Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-176: PEMBAHARUAN PANDANGAN HUKUM BERKENAAN PENDERMAAN ORGAN DAN TISU

 organ tisu pandangan hukum.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Bayan Linnas pada kali ini adalah merupakan pembaharuan kepada isu pendermaan organ yang telah kami terbitkan dalam siri Bayan Linnas pada tahun 2015 yang lalu. Memandangkan terdapat keperluan untuk memperluaskan organ-organ dan tisu yang boleh didermakan selaras dengan perkembangan semasa dan penemuan perubatan masa kini, maka kami telah membuat penambahan berkaitan isu di atas. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini kami tajukkan dengan Pembaharuan Pandangan Hukum Berkenaan Pendermaan Organ dan Tisu.

 

Definisi Pendermaan Organ/ Tisu

Pendermaan organ/ tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan kita untuk tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas transplantasi (pemindahan) organ, seseorang itu dapat meneruskan kehidupan dan hidup dengan kualiti yang lebih baik. (Lihat Derma Organ di portal rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, http://www.myhealth.gov.my/derma-organ/)

 

Isu Pendermaan Organ

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23-24 Jun 1970 telah membincangkan berkaitan Pemindahan Jantung dan Mata. Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

  • Di dalam keadaan yang mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
  • Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
  • Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya
  • Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya di dalam kematian akibat kemalangan.

Pemindahan organ juga dibenarkan bagi memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia yang merupakan salah satu daripada tuntutan maqasid al-Syariah (objektif Syariah). Ia berasaskan kepada beberapa sumber seperti firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

Surah al-Baqarah (185)

Al-Qurtubi berkata: Dan wajah ayat ini bersifat umum pada lafaznya di dalam semua perkara yang berkaitan agama. (Lihat al-Jami' li Ahkam al-Quran, 1/201)

Syeikh al-Maraghi berkata: Sekiranya dilakukan tanpa menimbulkan sebarang masalah atau kesukaran faktor orang yang melaksanakannya memandangkan tiada sebab yang mengharuskan keringanan hukum pada saat sedemikian. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/365)

Begitu juga hadith Nabi SAW berkenaan kemudharatan perlu dihapuskan, seperti hadis daripada Abi Sai’d al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”

Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) dan
Imam Malik (2/746) dalam al-Muwatta’.

Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat.” Ini adalah pendapat yang benar. (Lihat Syarh al-Arba'in al-Nawawiyyah fi al-Ahadith al-Sahihah al-Nabawiyyah, hlm. 83)

Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan kamu membahayakan iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan saling merugikan iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.” (Lihat al-Kafi Syarah Arba’in al-Nawawi, hlm. 302)

Begitu juga, terdapat banyak kaedah fiqh yang menunjukkan bahawa boleh melakukan kemudharatan yang paling ringan antara dua kemudharatan. Antaranya:

إِذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوْعِىَ أَعْظَمَهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفَّهُمَا

Maksudnya: “Apabila bertembung di antara dua kemudharatan hendaklah diraikan mudharat yang lebih besar dengan mengambil mudharat yang lebih kecil.”

Mudharat yang lebih besar juga hendaklah dihilangkan dengan mengambil mudharat yang lebih kecil berdasarkan kaedah:

الضَّرَرُ الأَشَدُّ يُزَالُ بِالضَّرَرِ الأَخَفِّ

Maksudnya: “Kemudharatan yang berat hendaklah dihilangkan dengan kemudharatan yang kecil.”

 

Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan bahawa, peratusan jumlah penderma organ di Malaysia sebagai sebuah negara Islam dilihat agak rendah berbanding peratusan penderma organ di negara Islam lain seperti Iran dan Turki. Begitu juga fatwa hanya terhad kepada pemindahan jantung dan mata sahaja.

Justeru KKM mencadangkan supaya dibuat semakan dan penambahbaikan kepada Fatwa Kebangsaan yang telah dikeluarkan pada tahun 1970 berkenaan hukum pendermaan mata dan jantung yang telah difatwakan sebagai harus untuk diperluaskan kepada organ dan tisu yang lain yang tidak dinyatakan di dalam fatwa sedia ada.

Atas asas tersebut, Bayan Linnas ini dikemukakan sebagai penjelasan hukum terhadap pendermaan organ membabitkan jantung, mata dan organ-organ yang lain.

