Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-281: BOIKOT EKONOMI SEBAGAI STRATEGI MELAWAN ZIONIS: NASIHAT DAN PANDUAN

BOIKOT_EKONOMI_SEBAGAI_STRATEGI_MELAWAN_ZIONIS_-_NASIHAT_DAN_PANDUAN.jpg

 

Mukadimah

Pada tahun 2005, gerakan sivil rakyat Palestin telah melancarkan seruan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan (Boycott, Divestment and Sanction atau BDS) terhadap entiti Israel sehingga ia kembali mematuhi ketetapan yang diwajibkan oleh undang-undang antarabangsa. Gerakan ini yang ditaja oleh lebih 170 pertubuhan sivil dan politik Palestin mengambil inspirasi daripada gerakan boikot terhadap rejim apartheid di Afrika Selatan yang akhirnya membuahkan hasil pada tahun 1994.[1]

Artikel ini akan menjelaskan perihal boikot ekonomi menurut perspektif syarak dan menggariskan panduan serta parameter yang perlu dituruti agar ia tidak menyimpang daripada landasan yang sepatutnya.

Boikot sebagai strategi melawan kezaliman

Perkataan boikot menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud enggan berurusan dengan seseorang atau yang kebiasaannya untuk menyatakan rasa tidak bersetuju atau memaksa individu atau institusi yang berkenaan menerima syarat tertentu. Manakala menurut Cambridge Dictionary boikot bermaksud keenganan untuk membeli sesuatu produk atau terlibat dalam apa-apa aktivitinya sebagai cara menyatakan tidak setuju dalam sesuatu isu[2].

Sejarah pemboikotan yang pernah dilakukan benar-benar memberi impak yang besar kepada negara Israel sebagaimana pada tahun 1945 satu resolusi dikeluarkan bertajuk “The Boycott of Zionist Goods and Products” hasil pertemuan tujuh anggota Liga Arab. Di dalamnya terkandung bahawa sebarang produk keluaran Yahudi hendaklah dikira tidak dikehendaki dalam negara Arab dan seluruh warga Arab samada institusi, organisasi, usahawan, ejen dan individu mestilah menolak untuk berurusan, mengedar atau menggunakan produk keluaran Zionis. Kesan daripada pemboikotan ini ekonomi pasaran dan sumber serantau Israel terjejas teruk sehingga Israel terpaksa menyuarakan bantahannya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)[3].

Hukum muamalah dengan orang Yahudi

Secara umumnya hukum bermuamalah dengan orang Yahudi adalah harus selagi mana ia adalah produk yang halal. Dalam sebuah riwayat Nabi SAW pernah berurusan dan memberi cagaran dengan seorang Yahudi seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA:

أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW.”

(Riwayat Muslim)

Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas menyatakan bahawa keharusan bermuamalah dengan orang bukan Islam sememangnya telah disepakati para ulama. Namun, keharusan tersebut adalah terhad kepada perkara yang dibenarkan sahaja, sekiranya transaksi tersebut boleh membawa kepada perkara yang haram seperti menjual senjata kepada musuh Islam, sebarang bentuk yang boleh membantu untuk menegakkan syiar agama mereka, membeli kitab agama mereka dan seumpamanya maka muamalat tersebut diharamkan[4].

Imam Ibn Battal pula berkata:

مُعَامَلَةُ الْكُفَّارِ جَائِزَةٌ، إِلا بَيْعَ مَا يَسْتَعِينُ بِهِ أَهْلُ الْحَرْبِ عَلَى الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Berurusan dengan orang kafir dibolehkan, kecuali menjual apa yang boleh membantu mereka untuk memerangi orang Islam[5].”

Dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan untuk saling bantu membantu dalam kebaikan dan mengharamkan saling tolong menolong dalam perkara kemaksiatan dan permusuhan. Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ‎﴿٢﴾

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Surah al-Ma’idah (2)

Walau bagaimanapun, ulama membahagikan saling membantu dalam perkara kemaksiatan kepada dua bahagian iaitu membantu secara langsung dan membantu secara tidak langsung. Sepakat para ulama jika kerjasama itu adalah kerjasama secara langsung maka hukumnya adalah haram. Namun sekiranya kerjasama itu kerjasama yang tidak langsung, maka ulama membahagikan pula kepada 4 situasi:

  1. Apa-apa yang boleh membawa kepada perkara haram secara pasti iaitu pada asalnya ia adalah harus namun disebabkan faktor-faktor lain seperti boleh menyebabkan perkara haram maka hukumnya adalah haram.
  2. Sesuatu yang kebiasaannya boleh membawa kepada perkara yang haram maka dalam hal ini ulama mazhab Maliki dan Hanbali menilainya sebagai haram.
  3. Apa-apa yang menurut sangkaan boleh membawa kepada haram maka ulama dalam hal ini tidak mengharamkannya, namun mengambil langkah berhati-hati itu adalah lebih baik.
  4. Perkara yang sama sekali tidak membawa kepada sesuatu yang haram maka sepakat ulama bahawa hukumnya adalah harus[6].

