Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #611 : HUKUM MENGGUNAKAN APPLIKASI TUMBLR

Soalan:

Assalamualaikum, bolehkah saya tahu hukum menggunakan applikasi Tumblr, kerana ramai golongan menggunakan aplikasi tersebut untuk berkongsi video dan gambar lucah.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala pujian syukur diucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Tumblr adalah sebuah microblog iaitu blog yang berskala kecil dan ia merupakan sebuah laman web media social yang diasaskan oleh David Karp pada tahun 2007. Perkhidmatan ini membolehkan para penggunanya memaparkan tulisan, video, atau gambar ke dalam blog berskala kecil ini. Para pengguna juga boleh mengikuti blog orang lain melalui aplikasi ini. Statistik menunjukkan bahawa pada 1 April 2017, Tumblr telah menyelia lebih dari 341.8 juta blog seluruh dunia.[1]

Secara asasnya, hukum asal bagi setiap perbuatan yang bersifat urusan seharian manusia itu adalah harus selama mana tidak terdapat nas yang menyatakan bahawa ianya haram atau dilarang. Ini berdasarkan sebuah kaedah fekah yang masyhur:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة

Maksudnya: Hukum asal bagi setiap sesuatu itu adalah harus.

Maka berdasarkan hal ini, perbuatan menggunakan aplikasi moden seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Tumblr, dan seumpamanya adalah kekal kepada hukum asalnya iaitu keharusan. Selain itu, suatu perkara yang perlu diteliti adalah sebuah kaedah fekah:

الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَامُ المَقَاصِد

Maksudnya: Wasilah-wasilah itu baginya hukum maqasid.

Kaedah ini telah dinyatakan oleh ramai tokoh besar dari kalangan ulama dan di antaranya adalah Imam Al-Qarafi Rahimahullah. Kata beliau: Kaedah menyatakan bahawasanya wasilah-wasilah itu mengikut maqasid (tujuan) pada hukum-hakamnya. Maka wasilah (jalan) yang membawa kepada perkara haram adalah haram, wasilah yang membawa kepada kewajipan maka hukumnya wajib, dan demikianlah selainnya daripada hukum-hakam. Lihat Al-Furuq, Al-Qarafi (3/111-112).

Demikian juga kata al-Syeikh al-Thufi: Di antara kaedah yang bersifat kulliy (menyeluruh) adalah: Sesungguhnya wasilah-wasilah itu mengikut maqasid (dari sudut hukum-hakamnya). Lihat Mukhtasar Al-Raudhah, Al-Thufi (3/89).

Berdasarkan kepada kaedah di atas ini, ia membawa maksud bahawa sekiranya sesuatu tujuan perbuatan itu bermaksud buruk, maka wasilah (jalan) yang membawa ke arahnya juga adalah dilarang. Sekiranya sesuatu itu bertujuan baik pula, maka wasilah ke arahnya mestilah baik dan harus juga. Sesuatu yang membawa kepada haram, maka ia juga adalah haram.

Contohnya, perbuatan menjual anggur adalah halal hukumnya. Namun sekiranya seorang penjual itu mengetahui bahawa pembeli tersebut membeli anggur dengan tujuan pemprosesan arak, maka tidak boleh dia menjual kepadanya. Demikianlah juga dengan penjualan barangan seperti pisau, kapak, dan seumpamanya yang mana perbuatan ini hukumnya harus. Akan tetapi, sekiranya ia dijual kepada seseorang yang akan menggunakannya untuk membunuh, membuat kejahatan dan keburukan, maka hukumnya adalah terlarang.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, hukum asal menggunakan aplikasi Tumblr adalah harus. Namun, sekiranya tujuan ia digunakan adalah untuk berkongsi perkara yang haram seperti video dan gambar lucah, maka menggunakan Tumblr untuk tujuan ini adalah haram. Kami juga menambah, sekiranya seseorang itu menggunakan Tumblr dengan tujuan yang baik, namun dia risau ke atas dirinya terjebak dengan perkara maksiat yang terdapat di dalam aplikasi tersebut maka kami sarankan supaya dia menjauhkan diri darinya dari aplikasi tersebut sebagai sad al-zariah iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada keburukan. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

 

 

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Tumblr