Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-285: LARANGAN MENJADIKAN ANJING SEBAGAI HAIWAN PELIHARAAN

LARANGAN_MENJADIKAN_ANJING_SEBAGAI_HAIWAN_PELIHARAAN.jpg

 

Sepakat para fuqaha bahawa hukum memelihara anjing tanpa sebab adalah haram[1] bahkan ia boleh mengurangkan pahala ibadat seseorang seseorang. Nabi SAW bersabda:

مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا لَيْسَ بِكَلْبِ صَيْدٍ، وَلَا مَاشِيَةٍ وَلَا أرْضٍ، فَإنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ قِيرَاطَانِ كُلَّ يَوْمٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang memelihara anjing bukan untuk tujuan pemburuan, sebagai penjaga binatang ternakan atau penjaga kebun, maka pahalanya akan berkurang sebanyak dua (2) qirath pada setiap hari.”

(Riwayat Muslim)

Dua (2) qirath yang disebutkan dalam hadis ialah suatu kadar yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Menurut Imam al-Nawawi hadis ini menunjukkan bahawa pahala orang tersebut akan berkurang setiap hari selagi mana dia memelihara anjing[2]. Namun memelihara anjing untuk tujuan perburuan, menjaga tanaman atau menjaga binatang peliharaan adalah dibenarkan. Imam al-Nawawi berkata:

قال الشافعي والأصحاب ويجوز اقتناء الكلب للصيد أو الزرع أو الماشية بلا خلاف

Maksudnya:Al-Syafi‘i dan al-Ashab (ulama utama Mazhab Syafi‘i) tidak membenarkan memelihara anjing tanpa sebab. Adapun memelihara anjing untuk tujuan menjaga binatang, tanaman atau perburuan maka sepakat ulama Mazhab Syafi‘i membenarkan[3].

Selain itu, terdapat riwayat hadis yang lain menyatakan bahawa rumah yang ada memelihara anjing akan terhalang dari mendapat rahmat Allah SWT. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Talhah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَدْخُلُ المَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ، وَلاَ صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing dan patung makhluk yang bernyawa”.

(Riwayat Bukhari)

Dalam riwayat yang lain, Aisyah RA meriwayatkan yang bermaksud:

وَاعَدَ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ جِبْرِيلُ عليه السَّلَامُ في سَاعَةٍ يَأْتِيهِ فِيهَا، فَجَاءَتْ تِلكَ السَّاعَةُ وَلَمْ يَأْتِهِ، وفي يَدِهِ عَصًا، فألْقَاهَا مِن يَدِهِ، وَقالَ: ما يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَا رُسُلُهُ، ثُمَّ التَفَتَ، فَإِذَا جِرْوُ كَلْبٍ تَحْتَ سَرِيرِهِ، فَقالَ: يا عَائِشَةُ، مَتَى دَخَلَ هذا الكَلْبُ هَاهُنَا؟ فَقالَتْ: وَاللَّهِ، ما دَرَيْتُ، فأمَرَ به فَأُخْرِجَ، فَجَاءَ جِبْرِيلُ، فَقالَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: وَاعَدْتَنِي فَجَلَسْتُ لكَ فَلَمْ تَأْتِ، فَقالَ: مَنَعَنِي الكَلْبُ الَّذي كانَ في بَيْتِكَ؛ إنَّا لا نَدْخُلُ بَيْتًا فيه كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ.

Jibril berjanji akan mengunjungi Rasulullah SAW pada suatu masa namun pada masa tersebut Jibril tidak datang menemui Baginda. Lalu Baginda mencampakkan tongkat yang ada di tangan Baginda sambil berkata: “Allah dan utusannya iaitu Jibril tidak pernah memungkiri janji”. Kemudian Nabi SAW menemui seekor anak anjing di bawah tempat tidur Baginda. Baginda SAW bertanya kepada Aisyah RA: “Bilakah bilakah anjing ini masuk?” Aisyah RA menjawab: “Demi Allah aku tidak mengetahuinya” Baginda memerintahkan supaya anak anjing tersebut dibawa keluar maka datang Jibril AS bertemu dengan Nabi SAW. Baginda bertanya kepada Jibril: “Kamu berjanji dengan aku dan aku menunggu mu tetapi engkau tidak datang.” Jibril lantas menjawab: “Anak anjing yang ada di dalam rumah mu menghalang aku untuk masuk. Kami (para malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya gambar makhluk bernyawa atau anjing”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi  menyatakan di dalam Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim bahawa sebab malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada anjing adalah:

