Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-28: NUZUL AL-QURAN DAN PERPADUAN UMMAH

 

Mukaddimah

          Alhamdulillah, kita sudah memasuki fasa kedua daripada tiga fasa puasa iaitu 10 malam yang kedua dan dikatakan berlaku Nuzul al-Quran pada 17 Ramadan mengikut sebahagian ahli sejarah. Justeru Bayan Linnas pada kali ini memberi fokus kepada Nuzul al-Quran dan Perpaduan Ummah. Semoga ia memberi manfaat kepada kita dalam menjadikan al-Quran sebagai dustur al-hayah atau perlembagaan kehidupan.  

 

Pengertian Nuzul Al-Quran

        Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

        Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh:

وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Maksudnya: “Dia yang telah menurunkan hujan.”

(Surah al-Baqarah:22)

 

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ

Maksudnya: “Dialah yang menurunkan Taurat Dan Injil.”

(Surah Ali-Imran:3)

 

Tujuan Al-Quran Diturunkan

     Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandugannya sebagaimana firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah As-Sad: 29)

           

          Syeikh Sya’rawi Rahimuhullah ketika mentafsirkan ayat di atas menghuraikan makna kalimah ‘Mubarak’ iaitu benda yang sedikit tetapi manfaat dan kebaikannya jauh melebihi apa yang digambarkan. Seumpama orang yang bergaji sedikit tetapi kehidupan keluarganya mencukupi. Segala perbelanjaannya dihalakan kepada perkara yang bermanfaat dan berfaedah. Seakan hidup sebagai orang yang kaya.

         Persoalannya bagaimanakah Allah SWT memberkati rezeki yang sedikit? Pertamanya Allah memberikan rasa qana’ah (mencukupi) kepada tuannya. Kedua, rezeki yang sedikit itu dibelanjakan kepada perkara yang memberi faedah sahaja. Ramai yang menyangka bahawa rezeki hanya harta. Perlu diingat rezeki juga ialah tidak membelanjakan kepada perkara yang dilarang.

          Maksud al-Quran Mubarak ialah ayat-ayatnya punyai keberkatan dari sudut hukum zahir di mana ia mentarbiyahkan jiwa untuk hidup dengan istiqamah. Hakikatnya istiqamah tidak memberi beban walaupun sedikit dan yang membebankan manusia ialah penyelewengan. Kerana itu sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang mukmin makan dengan perut yang satu dan orang kafir makan dengan tujuh perut.”

(Riwayat Muslim)

 

       Seterusnya Syeikh Sya’rawi mentafsirkan maksud tadabbur ayat-ayatnya ialah bukan melihat secara luaran tetapi memerhatikan kandungan ayat dengan berfikir dan memandang jauh serta melihat kepada kesudahan.

         Penting juga kepada kita melihat kepada luaran dan perkara-perkara yang perlu, untuk menjadikannya sebgai rumusan di akhir dan juga pengajaran. Ketika Nabi Khidir merosakkan perahu, ia ditentang oleh Nabi Musa A.S. Pandangan Nabi Musa adalah bersifat luaran di mana Baginda melihat kapal yang elok lebih baik dari kapal yang rosak.

         Bagi Nabi Khidir pula mempunyai kekurangan yang lain. Ukurannya ialah mana yang lebih baik antara ada perahu dengan tidak ada perahu. Jika perahu ada, lelaki yang zalim akan merampasnya.

          Tetapi jika perahu yang elok kemudian dirosakannya maka lelaki zalim tidak mengambilnya, terselamat dari rampasan lelaki zalim dan perahu itu masih menjadi hak milik tuannya.

            Allah SWT menggesa kita merenung dan tadabbur ayat-ayatnya keranaAllah mengetahui bahawa apabila kita merenung dan mentadabbur ayat-ayatnya kita akan merasa cukup dan menerima dengan hati terbuka seterusnya akan kita memperoleh kebenaran.

