SOALAN
Ada pelaburan berbentuk emas (syarikat dinar dirham). Apakah hukum jika syarikat pelaburan tersebut memberikan dividen setiap bulan antara 8-15% bergantung kepada harga semasa di pasaran. Apakah pelaburan seperti ini mengikut ketetapan yang telah disyariatkan?
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Dalam kitab Fiqh Manhaji, pelaburan dikenali sebagai qirad atau mudharabah yang membawa maksud pelabur atau pemodal memberikan hartanya kepada amil atau pengusaha untuk menguruskan hartanya. Seterusnya keuntungan yang diperolehi akan dibahagi sesama mereka sepertimana yang telah disepakati di dalam akad yang telah dibuat.
Antara dalil-dalil yang menunjukkan kepada pengharusan muamalah pelaburan ini adalah daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.Anhuma daripada bapanya al-Abbas bin Abdul Mutalib RA:
إِذَا دَفَعَ مَالاً مُضَارَبَةً اشْتَرَطَ عَلَى صَاحِبِهِ أَنْ لاَ يَسْلُكَ بِهِ بَحْرًا وَلاَ يَنْزِلَ بِهِ وَادِيًا وَلاَ يَشْتَرِىَ بِهِ ذَاتَ كَبِدٍ رَطْبَةٍ فَإِنْ فَعَلَ فَهُوَ ضَامِنٌ فَرُفِعَ شَرْطُهُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَجَازَهُ
Maksudnya: “Apabila dia menyerahkan harta untuk pelaburan, dia akan meletakkan syarat kepada sahabatnya iaitu dia tidak boleh membawa barangan ini melalui laut dan melalui lembah dan tidak menggunakan harta ini untuk membeli haiwan yang mempunyai hati yang lembab (masih hidup). Jika dia melakukannya juga, dia perlu menggantikannya. Syarat ini telah disampaikan kepada Rasulullah SAW dan Baginda membenarkannya.”
(Lihat Sunan al-Kubra al-Baihaqi no 11611 dan Darqutni no 3081)
Seterusnya hadis daripada Suhaib RA bahawa Nabi SAW bersabda:
ثَلاَثٌ فِيهِنَّ الْبَرَكَةُ الْبَيْعُ إِلَى أَجَلٍ وَالْمُقَارَضَةُ وَإِخْلاَطُ الْبُرِّ بِالشَّعِيرِ لِلْبَيْتِ لاَ لِلْبَيْعِ
Maksudnya: “Ada tiga perkara yang diberkati iaitu jual beli secara hutang, muqaradhah dan mencampurkan gandum dan barli untuk kegunaan rumah bukan untuk dijual.”
Riwayat Ibn Majah (2289)
Sebelum kami mengupas dengan lebih lanjut berkaitan permasalah diatas, suka kami nyatakan rukun-rukun pelaburan yang telah digariskan dalam Islam. Antaranya ialah, pertama lafaz (sighah) iaitu penawaran (ijab) dan persetujuan (qabul), kedua Dua pihak yang berkontrak iaitu pelabur dan pengusaha dan ketiga ialah, modal yang diberikan oleh pelabur kepada pengusaha.
Manakala terdapat beberapa syarat sah sesuatu pelaburan yang telah dinyatakan dalam syariat Islam antaranya ialah pengusaha bebas melakukan apa-apa urusan perniagaan tanpa disyaratkan oleh pelabur. Seterusnya, keuntungan yang diperolehi dari hasil pelaburan hanya dikongsi antara pelabur dan terakhir ialah pengusaha mestilah bebas menguruskan modal dan bekerja dan bekerja.
Berdasarkan kepada syarat-syarat sah sesuatu pelaburan, terdapat syarat yang menyatakan bahawa keuntungan yang diperolehi dari hasil pelaburan tersebut mestilah dibahagikan antara pelabur dan pengusaha.
Dalam permasalah diatas, pihak syarikat telah menjanjikan keuntungan yang akan diperolehi oleh setiap pelabur adalah sekitar antara 8-15% sebulan. Dalam kitab Fiqh Manhaji mengatakan bahawa tidak sah sesuatu pelaburan itu jika kadar keuntungan yang bakal diperolehi oleh salah satu pihak ditentukan menurut kadar jumlah tertentu. Contohnya dalam akad tersebut menyatakan bahawa pelabur akan memperolehi keuntungan bulanan berjumlah RM 100 atau 5%. Hal ini jelas bertentangan dengan konsep pelaburan yang sebenar yang telah ditetapkan oleh Islam kerana kita tidak mengetahui kadar keuntungan sebenar yang akan diperolehi dari sesuatu perusahaan tersebut. Jika ditelusi dengan lebih mendalam lagi, kontrak pelaburan seperti ini telah berubah menjadi kontrak pinjaman yang mengandungi riba disebabkan pengusaha telah menjamin secara mutlak deviden yang akan diterima oleh setiap pelabur. Justeru kontrak seperti ini jelas menyalahi sistem muamalat Islam yang telah digariskan dalam syariat berdasarkan kepada satu kaedah :
كُلّ قَرْضٍ جَرَّ نَفْعاً فَهُوَ الرِّبا
Maksudnya : "Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat (bagi pemberi pinjam) maka ia adalah riba."
Oleh sebab itu pelaburan yang dijalankan ini jelas tidak sah dan harus dijauhi oleh pelabur-pelabur. Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan segala urusan seharian kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Amin.