Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE - 223: KEHEBATAN WALIYYUL AMRI: INILAH PENDAPATKU

waliyy amri

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.

Selepas melalui proses pelantikan Perdana Menteri yang baru selesai, saya terpanggil untuk mengemukakan sejumlah nasihat dan muhasabah untuk diri ini serta kepada kita semua, berkenaan betapa pentingnya Waliyyul Amri dalam kehidupan sesebuah negara. Betapa hebatnya Waliyyul Amri ini sehinggalah terdapat satu kaedah Syarak yang masyhur menyebut:

وَسِيْلَةُ الشَّيْءِ تَأْخُذُ حُكْمَهُ

Maksudnya: “Wasilah bagi sesuatu perkara mengambil hukumnya.”

Al-Syeikh al-Faqih Ibn Sa’di Rahimahullah berkata:

وَسَائِلُ الأُمُوْرِ كَالْمَقَاصِدِ                وَاحْكُمْ بِهَذَا الْحُكْمِ لِلزَّوَائِدِ

                                    Segala wasilah perkara, sama seperti maksudnya

                                                          Maka hukumlah dengan hukum ini bagi perkara tambahan

Dalam ruangan Bayan Linnas pada kali ini, kami kemukakan dengan tajuk Kehebatan Waliyyul Amri: Inilah Pendapatku.  Hal ini berbetulan dengan apa yang dikemukakan oleh Imam al-Mawardi pada syarat-syarat Nazir dalam isu kezaliman, iaitu: “Hendaklah mempunyai kedudukan yang mulia, melaksanakan hukum dan mempunyai kehebatan yang besar.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 148) Jika ini sekadar Nazir pada isu kezaliman, maka bagaimana pula pemerintah umum umat Islam. Justeru, hal Waliyyul Amri ke atas rakyat hendaklah dimuliakan dan dihormati.

Semoga Bayan Linnas kali ini memberi satu pencerahan tentang betapa pentingnya kita merujuk kepada Waliyyul Amri dengan mematuhi serta mentaati keputusannya.

 

Takrif Waliyyul Amri

Para ulama’ telah mengemukakan beberapa takrif, antaranya:

  • Ia adalah sebagai ganti khilafah nubuwwah dalam memelihara agama dan mengurus tadbir dunia. (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 29)
  • Ia adalah pemerintah yang sempurna, kerajaan yang bersifat umum, tertakluk pada yang khusus dan umum dalam perkara–perkara penting agama dan dunia. (Lihat Ghiyath al-Umam fi al-Tayyas al-Zulam, hlm. 22)
  • Ia merupakan tanggunggjawab yang sempurna atas semua isu Syarak dalam maslahat mereka; ukhrawi dan duniawi, yang kembali kepadanya. Ini kerana, keadaan dunia kembali semuanya di sisi Syarak kepada iktibar dengan maslahat akhirat. Maka ia pada hakikatnya adalah khilafah atau pengganti kepada pemilik syariat dalam memelihara agama dan mengurus tadbir dunia dengannya. (Lihat al-Muqaddimah, 2/578)

Perkataan Waliyyul Amri memberi maksud pemerintah atau dalam istilah moden adalah Yang di-Pertuan Agong, raja-raja, perdana menteri, presiden atau pemerintah utama pada satu-satu tempat, negeri mahupun negara.

 

Hak Waliyyul Amri

Kami tidaklah menyebut keseluruhannya, tetapi memadai dengan kami nukilkan di sini pandangan Ibn Jama’ah al-Syafie Rahimahullah dalam menyatakan hak-hak Waliyyul Amri. Katanya: “Hendaklah seseorang itu mengetahui betapa besarnya hak yang dimiliki oleh Waliyyul Amri dan apa yang wajib bagi mengagung dan memuliakan kedudukannya. Dan hendaklah dia bermuamalah mengikut yang wajib baginya dalam memberi penghormatan dan kemuliaan. Ini kerana Allah SWT menjadikannya untuk dimuliakan.

