Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-68: HUKUM-HUKUM BERKAITAN VIRUS ZIKA

 

Dalam seminggu dua ini kita dikejutkan dengan isu virus Zika sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasmi serangan virus Zika di Malaysia yang telah disahkan. Kenyataan yang bertarikh 1 September 2016 mendedahkan tentang kes pertama virus Zika di Malaysia yang disyaki. Dinyatakan juga tanda mula virus Zika ini yang berpunca daripada nyamuk Aedes serta nasihat yang dikemukakan kepada orang ramai untuk membuat pemeriksaan segera jika mengalami simptom seperti demam, ruam dan konjunctivitis. Justeru, tindakan proaktif masyarakat seperti membersihkan tempat daripada takungan air yang boleh membawa pembiakan Aedes dapat menghentikan sebaran virus Zika di Malaysia.

Kami terpanggil untuk membincangkan beberapa hukum yang berkaitan dengan virus Zika ini kerana sampai kepada kami beberapa persoalan hukum berkaitan dengannya. Kami mulakan dengan pengenalan dahulu.

 

Ibrah Daripada Nas Ilahi

Kami mulakan perbicaraan ini dengan merujuk kepada nas Ilahi ayat 26 daripada Surah al-Baqarah:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلًا يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik.”

 

Perkataan يَسْتَحْيِي berasal dari الحَياء yang berarti malu. إِنَّ الله لا يَسْتَحْيِي Allah SWT tidak merasa malu, أَنْ يَضْرِبَ مَثلا مَا بَعُوضَةً untuk membuat perumpamaan, perbandingan  walau hanya dengan  بَعُوضَةً iaitu serangga terkecil seperti agas[1] atau nyamuk atau yang lebih kecil dan lebih lemah dari itu. Perkataan فَوْقَهَا dalam bahasa Arab bererti diatasnya. Dalam konteks ini bererti yang lebih dari itu, baik dalam bentuk, kedudukan atau sifatnya. بَعُوضَةً yang dapat difahami sebagai nyamuk, merupakan makhluk yang mesti mendapat perhatian untuk dipelajari. Apakah serangga tersebut melambangkan sumber malapetaka seperti denggi, virus Zika, demam berdarah dan kolera, ataukah sebagai sumber mata pencarian melalui pengeluaran ubat dan vaksin? Semua itu bergantung pada kemampuan manusia untuk mengambil hikmah daripada ciptaan Allah SWT tersebut. Ayat ini juga memberi isyarat betapa pentingnya Mukmin mempelajari makhluk di alam ini, termasuk tentang nyamuk. Nyamuk adalah makhluk kecil yang cukup banyak spesiesnya. Nyamuk adalah serangga yang tergolong dalam kategori haiwan invertebrate yang berjumlah keseluruhan sekitar 41 genus yang merangkumi 3,530 spesies.

Pada kebanyakan nyamuk betina, bahagian mulutnya berbentuk proboscis panjang yang digunakan untuk menembusi kulit mamalia bagi menghisap darah. Nyamuk betina memerlukan protein untuk pembentukan telur dan oleh kerana diet nyamuk terdiri daripada madu dan jus buah, yang tidak mengandungi protein, kebanyakan nyamuk betina perlu menghisap darah untuk mendapatkan protein yang diperlukan. Nyamuk jantan berbeza dengan nyamuk betina, dengan bahagian mulut yang tidak sesuai untuk menghisap darah.[2]

Syeikh al-Sya’rawi berkata, kecilnya nyamuk menunjukkan betapa hebatnya ciptaan Tuhan. Sebab itu manusia yang mencipta sesuatu pada awalnya besar tetapi bila sampai ke tahap kemodenan maka ianya makin kecil bahkan dianggap lagi hebat dan terkini serta moden seperti sebuah jam. Makin kecil dan nipis ia menjadi lagi sukar pembuatannya.[3] Lihat Tafsir al-Sya’rawi 1/214.

Menakjubkan ciptaan Tuhan ini sekalipun kecil, tetapi ribuan bahkan jutaan manusia mati disebabkannya sedangkan gajah yang besar serta harimau yang ganas amat jarang kedengaran membunuh manusia dan juga jumlah kematian disebabkannya adalah amat sedikit berbanding dengan nyamuk.