 

Keistimewaan Al-Quran

            Sebenarnya al-Quran cukup istimewa berbanding dengan mana-mana kitab. Oleh kerana tajuk ini cukup besar, penulis hanya menyebut sepintas lalu dengan satu dalil sahaja dengan setiap satunya. Dipetik daripada karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk “Bagaimana kita berinteraksi bersama dengan al-Quran al-Azim.” Antara lain menyebut:

  • Al-Quran kitab Ilahi. Hal ini dijelaskan dengan banyak ayat antaranya:

الر كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِنْ لَدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

Maksudnya: “Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada Allah SWT Yang Maha Mendalam pengetahuannya.

(Surah Hud:1)

 

  • Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan memeliharanya.”

(Surah al-Hijr: 9)

      Maksud hafizun dalam ayat ini dengan pemeliharaan Allah dari sebarang perubahan dan pertukaran seperti kata Ibn Kathir.

 

  • Al-Quran adalah mukjizat. Firman Allah SWT:

قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الإنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ

 بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.”

(Surah al-Isra’:88)

 

        Dalam buku al-I’jaz al-Ilmi oleh Yusuf al-Haj Ahmad antara lain menyebut: “Tidak diragukan lagi bahawa sudut kemukjizatan al-Quran al-Karim begitu pelbagai dan tepat. Dari aspek kepelbagaiannnya antara lain kemukjizatan saintifik, kemukjizatan legislatif, kemukjizatan retorik, kemukjizatan metafisik, kemudian yang terakhir kemukjizatan artistik-ilustratif. Sementara dari ketepatannya, kita boleh melihat sejumlah amaran yang dibuktikan kebenarannya oleh sains moden dari waktu ke waktu. Fakta-fakta alamiah (bahanal) mahupun imbahanal ini semakin menegaskan dan mendukung isyarat yang diberitakan al-Quran.

 

  • Al-Quran kitab nyata lagi mudah. Firman Allah SWT:

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Maka sesungguhnya kami memudahkan al-Quran dengan bahasamu (hai Muhammad) semoga mereka mengambil pengajaran.”

(Surah ad-Dukhan: 58)

 

  • Al-Quran kitab zaman semuanya. Ianya bermaksud kitab yang kekal dan bukan hanya sesuai pada suatu masa sahaja dan bukan untuk satu generasi sahaja. Tetapi al-Quran sesuai sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru tidak pelik sehingga sekarang al-Quran tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan.

 

  • Al-Quran kitab agama keseluruhannya. Maksudnya ialah ianya menjadi asas kepada agama dan roh Islamnya dan daripadanya diambil roh akidah, ibadat, akhlak dan juga usul tasyri’ dan hukum hakam.

 

  • Al-Quran merupakan kitab insani sejagat. Hal ini dapat difahami berdasarkan kepada sifat al-Quran itu sendiri yang banyak menekankan kehidupan manusia dengan kalimahnya dan untuk alam sejagat. Benarlah firman Allah SWT:

إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam.”

(Surah al-Takwir: 27)

 

           Penulis menukilkan dari Detik Islam yang bertarikh 10 Ogos 2012 berkenaan dengan pengaruh bacaan al-Quran pada saraf, otak dan organ tubuh lain antaranya menyatakan: “Tidak ada lagi bacaan yang dapat meningkatkan terhadap daya ingatan dan memberikan ketenangan kepada seseorang kecuali membaca al-Quran.”

       Dr. Al-Qadhi, melalui penelitiannya yang panjang dan serius di Klinik Besar Florida, Amerika Syarikat, berjaya membuktikan hanya dengan mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran, seorang muslim, baik mereka yang berbahasa Arab mahupun bukan, dapat merasakan perubahan fisiologi yang sangat besar.

      Penurunan tekakanan, kesedihan, memperoleh ketenangan jiwa, merungkai pelbagai macam penyakit merupakan pengaruh am yang dirasakan orang-orang yang menjadi objek kajiannya. Penemuan kajian ini dilihat tidak menentu.