Yang demikian itu kerana para ulama’ yang hebat dari kalangan imam-imam Islam juga memuliakan dan memberi penghormatan kepada Waliyyul Amri, menyahut perintahnya sekalipun mereka begitu zuhud, warak dan mereka tidak tamak terhadap apa yang ada pada Waliyyul Amri. Apa yang dilakukan oleh sebahagian orang yang dianggap zuhud dengan merendahkan adab terhadap Waliyyul Amri sebenarnya itu bukanlah daripada Sunnah. (Lihat Tahrir al-Ahkam fi Tadbir Ahl al-Islam oleh Ibn Jama’ah al-Syafi’e, hlm. 272-273)

 

Tafsir Ayat 59 Surah al-Nisa’

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Surah al-Nisa’ (59)

Ulama berselisih pendapat, siapa yang dimaksudkan dengan ulil amri di dalam ayat ini. Kami nukilkan seperti berikut:

  • Pendapat Abu Hurairah, Ibn ‘Abbas dan Ibn Zaid R.Anhum mengatakan maksud ulil amridi sini adalah para penguasa yang sah.
  • Pendapat Jabir bin Abdillah, Hasan al-Basri, Qatadah, Mujahid dan ‘Atho’, yang dimaksudkan dengan ulil amriadalah ahli ilmi(ulama) yang tegak di atas sunnah.
  • Pendapat Imam Mujahid dalam satu riwayat, ulil amriadalah para sahabat Nabi SAW dan ada juga yang mengatakan ulil amri di sini adalah Abu Bakar dan Umar.

Imam Ibn Jarir al-Tabari Rahimahullah dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan (5/150) berkata: “Pendapat yang kuat adalah pendapat pertama berdasarkan petunjuk Nabi SAW.” Dan pendapat ini dikuatkan oleh al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah dalam tafsirnyaTafsir al-Quran al-‘Azim (1/530).

Pemerintah ialah mereka yang diberikan mandat oleh rakyat untuk memimpin sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, pemimpin terbahagi kepada dua kategori. Pertama, pemimpin Negara dan pemimpin kerajaan. Istilah pemimpin Negara merujuk kepada kepimpinan tertinggi Negara yang terdiri daripada Ketua Utama Negara yakni Yang di-Pertuan Agong, yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja, manakala ketua kerajaan merujuk kepada kepimpinan eksekutif tertinggi sesebuah kerajaan, atau disebut kabinet.

Menerusi ayat di atas juga, Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi menjelaskan, suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah SWT dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah itu perlulah didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan menghindari penindasan terhadap rakyat di bawahnya. Justeru, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 4/2360)

 

Syarahan Hadis

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ ، فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ ، إِلاَّ أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ ، فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ ، فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Wajib atas seorang Muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada perkara yang dia sukai dan tidak sukai, selagi mana tidak diperintah pada perbuatan maksiat. Sekiranya diperintah pada kemaksiatan, maka tidak ada sikap mendengar dan taat.”

Riwayat al-Bukhari (6725) Muslim (1839)

Imam al-Nawawi berkata: Para ulama telah bersepakat bahawa wajib mentaati pemerintah dalam perkara yang bukan maksiat, dan haram mentaatinya dalam perkara maksiat.

Jumhur ahli Sunnah dari kalangan ahli fiqh, ahli hadis dan ahli kalam berkata: Tidak boleh memisahkan diri daripada pemimpin disebabkan kefasikannya, kezaliman dan perbuatannya menghilangkan hak-hak. Tidak boleh dicabut kepimpinannya, serta tidak boleh keluar daripadanya disebabkan perkara-perkara tersebut. Bahkan wajib menasihatinya dan memberi ancaman kepadanya berdasarkan hadis-hadis yang telah datang berkenaan perkara ini. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 12/224)