 

Latarbelakang Ringkas

Penyakit Zika adalah disebabkan oleh jangkitan virus Zika yang dibawa melalui nyamuk Aedes. Ia adalah nyamuk yang sama yang menyebarkan denggi dan chikungunya. Virus Zika dikenalpasti di negara Uganda pada tahun 1947 semasa pemantauan demam kuning sylvatic di kalangan monyet rhesus. Ianya kemudian dikenalpasti di dalam manusia pada thaun 1947 di Uganda dan juga Tanzania. Kini ianya telah merebak di Perancis, Polynesia, Asia dan Amerika Selatan

Antara simptom penyakit virus ini adalah demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, konjuktivitis serta ruam dan ia agak menyerupai simptom demam denggi. Simptom-simptom ini kebiasaannya berlanjutan selama 2 hingga 7 hari. Buat masa ini, tiada lagi vaksin bagi penyakit ini dan cara terbaik mengelak penyakit ini adalah dengan mengelak dari gigitan nyamuk Aedes. Virus ini juga boleh tersebar melalui hubungan seks. [4]

 

Kesan Jangkitan Virus Zika

Virus Zika yang merebak akan menyebabkan sejenis kecacatan otak dan boleh menyerang bayi dalam kandungan. Virus Zika boleh tersebar menerusi jangkitan kuman kepada janin dan peringkat janin yang paling berisiko dijangkiti virus tersebut adalah dalam tempoh kehamilan tiga bulan pertama. Sindrom microcephaly yang disebabkan virus Zika[5] akan menyebabkan seseorang kanak-kanak berhadapan kecacatan mental sehingga membataskan kecerdasan pergerakan otot seumur hidup mereka[6] dan terdapat juga pandangan saintifik yang bersifat konsensus (scientific consensus) yang dilaporkan oleh World Health Organization (WHO) menyatakan bahawa ia boleh membawa kematian.[7]

Kajian yang dijalankan oleh Dr. Michael A. Johansson bersama kumpulan pengkaji lain tidak menafikan wujudkan perkaitan antara virus Zika dan penyakit microcephaly.[8] Rujuk juga rakaman audio temubual antara pihak The New England Journal of Medicine dengan Dr. Eric Rubin, profesor dalam bidang Imunologi dan Penyakit Berjangkit di Harvard T.H. Chan School of Public Health juga di sini.[9]

Pun begitu, mengikut kenyataan terbaru oleh Perunding Penyelidikan Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, Setakat ini masih belum ada kesimpulan muktamad bahawa virus Zika menjadi punca microcephaly walaupun wujud perkaitan yang agak kukuh.

"Jika microcephaly disebabkan oleh virus Zika, ini bermakna strain Zika di Brazil sudah mengalami perubahan dan menjadi lebih neurogenik. Oleh itu menjadi keperluan untuk dikaji gen strain ini bagi membandingkan dapatan daripada strain yang lalu," tambahnya.[10]

 

Kes-Kes Yang Dilaporkan

Sehingga 25 Ogos 2016, 70 buah negara dan wilayah dilaporkan terdapat transmisi virus Zika yang bermula sejak tahun 2007. 53 buah daripada negara dan wilayah telah melaporkan bukti transmisi virus Zika sejak 2015. Brazil melaporkan jumlah terbesar kes berkenaan dengan anggaran 1 juta pada tahun 2015. Kes-kes yang berlaku melibat jangkitan virus Zika ini dikesan di beberapa buah negara di Asia Tenggara seperti Kemboja, Indonesia, Filipina, Malaysia, Vietnam, Thailand dan Singapura.[11] Di Singapura, sehingga kini terdapat 36 kes yang dilaporkan pada hari Selasa baru-baru ini.[12]

Bagi kes di Malaysia, Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita berusia 58 tahun di Klang, Selangor sebagai mangsa pertama dijangkiti virus Zika di Malaysia. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata wanita yang bekerja sebagai konsultan kewangan di Petaling Jaya itu menaiki bas bersama suaminya untuk mengunjungi anak perempuan mereka di Singapura pada 19 Ogos dan pulang ke tanah air dua hari kemudian.[13] Kes kedua dilaporkan berlaku di Likas, Sabah pada 3 September 2016 apabila seorang lelaki berusia 61 tahun kini disahkan dijangkiti virus Zika. Beliau dipercayai digigit oleh nyamuk Aedes yang membawa virus Zika di sini. [14]

Di sini kami mulakan perbincangan berkenaan isu ini dengan beberapa isu dan permasalahan untuk sama-sama kita hayati dan fahami serta mengambil tindakan sewajarnya.

