Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #622 : HUKUM MEMASUKKAN DUIT DERMA MASJID KE DALAM SIMPANAN TETAP

SOALAN

Apakah hukum jika wang yang didermakan kepada masjid disimpan dalam simpanan tetap (fixed deposit)?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perbuatan menderma dan memberi merupakan satu amalan yang mulia. Lebih-lebih lagi jika didermakan kepada jalan-jalan Allah seperti didermakan kepada masjid-masjid dan surau, dimana penggunaan wang tersebut adalah untuk mengimarahkan kerja agama itu sendiri, sudah tentu perbuatan tersebut terlebih baik dan afdhal. Ini jelas berdasarkan kepada firman Allah SWT :

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya :  Orang-orang Yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, Dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

(Surah Al-Baqarah ayat 274)

Dengan adanya golongan penderma ini, pengurusan masjid akan dapat dijalankan dengan lebih sempurna dan mudah. Melihat kepada persoalan di atas, hukum memasukkan wang yang didermakan tersebut ke dalam simpanan tetap (fixed deposit) adalah dibenarkan sama sekali jika mencukupi beberapa syarat dibawah :

  1. Wang yang didermakan bukanlah diniatkan khusus untuk sesuatu perkara (anak-anak yatim atau pembinaan madrasah dan sebagainya)
  2. Pihak masjid mestilah menyimpan wang tersebut dalam simpanan (fixed deposit) bank yang patuh syariah.
  3. Wang yang disimpan tersebut mestilah wang lebihan dari perbelanjaan dan bukanlah wang keperluan semasa bulanan.
  4. Pihak masjid mestilah melantik orang yang amanah dan bertanggungjawab untuk menguruskan dana tersebut.

Masjid adalah satu tempat untuk menyatu padukan umat Islam di sesuatu kawasan. Oleh itu, keperluan kepada dana yang mencukupi amatlah diperlukan bagi melihat sesuatu aktiviti itu berjalan dengan lancar. Pihak masjid mungkin mengalami masalah kekurangan dana disebabkan para Jemaah yang kurang menderma pada sesuatu ketika. Ini adalah bersesuaian dengan firman Allah SWT seperti berikut :

قُل لَّوْ أَنتُمْ تَمْلِكُونَ خَزَائِنَ رَحْمَةِ رَبِّي إِذًا لَّأَمْسَكْتُمْ خَشْيَةَ الْإِنفَاقِ ۚ وَكَانَ الْإِنسَانُ قَتُورًا

Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut”.

(surah al-isra ayat 100)

Melihat kepada tafsiran di atas, pihak masjid seharusnya mengambil satu langkah inisiatif untuk mengembangkan wang dana yang sedia ada untuk kegunaan pada masa-masa akan datang. Oleh itu, idea seperti ini harus dilaksanakan dengan teliti supaya objektif yang ingin dicapai berjaya dikecapi.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, kami memandang baik usaha yang ingin dilaksanakan oleh pihak masjid. Seharusnya semua masjid menjadikan perkara ini sebagai satu contoh untuk menjana ekonomi sesebuah masjid. Kami mendoakan semoga segala usaha baik pihak tuan dibalas dengan sebaiknya oleh Allah SWT.

Akhir sekali, semoga Allah SWT menjauhi kita semua dari segala perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. Amin.