Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #559 : HUKUM MINTA CERAI KERANA SAKIT MENTAL

Soalan:

Pakah hukum seorang isteri menuntut cerai daripada suaminya yang mengalami masalah mental?

Jawapan:

Pada asalnya tidak boleh bagi seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab Syarie. Daripada Thauban RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.”

Riwayat al-Tirmidzi (1187)

Kedua, menjadi kewajipan setiap pasangan untuk saling memahami keperluan antara satu sama lain kerana nilai sebuah perkahwinan, khususnya yang terbina atas dasar cinta dan kasih sayang, perlulah tertegak di atas dasar tanggungjawab dan mendapatkan pahala yang banyak daripada Allah SWT kerana banyak sabar dan sikap memahami. Allah SWT berfirman

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا.

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

(Surah al-Nisa’, 4:19)

Syeikh al-Maraghi menyebut dalam Tafsir-nya bagi ayat ini:

“Pada kalimah mu`asyarah terdapat makna pergaulan dan kesamarataan, yakni hendaklah kamu orang lelaki bergaul dengan mereka secara ma`ruf (baik) dan mereka juga hendaklah bergaul dengan kamu dengan baik juga. Maka wajib setiap pasangan itu mendatangkan kegembiraan dan senang hati kepada pasangan yang satu lagi dan menjadikan diri sebagai sebab bagi kelembutan dan kebahagian dalam kehidupan dan tempat tinggal bersama.”

Al-Maraghi menguatkan tafsir ini dengan ayat lain:

وَمِنْ آياتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْواجاً لِتَسْكُنُوا إِلَيْها وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).

(Surah al-Rum, 30:23)

Ketiganya, kita perlu mengetahui bahawa hukum asal bagi penceraian (talaq) adalah halal di dalam Islam, tetapi makruh (yakni dibenci Syarak). Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبغَضُ الحَلاَلِ إلى اللهِ عزَّ وجلَّ الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talaq.

Riwayat Abu Daud (2178)

Namun begitu, dalam keadaan-keadaan dan situasi-situasi tertentu, hukum penceraian tidak dapat lari daripada hukum yang lima:

  1. Wajib. Ini apabila seseorang lelaki melakukan ila’ apabila sudah tamat tempoh ila’.
  2. Sunat. Terdapat tiga situasi bagi hukum ini; i) Jika isteri tidak dapat komited dalam melayan suaminya, sehingga buruk akhlaknya; ii) Suami cuai dalam memberikan hak kepada isterinya, kerana benci atau selain itu; iii) Isteri itu gagal menjaga kehormatan dirinya daripada lelaki lain (curang dan sebagainya).
  3. Makruh. Jika isteri masih komited dengan tugasnya sebagai seorang isteri. Begitu juga bercerai atas sebab yang remeh. Maka sepatutnya suami atau isteri bertahan dan bersabar. Mereka juga hendaklah terus berbuat baik dengan pasangan untuk mendapatkan pahala daripada Allah.
  4. Harus. Jika terdapat sebab yang diterima syarak tetapi lebih aula (utama) suami itu bertahan dengan perkahwinan, dan terus berbuat baik, menolak keburukan isteri itu dengan melakukan ihsan belas kasihan kepadanya, menjaga keharmonian keluarga dan perkahwinan, kebajikan anak-anak, dan hubungan dengan mertua.
  5. Haram. Yakni talak, bukan khulu’, ketika haid bagi isteri yang sudah disetubuhi, dan talak ketika waktu suci tetapi baru disetubuhi suami, kerana ada kemungkinan isteri itu mengandung.

Begitu juga Syarak memperuntukkan hak bagi isteri untuk meminta fasakh apabila terdapat aib pada pihak suami. Antara aib tersebut ialah keadaan gila yang menjangkiti otak. Jika berlaku gila itu, fasakh boleh dilakukan bagi menyelamatkan isteri daripada jenayah yang berlaku akibat penyakit gila itu, tanpa perlu kepada istihkam (diagnosis atau pemeriksaan) kerana bahaya itu sudah sedia ada.

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/138-140; 4/96)

Berdasarkan keterangan di atas kami berpandangan bahawa sebaiknya berbincang dengan pakar perubatan berkenaan keadaan suami yang didakwa mengalami masalah mental. Jika penyakitnya itu masih boleh diubati dan tidak mendatangkan bahaya kepada keluarga, maka utamanya ialah isteri terus hidup bersama suami itu. Ingatlah bagaimana kisah isteri Nabi Ayyub yang begitu setia di sisi suaminya ketika Nabi Ayyub sedang sakit dan miskin. Ini juga merupakan lubuk kebaikan dan pahala daripada sisi Allah Taala.

Sebaliknya, jika penyakitnya itu sukar dirawat dan diurus, bahkan mendatangkan bahaya kepada isteri dan anak-anak, maka tidak salah bagi wanita itu untuk memohon cerai atau fasakh kerana alasan menjaga nyawa itu adalah sabit di sisi Syarak. Dalam keadaan seperti ini, sepatutnya suami itu ditempatkan di Hospital Penjagaan Mental bagi menjaga maslahat diri dan juga menolak mafsadah bagi keluarga. Wallahua’lam.

Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita semua dan mendatangkan kebaikan di atas musibah yang melanda. Amin.