 

Pencegahan

Ini merupakan kaedah yang terbaik dalam semua rawatan sehingga kalimah seperti (الوقاية خير من العلاج) yang memberi maksud “pencegahan itu lebih baik daripada rawatan” seringkali diulang-ulang bagi memberi penekanan tentang pentingnya mencegah sesuatu penyakit, wabak atau musibah.

Selain itu, kaedah fiqh jelas menyatakan:

الضرر يدفع بقدر الإمكان

Maksudnya: “Kerosakan itu dihindari seboleh mungkin.”[15]

Justeru, membersihkan kawasan dan menghindarkan sebarang takungan air yang memungkinkan pembiakan nyamuk hendaklah dilaksanakan oleh semua orang dalam masyarakat. Tidak pelik jika terdapat undang-undang yang mengenakan kompaun kepada yang cuai dalam membersih tempat masing-masing kerana mudarat yang mendatang itu amat-amat besar kepada individu, komuniti setempat juga masyarakat umumnya. Pada saat yang sama, pihak bertanggungjawab, NGO juga orang ramai perlu melaksanakan kempen secara meluas untuk memberi kesedaran berkenaan virus Zika. Kempen besar-besaran dan program pendidikan seperti kempen “Perangi Denggi Habis-Habisan” yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini perlu disuburkan dalam masyarakat.

Antara perkara yang perlu diambil kira juga adalah menjaga kebersihan itu sendiri yang merupakan tuntutan agama kepada seluruh umat Islam. Firman Allah SWT

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.[16]

Islam menganggap bahawa menjaga kebersihan atau dalam konteks yang lebih terperinci iaitu bersuci sebagai sebahagian daripada iman. Ini diterangkan dalam sebuah hadith: Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”[17]

 

Begitu juga langkah pencegahannya dengan mengelakkan daripada terbabit dengan pemindahan darah pesakit dan perhubungan jenis (sexual intercourse) serta mematuhi semua langkah pencegahan yang telah digariskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbarnya[18] dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia seperti yang dinyatakan di portal rasminya.

 

Rujuklah Kepada Badan Yang Berautoriti

Dalam menangani isu seperti ini, sumber dan maklumat yang menjadi rujukan utama adalah badan berautoriti seperti Kementerian Kesihatan dan pakar-pakarnya. Benarlah firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “…maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri jika kamu tidak mengetahui.”[19]

Ayat ini walaupun dinyatakan oleh ramai mufassirin seperti Ibn Kathir, al-Maraghi dan lain-lain yang mana diturunkan dan ditafsirkan ahl al-zikr dengan ahli kitab tetapi kaedah menyebut “Ibrah diambil daripada lafaz yang umum, bukan dengan sebab yang khusus diturunkan satu-satu ayat”. Justeru, tafsiran ahli zikir dalam konteks ini adalah merujuk kepada orang yang berilmu serta profesional dalam bidangnya dan berautoriti dalam pendapatnya. Dalam hal ini Kementerian Kesihatan Malaysia serta pakarnya menjadi rujukan kepada kita.

