Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LI AL-HAJ SIRI KE- 34 : MELONTAR JAMRATUL SUGHRA PADA 10 ZULHIJJAH KEMUDIAN BERGUNTING

Soalan

Apakah hukum jika seseorang jemaah haji melontar pada hari 10 Zulhijjah di Jamratus Sughra kemudian dia menggunting rambutnya?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tahallul bermaksud melepaskan diri daripada larangan yang disebabkan oleh ihram. Dalam ibadah haji, tahallul dibahagikan kepada dua bahagian iaitu tahallul awwal dan tahallul thani.

Persoalan di atas bertanyakan berkenaan hukum seseorang jemaah haji yang melontar di Jamratus Sughra pada 10 Zulhijjah seterusnya bergunting rambutnya. Dalam isu ini , sepatutnya pada 10 Zulhijjah tersebut, jemaah haji itu sepatutnya melakukan lontaran di Jamratul Kubra. Namun demikian, jemaah haji tersebut tersalah melontar di Jamratus Sughra.

Dalam hal ini, sememangnya tidak akan terhasil tahallul awwal bagi jemaah haji yang melakukan lontaran pada hari 10 Zulhijjah di Jamratul Sughra sekalipun kemudian dia menggunting rambutnya. Hal ini kerana dia hendaklah melakukan lontaran di Jamratul Kubra bagi tujuan menyempurnakan tahallul awwal. Oleh itu, dia hanya dikira melakukan satu perkara sahaja daripada tiga perkara apabila tersalah melontar jamrah. Adapun perbuatan menggunting rambutnya tidak menjadi kesalahan kerana perkara tersebut sudah dibolehkan pada ketika itu.

Tahallul awwal akan berhasil apabila para jemaah haji melaksanakan dua daripada tiga perkara berikut:

  1. Melontar di Jamratul Kubra.
  2. Tawaf rukun dan sa’ie (jika belum dilaksanakan).
  3. Bercukur atau bergunting.

Jemaah haji yang telah menyelesaikan tahallul awwal, maka dibolehkan kepadanya untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram kecuali tiga perkara tersebut:

  1. Berkahwin atau mengahwinkan orang lain (menjadi wali, wakil wali atau wakil menerima kahwin).
  2. Melakukan mukaddimah (permulaan) persetubuhan seperti bersentuhan dengan syahwat, bercumbu-cumbuan dan sebagainya.
  3. Bersetubuh.

 

KESIMPULAN

Dalam isu ini, sepatutnya jemaah haji lebih peka dan prihatin berkenaan tempat-tempat yang seharusnya dia melontar. Telah terdapat pembahagian tempat untuk melontar diantara Jamratul Sughra, Jamratul Wustha dan Jamratul Kubra yang sepatutnya tidak menjadi kesilapan kepada para jemaah haji. Justeru, setiap jemaah haji perlu melihat dengan lebih teliti sebelum melakukan lontaran. Hal ini kerana perbuatan tersebut jika salah dilakukan akan memberi kesan kepada ibadah haji kita.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.