Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-250: ELAK MUKADIMAH ZINA MELALUI HIBURAN TIDAK BERMORAL

 

Bayan Linnas 250

Mukadimah:

Belum reda isu berkaitan lakonan watak hubungan sejenis, timbul pula baru-baru ini lakonan yang memaparkan aksi menghampiri perbuatan seks. Aksi tersebut dilihat bukan sahaja menyimpang daripada nilai-nilai ketimuran malah menyeleweng dari landasan Islam. Lebih malang lagi, difahamkan drama ini adalah untuk tayangan pada bulan Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi.

Secara asasnya, sebarang bentuk hiburan dan lakonan adalah diharuskan selagi mana tidak menyalahi atau bertentangan dengan hukum syarak. Justeru dalam hal ini apa-apa bentuk lakonan yang mengandungi unsur lucah dan erotik jelas merupakan suatu perkara yang bertentangan dengan syarak.

Agama Islam tidak menghalang umatnya dari berhibur selagi mana hiburan tersebut tidak membawa kepada kelalaian dan melanggar batas-batas syarak. Hal ini kerana, Islam adalah sebuah agama yang menyeimbangkan tuntutan dunia dan akhirat. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A:

أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا عَائِشَةُ، مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ»

Maksudnya:Aisyah R.A mempersiapkan seorang wanita untuk dinikahi seorang lelaki. Lalu Rasulullah SAW pun bersabda: “Wahai Aisyah, tidak adakah sebarang hiburan dalam majlis perkahwinan ini? Sesungguhnya kaum Ansar amat menyukai hiburan”.[1]

(Riwayat Bukhari: 5162)

Menurut Ibn Battal hadis tersebut menyatakan keharusan untuk berhibur dan berseronok selama mana ia tidak menghalang dari mengingati dan mentaati perintah Allah.[2] Oleh itu, jelaslah bahawa di dalam Islam terdapat bahagian-bahagian yang dibenarkan oleh syarak untuk berhibur.

 

Lakonan lucah menggalak zina

Harus diinsafi bahawa lakonan yang memaparkan unsur-unsur erotik ini merupakan bibit-bibit yang boleh membangkitkan syahwat. Sekiranya ia ditonton oleh mereka yang belum mempunyai saluran yang sah bagi menyalurkan syahwatnya yakni pasangan suami isteri, pastinya aksi tersebut boleh menjadi mukadimah zina dalam masyarakat khususnya umat Islam sedangkan Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ‎﴿٣٢﴾

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

 (Surah Al-Isra’: 32)

Sesungguhnya telah jelas lagi nyata bahawa perbuatan yang mengajak ke arah zina adalah suatu perkara yang dilarang dan keji di sisi Islam. Al-Qurtubi menafsirkan bahawa larangan ayat berkenaan bukan sahaja merujuk terhadap larangan perbuatan zina tetapi melibatkan perbuatan yang menyumbang ke arah zina.[3]  Oleh yang demikian, tindakan mempertontonkan adegan yang boleh membangkitkan ghairah ataupun syahwat penonton adalah sangat tidak wajar dan bertentangan dengan hukum syarak.

Tidak dinafikan sebahagian cerita atau drama yang dihasilkan bertujuan untuk menyampaikan pengajaran di akhir cerita tersebut. Walaubagaimanapun ia bukanlah suatu tiket untuk mengharuskan babak-babak atau aksi menjolok mata berkenaan. Hal ini kerana kaedah fiqh dalam Islam yang menyatakan:

الغاية لا تبرر الوسيلة

Maksudnya: “Matlamat tidak menghalang cara”

Maka, sudah jelas lagi nyata bahawa sebarang tujuan dan matlamat yang baik tidak menjamin kebenaran untuk melakukan perkara yang haram di sisi syarak.[4]

 

Karya Seni Sebagai Medan Menyebar Kebaikan

Filem dan drama merupakan antara medium untuk menyampaikan mesej kepada penonton. Seharusnya setiap penggiat seni khususnya yang beragama Islam memanfaatkan medium ini untuk menyampaikan mesej-mesej kebaikan, nilai-nilai murni, amar makruf dan nahi munkar.[5]  Hal ini seiring dengan firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).”