Begitu juga dengan virus Zika yang sedang tersebar ini, sudah barang pasti akan ada pelbagai bentuk produk yang dinisbahkan kepada perubatan dan rawatan sebagai penyembuh dan penyelesai penyakit tersebut. Lebih malang daripada itu, ada juga mengambil kesempatan dengan menisbahkan sesuatu produk dengan label ‘sunnah’ tanpa sebarang fakta dan testimoni sehingga kadang-kadang mengakibatkan penyakit yang lebih parah dan juga tidak membawa kesembuhan. Justeru, rujuklah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Semak Berita Dengan Tabayyun

Selalu kita dengar bilamana diviralkan satu-satu isu, terkadang tidak disemak samada benar atau tidak dan ia bolehmenyebabkan pemindahan maklumat yang salah dan tersilap serta membawa ketidakstabilan perasaan masyarakat. Ini boleh menimbulkan pelbagai tindakan yang tidak tepat dan juga bersalahan dengan hakikat yang sebenar serta boleh membawa risiko yang tidak terjangka. Kadang-kadang ditokok tambah isu dan angka yang bukan lagi bersifat realiti dan sebenarnya. Justeru, kami cadangkan agar dirujuk Bayan Linnas Siri 22: Berita: Konsep Tabayyun Dan Penerimaannya

 

Pengguguran Janin

Sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith sahih, roh ditiupkan ke dalam janin selepas 120 hari. Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud RA beliau berkata: Rasulullah SAW  telah  memberitahu  kami  (beliau  adalah  orang  yang  benar  dan  disahkan kebenarannya): 

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةَ مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةَ مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسلُ اللهُ الْمَلَكَ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ وَيْؤمَرُ بِأَربَع كَلِمَاتٍ، فَيُكْتَبُ رِزْقهُ وَأَجَلهُ وَعَمَلهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، فَوَالَّذِي لاَ إِلَه غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخلُهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari.  Kemudian  diutus  kepadanya  seorang  malaikat  lalu  ditiupkan padanya  ruh  dan  dia  diperintahkan  untuk  menetapkan  empat  perkara:  menetapkan rezekinya,  ajalnya,  amalnya  dan  kesudahannya  sama  ada  kecelakaan  atau kebahagiaan.  Demi  Allah  yang  tidak  ada  tuhan  melainkan-Nya,  sesungguhnya  di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga  tinggal  sehasta  akan  tetapi  telah  ditetapkan  baginya  ketentuan,  lalu  dia melakukan amalan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga.”

Riwayat al-Bukhari (3036) dan Muslim (2643)

 

Berkenaan hal ini, Dr. Mustafa Dib al-Bugha dan Dr. Muhyiddin Mistu ada menjelaskan:

“Para ulama sepakat bahawa ruh ditiupkan pada janin ketika janin berusia seratus dua puluh hari, terhitung sejak bertemunya sel sperma dan ovum. Ertinya, peniupan tersebut ketika janin berusia empat bulan penuh, masuk bulan ke lima. Pada masa inilah segala hukum mulai berlaku padanya. Kerana itu wanita yang ditinggal mati oleh suaminya menjalani masa iddah selama empat bulan sepuluh hari, untuk memastikan bahawa ia tidak hamil dari suaminya yang meninggal, agar tidak menimbulkan keraguan ketika dia berkahwin lagi lalu hamil.

Roh adalah sesuatu yang membuat manusia hidup. Ini sepenuhnya urusan Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-Nya yang bermakud: “Dan mereka bertanya tentang ruh. Katakanlah, wahai Muhammad, bahawa ruh itu adalah urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi ilmu kecuali sangat sedikit.” (al-Isra’: 85)[20]

Pengguguran janin selepas ditiupkan roh (selepas 120 hari) adalah diharamkan di dalam Islam dengan sepakat semua mazhab dalam Islam. Ini kerana, ia dikira sebagai perbuatan membunuh. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.”[21]

Kami kemukakan di sini isu berkaitan dengan hukum pengguguran janin disebabkan kecacatan atau tidak sempurna kejadian.

