Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-4 : KUPASAN RINGKAS BERKENAAN BUMI DATAR DARI PERSPEKTIF ILMU FALAK

bf4 compressed

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga,para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ sehingga Hari Kiamat.

Isu bumi datar/rata merupakan salah satu isu yang sentiasa berlegar dalam masyarakat disebabkan wujudnya satu kelompok yang berpegang kepada kepercayaan bahawa bumi itu datar. Ianya akan menjadi isu yang sentiasa berulang-ulang apabila sebahagian daripada komuniti tersebut akan cuba untuk meyakinkan masyarakat berkenaan idea bumi datar. Hal ini sekiranya dibiarkan berlanjutan tanpa penjelasan yang tuntas dibimbangi masyarakat akan mudah terpengaruh kesan daripada variasai kefahaman yang berbeza ke atas ayat-ayat al-quran yang ditafsir mengikut fahaman tersendiri dan perbahasan secara umum.

bf4a

Bagi menangani isu ini kupasan ilmuan agama dari sudut pentafsiran nas-nas al-Quran telah banyak di bicarakan secara ilmiah, begitu juga daripada pandangan ilmuan sains dan teknologi. Walaubagaimanapun dari sudut perspektif ilmu falak pula, terdapat beberapa pembuktian yang boleh kita soroti bersama bagi mendepani persoalan bahawa bumi itu datar atau sfera?.

Antara medium yang boleh diamati secara bersama adalah melalui aktiviti cerapan dan juga aplikasi hitungan falak. Cerapan yang dimaksudkan adalah melalui cerapan bintang dan buruj bintang serta cerapan gerhana.

bf4bGerhana bulan atau matahari biasanya berlaku pada setiap tahun namun ianya dapat dilihat/dicerap hanya pada lokasi-lokasi yang tertentu sahaja. Melalui kejadian gerhana ini kita dapat melihat sejauh mana pembuktian bahawa bumi itu berbentuk sfera. Gerhana bulan penuh contohnya, gerhana ini hanya boleh berlaku ketika bulan purnama dan apabila matahari, bumi dan bulan berada pada satu satah/barisan yang sejajar. Ketika ini kita dapat melihat bayang-bayang bumi yang jatuh pada permukaan bulan berbentuk melengkung. Lengkungan ini membuktikan bahawa bumi itu sendiri berbentuk sfera. Seandainya bumi itu datar/rata, maka bayang-bayang yang terbentuk diatas permukaan bulan itu semestinya dilihat seperti satu garisan yang lurus dan tanpa lengkungan.

Selain itu juga pembuktian bumi itu bulat melalui kejadian gerhana adalah dengan merujuk kepada kenampakan gerhana bulan itu sendiri. Kebiasaannya kenampakan gerhana bulan ini terhad kepada satu-satu lokasi sahaja. Dalam erti kata lain, ketika berlakunya gerhana, hanya satu sahaja kawasan yang boleh melihat gerhana itu berlaku tetapi dikawasan yang lain tidak dapat melihatnya pada masa yang sama. Ianya berlaku disebabkan terbit dan terbenam bulan berlaku pada waktu yang berbeza mengikut lokasi.

Dalam hal yang lain, bumi berbentuk sfera juga boleh dibuktikan melalui kaedah cerapan garisan ufuk. Ufuk dari segi istilah ditafsirkan sebagai kaki langit atau garisan horizon yang menjadi garis batas pandangan manusia. Ufuk terbahagi kepada dua iaitu ufuk mari’e (ufuk pandangan) dan ufuk hakiki (ufuk sebenar). Kebiasaannya dalam aktiviti cerapan falak ianya lebih cenderung kepada ufuk mari’e. Dari segi teori, lebih tinggi kedudukan seseorang pencerap lebih besar peluang untuknya melihat garisan ufuk sama ada secara rata atau melengkung disebabkan bentuk bumi yang sfera. Ketinggian yang dimaksudkan di sini adalah ketinggian aras satu-satu penerbangan sama ada pesawat komersil atau pesawat pejuang.