Syeikh Muhammad Abd al-Rahman al-Mubarakfuri berkata: “Dalam hadis ini mengandungi tuntutan bahawa jika pemimpin itu memerintahkan untuk melaksanakan amalan sunnah atau mubah, maka wajib untuk melaksanakannya. Al-Muzhiri[1] mengulas hadis ini: “Mendengar ucapan penguasa dan mentaatinya adalah perkara wajib bagi setiap Muslim, sama ada dia memerintahkan kepada apa yang bersesuaian dengan tabiat Muslim tersebut atau tidak. Syaratnya adalah pemimpin tersebut tidak memerintahkannya untuk melakukan maksiat. Sekiranya pemimpin tersebut memerintahkan kepada maksiat, maka tidak boleh mentaatinya (dalam perkara maksiat tersebut). Namun tidak boleh juga membangkang/memerangi kepimpinan pemimpin tersebut.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/298; al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 4/286)

 

Keperluan dan Kewajiban Diwujudkan Waliyyul Amr (Pemerintah)

Dengan wujudnya imam atau pemerintah, ia dapat menyatukan kalimah, ditegakkan hukum-hukum syariah, dipelihara maruah, diangkat sebarang bentuk kezaliman, disebarkan keadilan, keadaan menjadi stabil, menghentikan pertelingkahan, menjaga perbatasan negara, membasmi golongan jahat dan perosak sehingga pelbagai lagi daripada perkara maslahat dan manfaat yang tidak mungkin ditegakkan dan dilaksanakan kecuali di bawah pemerintah atau pemimpin.

Kami kemukakan di sini kenyataan Saidina Ali R.A, katanya:

لَا بُدَّ لِلنَّاسِ مِنْ إِمَارَةٍ بَرَّةٍ كَانَتْ أَوْ فَاجِرَة

Maksudnya: “Semestinya bagi manusia mempunyai pemerintah, sama ada yang baik mahupun zalim.”

Lalu dikatakan kepadanya: “Yang baik kami tahu. Kenapa juga dengan pemimpin yang zalim?” Beliau lalu menjawab: “(Dengannya) dapat mengamankan perjalanan, ditegakkan padanya hukuman, berlaku jihad menentang musuh dan pembahagian harta fai’.” (Lihat Minhaj al-Sunnah, 1/548 dan al-Siyasah al-Syar’iyyah, hlm. 83)

Sebahagian ulama’ berkata: “Kalaulah bukan kerana Sultan atau pemerintah, maka sudah tentu para ulama’ tidak mampu untuk menyebarkan ilmunya, Qadhi tidak dapat melaksanakan hukumannya, orang yang rajin beribadat tidak dapat mengerjakan ibadatnya, orang yang bekerja di kilang tidak dapat melakukan penghasilannya, peniaga tidak mampu melaksanakan perniagaannya dan pekebun tidak mampu untuk bercucuk tanam. Ini disebabkan ketidakstabilan dan kebimbangan serta berlakunya pelbagai musibah dan kejahatan. (Lihat kitab al-Masarrah wa al-Bisyarah fi Akhbar al-Sultanah wa al-Wizarah, hlm. 66)

Justeru, mana-mana negara yang tiada padanya pemerintah, tidak sesuai bagi orang yang berakal menetap di negara tersebut kerana ia samalah seperti menunggu kehancuran dan kemusnahan. Al-Ahnaf bin Qais berkata: “Tidak sewajarnya bagi orang yang berakal menetap di sebuah negara atau tempat yang tiada padanya lima perkara:

  • Pemerintah yang kuat lagi hebat
  • Qadhi yang adil dan saksama
  • Pasar yang hidup dengan aktiviti perniagaan
  • Sungai yang mengalir untuk kehidupan
  • Doktor yang pakar (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, 11/101)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:  “Jawatan pemerintah tertinggi begitu penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam kerana sebab-sebab berikut:

  • Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang Muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya.
  • Kedudukan pemerintah dalam kalangan individu umat adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmonian keadaan. Ia turut dirasai oleh spesis haiwan dan ternakan. Justeru, apatah lagi manusia yang dikurniakan akal fikiran serta tamadun insani di mana keberhajatan kepada ketua negara adalah semestinya diwujudkan.
  • Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.
  • Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam siasah syar'iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam. Contohnya, sebahagian besar hukum hakam berkaitan sistem pengurusan kewangan, gerakan ketenteraan dan pengurusan tawanan. Jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa untuk menduduki jawatan ini, sudah tentu segala hukum hakam ini akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/604)

Justeru, kesemua perkara-perkara ini jelas menunjukkan kepada kita akan pentingnya kewujudan Waliyyul Amr ini.

