solat Hajat Secara Berjamaah

Berikut kami nukilkan beberapa pendapat para ulama berkaitan isu solat sunat secara berjamaah ini. Kata al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah apabila mengulas tajuk bab yang diletakkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya (Solat Nafilah Secara Berjamaah) : Maksudnya adalah solat sunat yang mutlak, dan ia juga boleh jadi solat yang lebih umum dari itu. Ibn Wahb meriwayatkan daripada Malik bahawa beliau berkata : Tidak mengapa untuk seseorang itu menjadi imam kepada sebuah kumpulan. Adapun sekiranya perbuatan itu (solat sunat berjamaah) menjadi masyhur lalu dihimpunkan orang ramai maka ini tidak dibolehkan. Ini terbina di atas kaedah sad al-zarai' (menghalang jalan-jalan) kerana takut orang yang tiada ilmu akang menyangka bahawa solat sunat itu sebagai solat fardhu. Ibn Habib dari kalangan mazhab Malik mengecualikan qiyam Ramadhan kerana telah masyhurnya ia secara berjamaah sebagaimana yang telah dilakukan oleh para sahabat dan golongan selepas mereka. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (3/62).

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah : Boleh untuk solat sunat secara berjamaah dan boleh juga secara bersendirian. Kerana Nabi S.A.W melakukan kedua-duanya (kadang berjamaah dan kadang bersendirian). Dan kebanyakan solat sunat baginda adalah secara bersendirian. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/442).

Syeikh Al-Buhuti Rahimahullah mengatakan : Solat sunat secara sembunyi itu lebih afdhal dan tidak mengapa untuk ia dilakukan secara berjamaah. Kata Al-Majd dan selainnya: Melainkan jika ia dijadikan sebagai adat kebiasaan dan juga sunnah. Rujuk Syarah Muntaha Al-Iradaat, Al-Buhuti (1/247).

Para fuqaha Syafieyyah seperti Imam Al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah mengatakan : Sesungguhnya semua solat yang tidak disunatkan untuk berjamaah padanya adalah boleh untuk ia dilakukan secara berjamaah. Ini diambil dari perbuatan Umar yang mengumpulkan orang ramai untuk solat taraweh. Rujuk Mughni Al-Muhtaj, Al-Khatib Al-Syarbini.

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sesungguhnya solat-solat sunat itu tidak disyariatkan padanya untuk berjamaah, melainkan pada solat dua hari raya, solat gerhana, dan solat istisqa'. Demikian juga solat tarawih dan witir selepas tarawih. Sesungguhnya jamaah di dalam semua solat tersebut adalah afdhal. Adapun baki-baki solat sunat yang lain seperti solat rawatib yang dilakukan bersama solat-solat fardhu, solat dhuha, dan juga solat-solat sunat yang mutlak, maka tidak disyariatkan pada semua itu untuk berjamaah, iaitu tidak disunatkan. Akan tetapi jika seseorang melakukannya secara berjamaah maka ia dibolehkan. Tidak dikatakan yang perbuatan itu makruh. Imam Al-Syafie telah menaskan di dalam Mukhtasar Al-Buwaithi dan Mukhtasar Al-Rabi' bahawa tidak mengapa berjemaah dalam solat sunat. Rujuk Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/197).

Kesimpulan

Akhir kalam, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur fuqaha yang menyatakan bahawa boleh untuk dilakukan solat hajat, kerana ia termasuk di dalam bab fadhail al a’maal. Kami juga berpandangan bahawa boleh untuk dilakukan solat hajat secara berjamaah secara sekali sekala, namun jika dirasakan bahawa solat hajat bersendirian itu lebih mendatangkan kekhusyukan dan kehendak yang dimaksudkan, maka itu adalah lebih utama. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama.