Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-299: PENJELASAN ISU IBU DAN ANAK BERLAKON SEBAGAI SUAMI ISTERI

BL299.jpg

PENGENALAN

Segala puji bagi Allah SWT yang menciptakan sekalian alam serta selawat dan salam ke atas Baginda SAW, keluarga, sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat.

Baru-baru ini, tular satu video oleh pencipta kandungan wanita dan anaknya yang melakonkan watak sebagai suami isteri. Video tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat kerana terdapat babak-babak yang dilihat menganggu sensitiviti agama dan masyarakat sebagai tontonan umum serta boleh menimbulkan fitnah. Demikian itu, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan tampil untuk memberikan penjelasan berhubung isu ini dari sudut pandang syarak.

 

KEMULIAAN IBU

Secara asasnya, Islam menuntut berbuat baik kepada kedua ibu bapa sebaik sahaja memerintahkan kepada umat Islam untuk mentauhidkan Allah serta tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.”

Surah Al-Nisa’ (36)

Hal ini menunjukkan peri pentingnya berbakti kepada ibu bapa sebagai insan yang paling dekat bagi seorang hamba selepas hak dan tanggungjawabnya mentauhidkan dan beribadah kepada Allah SWT.[1] Namun begitu, meskipun dituntut untuk berbuat baik dengan kedua ibu bapa, terdapat riwayat yang menjelaskan kemuliaan dan kelebihan ibu berbanding bapa. Hal ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa terdapat seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah SAW berkaitan manusia yang paling berhak untuk dia berbuat baik kepadanya, maka Baginda SAW bersabda:

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ ثُمَّ أَدْنَاكَ أَدْنَاكَ ‏

Maksudnya: “Ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu, kemudian kaum kerabat yang terdekat dengan kamu dan seterusnya.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini merupakan satu bentuk perintah untuk berbuat baik kepada ibu dan melebihkannya daripada bapa serta kaum kerabat yang lain. Allah SWT telah memberikan kelebihan dan kemuliaan kepada para ibu kerana mereka merupakan manusia yang sanggup bersusah payah untuk mengandungkan dan melahirkan anak. Tidak cukup sekadar itu, mereka juga sanggup berpenat lelah untuk menyusukan, mendidik, memberi kasih sayang serta merawat anak-anaknya.[2]

Berdasarkan penerangan hadis di atas, seorang ibu bertanggungjawab menjadi ‘sekolah’ utama dalam mendidik serta mentarbiyah anaknya mengikut syariat Islam yang sebenar. Hal ini merujuk pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فيِ بَيْتِ زَوْجِهَا و مَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا

Maksudnya: “Dan perempuan itu ialah pemimpin dalam rumah tangganya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, peranannya juga untuk menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik lantaran mereka dilihat sebagai satu susuk tubuh yang wajib dihormati serta mesti diikuti terutama dalam proses pembentukan peribadi anak-anak. Hal ini kerana, anak-anak lebih cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أو يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya beragama yahudi atau menjadikannya beragama nasrani atau menjadikannya beragama majusi.”[3]

(Riwayat Muslim)

Selain itu, jika ibu bapa yang bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudahkan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriat-zuriatnya. Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak bertakwa kepada Allah SWT maka akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan oleh diri ibu bapa tersebut dan keturunannya.[4]

Berdasarkan kepada huraian di atas, tugas-tugas membesar dan mendidik anak ini bukan sahaja terletak kepada ibu sahaja bahkan merupakan tanggungjawab bersama antara ibu dan bapa terutama di zaman kini yang penuh dengan ujian keruntuhan akhlak dan moral. Amanah dan tanggungjawab ini pastinya akan dipersoalkan di akhirat kelak.

 

LAKONAN ANAK MENYERUPAI SUAMI DAN IBU SEBAGAI ISTERI

Pada dasarnya, sebarang bentuk hiburan adalah diharuskan selagi mana tidak menyalahi atau melanggar batas hukum syarak. Justeru, setiap kandungan yang dipaparkan dalam media massa sama ada berupa lakonan, nyanyian, sketsa dan sebagainya yang mengandungi unsur-unsur ke arah sumbang mahram serta membangkitkan syahwat adalah haram. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ‎

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah Al-Isra’: 32)

Al-Qurtubi menafsirkan bahawa larangan ayat berkenaan bukan sahaja merujuk terhadap larangan perbuatan zina tetapi melibatkan perbuatan yang menyumbang ke arah zina.[5] Justeru, meskipun kandungan yang dihasilkan dalam video tersebut hanyalah bertujuan sebagai gurauan dan hiburan semata-mata, namun ia bukanlah satu peluang untuk memaparkan kandungan-kandungan yang bertentangan dengan syarak serta menyumbang ke arah perzinaan.