 

Isu dan Permasalahan

Isu pendermaan organ ini membabitkan hukum syarak yang memerlukan kepada pandangan yang tuntas dan memerlukan jawapan kepada persoalan yang timbul. Perbincangan ini dimulakan dengan merujuk kepada ahli ikhtisas dan pakar.[1]

Para ulama’ berbeza pandangan dalam isu pendermaan dan pemindahan organ ini kepada dua pandangan iaitu harus dan haram.

Haram: Antara mereka yang berpandangan sebegini adalah Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi[2], Syeikh Ahmad bin Ahmad al-Khalili[3], Syeikh ‘Abd al-Salam Rahim al-Sukkari[4], Sayyid Muhammad Qutbuddin[5] dan Syeikh Sharif Muhammad ‘Abd al-Qadir.[6]

Harus: Secara umumnya, inilah pandangan majoriti pengkaji-pengkaji juga institusi-institusi fatwa di seluruh dunia[7] termasuk Malaysia. Antara tokoh yang mengharuskannya adalah Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq[8], Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di, Syeikh Ibrahim al-Ya’qubi[9], Dr. Ahmad Sharafuddin[10], Dr. Rauf al-Shalabi (beliau mengharuskannya dengan syarat organ/anggota tubuh tersebut daripada penderma yang masih hidup)[11], Dr. Abd al-Jalil Shalabi (bahkan beliau berpandangan ianya wajib)[12], Dr. Mahmud ‘Ali al-Sartawi[13], Dr. Hashim Jamil Abdullah.[14]

Mengikut rekod, fatwa keharusan pemindahan dan pendermaan organ telah dikeluarkan oleh Perlis (1965)[15], Sarawak (1996)[16], Selangor (2000)[17], Johor (2001)[18] dan Pulau Pinang (2010)[19]. Manakala Wilayah Persekutuan sudah pun mengeluarkan pandangan hukum dalam Bayan Linnas “Pendermaan Organ (2015)[20], Al-Kafi Li Al-Fatawi Ke- 528: Hukum Menerima Darah Dan Organ Daripada Non-Muslim (2017)[21] dan Al-Kafi Li Al-Fatawi Ke- 114: Hukum Pemindahan Dan Pendermaan Darah Silang Agama (2015)[22], Al-Kafi Li al-Fatawi Ke-480: Mati Otak Namun Masih Terdapat Tindakan Refleks (2016) [23] dan Irsyad al-Fatwa Ke-100: Adakah Brain Death Dikira Sebagai Kematian.

Secara lebih umum, pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri boleh dilihat dalam buku beliau, Pemindahan dan Pendermaan Organ yang diterbitkan pada 2012 oleh PSN Publications.

 

Dalil Pengharaman[24]

Bagi para ulama’ yang berpegang bahawa pemindahan dan perdermaan organ adalah haram, mereka berpegang kepada beberapa hujah. Antaranya:

  • Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

                                                                                    Surah al-Baqarah (195)

  • Anggota badan dan seluruhnya pada hakikatnya adalah milik Allah SWT. Maka, ianya diharamkan pengambilannya kerana tidak ada izin daripada-Nya.[25]
  • Kaedah “مَا أُبِينَ مِنْ حَيٍّ؛ فَهُوَ كَميْتَتِه” bermaksud “Semua yang terpisah/terpotong dari yang hidup maka hukumnya sebagaimana bangkainya.” Maka, apa jua organ dan tubuh badan yang terpotong dari yang hidup, dikira sebagai najis. Di sisi mazhab Syafie, pendermaan najis tidak dibenarkan.[26]
  • Mereka menqiyaskan dengan pandangan Imam al-Nawawi berhubung hukum haram mendermakan anggota tubuh badannya untuk dimakan oleh mereka yang terpaksa selain dirinya.[27]

 

Dalil Keharusan[28]

Bagi para ulama’ yang berpegang bahawa pemindahan dan perdermaan organ adalah harus, mereka berpegang kepada beberapa hujah:

  • Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

       Surah al-Ma’idah (2)