Selain itu, Dr. Walid bin Idris al-Manisi ketika membincangkan berkenaan parameter saling membantu ke arah dosa dan kemaksiatan beliau membahagikan kepada empat kategori:

  1. Kerjasama secara langsung dan diniatkan padanya membantu ke arah maksiat (mubasyarah maqsudah), seperti memberi arak kepada seseorang untuk membolehkannya minum arak tersebut.
  2. Kerjasama secara langsung tanpa niat (mubasyarah ghairu maqsudah): Contohnya menjual barang yang tiada kegunaan lain melainkan ke arah perkara haram, namun tidak diniatkan penjualan itu untuk digunakan pada perkara yang diharamkan itu.
  3. Kerjasama dengan niat, secara tidak langsung (maqsudah ghairu mubasyarah): Memberi duit kepada seseorang untuk orang tersebut membeli arak.
  4. Kerjasama tidak langsung dan tanpa niat (ghairu mubasyarah wa la maqsudah): Contohnya memberi seseorang duit tanpa apa-apa tujuan khusus, kemudian penerima tersebut membeli arak dengan duit tersebut. Kategori ini juga merangkumi muamalat jual beli, sewaan dan sedekah dengan orang-orang Musyrikin. Jika mereka menggunakan duit yang kita sumbangkan ke arah maksiat, kita tidak dikira berdosa[7].

Hukum terlibat dengan boikot

Berhubung dengan isu hukum memboikot, ia mestilah dilihat kepada keadaan. Terkadang boikot boleh menjadi wajib apabila produk atau syarikat berkenaan memang memberikan bantuan secara langsung untuk membunuh umat Islam. Sebagai tanda solidariti kepada saudara di Palestin sepatutnya umat Islam berganding bahu menunjukan protes di atas kekejaman yang dilakukan kepada rakyat Palestin. Jika melemahkan musuh tidak sempurna melainkan dengan boikot, maka ia menjadi wajib sebagaimana kaedah:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya: “Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib[8]

Boikot adalah salah satu bentuk jihad menggunakan harta dengan tidak membeli barangan keluaran pihak musuh atau yang menyokongnya. Setiap orang hendaklah berjihad dengan kadar kemampuan masing-masing. Allah SWT berfirman:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ

Maksudnya:Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya

Surah al-Talaq (7)

Meskipun ayat ini berkenaan nafkah untuk wanita yang sedang beriddah dan ibu yang menyusu, namun menurut Syeikh Tahir bin Asyur ia terpakai juga kepada setiap infak yang dituntut kepada seorang muslim, sama ada wajib atau sunat, iaitu memberikan infak mengikut kemampuan[9]. Meskipun usaha oleh sebuah negara yang kecil Malaysia di samping kempen boikot yang bermusim, namun teruskanlah apa yang mampu, walau sekecil apa pun ia pasti akan dinilai dan dilihat oleh Allah SWT

Pertimbangan maslahah dan mafsadah dalam boikot

Di samping itu, kami menasihatkan orang ramai agar memboikot dengan ilmu dan akhlak bukan memboikot dengan terburu-buru tanpa berfikir panjang hingga mendatangkan kemudaratan yang tidak sepatutnya.

Strategi boikot ekonomi perlu dilakukan dengan teliti dan bijak. Ia perlu mengambil kira pertimbangan maslahah agar tidak mendatangkan kemudaratan lain yang lebih besar. Syeikh ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam dalam salah satu tulisannya menjelaskan bahawa ada beberapa keadaan di mana menolong pada kemaksiatan hukumnya adalah harus:

قد يجوز الإعانة على المعصية لا لكونها معصية بل لكونها وسيلة إلى تحصيل المصلحة الراجحة وكذلك إذا حصل بالإعانة مصلحة تربو على مصلحة تفويت المفسدة

Maksudnya: “Terkadang diharuskan menolong dalam kemaksiatan bukan karena kemaksiatannya, namun karena ia boleh membawa kepada kemaslahatan yang lebih kuat, begitu juga jika pertolongan itu mendatangkan kemaslahatan yang lebih besar dari menghindari mafsadah (keburukan)[10].”