(Surah al-Imran: 104)

Penggiat seni harus insaf bahawa hasil-hasil seni yang dikeluarkan akan kekal dipertontonkan untuk masa yang lama iaitu sehingga mereka telah tiada, meninggalkan dunia atau meninggalkan dunia seni sekali pun. Oleh yang demikian, jika yang ditinggalkan adalah hasil seni yang menyebarkan mesej dan menggalak kebaikan, maka kebaikanlah yang akan diwarisinya. Sebaliknya jika hasil seni yang ditinggalkan menerapkan kejahatan dan kemungkaran, maka kemungkaranlah yang akan diwarisi di dalam buku amalannya. Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Sesiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun. ”[6]

(Riwayat Muslim: 1017)

Ramadan sebagai bulan menundukkan hawa nafsu

Bulan Ramadan yang akan tiba dalam beberapa hari lagi ini adalah bulan yang dijanjikan pelbagai kelebihan dan juga tawaran pahala berlipat ganda dan keampunan daripada Allah SWT. Oleh itu, sewajarnya kita mengelakkan diri daripada terlibat dalam apa-apa perbuatan keji dan mengundang kemaksiatan.

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anhu:

قَالَ اللَّهُ: كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ، إِلَاّ الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ، وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ. وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا: إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ، وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ لِصَوْمِهِ

Bermaksud: "Allah SWT berfirman: Seluruh amal manusia adalah untuknya kecuali puasa, kerana puasa itu adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai. Maka jika seorang daripada kalian sedang berpuasa, janganlah ia berkata-kata kotor dan berkelakuan yang tidak terpuji. Jika ada seorang yang mencela atau mengajaknya bertengkar, maka hendaklah ia berkata kepada orang itu, ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa’. Demi Zat yang jiwa Muhammad SAW berada di tangan Nya, sungguh bau mulut orang yang tengah berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan; kegembiraan tatkala berbuka puasa dan kegembiraan ketika berjumpa Allah dengan amalan puasa yang dibawanya."

(Riwayat al-Bukhari: 1904)

Dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anhu, Nabi SAW bersabda :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Bermaksud: "Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam."

(Riwayat Ibnu Majah: 1690)

Menurut Imam al-Sindi ketika menjelaskan makna “melainkan lapar” dengan berkata Allah SWT tidak menerima puasanya itu dan tidak ada pahala baginya.[7]

Haruslah diinsafi bahawa Ramadan ini adalah bulan dimana sepatutnya kita melipatgandakan usaha melakukan kebaikan dan amal ibadah serta memohon keampunan.

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anhu:

‌مَنْ ‌قَامَ ‌رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesungguhan maka diampunkan segala dosanya yang terdahulu."

(Riwayat al-Bukhari: 37)

Merujuk hadis ini, Imam al-Qastallani menyatakan sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan melakukan ketaatan seperti solat terawih dan ibadah yang selain daripadanya pada malam-malam bulan Ramadan dalam keadaan dia beriman dan mempercayai-Nya dan melakukannya semata-mata kerana Allah SWT dengan keikhlasan hatinya, maka segala dosa-dosa kecilnya akan diampunkan dan dengan segala kelebihan dan keluasan rahmat-Nya akan diampunkan juga dosa besar berdasarkan zahir lafaz hadis.[8]

Kesimpulan

Industri seni memberi ruang dan peluang khususnya kepada umat Islam untuk memanfaatkannya bagi menyampaikan mesej kebaikan. Ia sama sekali berbeza dengan amalan bukan Islam atau negara barat yang lebih cenderung menggunakan hiburan dan kesenian hanya untuk hiburan, keseronokan dan kepuasan fizikal semata-mata.