  • Sekiranya, kita mengambil kaedah “مَا أُبِينَ مِنْ حَيٍّ؛ فَهُوَ كَميْتَتِه” yang bermaksud “Semua yang terpisah/terpotong dari yang hidup maka hukumnya sebagaimana bangkainya”, dan menganggap organ dan tersebut adalah najis, maka hukum rawatan dengan najis adalah dimaafkan dan sah solat dengannya sebagaimana pandangan Imam al-Nawawi[29]. Dalam masa yang sama, jumhur fuqaha’ berpandangan bahawa anak Adam adalah suci samada hidup atau mati.[30]
  • Ia termasuk dalam pengorbanan sebagaimana firman Allah SWT Surah al-Ma’idah ayat 2[31] dan Surah al-Hasyr ayat 9[32]. Pengorbanan kepada orang sakit juga adalah sebahagian daripada sunnah Nabi SAW.[33]
  • Pendermaan organ diqiyaskan dengan jihad nyawa.

 

Sumber keharusannya juga berasaskan kepada beberapa kaedah-kaedah fiqh iaitu:

  • Segala urusan itu mengikut tujuannya (الأُمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا)

Dalam kaedah fiqh ini, sesuatu perbuatan dinilai berdasarkan niat dan tujuan ia dilakukan. Tujuan pemindahan organ adalah bagi menyelamatkan nyawa pesakit dan mampu mengelakkan kemudharatan yang lebih besar dengan melakukan kemudharatan yang lebih ringan. Pemindahan organ tidak dilakukan dengan niat jahat seperti menghina dan menyiksa mayat, bukan untuk tujuan jual beli, bahkan dilakukan untuk menyelamatkan nyawa.

  • Kemudharatan perlu dihilangkan (الضَّرَرُ يُزَال) [34]

Menghilangkan kemudharatan adalah salah satu tuntutan syarak. Dalam konteks pemindahan organ, rawatan ini memenuhi matlamat pemeliharaan nyawa manusia. Ganjarannya adalah suatu yang dijanjikan Allah menerusi firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya”

Surah al-Maidah (32)

Rawatan pemindahan organ adalah pilihan kepada mudharat yang paling kurang berbanding kemudharatan yang besar. Apabila bertembung dua mudharat, kaedah membenarkan kepada pemilihan kemudharatan yang lebih kecil. Dalam konteks pemindahan organ, kemudharatan yang besar ialah membiarkan pesakit yang memerlukan organ itu meninggal dunia. Kaedah ini meletakkan supaya keutamaan diberikan kepada menghindar kerosakan. Organ apabila disumbangkan boleh memberi manfaat kepada mereka yang masih hidup, apatah lagi jika organ itu tidak dimanfaatkan, ia akan hancur juga apabila dikebumikan.

  • Kesukaran membawa kepada kemudahan (المَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْر)

Pemindahan organ adalah suatu kemudahan bagi mengatasi kesukaran yang dihadapi oleh pesakit-pesakit kegagalan organ peringkat akhir. Ini bertepatan dengan ayat al-Quran “Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Syarak membenarkan kelonggaran kepada orang yang berada dalam kemudharatan dengan membenarkan perkara yang haram bagi menghilangkan kemudharatan yang menimpa, dengan syarat tidak ada pilihan yang halal baginya. Dalam konteks ini, pilihan terakhir bagi menyelamatkan pesakit ialah melalui rawatan pemindahan organ.

 

Kesimpulan

Dengan meneliti isu-isu dan masalah yang telah dikemukakan, pendermaan organ dan tisu adalah harus dan amat digalakkan.

Dengan perkembangan semasa dan penemuan perubatan masa kini, maka kami berpendapat perlunya diperluaskan organ-organ yang boleh didermakan seperti buah pinggang, jantung, hati (heper), paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu yang boleh didermakan adalah mata, tulang, kulit dan injap jantung. Akan tetapi, haram mendermakan atau melakukan pemindahan testis dan rahim kerana ia berkait rapat dengan nasab keturunan.

Begitu juga dengan kemajuan perubatan terkini, sewajarnya dikaji alternatif seperti organ-organ tiruan atau pengambilan daripada organ haiwan kerana ia adalah jauh lebih baik daripada mengambil hak seseorang manusia. Hal ini kerana keluar daripada khilaf adalah sunat dan digalakkan. Ini sebagaimana yang telah kami cadangkan dalam siri Bayan Linnas “Pendermaan Organ” pada tahun 2015 yang lalu. [35]

Alhamdulillah, Cadangan Semakan dan Penambahbaikan Fatwa Berkenaan Organ dan Tisu ini telah dikemukakan kepada ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan mesyuarat telah bersetuju dengan cadangan ini. Kami sendiri melihat akan keperluan untuk diperluaskan lagi konsep derma organ dan tisu kerana maslahat masyarakat umat masa kini untuk keselesaan hidup dengan sebab pendermaan seperti ini.

