Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-20 : METEOR

BAYAN FALAK 14 01

 

Meteor merupakan salah satu objek angkasa yang dapat dilihat dengan mata kasar ketika waktu malam. Dewan Bahasa dan Pustaka telah mendefinisikan meteor sebagai tahi bintang. Sinonimnya meteor dapat difahami sebagai objek angkasa yang masuk ke kawasan atmosfera bumi dan mengakibatkan pergeseran dengan udara di bumi dalam kelajuan yang amat tinggi sehingga menghasilkan jaluran cahaya yang melintasi langit.

Para ilmuan Islam seperti Imam al-Baidawi menyatakan suluh api (meteor) yang dilihat seolah-olah seperti bintang yang dilontarkan ke atas syaitan-syaitan[1]. Firman Allah SWT:

وَأَنَّا لَمَسْنَا ٱلسَّمَآءَ فَوَجَدْنَٰهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا ‎﴿٨﴾‏ وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَٰعِدَ لِلسَّمْعِ ۖ فَمَن يَسْتَمِعِ ٱلْـَٔانَ يَجِدْ لَهُۥ شِهَابًا رَّصَدًا ‎﴿٩﴾‏

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala (8). Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya (9). Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka? (10)”

Surah al-Jinn (8-10)

Pergerakan meteor di langit dapat dilihat dari pelbagai arah ketika langit bumi menjadi gelap yang secara logik dapat dihubung kaitkan dengan ayat di atas menunjukkan syaitan-syaitan yang sedang mencuri dengar berita dari langit akan dilontar dengan panah api dari segenap penjuru[2]. Firman Allah SWT:

لَّا يَسَّمَّعُونَ إِلَى ٱلْمَلَإِ ٱلْأَعْلَىٰ وَيُقْذَفُونَ مِن كُلِّ جَانِبٍ ‎﴿٨﴾‏ دُحُورًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ وَاصِبٌ ‎﴿٩﴾‏ إِلَّا مَنْ خَطِفَ ٱلْخَطْفَةَ فَأَتْبَعَهُۥ شِهَابٌ ثَاقِبٌ ‎﴿١٠﴾

Maksudnya: (Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru (8). Untuk mengusir mereka dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus (9). Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka dia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi (10).

 Surah al-Saffat (8-10)

Secara umumnya, fenomena hujan meteor ini dapat dilihat dengan jelas di kawasan yang tidak terdapat gangguan cahaya pada waktu-waktu yang berkemungkinan boleh nampak seperti berikut:

table meteor

Rajah: Jadual Hujan Meteor[3]

Kaedah melihat meteor:

  1. Lihat jadual di atas.
  2. Membuat semakan kaji cuaca ketika cerapan hujan meteor dalam keadaan cerah.
  3. Pastikan lokasi cerapan tidak terdapat gangguan cahaya dari bahagian bumi seperti lampu bangunan, kenderaan, jalan dan sebagainya; meteor seperti buruj orion, gemini, leo dan sebagainya dengan menyemak pada peta.
  4. Halakan penglihatan (mata kasar) ke bahagian langit atau buruj yang mengenai laluan bintang atau memuat turun perisian komputer 'stellarium'.
  5. Cerapan adalah pada waktu malam dari terbenam matahari hingga terbit matahari.
  6. Berzikir dan membaca doa ketika melihat meteor.

Peranan Meteor Terhadap Pembentukan Bumi

Selain daripada menjadi tatapan umum tanda kebesaran Allah SWT, meteor juga mempunyai peranan yang besar kepada umat manusia. Antara peranan meteor ialah menjadi agen penghantar air di bumi. Jika dilihat jumlah air dibumi mesti pernah terfikir bagaimana air sebanyak ini diperoleh di bumi. Pada tahun 1986 seorang ahli fizik menyatakan hipotesisnya dengan membawa data yang menunjukkan lubang lubang di atmosfera bumi pada sebelum ini terhasil daripada ribuan komet yang membawa air. Meteor atau komet itu mengandungi bahan  daripada molekul air (H2O), ammonia (NH3), karbondioksida (CO2) dan metana (CH4). Allah SWT juga menyebut dalam firman-Nya:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يُزْجِى سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُۥ ثُمَّ يَجْعَلُهُۥ رُكَامًا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَٰلِهِۦ وَيُنَزِّلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن جِبَالٍ فِيهَا مِنۢ بَرَدٍ فَيُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ وَيَصْرِفُهُۥ عَن مَّن يَشَآءُ ۖ يَكَادُ سَنَا بَرْقِهِۦ يَذْهَبُ بِٱلْأَبْصَٰرِ

Maksudnya: Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.

Surah al-Nur (43)

Ayat ini kita dapat fahami maksud ais itu datang dalam bentuk komet dan meteor yang jatuh ke bumi. Penelitian dilakukan pada spektrum komet Halley dan komet lain bahawa isotop hidrogen dan deuterium pada H2O air laut adalah sama dengan H2O pada komet- komet. Kekuasaan Allah SWT itu sahajalah yang berupaya menghadirkan air dan juga berupaya menghilangkanya.

Selain itu, meteor juga menjadi agen yang menghantar besi atau logam di bumi. Berdasarkan firman Allah SWT:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَٱلْمِيزَانَ لِيَقُومَ ٱلنَّاسُ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَأَنزَلْنَا ٱلْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَٰفِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥ وَرُسُلَهُۥ بِٱلْغَيْبِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِىٌّ عَزِيزٌ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah SWT serta menolong Rasul-rasul-Nya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Surah al-Hadid (25)

Penemuan moden saat ini menunjukkan besi merupakan suatu bahan yang tidak boleh diproses sekiranya tidak mencapai suatu suhu yang tinggi. Logam itu memerlukan pelakuran yang sangat tinggi yang hanya boleh diperoleh melalui bintang-bintang raksasa. Bintang yang sudah mencapai hadnya atau tidak boleh melakurkan apa apa bahan lagi akan meledak dan intinya bertaburan. Pada awal pembentukan bumi, meteor meteor yang jatuh ke bumi membawa inti besi dan logam itu ke bumi.[4]

Kesimpulannya, perhiasan langit dunia dengan jujuran bintang-bintang adalah disebabkan dua manfaat yang boleh diperolehi iaitu koleksi perhiasan untuk manusia dan memelihara urusan langit dari setiap syaitan yang derhaka.

Rujukan

[1] Al-Baidawi, Tafsir al-Baidawi. (1998). Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabiy. (6/5)

‌ولا ‌يبعد ‌أن ‌يصير ‌الحادث ‌كما ‌ذكر ‌في ‌بعض ‌الأوقات رجماً لشياطين تتصعد إلى قرب الفلك للتسمع

[2] Al Imron, M., Sodikin, S., & Romlah, R. (2019). Meteor dalam Perspektif Al-Qur'an dan Sains. Indonesian Journal of Science and Mathematics Education, 2(3), 388-398.

[3] https://www.almanac.com/content/meteor-shower-calendar

[4] Imron, M. A. (2019). Meteor Dalam Perspektif Al-Qur’an Dan Sains (Doctoral dissertation, UIN Raden Intan Lampung).