 

Penutup

Memelihara keamanan dan kestabilan negara adalah sepenting-penting tugas warganegara agar kehidupan masyarakat sentiasa harmoni. Ketahuilah, memburukkan dan melontar kata nista terhadap Ulil Amri serta pemerintah adalah satu kesilapan yang besar dan ditegah oleh Syarak. Ini kerana, ia boleh menjatuhkan kemuliaan mereka pada pandangan manusia yang akhirnya menyebabkan mereka beraksi di luar norma undang-undang yang membawa kepada ketegangan kaum serta perbalahan. Justeru, hendaklah sama-sama kita memuliakan pemimpin dan pemerintah kita mengikut yang selayaknya.

Yakin dan percayalah, apa yang berlaku di sesetengah negara seperti sebahagian negara Arab yang kucar-kacir menyebabkan sehingga sekarang menjadi seperti melukut di tepi gantang, mengharapkan ehsan negara lain dan menjadi pelarian. Ekonomi mereka sama sekali musnah dan hancur, masyarakat tidak terbela dan kesihatan tiada dalam kamus kehidupan mereka. Apa yang mereka harapkan hanyalah sebuku roti setiap hari untuk meredakan kelaparan dan kesengsaraan.

Marilah sama-sama kita mendoakan keselamatan kepada negara kita dan mengasihinya. Saya menutup perbincangan ini dengan menukilkan kenyataan al-Syeikh Abd Allah bin Abd al-Aziz al-Anqari dalam kitab al-Durar al-Saniyyah (9/135), katanya: “Antara cara syaitan menghasut seseorang adalah dengan buruk sangka terhadap pemerintah serta tidak mentaatinya. Sesungguhnya perkara ini termasuk maksiat yang besar dan dianggap daripada agama Jahiliyyah. Ini kerana mereka tidak berpendapat bahawa mematuhi dan mentaati sebahagian daripada agama. Sebaliknya mereka terus dengan pemikiran keras mereka. Telah banyak nas daripada Kitab dan Sunnah yang mewajibkan kepatuhan dan ketaatan kepada Waliyyul Amri. Rasulullah SAW pernah bersabda:

تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ ، وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ ، وَأُخِذَ مَالُكَ ، فَاسْمَعْ وَأَطِعْ

Maksudnya: “Kamu dengar dan patuhlah pada pemerintah walaupun belakangmu dipukul dan hartamu dirampas! Dengarlah dan patuhlah!”

Riwayat Muslim (4813)

Dijelaskan dalam kitab al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim (20/92): Yakni, kamu dengar dan kamu taatlah kepada pemerintah sekalipun dipukul belakang kamu secara zalim dan diambil hartamu tanpa hak. Disebut dengan fi’il mabni lil majhul pada dua tempat ini dan kedua-duanya menjadi syarat kepada jawabnya iaitu ‘kamu dengar dan kamu patuhlah kepadanya’ selama mana bukan pada perkara maksiat.

Ibn Ruslan pula menjelaskan: “Sekiranya kamu tidak mentaatinya sedangkan dia memukul kamu, maka ia boleh membawa kepada api fitnah. Di sini dalil mewajibkan untuk mentaati pemerintah yang dilantik sekalipun tanpa ijma’ dan bai’ah, bahkan sekalipun dia menguasai kepimpinan melalui kekuatan.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 16/659)

Kami menutup dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

 

 

Nota Hujung:

[1] Beliau ialah al-Husain bin Mahmud bin al-Hasan Muzhir al-Din al-Zaidani al-Kufi yang lebih dikenali dengan al-Muzhiri. Wafat pada tahun 727 Hijrah. Pengarang kitab al-Mafatih fi Syarh al-Masabih.