Semoga dengan kenyataan seperti ini akan menambahkan lagi semangat rakyat Malaysia terutamanya orang Islam untuk menderma organ dalam usaha mentahqiqkan maslahat pesakit selaras dengan prinsip ta’awun bi al-bir wa al-taqwa.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah semoga masyarakat Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan sihat, aman sentosa, penyayang, kerahmatan dan kasih sayang serta saling bantu-membantu. Amin.

 

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan

15 April 2019 bersamaan 9 Sya’ban 1440 Hijrah.

 

 

 Nota Hujung:

[1] Ahli ikhtisas adalah mereka yang berkepakaran dan mempunyai ilmu serta pengalaman yang mendalam dalam bidang masing-masing. Kami asaskan pertimbangan ini berdasarkan kepada nas Ilahi:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

             (Surah al-Nahl: 43)

Ayat ini bermaksud, tanyalah wahai orang Quraisy ulama berkenaan Taurat dan Injil, nescaya mereka mengkhabarkan kamu bahawa semua para Nabi adalah manusia jika sekiranya kamu tidak mengetahui. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/118)

Walaupun begitu, kaedah menyebut:

الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لا بِخُصُوصِ السَّبَبِ

Maksudnya: “Ibrah diambil dari keumuman lafaz, bukan dari kekhususan sebab”

Merujuk kepada ahli ikhtisas sebahagian daripada keperluan untuk memahami sesuatu itu dengan gambaran yang jelas dan tepat. Kami nukilkan di sini pandangan ulama dan tokoh berkenaan dengan keperluan merujuk kepada ahli ikhtisas. Jelasnya, Islam menyuruh agar merujuk kepada pakar dan ahli bidang-bidang tertentu jika kita tidak mengetahui dan memahaminya. Kaedah ini merupakan pedoman hidup sepanjang masa sebagaimana jika seseorang atau salah seorang daripada ahli anggota keluarganya menderita sakit, maka dia akan merujuk dan memohon bantuan orang yang pakar dalam bidang perubatan iaitu doktor. Begitu juga dalam perkara agama, ia mesti merujuk dan meminta nasihat serta petunjuk daripada pakar-pakar yang menguasai ilmu agama iaitu para ulama’. (Lihat al-Fatwa: Baina al-Indibat wa al-Tasayyub (terjemahan) oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm 45)

Kami juga mengamalkan seperti ini dengan merujuk kepada pakar-pakar untuk mendapat sebuah jawapan dengan lebih tuntas dan baik seperti merujuk kepada pakar perubatan, pakar kewangan dan lain-lain ketika mahu memutuskan satu-satu fatwa dan hukum. Inilah amalan kami. (Lihat Metodologi Jawapan Hukum dan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan, hlm. 54-57).

[2] Temubual dalam akhbar al-Siyasah (Kuwait) pada 15 Mei 1989.

[3] Lihat akhbar ‘Amman pada 25 Ogos 1989.

[4] Lihat Naql wa Zira’ah al-A’dha’ al-Adamiah min Manzur Islami, m. 16.

[5] Lihat ucaptama dalam Seminar Antarabangsa Pertama Perubatan Islam di Kuwait pada taun 1981 bertajuk Qawa’id wa Adab al-Tibb al-Islami, m. 429.

[6] Lihat Zar’ al-A’dha’wa Hukmuhu fi al-Syariah al-Islamiyyah, m. 2.

[7] Rujuk keputusan al-Majma’ al-Fiqhi, Rabitah al-‘Alam al-Islami di Mekah pada persidangan ke-8, tahun 1408 Hijrah; Al-Majma’ al-Fiqh, Munazzamah al-Mu’tamar al-Islami di Jeddah pada tahun 1408 Hijrah; Hai’ah Kibar al-‘Ulama’ di Riyadh dalam fatwa ke-99, pada tahun 1402 Hijrah, Lajnah al-Ifta’, Majlis al-Islami al-A’la di Algeria pada 1392 Hijrah. Lihat Majalah al-Buhuth al-Islamiyyah edisi 22 (1408 Hijrah).

