Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #606: WAJIBKAH MENAMAKAN ANAK YANG GUGUR?

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Adakah wajib memberikan nama bagi anak yang gugur tetapi tak cukup empat bulan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam isu tasmiah al-siqt (penamaan janin yang gugur), para ulama berbeza pandangan mengenai hukumnya.

Mazhab Hanafiyyah, Syafieyyah, Hanabilah, dan Ibn Habib daripada mazhab Malikiyyah, berpendapat bahawa hendaklah dinamakan setiap anak yang lahir dalam keadaan istihlal (wujud tanda kehidupannya seperti keluar suara, menangis, menggigil, dan bergerak-gerak). Hanafiyyah mewajibkan penamaan ini manakala mazhab-mazhab lain hanya mengatakan sunat sahaja. Ini berdasarkan satu riwayat bahawa dikatakan Nabi SAW bersabda:

سَمُّوا أَسْقَاطَكُمْ فَإِنَّهُمْ أَسْلاَفُكُمْ

Maksudnya: “Hendaklah kalian menamakan anak-anak kalian yang gugur kerana mereka itu telah mendahului kamu.”

Riwayat Ibn al-Samak   

Dalam riwayat lain:

سَمُّوا أَسْقَاطَكُمْ فَإِنَّهُم مِنَ أَفْرَاطِكُمْ

Maksudnya: “Hendaklah kalian menamakan anak-anak kalian yang gugur kerana mereka itu daripada lebihan kalian.”

Riwayat Ibn Asakir

Syeikh Ala’uddin al-Muttaqi al-Hind, penyusun kitan Kanz `Ummal selepas menyebutkan riwayat ini dan menyatakan bahawa Ibn Asakir meriwayatkan daripada al-Bakhtari bin ʿUbaid daripada ayahnya daripada Abu Hurairah, sedangkan al-Bakhtari itu seorang yang daif.

Dikatakan juga hikmah penamaan itu juga ialah kerana anak-anak yang gugur itu akan dipanggil nama mereka di Hari Akhirat dengan nama-nama mereka. Berkata ulama mazhab Hanafi: Ini merupakan suatu penghormatan sebagai seorang anak Adam. Selain itu, jika terdapat pertikaian harta pusaka, terdapat keperluan untuk ayahnya atau keluarga menyebut namanya dalam pendakwaan (dalam mahkamah, contohnya).

Jika tidak diketahui sama ada lelaki atau perempuan, maka diberikan nama-nama yang sesuai bagi kedua-dua jantina. Contohnya, Salamah. Qatadah, Suʿad dan Hind.

Manakala pendapat dalam mazhab Malikiyyah, yang disandarkan kepada Imam Malik, bahawa anak yang mati sebelum hari ketujuh, maka tidak dinamakan atau makruh.

Rujuk Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwatiyyah (4/13-134, 11/330)

Daripada sisi pandang ulama mazhab Syafie, kami nukilkan perkataan Imam Ibn Hajar al-Haithami dalam Tuhfah al-Muhtaj (3/372-373) pada mensyarahkan matan Minhaj al-Talibin susunan Imam al-Nawawi – Rahimahumullah:

“(Dan diberikan nama kepada anak itu) kerana hal ini berdasarkan hadis yang sahih. Sekiranya anak itu mati sebelumnya (yakni tujuh hari selepas kelahiran), bahkan disunatkan untuk dinamakan anak yang gugur, yang sudah ditiupkan ruh ke dalamnya.”

Hukum sunat ini juga dikuatkan dengan ayat al-Quran:

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ

Maksudnya: Panggilah anak-anak itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.

(Surah al-Ahzab, 5:33)

Melihat kepada soalan yang diajukan, jika anak tersebut diyakini sudah berumur empat bulan, maka terlebih dahulu ditilik adakah janin yang gugur tersebut menunjukkan tanda-tanda kehidupan, seperti mana yang telah disebutkan di atas, atau tidak. Jika ya, makna ia sudah bernyawa dan sunat diberikan nama. Jika tidak, maka tidak sunat diberikan nyawa, kerana tidak tahkik (tidak pasti) bahawa anak itu sudah bernyawa.

Wallahua’lam.