Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #632 : SUSUAN ADIK PEREMPUAN, ADAKAH JATUH HUKUM MAHRAM?

Soalan:

Assalammualaikum ustaz.maaf ganggu ustaz. Saya nak tanya sikit. Sepupu saya ada bela anak angkat lelaki.  Dia dah cuba minta ubat di klinik untuk keluarkan susu badan tapi tidak berjaya kemudian adik perempuan dia akan melahirkan anak tidak lama lagi. Jika dia bagi anak angkat lelaki dia itu tumpang susu badan kepada adik dia, jadi mcm mana hukum dia dengan anak angkat dia? Adakah dia harus menjaga aurat dan sebagainya bila anak angkat dia tu ada di rumah nanti. Adakah status ank angkat dia boleh jadi anak saudara?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam istilah fiqh, hubungan antara anak angkat lelaki itu dengan sepupu tersebut adalah ibu saudara susuan sebelah ibu. Hubungan ini disebut dengan الخالة من الرضاع yakni setiap perempuan yang menyusu bersama dengan ibu kandungnya atau ibu susuannya, atau menyusu daripada salah seorang neneknya.

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/34)

Ini berdalilkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:

اسْتَأْذَنَ عَلَيَّ أَفْلَحُ فَلَمْ آذَنْ لَهُ فَقَالَ أَتَحْتَجِبِينَ مِنِّي وَأَنَا عَمُّكِ، فَقُلْتُ وَكَيْفَ ذَلِكَ؟ قَالَ أَرْضَعَتْكِ امْرَأَةُ أَخِي بِلَبَنِ أَخِي، فَقَالَتْ سَأَلْتُ عَنْ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ صَدَقَ أَفْلَحُ ائْذَنِي لَهُ

Maksudnya: Aflah meminta izin untuk masuk menemui aku (Aisyah) tetapi aku tidak benarkan. Lalu Aflah menjawab, “Mengapa engkau berhijab daripadaku sedang aku ialah bapa saudaramu? Isteri saudaraku pernah menyusukanmu dengan susu saudaraku!” Kata Aisyah: Lalu aku bertanya Rasulullah SAW hal itu dan dia berkata, “Benar kata Aflah, berikanlah izin dia untuk masuk.”

Riwayat al-Bukhari (2644)

Justeru, hukum antara anak angkat itu dan sepupu tesebut adalah mahram dan terpakai hukum hakam mahram seperti aurat, harusnya berkhalwat dan bersentuhan secara kekal. Wallahua’lam.