[8] Lihat Naql al-A’dha’ min Insan li Akhar dalam dalam Jurnal al-Azhar, bil. 9, Ramadhan 1403H.

[9] Lihat Syifa’ al-Tabarih wa al-Adawat fi Hukm al-Tasyrih wa Naql al-A’dha’.

[10] Lihat al-Ahkam al-Syar’iyyah li al-A’mal al-Tibbiyyah, m. 128.

[11] Lihat akhbar al-Syarq al-Awsat, no. 3725, Rabu (8 Februari 1989).

[12] Lihat akhbar al-Syarq al-Awsat, no. 3725, Rabu (8 Februari 1989).

[13] Lihat Jurnal Dirasat, jil. 12, no. 3, Jamadil Akhir 1405H dengan tajuk Zar’ al-A’dha’ fi al-Syari’ah al-Islamiyyah.

[14] Lihat Jurnal al-Risalah al-Islamiyyah, bil. 212, m. 69.

[15] Negeri Perlis ialah negeri paling awal yang membincangkan isu pendermaan dan pemindahan organ, secara khusus mengenai pendermaan kornea. Fatwa Negeri Perlis yang dikeluarkan pada 6 November 1965 menyatakan bahawa hukum mengambil mata orang yang telah mati adalah harus sekiranya mereka memberi persetujuan

sebelum meninggal dunia. Dengan melakukan hal yang demikian, penderma dapat memberi pertolongan sesama manusia bagi memulihkan penglihatan penerima yang cacat. Ia bertujuan murni dan berfaedah dalam kehidupan penerima. Memberi pertolongan dengan cara yang demikian bukan bererti menghina atau tidak menghormati si mati. Agama mengharuskan perbuatan ini kerana tujuan yang lebih besar faedahnya. (Lihat Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perlis. (2011). Derma organ: Satu kebajikan. Kertas kerja dibentangkan semasa Seminar Pendidikan Fatwa Isu Pendermaan Organ anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis pada 20 Jun 2011)

[16] Fatwa Negeri Sarawak yang diputuskan pada 23 Disember 1996 dan diwartakan pada 31 Disember 1996 memberi fokus kepada pendermaan dan pemindahan buah pinggang. Fatwa ini menyatakan bahawa pendermaan buah pinggang kepada pesakit buah pinggang adalah harus tertakluk pada syarat-syarat tertentu.

Syarat-syarat bagi penderma hidup:

  1. Penderma rela dengan ikhlas hati menderma organ buah pinggangnya.
  2. Disahkan oleh pakar perubatan bahawa pendermaan itu tidak akan membahayakan kesihatan si penderma.
  3. Tidak dilakukan secara jual beli.

Syarat-syarat bagi penderma yang meninggal dunia:

  1. Sebelum meninggal dunia, penderma pernah menyatakan kerelaannya untuk mendermakan organ buah pinggangnya kepada orang lain setelah dia meninggal dunia, atau diizinkan oleh wali atau warisnya untuk berbuat demikian, dan tidak pula dilakukan dengan paksaan.
  2. Disahkan oleh pakar perubatan bahawa buah pinggang yang didermakan itu masih boleh dimanfaatkan oleh pesakit buah pinggang yang memerlukannya.
  3. Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan organ buah pinggang itu sematamata untuk berubat.
  4. Tidak dilakukan secara jual beli.

[17] Fatwa Negeri Selangor yang dikeluarkan pada tahun 2000 adalah antara fatwa yang komprehensif di Malaysia kerana ia menyentuh mengenai isu pemindahan organ secara umum dan isu mati otak yang merupakan prasyarat bagi pendermaan organ daripada penderma yang sudah meninggal dunia. Fatwa Negeri Selangor menyatakan bahawa:

  1. Hukum memindahkan organ orang yang telah meninggal dunia adalah harus kerana ia dapat memberikan manfaat yang lebih luas kepada orang ramai.
  2. Hukum mendermakan organ orang Islam kepada orang bukan Islam adalah harus.