  1. Kebiasaannya anjing memakan najis.
  2. Sebahagian anjing pula ada yang disebut sebagai syaitan sebagaimana dalam sebahagian riwayat hadis dan malaikat berlawanan dengan syaitan.
  3. Anjing juga kebiasaannya berbau busuk dan malaikat tidak suka kepada bau busuk.
  4. Terdapat larangan memelihara anjing maka orang yang memeliharanya akan dihukum dengan malaikat yang membawa rahmat tidak masuk ke dalam rumahnya.

Namun harus difahami bahawa malaikat yang dimaksudkan ialah Malaikat membawa rahmat, keberkatan dan keampunan manakala malaikat pencatat amalan tidak akan meninggalkan manusia dalam mencatat segala amalan mereka[4].

Selain itu menurut mazhab Syafi’i seluruh anggota tubuh anjing itu adalah najis mughalazah. Dalam sebuah hadis disebutkan dalam hadis Nabi SAW:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Menyucikan bekas yang dijilat oleh anjing ialah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali di samping menyucikannya (menyertu) dengan air yang bercampur tanah pada salah satu basuhannya.”

(Riwayat Muslim)

Walaupun hadis di atas hanya menyebut berkenaan jilatan anjing namun menurut ulama Mazhab Syafi‘i apa jua bentuk sentuhan dengan anjing ataupun khinzir maka perlu disucikan dengan tujuh kali basuhan dan basuhan kelapan disertu dengan air yang bercampur tanah. Al-Khatib al-Syirbini berkata:

بمُلاَقَاةِ شَيْءٍ مِنْ أَجْزَاءِ كُلٍّ مِنْهُمَا سَوَاءٌ فِي ذَلِكَ لُعَابُه وَبَوْلُهُ وَسَائِرُ رُطُوْبَاتِهِ وَأجْزَائِهِ الجَافَّةِ إِذَا لَاقَتْ رَطْبًا

Maksudnya: “Perlu disucikan dengan tujuh basuhan tersebut apabila tersentuh dengan apa jua bahagian dari anjing dan khinzir sama ada jilatannya, kencingnya dan segala cairan dari kedua-dua binatang tersebut. Begitu juga dengan seluruh bahagiannya yang kering apabila bersentuhan dengan sesuatu yang basah[5].

Di samping itu, perlu diingatkan bahawa sengaja menyentuh najis seperti anjing dengan tanpa tujuan hukumnya adalah haram. Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Fath al-Muin bahawa: “Tidak wajib untuk menjauhi najis di luar daripada solat jika bukan dengan jalan sengaja. Adapun sengaja menyentuh najis maka hukumnya adalah haram[6].

Islam tidak membenci anjing dan tidak melarang untuk berbuat baik kepadanya. Dalam sebuah hadis menjelaskan berkaitan seorang pelacur yang memberi minum kepada anjing yang kehausan dengan mengambil air dari dalam perigi menggunakan kasutnya. Kemudian Allah SWT mengampunkan dosa wanita tersebut dengan sebab kebaikan yang dia lakukan kepada seekor anjing[7]. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ، قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ، فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا

Maksudnya: “pada suatu hari yang panas seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum maka dengan itu diampunkan dosanya”.

 (Riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun berbuat baik kepada binatang ini tidaklah sehingga membolehkan seseorang menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan.

Kesimpulan

  1. Hukum memelihara anjing adalah haram di sisi jumhur ulama melainkan untuk tujuan perburuan, menjaga tanaman atau menjaga binatang peliharaan.
  2. Kami mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan kerana ia mengurangkan pahala orang yang memeliharanya setiap hari dan menyebabkan Malaikat rahmat tidak masuk ke rumah kita.
  3. Di samping itu, umat Islam hendaklah memelihara kesucian pakaian dan tempat tinggalnya kerana ia berkait dengan kesahahan ibadat yang dilakukan.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (2006). Mesir: Matabi’ Dar al-Safwah, jld. 35, hlm. 124.