Bumi juga boleh dilihat berbentuk sfera melalui cerapan bintang. Sebagai contoh sekiranya kita berada di negara sebelah utara, bintang polaris akan kelihatan tinggi di langit. Kemudian apabila kita bergerak ke bawah sedikit seperti Arab Saudi bintang polaris ini akan kelihatan hampir dengan kaki langit dan seterusnya apabila kita menuju ke gariasan khatulistiwa seperti Malaysia atau negara yang lagi ke bawah. makin rendah Polaris di ufuk utara. Bintang Polaris ini akan terus hilang dari pandangan apabila kita beradda dibahagian Selatan disebabkan ianya berada bawah ufuk.bf4c

Di bahagian Selatan pula (Australia) kita boleh melihat buruj Pari tinggi di atas kepala, kemudiannya apabila kita naik ke utara di garisan khatulistiwa seperti di Malaysia, kita akan nampak buruj Pari ini berada pada kedudukan yang rendah di ufuk selatan. Seterusnya apabila kita bergerak lagi naik ke arah utara dan sampai di satu latitud tertentu buruj Pari ini akan hilang terus dari pandangan disebabkan ianya berada dibawah ufuk. Keadaan ini lebih membuktikan bahawa bumi itu berbentuk sfera.

            Bumi juga boleh dibuktikan sebagai sfera melalui aplikasi astronomi dan aeronautik. Sebagai contoh hitungan trigonometri sfera sebagai asas carian azimut kiblat. Melalui perkembangan matematik, sarjana muslim telah memperkenalkan kaedah trigonometri sfera untuk memudahkan hitungan carian arah kiblat. Pengiraan ini merujuk kepada bentuk muka bumi yang sfera dan bukannya rata. Rujuk pada gambarajah dibawah.

bf4d

Pengiraan ini juga boleh disahkan dengan cara mengamati arah matahari ketika mana matahari berada tepat diatas kaabah iaitu pada 27 – 28 Mei atau 15 -16 Julai.

Selain itu juga, hitungan waktu solat juga boleh menggunapakai kaedah trigonometri sfera dan data matahari. Rujuk kepada gambarajah dibawah yang telah diringkaskan formula pengiraan waktu Zohor menggunakan formula trigonometri sfera.

Waktu Istiwa = [ ( GHA Istiwa – GHA1 ) / ( GHA2 – GHA1 ) ]  x 24j

Waktu Zohor = Waktu Istiwa + 1’ 04”

Begitu juga untuk waktu-waktu solat yang lain boleh merujuk kepada gambarajah berikut:

bf4e

Perubahan waktu solat tahunan juga boleh membuktikan bahawa bumi itu bulat berdasarkan kepada pergerakan matahari mengelilingi bumi dan juga bentuk bumi itu sendiri.bf4f

Sumbangan terbesar dalam bidang geodasi dan geografi dalam dunia Islam adalah daripada Abu Raihan al-Biruni (1048M). Beliau telah memperkenalkan kaedah untuk mengukur bumi dan jarak menggunapakai kaedah penyetigaan (triangulation) yang membabitkan bentuk bumi yang sfera selain menggunakan algebra dan trigonometri sfera.bf4g

Kesimpulannya, sesungguhnya al-Quran itu diturunkan kepada kita sebagai salah mukjizat paling besar yang boleh dirujuk bila-bila masa dan sesuai sepanjang zaman. Walaupun ayat al-Quran tidak menyebut dengan jelas bentuk muka bumi yang sebenar namun melalui kajian dan perkembangan dalam bidang sains khususnya ilmu falak dan astronomi membuktikan betapa ql-Quran sebenarnya telah memberi petunjuk kepada setiap cabang ilmu yang diterokai berpandukan kepada iman dan takwa. Merujuk kepada firman Allah SWT dari surah al-furqan ayat 62 yang bermaksud: “ Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat ( memikirkan kebesaranNya, atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu) .

*Ringkasan ini merujuk kepada penulisan bertajuk BUMI DATAR VS BUMI SFERA; KACAMATA ASTRONOMI DAN FALAK Oleh Ustaz Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham Universiti Malaysia Pahang dan Encik Shahrin Ahmad Ahli Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan.