SOALAN
Bolehkah saya memberi zakat kepada menantu lelaki saya yang tinggal berasingan dengan saya kerana mereka golongan yang susah?
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Dibolehkan untuk memberi zakat kepada kaum keluarga yang bukan dibawah tanggungjawab kita. Malah, lebih utama daripada orang lain. Golongan yang lain termasuklah anak-anak yang telah dewasa dan mampu bekerja, tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi. Ini adalah berdasarkan daripada hadis nabi SAW yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَعَلَى ذِي الْقَرَابَةِ اثِنْتَانِ: صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
Maksudnya: “Zakat kepada orang miskin adalah dikira zakat, dan kepada saudara mara dikira dua kelebihan, iaitu zakat dan mengukuhkan hubungan kekeluargaannya.”
Riwayat al-Tirmizi (658), al-Nasaie (5/92) dan Ibn Majah (1844)
Pemilik harta yang wajib berzakat harus memberi zakatnya kepada saudara mara yang bukan di bawah tanggungannya, seperti adik-beradik lelaki atau perempuan, bapa dan ibu saudara pihak bapa, bapa dan ibu saudara pihak ibu, anak-anak mereka dan lain-lain sekiranya mereka fakir, miskin dan golongan yang berhak menerima zakat.
Kami berpendapat bahawa memberi zakat kepada amil dan PPZ bagi setiap negeri yang didiami wajib kerana maslahat jauh lebih besar berbanding memberi zakat tersebut secara langsung. Dalam keadaan seperti ini, kami cadangkan zakat boleh diberikan sedikit kepada keluarga yang susah manakala selebihnya diberikan kepada Baitulmal. Untuk pengetahuan saudara, seseorang yang membayar zakat kepada Baitulmal boleh meminta untuk mengagihkan sendiri sebahagian dari zakat tersebut kepada orang-orang yang layak menerima zakat tersebut daripada asnaf yang lapan.
Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Amin.