 

Pengguguran Janin Bagi Wanita Yang Positif Virus Zika

Pada 14 Mac 2016, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah telah mengeluarkan satu fatwa berhubung hukum menggugurkan janin bagi wanita yang dijangkiti virus Zika. Fatwa ini telah dikeluarkan sebagai respon kepada seruan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu[22] bagi melonggarkan syarat-syarat bagi membolehkan pengguguran khususnya bagi kes wanita yang disahkan dijangkiti virus Zika. Dalam hal ini, Dar al-Ifta’ memutuskan bahawa pengguguran janin adalah:

  1. DIBOLEHKAN bagi janin yang belum mencapai 120 hari (4 bulan) setelah disahkan implikasinya kepada wanita berkenaan atau kecacatan kepada janin berkenaan.
  2. Manakala, bagi yang sudah mencapai 120 hari, ia TIDAK DIBOLEHKAN kecuali jika kehamilan itu berterusan mengundang masalah kepada kesihatan dan bahaya kepada kehidupan wanita berkenaan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

ارتكاب أخف الضررين

Maksudnya:Mengambil yang lebih ringan di antara dua kemudharatan”

Ia bermaksud mendahulukan nyawa ibu yang mengandung yang sudah pasti hidup untuk diselamatkan berbanding janin yang masih tidak pasti keadaannya. Maka jika ia tidak membahayakan nyawa ibunya, pengguguran janin adalah DIHARAMKAN.[23]

 

Kes Yang Berkaitan

Dalam meneliti isu dalam dunia perubatan dunia moden berkaitan pengguguran janin, terdapat satu pandangan yang dinyatakan oleh Dr. Hassan al-Jizani berhubung pengguguran janin yang menghidap thalassemia. Kami ringkaskan dalam dua noktah penting yang wajar difahami.

  • Sebelum 120 hari.

BOLEH digugurkan janin jika kekal hidup akan membawa kesusahan, kesedihan dan penderitaan terhadap keluarga dan ahlinya. Ketika itu, harus menggugurkan janin mengikut kehendak kedua ibu bapanya.

  • Selepas 120 hari

TIDAK BOLEH digugurkan janin kecuali sekiranya janin ditimpa komplikasi atau sebarang penyakit seperti thalassemia dan telah diperakukan oleh pakar perubatan yang diyakini ketika itu. Keputusan ini adalah selari dengan keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami yang bersidang di Makkah al-Mukarramah pada 10 Februari 1990. Para ulama’ yang bersidang pada ketika itu juga memberi nasihat kepada pakar perubatan dan para ibu bapa agar bertakwa kepada Allah dan cuba menerima ujian ini dengan tabah seupaya mungkin. Maka, jika didapati janin tersebut mengalami bahaya yang tidak mungkin boleh dirawat, anak itu lahir dengan penyakit yang kekal, memberi kesan yang bermasalah dalam kehidupannya serta membebankan kepada keluarganya, maka ketika itu BOLEH digugurkan mengikut kehendak kedua ibu bapa.[24]

NOTA PENTING: Kami lebih cenderung kepada pendapat Majma’ Fiqh Islami berkenaan penyakit thalassemia yang boleh diqiyaskan bagi isu virus Zika ini, jika sekiranya dapatan kajian dari pakar perubatan yang diyakini menunjukkan bahawa janin yang dijangkiti virus Zika boleh mengundang pelbagai bentuk kecacatan sehingga memudaratkan kehidupan keluarga serta bayi itu sendiri. Dalam keadaan seperti itu, persetujuan daripada kedua ibu bapa yang diberi kefahaman yang jelas bolehlah diambil kira untuk pelaksanaan pengguguran janin itu.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Melihat kepada perkembangan terkini, kami merasakan isu virus Zika amat perlu diberi perhatian yang serius oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga masyarakat. Ini kerana kesan daripada virus tersebut amat bahaya dan mengundang pelbagai bentuk penyakit seperti microcephaly (walaupun masih di peringkat kajian bagi membuktikan kaitan secara langsung) dan lain-lain.

Justeru, amat perlu masyarakat melaksanakan arahan dan panduan yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani isu ini seperti menjaga kebersihan, mengelakkan daripada serangan nyamuk dan berjumpa doktor tatkala terdapat simptom-simptom virus Zika.

Seterusnya, berkenaan dengan pengguguran janin disebabkan jangkitan virus Zika, sila lihat perbahasan kami di atas pada subtajuk “Kes Yang Berkaitan”. Perkara ini perlu dirujuk kepada pakar perubatan yang diyakini dan juga ibu bapa supaya memahami hakikat isu ini dengan sebaiknya. Selepas itu, barulah boleh diambil tindakan pengguguran dengan ketetapan-ketetapan dan syarat-syarat yang amat ketat sebagaimana di atas.

