Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-315: BAGAIMANA ISLAM MENDIDIK UMAT MENGGUNAKAN TENAGA SECARA CERMAT?

 PP_poster_99.jpg

 PENGENALAN

Pelaksanaan agenda Revolusi Industri telah mendorong peningkatan yang mendadak dalam penggunaan sumber tenaga semula jadi seperti air, angin, elektrik, geoterma dan suria. Penggunaan tanpa kawalan berisiko mengakibatkan berlakunya pembaziran hingga boleh mengancam kehidupan generasi akan datang. Oleh itu, kawalan dan penjagaan sumber tenaga amat penting demi kelestarian alam sekitar dan manfaat terhadap masyarakat.

Dari sudut bahasa, konservasi tenaga (conservation of energy) merujuk kepada penggunaan sumber tenaga seperti elektrik dan air pada kadar yang paling rendah. Ia juga merangkumi langkah-langkah untuk mencegah sebarang bentuk pembaziran dalam penggunaan sumber-sumber tersebut.[1] Sementara dari segi istilah, konsep penjagaan tenaga merujuk kepada pengurusan sumber tenaga untuk kepentingan generasi akan datang.[2] Sejajar dengan itu, konsep ini bertepatan dengan Agenda Pembangunan Lestari (Sustainable Developmental Goals) seperti SDG 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab dan SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim[3].  

Dalam membincangkan perihal penggunaan tenaga dan sumber, secara asasnya syariat Islam sentiasa menitik beratkan peranan serta tanggungjawab manusia yang diamanahkan sebagai khalifah untuk mentadbir alam ini dengan sebaiknya. Berdasarkan tanggungjawab ini, segala perbuatan yang bersifat menindas alam seperti penggunaan sumber secara berlebihan, pembaziran tenaga elektrik, eksploitasi hutan, pembuangan sisa ke dalam sungai dan seumpamanya merupakan antara perkara yang dilarang oleh syarak. Hal ini kerana perbuatan sedemikian menyalahi salah satu prinsip dalam maqasid syariah iaitu memelihara dan memakmurkan alam.

PENJAGAAN TENAGA MENURUT MAQASID ISLAM

Penjagaan tenaga menurut maqasid Islam menuntut agar sumber tenaga digunakan secara berhemah dan seimbang bagi menjamin kemaslahatan manusia serta kelestarian alam sekitar. Pembaziran atau penggunaan secara melampau bukan sahaja menyalahi prinsip pertengahan (wasatiyyah), malah boleh menggugat tujuan utama syariah seperti menjaga nyawa, akal, harta dan persekitaran. Sebaliknya, penggunaan yang terlalu terbatas pula boleh menjejaskan keperluan asas dan kesejahteraan hidup. Justeru itu, sikap sederhana dan bijaksana dalam menggunakan tenaga merupakan asas kepada pembangunan yang lestari dan beretika sebagaimana dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورً

Maksudnya: “Janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu di leher kerana sikap bakhil dan janganlah pula kamu menghulurkannya dengan sangat boros, kerana akibatnya kamu akan berada dalam keadaan yang tercela serta menyesal.”

Surah al-Isra' (29)

Ayat ini menekankan pentingnya bersikap sederhana dan seimbang dalam membelanjakan sesuatu termasuklah penggunaan tenaga. Seseorang tidak boleh terlalu kedekut sehingga menyusahkan diri dan keluarga daripada menikmati kemudahan yang sepatutnya. Dalam masa yang sama tidak boleh juga terlalu boros hingga menghabiskan semua sumber yang ada. Kedua-dua sikap ini sama ada melampau dalam menahan atau berlebih-lebihan dalam membelanjakan adalah tercela. Sifat yang terpuji adalah kesederhanaan iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan pertimbangan yang wajar. Sikap ini mencerminkan kematangan dalam membuat keputusan serta menjamin kesejahteraan dalam jangka panjang.[4]

Dalam konteks penggunaan tenaga, ayat ini mengajar bahawa sikap boros boleh membawa kepada kehabisan sumber dan membebankan diri serta masyarakat, manakala sikap terlalu berjimat dalam perkara yang patut digunakan pula boleh merencatkan kelangsungan hidup dan manfaat umum. Akhirnya, seseorang yang gagal mengurus sumber secara cermat akan dipersalahkan oleh diri sendiri dan masyarakat apabila keperluan tidak dapat ditampung lagi seperti kenderaan yang rosak di tengah jalan akibat dipaksa melampaui batas. Sikap sederhana dan berhemah adalah asas kelestarian tenaga yang selari dengan nilai maqasid Islam.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP AMANAH DAN PEMELIHARAAN ALAM

