AL-KAFI LI AL-FATAWI #558: BENARKAH KISAH PERCERAIAN DI ANTARA AL-ZUBAIR BIN AL-`AWWAM RA & ASMA’ BINTI ABU BAKAR R.ANHUMA
Soalan:
Benarkah kisah berkenaan sahabat Nabi SAW, al-Zubair bin al-`Awwam menceraikan isterinya Asma’ binti Abu Bakar? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Al-Zubair al-`Awwam RA adalah antara sahabat Nabi SAW yang telah dijanjikan syurga manakala Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma pula adalah puteri kepada khalifah pertama Rasulullah SAW, Abu Bakar al-Siddiq RA. Selain salah seorang yang telah dijanjikan syurga oleh Nabi SAW, al-Zubair al-`Awwam juga terkenal sebagai al-Hawariy iaitu pendokong, pembantu Nabi SAW seperti mana golongan al-Hawariyyun kepada Nabi Isa AS. Sabda Nabi SAW:
إِنَّ لِكُلِّ نَبِيٍّ حَوَارِيًّا، وَإِنَّ حَوَارِيَّ الزُّبَيْرُ بْنُ الْعَوَّامِ
Maksudnya: Seseungguhnya bagi setiap Nabi itu pendokong, pembantu dan sesungguhnya pembantuku adalah al-Zubair bin al-`Awwam.
Riwayat al-Bukhari (3719)
Berkenaan kisah perceraian di antara al-Zubair bin al-`Awwam dan Asma’ binti Abu Bakar banyak dirakamkan di dalam kitab-kitab tabaqat para sahabat. Kami nukilkan kisah tersebut seperti mana yang terdapat di dalam kitab Usdu al-Ghabah fi Ma`rifah al-Sahabah karangan Ibn al-Athir Rahimahullah.
Ibn Athir Rahimahullah menyebutkan bahawa al-Zubair bin al-`Awwam RA telah menceraikan Asma’ Binti Abu Bakar R.Anhuma dan ketika itu Abdullah bin al-Zubair berada di sisi. Adapun begitu para ulama’ berbeza pendapat mengenai sebab berlakunya penceraian tersebut. Ada yang mengatakan bahawa ianya disebabkan oleh kata-kata Abdullah bin al-Zubair R.Anhuma yang mengatakan kepada ayahnya: “Orang sepertiku, ibunya tidak akan disetubuhi”, lalu al-Zubair bin al-`Awwam menceraikannya. Pendapat lain mengatakan bahawa Asma’ telah tua dan telah melahirkan Abdullah, `Urwah dan al-Munzir buat al-Zubair. Seterusnya, pendapat yang lain mengatakan bahawa al-Zubair pernah memukul Asma’ binti Abu Bakar lalu Asma’ menjerit memanggil anaknya Abdullah. Melihat Abdullah datang, lalu al-Zubair berkata: “Sekiranya kamu masuk, maka tertalaklah ibumu”. Lalu Abdullah berkata: “Adakah kamu menjadikan ibuku sebagai bahan sumpahanmu?”. Abdullah pun masuk lalu tertalaklah Asma’ binti Abu Bakar dengan talak ba’in.[1]
Asma’ binti Abu Bakar antara sahabiah yang panjang umurnya. Asma’ meninggal selepas beberapa hari kematian anaknya, Abdullah bin al-Zubair R.Anhuma dan diriwayatkan umurnya ketika itu telah menjangkaui 100 tahun. Beliau telah meriwayatkan 56 buah hadis daripada Nabi SAW. Wallahu a`lam.
[1] Lihat Usdu al-Ghabah fi Ma`rifah al-Sahabah. Dar al-Fikr, (6/9-10) & Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat oleh al-Imam al-Nawawi. Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, (2/330)