 

Doa Munajat[25]

Kami juga mengajak masyarakat Islam khususnya untuk berdoa kepada Allah lebih-lebih lagi kita berada pada hari-hari awal Zulhijjah (1-10 Zulhijjah) yang mempunyai pelbagai bentuk keistimewaan dan fadhilat seperti yang dinaskan dalam hadis Nabawi. Marilah kita berdoa dan munajat kepada-Nya agar Allah melepaskan kita dan menghindarkan daripada wabak virus Zika ini dan yang berkaitan dengan penyakit yang disebabkan oleh nyamuk seperti denggi dan lain-lain.

Sebagai masyarakat Muslim yang prihatin tentang kesihatan dan kebersihan serta mementingkan hubungan sesama manusia, perhatian yang serius terhadap adab menziarah pesakit, cara menggembirakan mereka serta memberikan sokongan dan motivasi supaya mereka kembali pulih adalah sangat dituntut dan digalakkan dalam Islam.

Antara doa yang ma’thur daripada Nabi SAW yang dicadangkan adalah:

Pertama:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang tidak memudaratkan bersama nama-Nya oleh sesuatu di bumi dan di langit sedangkan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.[26]

Dibaca sebanyak tiga kali.

 

Kedua:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَالْبَرَصِ، وَسَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit gila, kusta, sopak dan sebarang jenis penyakit yang menggerunkan.”[27]

 

Ketiga:

اللَّهمَّ جنِّبْني مُنكَراتِ الأخلاقِ والأهواءِ والأسواءِ والأدواءِ

Maksudnya: “Ya Allah! Jauhlahku dari sebarang kemungkaran dan kepincangan akhlak, mengikut hawa nafsu, keadaan yang buruk dan juga penyakit yang menggerunkan.”[28]

 

Keempat:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimah Allah yang Maha Sempurna dari sebarang kejahatan yang diciptakan.”[29]

 

Kelima:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu afiat di dunia dan akhirat. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keampunan dan afiat pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah, tutupkanlah aibku dan amankanlah ketakutanku. Ya Allah, peliharalahku dari depanku, belakangku, kananku, kiriku dan atasku. Aku berlindung dengan keagungan-Mu supaya diselamatkan aku dikalahkan (ditimpa musibah) dari bawahku.”[30]

 

Seterusnya doa apabila menziarahi pesakit antaranya:

 

Pertama:

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ البَاسَ، اشْفِهِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

“Ya Allah, Wahai Tuhan manusia. Hilangkan kesakitan ini. Sembuhkanlah. Engkau jualah Penyembuh. Tiada kesembuhan melainkan melainkan kesembuhan daripada Engkau. Kesembuhan yang tidak meninggalkan kesakitan lagi.”[31]

 

Kedua:

أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ

Maksudnya: “Aku bermohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki Arasy yang Agung agar Dia menyembuhkan kamu.”[32]

Dibaca sebanyak tujuh kali.

 

Kami tetap yakin bahawa penyakit yang terkena dan juga wabak berlaku dengan kehendak Allah yang perlu kita redhainya. Pada saat yang sama kita berusaha dan beriktiar untuk mengelakkannya. Benarlah firman Allah SWT:

قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".[33]

Kami berpendapat amat penting bagi mereka yang terkena penyakit seperti ini hendaklah berusaha untuk merawat dan dalam masa yang sama berserah kepada Allah. Inilah pendapat kebanyakan ulama’ seperti Ibn al-Jauzi al-Hanbali dan Syeikh al-Qaradhawi yang menyatakan sesiapa yang meninggalkan rawatan dalam keadaan mampu maka dia berdosa.

Marilah kita bersama-sama memainkan peranan di posisi masing-masing untuk berusaha mengekang penularan virus Zika ini. Semoga Allah selamatkan kita dari sebarang penyakit seperti Zika, denggi, dan lain-lain sehingga kita dapat mengabdikan diri kepada-Nya dengan selesa dan aman, Amin.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

5 September 2016 bersamaan 3 Zulhijjah 1437 H.

 

 

 

[1] Serangga yg seakan-akan nyamuk tetapi lebih kecil (biasanya terdapat di tepi-tepi laut, sungai dan juga di kawasan semak).

