Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-307: FESYEN DI KARPET MERAH: ANTARA TUNTUTAN SYARIAT DAN REALISASI TEMA

FESYEN_DI_KARPET_MERAH_-_ANTARA_TUNTUTAN_SYARIAT_DAN_REALISASI_TEMA.jpg

 

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Baru-baru ini, telah berlangsungnya satu acara muzik berprestij yang mempersembahkan nyanyian oleh penyanyi-penyanyi tanah air di Malaysia. Dalam majlis tersebut, turut memaparkan sebahagian artis dan pempengaruh yang memperagakan pakaian mereka mengikut tema yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Namun, majlis ini telah mencetuskan kontroversi dalam masyarakat kerana terdapat segelintir individu yang cuba menampilkan pakaian dan fesyen yang tidak seiring dengan jantina asal di majlis karpet merah. Fenomena ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat khususnya dari sudut pandang syarak dan norma budaya yang dijunjung dalam kehidupan bermasyarakat. Sehubungan itu, penulisan kali ini akan mengupas isu ini dari perspektif syarak, dengan meneliti bagaimana Islam melihat batasan dalam berfesyen serta kepentingan menjaga identiti jantina sesuai dengan prinsip dan ajaran agama.

Hukum Lelaki Berpakaian Menyerupai Wanita

Seorang lelaki akan dianggap menyerupai wanita atau seorang wanita akan dianggap menyerupai lelaki boleh dilihat dari beberapa sudut berikut[1]:

  • Pakaian
  • Perhiasan
  • Percakapan dan suara
  • Gaya berjalan dan gerak badan
  • Mengubah bentuk fizikal badan

Hukum tasyabbuh (menyerupai jantina berlawanan) adalah haram bahkan salah satu dosa besar sehingga ia salah satu perkara dilaknat oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang disebutkan dalam hadis berikut:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، ‌وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ ‌النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.

Riwayat al-Bukhari

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan pendapat Imam al-Tabari dalam syarahnya terhadap hadis ini:

Tidak boleh bagi orang lelaki untuk menyerupai orang perempuan dari segi pakaian dan perhiasan yang khusus bagi orang perempuan dan demikian juga sebaliknya (tidak boleh bagi orang perempuan menyerupai orang lelaki).[1]

Kemudian, Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa definisi pakaian khusus buat lelaki atau wanita berbeza-beza mengikut perbezaan setiap tempat. Berkemungkinan sesuatu kaum itu pakaian orang perempuan mereka tidak jauh berbeza dengan pakaian orang lelaki mereka, tetapi orang perempuan dibezakan dengan hijab dan juga pakaian yang bertutup.[2]

Pakaian dan gaya berhias merupakan perkara utama yang amat dititikberatkan dalam isu tasyabbuh. Islam sangat menekankan isu pemakaian kerana ia merupakan penampilan luaran seseorang yang boleh memberi gambaran dan tanggapan awal terhadap pemakainya. Secara fitrah, gaya pakaian juga melambangkan jantina seseorang individu sehinggakan terdapat larangan menyerupai pemakaian jantina berlawanan. Rasulullah SAW jelas melarang perbuatan tersebut dalam banyak hadis Baginda dengan melaknat sesiapa yang berpakaian bercanggah dengan jantina asal, antaranya:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah melaknat lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.

Riwayat ِAbu Daud

Begitu juga hadis berikut:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‌الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.

Riwayat al-Bukhari

Ibn al-Athir menjelaskan maksud al-mutarajjilat ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya[3] manakala al-mukhannath pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan dari segi pakaian dan keadaannya.

Penutup

Fesyen dalam berpakaian adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam, namun ia perlu selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam hukum syarak. Panduan ini berasaskan dalil-dalil daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang memberikan batasan tertentu agar pakaian yang dikenakan bukan sahaja menutup aurat, tetapi juga mencerminkan nilai kesopanan dan kesederhanaan dalam kehidupan seorang Muslim.

Islam telah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki dari sudut pemakaian, perhiasan, gaya percakapan dan cara berjalan mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan, begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan seperti yang diciptakan Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian. Justeru, ketika mana seseorang menyerupai jantina berlawanan dengan cara berpakaian atau berfesyen yang tidak seiring dengan jantina asalnya, maka hukumnya jelas haram dan berdosa besar.

Dalam dunia seni dan fesyen, kebebasan berkreativiti memang diiktiraf, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai kebebasan mutlak yang membolehkan seseorang berpakaian atau berfesyen tanpa batasan. Islam menegaskan bahawa setiap aspek kehidupan, termasuk dalam berpakaian, perlu mengambil kira hukum syarak serta adat setempat yang selari dengan nilai agama dan budaya.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Ibn Hajar al-’Asqalani, Ahmad bin Ali. Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari. (Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, 1390H). 10/332.

«قَالَ الطَّبَرِيُّ: الْمَعْنَى لَا يَجُوزُ لِلرِّجَالِ التَّشَبُّهُ بِالنِّسَاءِ فِي اللِّبَاسِ وَالزِّينَةِ الَّتِي تَخْتَصُّ بِالنِّسَاءِ وَلَا الْعَكْسُ. قُلْتُ: وَكَذَا فِي الْكَلَامِ وَالْمَشْيِ، فَأَمَّا هَيْئَةُ اللِّبَاسِ فَتَخْتَلِفُ بِاخْتِلَافِ عَادَةِ كُلِّ بَلَدٍ، فَرُبَّ قَوْمٍ لَا يَفْتَرِقُ زِيُّ نِسَائِهِمْ مِنْ رِجَالِهِمْ فِي اللُّبْسِ، لَكِنْ يَمْتَازُ النِّسَاءُ بِالِاحْتِجَابِ وَالِاسْتِتَارِ، وَأَمَّا ذَمُّ التَّشَبُّهِ بِالْكَلَامِ وَالْمَشْيِ فَمُخْتَصٌّ بِمَنْ تَعَمَّدَ ذَلِكَ»

[1] Ibn Hajar al-’Asqalani, Ahmad bin Ali. Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari. (Mesir: al-Maktabah a;-Salafiyyah, 1390H). 10/332.

«قَوْلُهُ: (لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ) قَالَ الطَّبَرِيُّ: الْمَعْنَى لَا يَجُوزُ لِلرِّجَالِ التَّشَبُّهُ بِالنِّسَاءِ فِي اللِّبَاسِ وَالزِّينَةِ الَّتِي تَخْتَصُّ بِالنِّسَاءِ وَلَا الْعَكْسُ.»

[2] Ibid.

فَأَمَّا هَيْئَةُ اللِّبَاسِ فَتَخْتَلِفُ بِاخْتِلَافِ عَادَةِ كُلِّ بَلَدٍ فَرُبَّ قَوْمٍ لَا يَفْتَرِقُ زِيُّ نِسَائِهِمْ مِنْ رِجَالِهِمْ فِي اللُّبْسِ لَكِنْ يَمْتَازُ النِّسَاءُ بِالِاحْتِجَابِ وَالِاسْتِتَارِ

[3] Ibn Athir, Majduddin Abu al-Sa’adat bin Muhammad. Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar. (Beirut: al-Maktabah al-Ilmiyyah, 1979). 2/203

«لَعن الْمُتَرَجِّلاتِ مِنَ النساءِ» يَعْنِي اللَّاتِي يَتَشَبَّهن بِالرِّجَالِ فِي زِيِّهم وهيأتهِم، فَأَمَّا فِي الْعِلْمِ والرَّأيِ فَمَحْمُودٌ.