Hal ini kerana, setiap tujuan yang baik tidak menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak. Dalam satu kaedah fiqh disebutkan:

الغاية لا تبرر الوسيلة

Maksudnya: “Matlamat itu tidak membenarkan cara”[6]

Berkait dengan isu ini, perbuatan anak yang melakonkan watak sebagai suami serta diselitkan dengan babak-babak yang berunsur lucah boleh menimbulkan fitnah kepada masyarakat. Selain itu, ditakuti sekiranya lakonan yang awalnya dianggap sebagai bahan hiburan dan promosi jualan lantas menimbulkan syahwat dan menjerumuskan pelakunya ke dalam perzinaan atau sumbang mahram. Perkara ini boleh berlaku sekiranya batas pergaulan antara mahram tidak dititik beratkan.

Perbuatan zina merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar yang mendapat kemurkaan Allah SWT, bahkan Dia juga melarang hamba-hambanya daripada mendekati zina atau mukadimah yang membawa kepada zina. Seandainya perbuatan zina antara lelaki dan wanita ajnabiyyah itu diharamkan, maka zina antara mahram (sumbang mahram) adalah lebih keji daripada itu. Perbuatan ini dianggap keji kerana ahli keluarga yang sepatutnya menjaga kehormatan sesama mereka malah telah melakukan penganiayaan. Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa:

وَأَعْظَمُ الزِّنَا عَلَى الْإِطْلَاقِ الزِّنَا بِالْمَحَارِمِ

Maksudnya: “Zina yang paling besar (dosanya) secara mutlak adalah zina dengan mahram”[7]

 

KONTEN MEDIA SOSIAL: MEDAN SEBAR DAKWAH DAN KEBAIKAN

Dunia kini telah menyaksikan bagaimana kepesatan perkembangan teknologi maklumat telah membawa perubahan sosial dan budaya terhadap cara hidup dan cara masyarakat berfikir. Antaranya, kewujudan aplikasi-aplikasi media sosial telah menarik minat masyarakat menghasilkan kandungan yang kini bukan sahaja sekadar hobi bagi meluangkan masa lapang malah digunakan untuk meraih keuntungan dan populariti. Keghairahan ini terkadang boleh menjerumuskan para pencipta kandungan kepada sesuatu yang bertentangan dengan syarak.

Malah, hal ini juga dipandang serius apabila terdapat kandungan-kandungan lain di media sosial kini yang menampilkan perlakuan wanita atau lelaki dewasa terhadap kanak-kanak lelaki mahupun perempuan yang secara halus menjurus ke arah sexual grooming yang memberi kesan negatif kepada psikologi kanak-kanak yang terlibat[8]. Sexual grooming merujuk kepada satu proses seorang kanak-kanak didekati oleh bakal pemangsa dengan cubaan untuk mendapatkan kepercayaan kanak-kanak tersebut dan membolehkan pemangsa untuk melakukan perkara tidak bermoral padanya.[9] Keadaan ini boleh mendedahkan anak-anak kepada kekeliruan dan tidak sedar terlibat dalam amang seksual jika tidak diberi pendedahan tentang sempadan dan penjagaan diri daripada perbuatan tidak bermoral ini.

Berkenaan isu lakonan klip video yang tular tersebut, biarpun adegan yang ditonjolkan hanyalah lakonan semata-mata, namun perkara tersebut telah menyentuh sensitiviti agama dan norma masyarakat dengan meletakkan kedudukan ibu dan layanan ibu terhadap anak pada bukan tempatnya. Meskipun lakonan tersebut dilakonkan sesama mahram, adab dan batas terutamanya antara ibu dan anak perlu dijaga supaya dapat mengelakkan perbuatan sumbang mahram dan tidak menggalakkan perbuatan kurang sopan lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak yang juga menjadi sebahagian daripada penonton di media sosial.

Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan oleh pencipta kandungan. Antaranya, merujuk kepada Garis Panduan Hiburan dalam Islam Edisi Kedua tahun 2014 yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 dan 13 Mei 1981, kandungan yang dikongsi di media sosial hendaklah mengambil kira aspek berikut:

Paparan visual mengandungi nilai-nilai yang baik dan membina minda serta akhlak yang mulia; dan

Paparan visual adalah sopan, teratur dan diterima mengikut ‘tatabahasa visual’,

Selain itu, kandungan yang dikongsi juga tidak mengandungi aspek berikut:

1. Unsur-unsur penghinaan terhadap individu dan kepercayaan masyarakat tertentu, agama, bangsa dan negara;

2. Paparan syot (foto atau gambar) yang tidak sopan dan syot-syot yang melanggar nilai dan etika Islam;

3. Gangguan kepada kesihatan emosi, mental dan pancaindera tertentu;

4. Simbol visual yang secara tersurat atau tersirat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan nilai etika Islam; dan

Seharusnya setiap para pencipta kandungan memiliki kesedaran yang penuh bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab bahawa setiap kandungan yang mereka sebarkan tidak hanya menarik dan menghiburkan, malah seharusnya berdaya kreatif dan proaktif dalam mempromosi nilai-nilai Islam yang baik dan mulia agar dapat menjadi ladang berbuat pahala. Sebaliknya, jika menyebarkan perkara yang tidak selari dengan ajaran Islam dan ia dicontohi oleh orang lain maka dosa tersebut juga akan diperolehi oleh penyebarnya. Daripada Jarir bin Abdullah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Sesiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.[10]