           Penelitiannya disokong dengan bantuan peralatan elektronik terkini untuk mengesan tekanan darah, degupan jantung, ketahanan otot, dan ketahanan kulit terhadap aliran elektrik. Dari hasil kajiannya, beliau telah membuat kesimpulan, bahawa bacaan al-Quran berpengaruh besar sehingga 97% dalam melahirkan ketenangan jiwa dan penyembuhan penyakit.

           Kajian Dr. Al-Qadhi ini diperkuat pula oleh kajian lain yang dilakukan oleh doktor yang berbeza. Dalam laporan sebuah kajian yang disampaikan dalam Persidangan Pertubuhan Islam Amerika Utara pada tahun 1984, disebutkan, al-Quran terbukti mampu mendatangkan ketenangan sehingga 97% bagi mereka yang mendengarkannya.

         Kesimpulan hasil kajian tersebut diperkuatkan lagi oleh kajian Muhammad Salim yang diterbitkan Universiti Boston. Sasaran kajiannya terhadap 5 orang sukarelawan yang terdiri dari 3 lelaki dan 2 wanita.

        Kelima orang tersebut sama sekali tidak mahir bahasa Arab dan mereka pun tidak diberitahu bahawa mereka akan diperdengarkannya adalah al-Quran.

         Kajian yang dilakukan sebanyak 210 kali ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu membaca al-Quran dengan tartil dan membacakan Bahasa Arab yang bukan dari al-Quran. Kesimpulannya, responden mendapatkan ketenangan sehingga 65% ketika mendengar Bacaan al-Quran dan mendapatkan ketenangan hanya 35% ketika mendengar Bahasa Arab yang buka dari al-Quran.

          Al-Quran memberikan pengaruh besar jika diperdengarkan kepada bayi. Hal tersebut diungkapkan Dr. Nurhayati sewaktu Seminar Kaunseling Psikoterapi Islam di Malaysia pada tahun 1997. Menurut penyelidikan yang dijalankan, bayi berusia 48 jam yang diperdengarkan ayat-ayat al-Quran dari perakam suara menunjukkan respon tersenyum dan menjadi lebih tenang.

          Sungguh suatu kebahagiaan dan merupakan nikmat yang besar., kita mempunyai al-Quran. Selain menjadi ibadah dalam membacanya, bacaannya memberikan pengaruh besar bagi kehidupan jasmani dan rohani kita.

          Jika mendengar muzik klasik boleh mempengaruhi kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (eq) seseorang, bacalah al-Quran mempengaruhi kecerdasan spiritual (SQ).

           

Matlamat Al-Quran

Secara umumnya, al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan. Antaranya:

  • Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.
  • Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang daif dan tertindas.
  • Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.
  • Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.
  • Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.
  • Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan kerjasama.

 

Pendapat Ulama Berkenaan Al-Quran

            Dinyatakan di sini beberapa kenyataan ulama dan tokoh berkaitan Quran.

  • Imam Syafie berkata: Setiap yang bercakap berdasarkan Kitab dan Sunnah, maka itulah sebenarnya. Adapun selain keduanya, dilihat sia-sia.

 

  • Al-Harith al-Muhasibi berkata: Saudara-saudaraku apabila orang membaca al-Quran untuk mendapat pahalanya, maka ketahuilah tunjukkan kehendak dengan bacaan kamu untuk tadabbur dan iktibar darinya.

 

  • Fudhail bin Iyadh berkata: Penjaga al-Quran sentiasa mengelak dari menderhakai Tuhannya. Bagaimana mungkin mereka melakukan maksiat sedangkan setiap huruf dari al-Quran menyerunya “Demi Allah, jangan engkau ingkari perkara yang engkau bawa dariku.”

 

  • Abdul Qadir al-Jilani berkata: Wahai kaumku, berlaku baiklah kepada al-Quran dengan beramal dengannya bukan dengan berdebat.

 

  • Ibn Taimiyah berkata: Al-Quran mampu menghilangkan segala penyakit yang menyebabkan keinginan-keinginan jahat, sehingga sihatlah jiwa dan bersihlah keinginannya dan kembalilah seseorang itu kepada fitrah yang telah ditanam oleh Allah SWT sepertimana badan kembali sihat.