Bagi penderma yang masih hidup, fatwa ini bersandarkan syarat-syarat berikut:

  1. Kajian perubatan secara terperinci dan profesional mengenai kesan pemindahan organ terhadap penderma dan penerima organ (bagi mengenal pasti kebaikan dan keburukan serta kebarangkalian kejayaan dan kegagalan pemindahan) perlu dijalankan.
  2. Dilakukan dengan rela tanpa paksaan.
  3. Keadaan darurat bagi menyelamatkan nyawa pesakit terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga.
  4. Pemindahan itu dijamin berjaya.
  5. Organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan jual beli kerana ini hanya akan mengundang perbuatan khianat yang memberi mudarat kepada penerima, memberi keuntungan kepada orang tengah dan juga kesempatan kepada doktor-doktor yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.
  6. Mendapat kebenaran bertulis daripada penderma, dan penderma dibolehkan menarik balik kebenaran tersebut pada bila-bila masa.
  7. Walaupun organ sudah didermakan, organ itu masih ada pada penderma untuk membolehkannya terus hidup (seperti buah pinggang yang ada dua, dan hati yang hanya diambil sebahagian).

Bagi penderma yang sudah meninggal dunia, fatwa ini bersandarkan kepada syarat-syarat berikut:

  1. Kajian perubatan secara terperinci dan profesional mengenai kesan pemindahan organ terhadap penerima organ (bagi mengenal pasti kebaikan dan keburukan serta kebarangkalian kejayaan dan kegagalan pemindahan) perlu dijalankan.
  2. Dilakukan dengan kerelaan penderma melalui wasiat atau waris, atau perakuan daripada Kerajaan.
  3. Pemindahan itu dijamin berjaya.
  4. Pemindahan itu dilakukan dengan penuh disiplin, ilmu, iman dan takwa serta penghormatan yang sewajarnya diberikan kepada si mati mengikut hukum syarak serta tiada unsur-unsur penghinaan.
  5. Keadaan darurat bagi menyelamatkan nyawa pesakit terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga. Organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan jual beli kerana ini hanya akan mengundang perbuatan khianat yang memberi mudarat kepada penerima, memberi keuntungan kepada orang tengah dan juga kesempatan kepada doktor-doktor yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

Mengenai isu mati otak, Fatwa Negeri Selangor menegaskan bahawa penentuan mati otak perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Pemeriksaan perubatan mengenai berlakunya mati otak dijalankan secara profesional.
  2. Digalakkan mendapatkan persetujuan daripada ahli keluarga terdekat (suami, isteri, anak, ibu atau bapa).
  3. Perakuan mengenai berlakunya mati otak hendaklah dilakukan oleh sekurangkurangnya tiga orang doktor profesional (doktor Islam diutamakan).
  4. Sekiranya dengan kecanggihan rawatan perubatan boleh mengubah dan memulihkan keadaan mati otak, maka fatwa ini tidak boleh diguna pakai. (Lihat Cabutan minit Mesyuarat Fatwa Negeri Selangor Bil. 4/2000. Fatwa mengenai pendermaan organ.)

[18] Satu lagi fatwa negeri yang mencakupi ruang lingkup yang luas mengenai isu pemindahan organ ialah Fatwa Negeri Johor yang diputuskan pada 18 Oktober. 2001. Fatwa ini menegaskan bahawa pemindahan dan pendermaan organ dan tisu adalah haram dalam keadaan tidak darurat dan harus dalam keadaan darurat berdasarkan beberapa syarat yang telah ditentukan.

Bagi penderma yang masih hidup, syarat-syarat keharusan pemindahan dan pendermaan organ ialah:

  1. Pemeriksaan perubatan dijalankan secara terperinci dan profesional oleh sekurang-kurangnya dua orang doktor pakar dengan doktor Islam diutamakan (bagi mengenal pasti kebaikan dan keburukan serta kebarangkalian kejayaan dan kegagalan pemindahan).
  2. Dilakukan dengan kerelaan penderma tanpa paksaan (dan persetujuan waris amat digalakkan).
  3. Kebaikan pemindahan tersebut sudah dipastikan.
  4. Kelaziman kejayaan proses pemindahan sudah dipastikan.
  5. Ada darurat bagi menyelamatkan nyawa pesakit terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga.
  6. Pemindahan itu dilakukan dengan disiplin, ilmu, iman dan takwa.
  7. Organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan jual beli. Ini hanya akan mengundang perbuatan jenayah yang memberi mudarat kepada penerima, memberi keuntungan kepada orang tengah dan juga kesempatan kepada doktor-doktor yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.
  8. Kebenaran dan persetujuan bertulis diperoleh daripada penderma, dan penderma dibolehkan menarik balik kebenaran dan persetujuan tersebut pada bila-bila masa.
  9. Walaupun salah satu atau sebahagian organ sudah didermakan, organ yang masih ada pada penderma berfungsi untuk membolehkannya terus hidup (seperti buah pinggang yang ada dua, dan hati yang hanya diambil sebahagian).