[2] Mosquito Taxonomic Inventory, http://mosquito-taxonomic-inventory.info/ 10/4/2001

[3] Al-Sya’rawi, Mutawalli. Tafsir al-Sya’rawi, jil. 1, hal. 211.

[4] http://www.who.int/mediacentre/factsheets/zika/en/

[5] http://www.who.int/emergencies/zika-virus/situation-report/7-april-2016/en/

[6] http://www.who.int/mediacentre/factsheets/microcephaly/en/

[7] http://www.who.int/emergencies/zika-virus/articles/rumours/en/

[8] http://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMp1605367#t=article

[9]http://www.nejm.org/action/showMediaPlayer?doi=10.1056%2FNEJMp1605367&aid=NEJMp1605367_attach_1&area=&viewType=Popup&viewClass=Audio

[10] http://www.astroawani.com/berita-malaysia/virus-zika-ditemui-di-malaysia-pada-1969-pengkaji-115732

[11]https://www.moh.gov.sg/content/moh_web/home/pressRoom/Current_Issues/2016/zika virus/faqs.html

[12] http://www.cnbc.com/2016/09/01/singapores-zika-virus-cases-rise-to-151.html

[13]http://www.astroawani.com/berita-malaysia/zika-masuk-malaysia-wanita-klang-sah-dijangkiti-kes-pertama-di-negara-ini-115624

[14] http://www.nst.com.my/news/2016/09/170457/malaysia-gets-second-zika-case-time-sabah

[15] Al-Sadlan, Soleh bin Ghanim. Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah al-Kubra (Riyadh: Dar al-Balansiah, 1996) hal. 508-511.

[16] Surah al-Baqarah: 222

[17] Riwayat Muslim (223)

[18] https://kpkesihatan.com/2016/08/28/kenyataan-akhbar-kpk-28-ogos-2016-situasi-terkini-virus-zika-di-malaysia/

[19] Surah al-Anbiya’: 7

[20] Al-Bugha, Mustafa Dib & Muhyiddin Mistu. Al-Wafi fi Sharh al-Arba’in al-Nawawiyyah (Damsyik: Dar al-Mustafa, 2010), hal. 26.

[21] Al-Isra’: 33

[22] http://www.un.org/apps/news/story.asp?NewsID=53173#.V8ptzph97IV

[23] http://dar-alifta.org.eg/AR/Viewstatement.aspx?ID=5737

[24] Al-Jizani, Hassan. Fiqh al-Nawazil: Dirasat al-Ta’siliyyah al-Tatbiqiyyah (Dammam: Dar Ibn al-Jauzi, 2006), jil. 4, hal. 25.

[25] Doa didefinisikan oleh al-Imam al-Khattabi sebagai pemohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba dari Tuhannya dan hakikat doa iaitu menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya termetrai pengagungan terhadap Allah swt dan mengiktiraf sifat kemulian dan pemurahNya. Rujuk al-Khattabi, Hamad bin Muhammad bin Ibrahim. Sha’n al-Dua’ (al-Sharqah: Dar al-Thaqafah al-‘Arabiyyah, 1992) jil.1, m. 4. Definisi doa yang dinyatakan oleh Imam al-Khattabi menjelaskan bahawa doa merupakan permohonan seorang hamba kepada Allah SWT, sepertimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 186:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنّي فَإِنّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

[26] Riwayat Abu Daud, no. 5088 dan al-Tirmizi, no. 3388

[27] Riwayat al-Nasa’i, no. 5493

[28] Riwayat Ibn Hibban, no. 960

[29] Riwayat Muslim, no. 2709

[30] Riwayat Abu Daud, no. 5074 dan Ibn Majah, no. 3871

[31] Riwayat al-Bukhari, no. 5743

[32] Riwayat Abu Daud, no. 3106 dan Ibn Abi Syaibah, no. 23572

[33] Surah al-Taubah: 51