(Riwayat Muslim)

Kesimpulan

Ibu bapa seharusnya sedar akan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar serta menunjukkan akhlak yang baik untuk diteladani. Justeru, perbuatan ibu dan anak yang melakonkan video sebagai suami isteri dibimbangi boleh menjerumus ke arah perlakuan sumbang mahram kerana terdapat unsur-unsur ke arah perzinaan, mengundang syahwat, menimbulkan fitnah dalam masyarakat serta mengganggu sensitiviti agama. Pencipta kandungan sewajarnya lebih kreatif dalam mempromosi mesej dan nilai islam yang baik dan bukan semata-mata untuk meraih keuntungan dan populariti.

[1] Abd al-Rahman Bin Nāṣir Bin Abdullah al-Sa’dī, Taysīr al-Karīm al-Rahman Fi Tafsīr Kalām al-Minān, (Muassasah al-Risālah:Beirut, Lubnan, 2000), hlmn. 177.

[2] al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj. (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-’Arabi, 1392). Jld 16. Hlm 102.

وَفِيهِ الْحَثُّ عَلَى بِرِّ الْأَقَارِبِ وَأَنَّ الْأُمَّ أَحَقُّهَمْ بِذَلِكَ ثُمَّ بَعْدَهَا الْأَبَ ثُمَّ الْأَقْرَبَ فَالْأَقْرَبَ قَالَ الْعُلَمَاءُ وَسَبَبُ تَقْدِيمِ الْأُمِّ كَثْرَةُ تَعَبِهَا عَلَيْهِ وَشَفَقَتُهَا وَخِدْمَتُهَا وَمُعَانَاةُ الْمَشَاقِّ فِي حَمْلِهِ ثُمَّ وَضْعِهِ ثُمَّ إِرْضَاعِهِ ثُمَّ تَرْبِيَتِهِ وَخِدْمَتِهِ وَتَمْرِيضِهِ وَغَيْرِ ذَلِكَ

[3] Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qushayri Al-Nisaburi, Sahih Muslim, (Beirut, Lubnan, Matba’ah ‘Isa al-Babi al-Halabī: 1955). Jil. 4, hlmn. 2047.

[4] Ahmad bin Ahmad Bin Ali Bin Hajar al-Haitami, Al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, (Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1987), Jil 1, hlmn. 23.

فَإِنْ كَانَ لَك خَوْفٌ عَلَى صِغَارِك وَأَوْلَادِك الْمَحَاوِيجِ الْمَسَاكِينِ فَاتَّقِ اللَّهَ فِي أَعْمَالِك كُلِّهَا لَا سِيَّمَا فِي أَوْلَادِ غَيْرِك، فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَحْفَظُك فِي ذُرِّيَّتِك وَيُيَسِّرُ لَهُمْ مِنْ الْحِفْظِ وَالْخَيْرِ وَالتَّوْفِيقِ بِبَرَكَةِ تَقْوَاك مَا تَقَرُّ بِهِ عَيْنُك بَعْدَ مَوْتِك وَيَنْشَرِحُ بِهِ صَدْرُك، وَأَمَّا إذَا لَمْ تَتَّقِ اللَّهَ فِي أَوْلَادِ النَّاسِ وَلَا فِي حُرُمِهِمْ، فَاعْلَمْ أَنَّك مُؤَاخَذٌ فِي ذَلِكَ بِنَفْسِك وَذُرِّيَّتِك وَأَنَّ مَا فَعَلْتَهُ كُلَّهُ يُفْعَلُ بِهِمْ

[5] Al-Qurtubi, Abu ‘Abdullah bin Muhammad bin Ahmad. al-Jami’ li Ahkam al-Quran. (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. 1964). Jil. 10, hlmn. 253.

وَلَا تَزْنُوا، فَإِنَّ معناه لا تدنوا من الزنى

[6] Al-Sa’idan, Walid bin Rasyid. Talqih al-Afham al-‘Ulyah bi Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah. (t.t). Jil. 3. Hlm 23.

[7] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad. al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair. (Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1987). Jld 2. Hlm 226.

[8] “Fahami Apa Itu Pengantunan Seksual Kanak-Kanak Atas Talian” diakses daripada: https://www.mkn.gov.my/web/ms/2023/05/08/fahami-apa-itu-pengantunan-seksual-kanak-kanak-atas-talian/#:~:text=Pengantunan%20seksual%20(sexual%20grooming)%20merupakan,Latiff%20%26%20Rathakrishnan%2C%202018).

[9] Craven, Samantha, Sarah Brown, and Elizabeth Gilchrist. "Sexual grooming of children: Review of literature and theoretical considerations." Journal of sexual aggression 12, no. 3 (2006): 287-299.

[10]Muslim, Sahih Muslim, Jil. 4, hlmn. 2059.