Bagi penderma yang meninggal dunia, syarat-syarat keharusan pemindahan dan pendermaan organ ialah:

  1. Pemeriksaan perubatan dijalankan secara terperinci dan profesional oleh sekurang-kurangnya dua orang doktor pakar dengan doktor Islam diutamakan (bagi mengenal pasti kebaikan dan keburukan serta kebarangkalian kejayaan dan kegagalan pemindahan).
  2. Dilakukan dengan kerelaan penderma melalui wasiat atau waris atau perakuan daripada Kerajaan (sekiranya tiada waris).
  3. Kelaziman kejayaan proses pemindahan sudah dipastikan.
  4. Dilakukan pemindahan itu dengan disiplin, ilmu, iman dan takwa.
  5. Penghormatan yang sewajarnya diberikan kepada si mati mengikut syarak dan tiada unsur-unsur penghinaan.
  6. Ada darurat bagi menyelamatkan nyawa pesakit terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga.
  7. Organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan jual beli. Ini hanya akan mengundang perbuatan jenayah yang memberi mudarat kepada penerima, memberi keuntungan kepada orang tengah dan juga kesempatan kepada doktor-doktor yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

Mengenai isu mati otak, Fatwa Negeri Johor memutuskan bahawa orang yang mati otak adalah dihukumkan mati. Syarat-syarat berkaitan mati otak adalah seperti yang berikut:

  1. Pemeriksaan perubatan mengenai berlakunya mati otak dijalankan secara profesional.
  2. Digalakkan mendapat persetujuan daripada keluarga terdekat (seperti suami atau isteri, anak, ibu atau bapa).
  3. Perakuan mengenai berlakunya mati otak hendaklah dilakukan oleh sekurang-kurangnya tiga orang doktor profesional (doktor Islam diutamakan).
  4. Sekiranya dengan kecanggihan rawatan perubatan boleh mengubah dan memulihkan keadaan mati otak, maka fatwa ini tidak boleh diguna pakai. (Lihat Jabatan Mufti Johor. (2010). Fatwa Transplan Organ dan Mati Otak. Johor Bahru: Jabatan Mufti Negeri Johor)

[19] Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bermesyuarat pada 30 Disember 2009 dan mengeluarkan fatwa yang menyeluruh mengenai pemindahan dan pendermaan organ. Fatwa ini diwartakan pada 9 Disember 2010 dan menyatakan bahawa hukum melakukan pemindahan organ dan tisu adalah harus12 dengan syarat-syarat tertentu.

Bagi penderma yang masih hidup, syarat-syaratnya ialah:

  1. Pemeriksaan perlu dijalankan dengan terperinci dan profesional oleh pakar perubatan tentang jaminan keselamatan untuk penderma terus hidup, mendapat manfaat selain kebaikan dan keburukan serta kejayaan dan kegagalan hasil pemindahan tersebut.
  2. Pemindahan organ dilakukan dengan kerelaan dan keizinan penderma itu sendiri tanpa sebarang paksaan oleh mana-mana pihak.
  3. Pemindahan organ itu merupakan usaha terakhir dalam keadaan darurat dan ada keperluan mendesak untuk menyelamatkan nyawa orang lain terutamanya yang ada hubungan nasab dan keluarga.
  4. Mendapat kebenaran bertulis daripada penderma yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
  5. Organ dan tisu yang didermakan ialah organ yang lebih daripada satu atau organ yang boleh diambil sebahagiannya tanpa memudaratkan penderma.
  6. Pengamal perubatan mestilah mematuhi etika perubatan.
  7. Organ dan tisu yang dipindahkan bukan bertujuan untuk dijadikan barang dagangan dan jual beli.

