Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #647 : HUKUM WAKAF HARTA INTELEK

SOALAN

Permohonan maklumat berkenaan harta intelek yang ingin diwakafkan?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Amalan wakaf yang dikaitkan dengan agama Islam melibatkan dua aspek iaitu berkaitan kerohanian pewakaf dan harta kebendaan pewakaf. Perbuatan ini mampu untuk mendekatkan diri para pewakaf kepada Allah SWT seterusnya turut menjanjikan pahala yang berterusan kepada pewakaf miskipun setelah meninggal dunia. Justeru, niat yang ikhlas seharusnya ada pada setiap para pewakaf apabila melaksanakan ibadah ini bagi memperolehi pahala yang dijanjikan. Ini bertepatan dengan nas Al-Quran berikut :

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

Maksudnya :  Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.

(Surah Ali-Imran: 92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah R.A yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat reda Allah SWT dan RasulNya.  Rujuk Tafsir al-Quran ‘Azim jlid 1/496).

Merujuk kepada persoalan di atas, harta yang ingin diwakafkan merupakan harta intelek. Harta intelek merupakan apa-apa yang berkaitan dengan hakcipta, peten, rekabentuk perindustrian, disk optic dan cap dagangan. (Lihat Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka)

Harta-harta seperti ini dikira bernilai disisi hukum syarak. Maka hukum untuk mewakafkan harta intelek seperti ini adalah DIBOLEHKAN DAN DIGALAKKAN demi maslahah dan kemajuan umat Islam.

Di sini kami nyatakan juga fatwa-fatwa yang terdahulu yang berkaitan dengan isu harta intelek :

  1. Harta intelek seperti yang dinyatakan di atas mempunyai nilai ekonomi yang tersendiri dan diakui orang sebagai satu bentuk kekayaan. Justeru harta-harta seperti ini dikira sebagai hak khusus kepada pemiliknya. Oleh karena itu, hak-hak seperti itu tidak boleh dilanggar. Rujuk Majma’ al-Fiqh al-Islami 43 (5/5) Muktamar Kelima tahun 1409 H/1988 M. Perbincangan tentang al-Huquq al-Ma’nawiyyah)
  2. Pendapat ulama’ berkenaan harta intelek :

Majoriti ulama’ mazhab Maliki, Syafie dan Hambali berpendapat bahawa hak cipta atas ciptaan yang sebenar dan bermanfaat adalah termasuk dalam harta yang berharga sepertimana benda yang boleh dimanfaatkan secara Syarak (hukum Islam). Lihat Haqq al-Ibtikar fi al-Fiqh al-Islami al-Muqaran (m/s 20) oleh Dr. Fathi al-Duraini)

  1. Harta intelek seperti karyaan buku adalah sesuatu yang dilindungi oleh syara. Justeru mencetak atau mengeluarakan mana-mana bahagian dari karyaan tersebut dikira sebagai satu perlanggaran atau kejahatan kepada pihak pengarang. Dalam bahasa mudah bahawa perbuatan tersebut adalah satu maksiat yang menimbulkan dosa kepada pelakunya yang membawa kepada keharusan ganti rugi terhadap hak pengarang. Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (4/2862) oleh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili.

Kesimpulan

Dalam isu ini, kami berpandangan dibolehkan untuk mewakafkan harta intelek seperti yang telah dinyatakan. Hal ini kerana, amalan wakaf ini mampu untuk membangunkan sosio-ekonomi umat Islam pada hari ini kepada taraf yang lebih baik. Namun begitu, pihak pengurusan wakaf yang terbabit haruslah merangka dengan sebaiknya perjalanan wakaf harta intelek tersebut agar harta tersebut tidak disalah guna dan disia-siakan. Seterusnya, pihak kami amat menghargai amalan wakaf yang akan dilaksanakan ini dan mengharapkan sesuatu impak yang positif mampu dibawa dengan terlaksananya wakaf harta intelek tersebut. Wallahua’lam.

Akhir sekali, dengan kemuliaan bulan Syawal ini, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.