Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #562: TAKUT HENDAK MEMBACA AL-QURAN

AL-KAFI LI AL-FATAWI #562: TAKUT HENDAK MEMBACA AL-QURAN

6 Mac 2017 bersamaan 9 Jamadil Akhir 1438H

 

 

Soalan:

Assalamualaikum Dr Mufti yang dihormati, kebanyakan orang awam berasa takut untuk membaca Al-Quran kerana tidak mampu menyebut dengan sempurna dan tidak begitu menguasai tajwid. Persoalan saya, apakah hukum bagi golongan seperti ini dan adakah hadith sahih dari Nabi saw yang menekankan soal tajwid. Sekian terima kasih dari insan yang jahil.

 

Jawapan:

Tidak dinafikan bahawa membaca al-Quran adalah zikir yang paling utama. Membaca al-Quran adalah amalan sunat, adapun untuk membacanya, maka wajib hukumnya untuk mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pembacaan al-Quran seperti ilmu tajwid, memperbetulkan makhraj (cara sebutan huruf) dan sebagainya.

Secara mudahnya kita katakan di sini bahawa bagi sesiapa yang ingin membaca al-Quran, maka wajib keatasnya untuk mempelajari ilmu tajwid. Ini bagi megelakkan dari tersilap ketika membaca yang mana boleh membawa kepada perubahan lafaz dan makna yang mana keduanya adalah kesalahan yang besar dalam pembacaan al-Quran.

Bagi mereka yang tidak mahir membaca al-Quran, digalakkan agar mencari guru yang mursyid agar dapat dipelajari darinya perihal ilmu tajwid, makhraj, waqf-ibtida’ dan sebagainya.

Masyarakat Islam seharusnya tidak perlu takut untuk mempelajari al-Quran. Meskipun masih bertatih dalam mempelajari bacaan al-Quran, ianya lebih baik dari mereka yang meninggalkan terus pembacaan al-Quran dengan alasan tidak mahir membacanya. Dalam sebuah hadis daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.

Riwayat Muslim (798) & Ibn Majah (3779)

 

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran.[1]

 

Dalam sebuah hadis yang lain, Nabi SAW memuji golongan yang mempelajari al-Quran dan juga yang mengajarkannya. Daripada Uthman bin `Affan RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.

Riwayat al-Bukhari (5027)

 

 

Kesimpulan

Membaca al-Quran perlu kepada ilmu. Tidak sewajarnya alasan tidak mahir membaca al-Quran membuatkan seseorang itu meninggalkan terus bacaan al-Quran sedangkan dirinya boleh berusaha untuk mempelajarinya dengan berguru dan mandaftarkan diri pada mana-mana kelas al-Quran.

Sewajarnya hadis `Aisyah R.Anha serta Uthman bin `Affan RA di atas dijadikan sumber motivasi bagi mereka yang kurang mahir dalam membaca al-Quran untuk terus belajar sehingga menjadi mahir dalam membaca al-Quran. Wallahu a`lam.

 

[1] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabiy, (6/85)