Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LI AL-HAJ SIRI KE- 26 : HUKUM IDHTHIBA’ DAN DEFINISINYA

SOALAN

Apakah yang dimaksudkan dengan Idhtiba’ (اضطباع) serta hukumnya?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Idhtiba’ (اضطباع) ialah seseorang lelaki yang berihram dengan meletakkan kain selendang yang dipakainya di bawah ketiak kanan dan kemudian melemparkan hujung kain tersebut ke sebelah tengkuk kiri dan membiarkan bahu kanannya terbuka.

(Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/109)

Hukum idhtiba’ adalah sunat (mustahab).

Daripada Ibn Ya’la meriwayatkan daripada bapanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم طَافَ بِالْبَيْتِ مُضْطَبِعًا وَعَلَيْهِ بُرْدٌ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW bertawaf di Baitullah secara mudhtabi’ dan Baginda memakai Burd (selendang yang bergaris).”

Riwayat al-Tirmizi (829)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam syarahan beliau kepada hadis di atas menukilkan kata-kata Syeikh Al-Qari yang menyatakan: Idhthiba’ dan Ramal keduanya merupakan sunnah pada setiap tawaf yang selepasnya dilakukan sa’ie dan idhthiba’ adalah sunnah pada setiap pusingan berbeza dengan Ramal. Serta tidak digalakkan idhthiba’ pada selain tawaf. Dan apa yang dilakukan oleh masyarakat awam dari perbuatan idhthiba’ ketika bermulanya ihram semasa haji atau umrah adalah sesuatu yang tiada asal baginya, bahkan dimakruhkan semasa solat. Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (1/506).

Manakala perkataan Ramal yang dimaksudkan adalah merujuk kepada perbuatan seseorang itu bersegera dalam berjalan atau berjalan dengan laju semasa semasa tawaf serta bergoncang kedua bahunya. Perbuatan Ramal ini adalah di antara perkara sunat dalam tawaf dan disunatkan pada tiga pusingan tawaf yang pertama yang terdapat sa’ie selepasnya. Inilah pendapat majoriti para fuqaha dan mereka turut menyatakan bahawa perbuatan Ramal ini hanyalah disunatkan kepada golongan lelaki sahaja dan bukannya orang perempuan.

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَصْحَابَهُ اعْتَمَرُوا مِنَ الْجِعْرَانَةِ فَرَمَلُوا بِالْبَيْتِ وَجَعَلُوا أَرْدِيَتَهُمْ تَحْتَ آبَاطِهِمْ قَدْ قَذَفُوهَا عَلَى عَوَاتِقِهِمُ الْيُسْرَى

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW dan para sahabatnya berumrah dari Ji’ranah, maka mereka segera mengelilingi al-Bait (Ka’bah) dan (menggerakkan bahunya) dengan penuh kebanggaan. Mereka meletakkan pakaian atas mereka di bawah ketiak mereka dan melemparkan hujung ke atas bahu kiri mereka.

Riwayat al-Tirmizi (829) dan Abu Daud (1884)

 

KESIMPULAN

Kami berpandangan bahawa disunatkan kepada semua jemaah haji lelaki untuk memakai ihram secata idtiba’. Hal ini kerana, perbuatan tersebut adalah apa yang mengikut tuntutan yang dibuat oleh baginda Nabi SAW dan para sahabat. Justeru pemakaian ihram secara idtiba’ adalah satu perkara mustahab (sunat) dan dikira ganjaran pahala mengikut sunnah Nabi SAW.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.