Perbuatan memaparkan adegan lucah, hubungan sejenis atau apa-apa babak yang menjolok mata jelas tidak sesuai dengan budaya ketimuran bahkan bertentangan dengan nilai Islam yang amat mementingkan nilai maruah, kehormatan diri, menjaga perilaku dan pergaulan, mengangkat tinggi sifat malu, bersopan santun dan berhemah yang kesemua itu telah menjadi pegangan dan amalan masyarakat melayu-Islam di negara dan rantau ini sejak sekian lama.

Semoga Ramadan yang bakal disambut tidak lama lagi ini menjadi permulaan kepada kita semua untuk kembali menguatkan keazaman untuk sentiasa mempertingkatkan ibadah dan amalan kebaikan serta sentiasa bersungguh dan berusaha menundukkan hawa nafsu dengan sentiasa menjadikannya terpandu oleh diri dan akal dan bukannya yang memandu akal dan diri tersebut.

Wallahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail Abu ‘Abdullah. 1422H. Sohih Bukhari. Tahkik: Muhammad Zuhair bin Nasir. Dar al-Tuq al-Naja. Jilid 7 hlm 22.

[2] Abd al-Malik, Ibn Battal Abu al-Hasan ‘Ali bin Khalaf. 2003M. Syarh Sohih al-Bukhari Li Ibn Battal. Tahkik: Abu Tamim Yasar bin Ibrahim. Riyadh: Maktabah al-Rusyd, cetakan 2, jilid 9 hlm71. Teks asal:

الغناء واللهو الذى لا يصد عن ذكر الله وطاعته مباح

[3] Al-Qurtubi, Abu ‘Abdullah bin Muhammad bin Ahmad. 1964M. Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran. Tahkik: Ahmad al-Barduni dan Ibrahim Atfish. Cetakan 2. Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. Jilid 10 hlm 253.  Teks asal: وَلَا تَزْنُوا، فَإِنَّ معناه لا تدنوا من الزنى

[4] Al-Sa’idan, Walid bin Rasyid. TT. Talqih al-Afham al-‘Ulyah bi Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah. J3 hlm 23.  

[5] http://journalarticle.ukm.my/9933/1/197-778-1-PB.pdf diakses pada 21/3/2022

[6] An-Naisaburi, Muslim bin al-Hajaj Abu al-Hasan al-Qusyairi. T.T. Sohih Muslim. Tahqiq: Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. Jilid 4 hlm 2059. No hadis

[7] Abu al-Hasan, Nuruddin, al-Sindi, Muhammad bin Abdul Hadi al-Tatwi. T.t. Kifayah al-Hajah Syarh Sunan Ibnu Majah. Beirut: Dar al-Jail, jilid 1 hlm 517. Teks asal:  لَيْسَ لِصَوْمِهِ قَبُولٌ عِنْدَ اللَّهِ فَلَا ثَوَابَ لَهُ

[8]  Abu Abbas, Shihabuddin, al-Qastallani, Ahmad bin Muhammad bin Abu Bakar bin Abdul malik. 1323H. Syarh Al-Qastallani: Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari. Kaherah: Matbaah al-Kubra al-Amiriyah, cetakan 7, jilid 1 hlm 122. Teks asal:

 (من قام) بالطاعة صلاة التراويح أو غيرها من الطاعات في ليالي (رمضان) حال كون قيامه (إيمانًا) أي مؤمنًا بالله مصدقًا به (و) حال كونه (احتسابًا) أي محتسبًا والمعنى مصدقًا ومريدًا به وجه الله تعالى بخلوص نيّته (غفر له ما تقدم من ذنبه) من الصغائر، وفي فضل الله وسعة كرمه ما يؤذن بغفران الكبائر أيضًا وهو ظاهر السياق.