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّهُ لاَ يَجُوزُ اقْتِنَاءُ الْكَلْبِ إِلاَّ لِحَاجَةٍ: كَالصَّيْدِ وَالْحِرَاسَةِ، وَغَيْرِهِمَا مِنْ وُجُوهِ الاِنْتِفَاعِ الَّتِي لَمْ يَنْهَ الشَّارِعُ عَنْهَا.

[2] Muhammad bin Yahya, al-Nawawi. (1995). Syarah Sohih Muslim oleh Imam al-Nawawi, jld. 10, hlm. 239

 وَأَمَّا الْقِيرَاطُ هُنَا فَهُوَ مِقْدَارٌ مَعْلُومٌ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى وَالْمُرَادُ نَقَصَ جُزْءٌ مِنْ أَجْرِ عَمَلِهِ 

Ulama berselisih pendapat mengenai makna qirath dalam hadis ini dari sudut adakah ia menyamai makna qirath dalam hadis berkenaan kelebihan mengerjakan solat jenazah dan menyaksikan pengebumian jenazah iaitu sebesar gunung. Sebahagian ulama menyatakan ia adalah sama. Manakala sebahagian ulama lain membezakannya kerana lafaz qirat yang disebut dalam hadis berkenaan pengurusan jenazah adalah dari sudut kelebihan manakala lafaz qirath dalam hadis berkaitan memelihara anjing ini adalah dalam bab ancaman walhal bab kelebihan itu lebih luas berbanding bab ancaman. (Rujuk: Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, jld. 5, hlm. 7)

[3] Muhammad bin Yahya, al-Nawawi. (2003). al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi, jld. 9, hlm. 234

[4] Muhammad bin Yahya, al-Nawawi. (1995). Syarah Sohih Muslim oleh Imam al-Nawawi, jld. 10, hlm. 239

وَسَبَبُ امْتِنَاعِهِمْ مِنْ بَيْتٍ فِيهِ كَلْبٌ لِكَثْرَةِ أَكْلِهِ النَّجَاسَاتِ وَلِأَنَّ بَعْضَهَا يُسَمَّى شَيْطَانًا كَمَا جَاءَ بِهِ الْحَدِيثُ وَالْمَلَائِكَةُ ضِدُّ الشَّيَاطِينِ وَلِقُبْحِ رَائِحَةِ الْكَلْبِ وَالْمَلَائِكَةُ تَكْرَهُ الرَّائِحَةَ الْقَبِيحَةَ وَلِأَنَّهَا مَنْهِيٌّ عَنِ اتِّخَاذِهَا فَعُوقِبَ مُتَّخِذُهَا بِحِرْمَانِهِ دُخُولَ الْمَلَائِكَةِ بَيْتَهُ وَصَلَاتَهَا فِيهِ وَاسْتِغْفَارَهَا لَهُ وَتَبْرِيكَهَا عَلَيْهِ وَفِي بَيْتِهِ ودفعها أذى للشيطان وأما هؤلاء الملائكة لذين لايدخلون بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ أَوْ صُورَةٌ فَهُمْ مَلَائِكَةٌ يطوفون بالرحمة وَالتَّبْرِيكِ وَالِاسْتِغْفَارِ وَأَمَّا الْحَفَظَةُ فَيَدْخُلُونَ فِي كُلَّ بيت ولايفارقون بَنِي آدَمَ فِي كُلِّ حَالٍ لِأَنَّهُمْ مَأْمُورُونَ باحصاء أعمالهم وكتابتها 

[5] Muhammad bin Ahmad, al-Syirbini. (2004). al-Iqna’ fi Hill Alfaz Abi Syuja’. Beirut: Dar al-Fikr. jld. 1, hlm. 92

[6] Zain al-Din, al-Malibari. (1997). I’anah al-Talibin ala Hill Alfaz Fath al-Muin. Beirut: Dar al-Fikr. jld. 1, hlm. 98

(ولا يجب اجتناب النجس) في غير الصلاة، ومحله في غير التضمخ به في بدن أو ثوب، فهو حرام بلا حاجة،

[7] Rujuk: Irsyad al-Hadith Siri Ke-141: Kisah Pemuda Dan Anjing.

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/1440-irsyad-al-hadith-siri-ke-141-kisah-pemuda-dan-anjing