Panduan dan parameter boikot

Selain itu, panduan berikut amat wajar dipertimbangkan agar boikot yang dilaksanakan benar-benar mencapai matlamat, berstrategi, tidak menyimpang daripada objektif yang digariskan dan tidak menzalimi pihak yang tidak bersalah:

1 - Fokus matlamat kempen boikot adalah untuk menekan syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung agar menukar polisi mereka berkenaan Palestin dan Israel.

2 - Dalam melaksanakan boikot, sikap tabayyun dalam menerima maklumat adalah amat diperlukan, bagi memastikan syarikat yang ingin diboikot benar-benar ada penglibatan secara langsung dengan Israel. Ini bagi mengelakkan berlakunya sebarang kezaliman terhadap pihak yang tidak bersalah.

3 - Kita hendaklah melaksanakan kempen boikot secara bijak dan berhikmah dan tidak bertindak dengan cara ekstrem dan melulu seperti memaki hamun pekerja di syarikat yang terlibat memandangkan mereka sekadar mencari rezeki, mensabotaj dengan merosakkan infrastruktur atau mengambil gambar pelanggan yang sedang makan dan menularkannya ke media sosial dengan tujuan menjatuhkan imej.

4 - Kita juga perlu mengambil kira pengecualian dalam kes terpencil, contohnya terdapat pihak yang tidak mampu menjayakan keseluruhan boikot jenama-jenama berkenaan kerana kekangan tertentu seperti masalah kesihatan dan ubat yang diperlukan hanya dikeluarkan oleh jenama tertentu sahaja, atau anak hanya boleh minum susu jenama tertentu sahaja, jika ditukar akan menyebabkan masalah alahan dan sebagainya.

5 - Hukum pekerja yang bekerja di syarikat francais yang mereka membayar royalti kepada syarikat induk yang mungkin terlibat dengan menyumbang kepada negara haram Israel adalah harus dan gajinya adalah halal selagi syarikat yang mereka bekerja tidak membantu Israel secara langsung seperti memberi sumbangan atau lain-lain.

Wallahu a‘lam.

Rujukan:

[1] Lihat BDS: Boycott, Divestment, Sanctions, Chicago: Haymarket Books oleh Omar Barghouti (2011), hal. 4-5.

[2] Lihat https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/boycott , diakses pada 1/11/2023.

[3] Anas Mohd Yunus, et al. Hukum Boikot Barangan Israel Berdasarkan Kepada Fiqh Al-Jihad. (2018). Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa (JFATWA). Vol. 4, No 1 (2014).

[4] Al-Nawawi, Yahya bin al-Syaraf. (). al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.  hlm. 40, jld. 11

وقد أجمع المسلمون على جواز معاملة أهل الذِّمَّة، وغيرهم من الكفَّار إذا لم يتحقَّق تحريم ما معه، لكن لا يجوز للمسلم أن يبيع أهل الحرب سلاحاً وآلة حرب ، ولا ما يستعينون به في إقامة دينهم . . . اهـ

[5] Al-Asqalani, Ibn Hajar. (1390H). Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah. Jld. 4, hlm. 410.

[6] Lihat: https://www.aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=205#_edn26, diakses pada 6/10/2023.

[7] al-Badrani, Abu Faisal, t.t, Kitab al-Wala’ wa al-Bara’ wa al-‘Ada’ fi al-Islam, hlm. 76 dan Al-Bukairi, Ahmad Fathi (2021), Athar al-Niyyah fi al-Mu’amalat al-Maliyyah, Mansoura: Dar al-Lu’lu’ah, hlm. 167

[8] Al-Subki, Taj al-Din. (1991). Al-Asybah wa al-Nazair. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jld. 2, hlm. 88.

[9] Tahir bin Asyur. (1984). Al-Tahrir wa al-Tanwir. Tunis: al-Dar al-Tunisiyyah. Jld. 28, hlm. 330.

تذييل لما سبق من أحكام الإنفاق على المعتدات والمرضعات بما يعم ذلك. ويعم كل إنفاق يطالب به المسلم من مفروض ومندوب، أي الإنفاق على قدر السعة.

[10] Izzudin bin Abd al-Salam. (1991). Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jld. 1, hlm. 87.