 

  • Ibn Qayyim berkata: Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang Allah SWT tajalli kepada-Nya untuk hamba-hamba-Nya dengan sifat-sifat-Nya.

 

  • Imam Muslim berkata: Al-Quran adalah ubat segala penyakit kecuali maut. Semoga hendaknya Allah SWT mematikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci al-Quran.

 

  • Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah sumber yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.

 

  • Mustafa al-Sibaei menyebut beberapa ungkapan antaranya:
  • Kesan al-Quran pada jiwa orang yang beriman pada maknanya dan bukan pada lagunya. Membaca dengan beramal dan bukan yang mengelokkan bacaan tetapi tidak beramal.
  • Bacaan al-Quran dalam radio dengan hati yang khusyuk yang dapat didengar oleh orang Islam sehingga dibuka hati dan akal mereka satu ketika jauh lebih baik dari seribu rancangan yang lain.
  • Orang zaman dahulu belajar al-Quran untuk beramal dengannya. Justeru, bagaimana tiada perbezaan antara generasi kita dan generasi mereka yang agung.
  • Al-Quran di tangan-tangan orang Islam ibarat senjata di tangan orang-orang jahil.

 

  • Dr. Yusuf Al-Qaradhawi mengungkapkan banayak kata-kata antaranya:
  • Al-Quran merupakan minhaj atau jalan serta cara bagi kehidupan manusia.
  • Al-Quran sebagai dustur kepada sebarang hukum.
  • Al-Quran sebagai dustur kepada dakwah.

 

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

            Sebagai mana yang dimaklumi, al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah kepada seluruh umat manusia. Antara perkara penting, Islam menganjurkan perpaduan dan kesatuan serta bertaaruf antara satu sama lain agar ikatan ukhuwah begitu ampuh sesama manusia. Ini akan memudahkan untuk mengimarahkan dunia yang layak menjadi khalifah Allah di muka bumi.

            Justeru, marilah kita menjadikan Nuzul al-Quran sebagai inspirasi untuk bersatu hati serta bertoleransi antara satu sama lain agar kita semua mencapai kebahagiaan abadi.

 

Penutup

            Al-Quran selain merupakan tilawah, ianya juga penawar hati dan fikiran. Ianya mampu merubah atau meruntun perjalanan hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Kepentingan dan manfaat al-Quran digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis berikut:

 

  • “Sesungguhnya hati-hati berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya, bagaimana untuk menyucikannya, ya Rasulullah? Baginda SAW menjawab, dengan membaca al-Quran dan mengingati mati.”
  • “Yang terbaik di antara kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”
  • “Ahli al-Quran ialah Ahlullah. Bacalah al-Quran. Kamu diberi pahala dengan setiap bilangan dan huruf yang dibaca.
  • “Tiap-tiap ayat di dalam al-Quran adalah satu darjat di dalam syurga dan satu lampu di dalam rumahmu.”
  • “Rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya nescaya lapanglah penghuninya, luas kebajikan, masuklah malaikat dan keluarlah syaitan. Rumah yang tidak dibacakan al-Quran, sempitlah penghuninya, sedikitlah kebajikan, keluarlah malaikat dan masuklah syaitan.”

 

          Kita perlu kembali kepada al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup, selain ianya merupakan penghibur jiwa dan sumber ketenangan. Kalau tidak mampu membaca huruf Arab, perlulah terlebih dahulu mempelajarinya. Amat malang generasi kini bukan sahaja buta al-Quran tetapi buta huruf Arab yang menjadi perantaraan al-Quran. Anak-anak murid dulu memang diasuh dan diajar dengan tulisan Arab tetapi malangnya, sejak diharamkan pendidikan Arab di sekolah oleh tali barut musuh, ramai di antara kita sekarang tidak dapat membaca kitab-kitab lama yang bertulisan Arab. Malang sekali disebabkan tidak mengenal huruf Arab, lantas al-Quran dijauhi dan dimusuhi.

 

Akhukum Fillah,

S.S Datuk Dr Zulkifli bin Muhamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan

30 Jun 2015 bersamaan 13 Ramadan 1436