Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #563: HUKUM BERPUASA SUNAT PADA HARI SABTU DAN AHAD

AL-KAFI #563: HUKUM BERPUASA SUNAT PADA HARI SABTU DAN AHAD

6 Mac 2017 bersamaan 9 Jamadil Akhir 1438H

 

 

Soalan:

Apakah hukum berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad?

 

Jawapan:

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Para ulama menjelaskan hukum mengerjakan ibadah puasa sunat semata-mata pada hari Sabtu atau Ahad adalah makruh. Begitu juga dimakruhkan melakukan puasa sunat pada hari Jumaat sahaja. (Lihat Tuhfatul Muhtaj dalam Hawasyi asy-Syarwani, juzuk 3/458, Nihayatul Muhtaj, juzuk 3/209 & Mughni Muhtaj, juzuk 2/ 184-185)

Nabi ﷺ  bersabda:

لاَ تَصُومُوا يَوْمَ السَّبْتِ إِلاَّ فِيمَا افْتُرِضَ عَلَيْكُمْ وَإِنْ لَمْ يَجِدْ أَحَدُكُمْ إِلاَّ لِحَاءَ عِنَبَةٍ أَوْ عُودَ شَجَرَةٍ فَلْيَمْضُغْهُ

Maksudnya:Janganlah kamu berpuasa (semata-mata) pada hari Sabtu melainkan apa yang telah Allah fardhukan ke atas kamu. Jika seseorang daripada kamu tidak mendapati (pada hari apa-apa makanan) melainkan satu kulit anggur atau ranting pokok, maka hendaklah ia memamahnya (supaya kamu tidak dinamakan berpuasa pada hari itu)”

Riwayat Abu Daud (2421)

 

Nabi ﷺ  bersabda:

لا يَصُومَنَّ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلا يَوْمًا قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ

Maksudnya:Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa sunat semata-mata pada hari Jumaat melainkan berpuasa sebelumnya atau sehari selepasnya”.

(HR Bukhari :1849 dan Muslim: 1929)

 

Ulama menyatakan larangan di dalam hadis tersebut merujuk kepada larangan yang tidak putus (makruh). Manakala berpuasa semata-mata pada hari Ahad pula diqiyaskan kepada ibadah puasa pada hari Sabtu. Menurut Ulama sebab menjadikan perbuatan ibadah puasa semata-mata itu makruh adalah kerana hari tersebut merupakan hari yang diagong-agongkan oleh orang-orang Yahudi. Manakala hari Ahad, hari yang diagong-agongkan oleh Nasrani. (Lihat Hasyiah Qalyubi wal Umairah, juzuk 2/94 & Mughni Muhtaj, juzuk 2 / 185)

 

وقال النووي : قَالَ أَصْحَابُنَا ( يعني الشافعية ) : يُكْرَهُ إفْرَادُ يَوْمِ الْجُمُعَةِ بِالصَّوْمِ فَإِنْ وَصَلَهُ بِصَوْمٍ قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ أَوْ وَافَقَ عَادَةً لَهُ بِأَنْ نَذَرَ صَوْمَ يَوْمِ شِفَاءِ مَرِيضِهِ , أَوْ قُدُومِ زَيْدٍ أَبَدًا , فَوَافَقَ الْجُمُعَةَ لَمْ يُكْرَهْ . المجموع شرح المهذب ج/6 ص/479

Maksudnya: Telah berkata Imam An-Nawawi Rahimahullahu Taala : Telah berkata Ashab kami iaitu dikalangan ulama As-Syafii’yyah: Makruh semata-mata berpuasa sunat pada hari Jumaat, namun sekiranya bersambung puasa tersebut dengan hari sebelum atau selepasnya ataupun bertepatan hari Jumaat tersebut dengan adatnya sebagai contohya seseorang itu bernazar berpuasa apabila sembuh dari penyakitnya atau datangnya Zaid selalu pada hari Jumaat maka bertepatan perkara tersebut pada hari Jumaat maka puasa sunatnya tidak menjadi makruh. (Lihat Al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, Juzuk 6 / 479).

 

Dapatlah difahami bahawa, sekiranya ibadah puasa sunat tersebut dicantumkan pada hari sebelumnya atau selepasnya maka tidaklah makruh berpuasa sunat pada hari-hari tersebut kerana ia tidak lagi menyerupai amalan yang dilakukan oleh mana-mana kaum.

Nabi ﷺ  bersabda:

إِنَّهُمَا يَوْمَا عِيدِ الْمُشْرِكِينَ ، فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أُخَالِفَهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya kedua-dua ( hari Sabtu dan hari Ahad ) adalah dua Hari Raya bagi orang-orang musyrik dan aku mahu perbuatanku berbeza dengan mereka”.

(HR Ahmad : 44 / 330 – 331)

 

Begitu juga, tidak makruh mengerjakan puasa semata-mata Jumaat, Sabtu atau Ahad sekiranya hari-hari tersebut dianjurkan oleh syarak untuk berpuasa seperti Hari Asyura atau  Hari Arafah yang jatuh bertepatan pada hari-hari berkenaan atau tidak makruh bagi mereka yang megerjakan puasa sunat Nabi Daud (puasa selang seli diantara berpuasa sehari dan berbuka sehari) atau tidak makruh juga mereka yang mengerjakan puasa Qadha’ atau puasa nazar. (Lihat Nihayatul Muhtaj, Juzuk 3 / 209)

Wallahu a`lam.