 

Bagi penderma yang meninggal dunia, syarat-syaratnya ialah:

  1. Hendaklah kematian seseorang itu bukan pakatan atau rancangan bagi mencari keuntungan.
  2. Hendaklah dipastikan terlebih dahulu bahawa penderma betul-betul sudah meninggal dunia.
  3. Dilakukan dengan kerelaan dan keizinan penderma yang mukalaf itu sendiri sebelum mati melalui wasiat serta mendapat persetujuan walinya dan disaksikan oleh dua orang saksi.
  4. Hendaklah dipastikan tiada penganiayaan terhadap mayat.
  5. Hendaklah disahkan oleh pakar bahawa organ dan tisu orang yang mati itu masih boleh dimanfaatkan oleh orang yang masih hidup (pesakit).
  6. Pemindahan itu sudah pasti dan dijamin akan berjaya pada kebiasaannya.
  7. Pemindahan organ dilakukan dengan penuh disiplin, ilmu, iman dan takwa (jika doktor Islam) serta penghormatan yang sewajarnya diberikan kepada si mati dan tiada unsur-unsur penghinaan.
  8. Mayat hendaklah diselenggarakan untuk pengebumian.
  9. Jika penderma kanak-kanak yang belum baligh atau orang gila, keizinan daripada walinya perlu diperoleh.
  10. Pemindahan organ itu merupakan usaha terakhir dalam keadaan darurat dan ada keperluan mendesak untuk menyelamatkan nyawa orang lain terutamanya yang ada hubungan nasab dan keluarga.
  11. Si mati sentiasa didoakan (jika Muslim).
  12. Organ dan tisu yang dipindahkan bukan bertujuan untuk dijadikan barang dagangan dan jual beli.

 

Fatwa Negeri Pulau Pinang juga menegaskan perkara-perkara berikut:

  • Orang yang menerima organ dan tisu tersebut hendaklah menggunakannya dengan amanah.
  • Hukum melakukan pemindahan organ dan tisu orang Islam kepada penerima orang bukan Islam dan sebaliknya adalah harus.
  • Hukum orang kafir harbi (yang diperangi) yang menerima organ dan tisu orang Islam adalah haram.

 

[20] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1816-pendermaan-organ?highlight=WyJvcmdhbiJd

[21]http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1034-al-kafi-li-al-fatawi-ke-528-hukum-menerima-darah-dan-organ-daripada-non-muslim?highlight=WyJvcmdhbiJd

[22] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1713-hukum-pemindahan-dan-pendermaan-darah-silang-agama?highlight=WyJvcmdhbiJd

[23] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1401-al-kafi-480-mati-otak-namun-masih-terdapat-tindakan-refleks

[24] Perbahasan penuh dalil pengharamannya daripada al-Qur’an, al-Sunnah, kaedah-kaedah fiqh, logik akal dan pandangan para ulama’ mazhab boleh dirujuk dalam buku Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah, m. 357-370 dan Qadhaya Fiqhiyyah fi Naql al-A’dha’ al-Basyariyyah, m. 18-23.

[25] Lihat Naql wa Zira’ah al-A’dha’ al-Adamiah min Manzur Islami, m. 145.

[26] Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/400.

[27] Lihat al-Majmu’, 9/41.

[28] Perbahasan penuh dalil pengharamannya daripada al-Qur’an, al-Sunnah, kaedah-kaedah fiqh, logik akal dan pandangan para ulama’ mazhab boleh dirujuk dalam buku Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah, m. 371-391 dan Qadhaya Fiqhiyyah fi Naql al-A’dha’ al-Basyariyyah, m. 23-25.

[29] Lihat al-Majmu’, 3/145.

[30] Lihat al-Majmu’, 2/57.

[31] Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

                                                                                                                                                                         (Surah al-Ma’idah: 2)

[32] Firman Allah SWT:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: “…sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.”

                                                                                                                                                                             (Surah al-Hasyr: 9)

[33] Lihat al-Muwafaqat, 2/377.

[34] Lihat al-Asybah wa al-Nazair, (hlm.83). Imam al-Syatibi pernah menyebut: “Kami dapati Syarak menghendaki kemaslahatan hamba sedangkan hukum-hukum adat berjalan mengikut keadaannya. Kadang-kadang kami dapati satu masalah ditegah dalam satu keadaan kerana tiada padanya maslahat, sedangkan pada keadaan lain jika terdapat maslahat, maka hukumnya harus.” (Lihat al-Muwafaqat, 2/306)

[35] Lihat http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1816-pendermaan-organ