Penggunaan tenaga yang tidak terkawal bukan sekadar satu bentuk pembaziran, bahkan membawa kesan langsung terhadap kelangsungan hidup dan keseimbangan alam yang menjadi asas kepada kestabilan ekosistem dan sumber kehidupan. Alam ini berperanan sebagai ibu kepada manusia kerana daripadanya lahir segala keperluan asas seperti makanan, air, udara dan tempat tinggal yang memungkinkan kelangsungan kehidupan. Sebarang kerosakan terhadap alam merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap sumber anugerah Ilahi yang menyara kehidupan. Islam menegaskan bahawa manusia merupakan penjaga yang diberikan tanggungjawab untuk mengurus serta memelihara sumber alam dengan penuh hikmah dan pertimbangan. Dalam dunia moden yang dipenuhi pelbagai kemudahan, kecenderungan terhadap penggunaan tenaga secara berlebihan menjadi ujian terhadap tahap kesedaran dan pertanggungjawaban terhadap sumber. Sikap cermat dan beretika dalam pengurusan tenaga merupakan manifestasi ketaatan kepada perintah Tuhan serta bukti keinsafan terhadap kesan jangka panjang seperti sabda Nabi SAW:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ الله مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَنَاظِر كيْفَ تَعْمَلُونَ

Maksudnya:Sesungguhnya dunia ini manis dan menghijau. Allah Azza wa Jalla telah menjadikan kamu sebagai khalifah untuk mengurus segala yang ada di dalamnya, lalu Dia akan melihat bagaimana kamu bertindak.”

(Riwayat Muslim)

Sudut pandang bahawa dunia ini ‘hijau dan manis’ memberikan gambaran jelas tentang tarikan kuat dunia terhadap manusia termasuk dalam hal penggunaan tenaga. Keindahan dan keselesaan hidup moden seperti penggunaan elektrik, pendingin hawa, gajet pintar dan pelbagai kemudahan lain menjadikan manusia terdorong untuk terus menambah kebergantungan kepada sumber tenaga. Seperti buah yang ranum dan manis, tenaga yang mudah diakses ini menjadi rebutan dan digunakan secara berlebihan tanpa menyedari bahawa ia hanyalah satu nikmat sementara. Dalam keadaan ini, manusia telah diamanahkan untuk bertindak sebagai pengurus dan penanggungjawab terhadap segala sumber yang digunakan termasuk tenaga agar tidak menyalahgunakannya demi kelangsungan manfaat sejagat.[5]

Dengan mengambil tanggungjawab sebagai pemelihara bumi, manusia perlu menyedari bahawa penggunaan tenaga berkait rapat dengan kelestarian alam. Penggunaan tenaga secara tidak terkawal menyumbang kepada pencemaran udara, perubahan iklim dan kepupusan sumber asli. Oleh itu, sikap cermat dalam menggunakan tenaga seperti mengurangkan pembaziran elektrik, memanfaatkan teknologi lestari dan memilih sumber tenaga boleh diperbaharui adalah sebahagian daripada amanah yang mesti dipikul. Tindakan bijak dalam pengurusan tenaga bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan hidup hari ini, malah memastikan kesinambungan kehidupan generasi akan datang dalam keadaan yang lebih selamat dan terpelihara.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, Islam menggariskan panduan menyeluruh dalam mendidik umatnya agar menggunakan tenaga secara cermat dan beretika sebagai sebahagian daripada amanah khalifah dan prinsip maqasid syariah dalam memelihara alam. Tanggungjawab ini tidak terletak pada individu semata-mata, malah menuntut peranan kolektif melibatkan kerajaan, institusi pendidikan, masyarakat dan keluarga demi memastikan keseimbangan antara keperluan hidup dan kelestarian sumber. Antara langkah penting yang perlu diambil ialah:

  1. Peranan Individu:
    1. Mengamalkan kesederhanaan dan tidak membazir dalam penggunaan tenaga harian.
    2. Menyedari bahawa tenaga adalah amanah dan setiap penggunaan akan dipertanggungjawabkan.
    3. Menjadikan nilai etika Islam sebagai panduan dalam gaya hidup moden.
  2. Peranan Keluarga dan Institusi Pendidikan:
    1. Mendidik generasi tentang nilai ekologi dan tanggungjawab terhadap sumber sejak kecil.
    2. Menyepadukan prinsip kelestarian alam dalam silibus dan pembelajaran harian.
    3. Menyemai kesedaran bahawa pemeliharaan alam adalah sebahagian daripada ajaran Islam.
  3. Peranan Masyarakat:
    1. Membudayakan sikap berhemah dalam penggunaan tenaga di tempat awam dan tempat kerja.
    2. Menjalankan kempen kesedaran serta menggalakkan penggunaan teknologi lestari.
    3. Menolak budaya konsumerisme yang melampau dan mementingkan keuntungan tanpa etika.
  4. Peranan Kerajaan:
    1. Menggubal dasar pembangunan berteraskan kelestarian alam dan keadilan sosial.
    2. Menyediakan insentif dan sokongan terhadap teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
    3. Memastikan dasar ekonomi, perindustrian dan pendidikan menyokong nilai penjagaan alam menurut neraca syarak.

Akhir kata, dunia ini bukan milik mutlak manusia, tetapi satu pinjaman yang akan dipersoalkan. Maka, mengurus tenaga dengan cermat adalah sebahagian daripada amanah keimanan.

Wallahu a'lam.

 

Rujukan:

[1] “Energy conservation”, laman sesawang Cambridge Dictionary, diakses pada 04 Julai 2025, https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/energy-conservation

[2] A., E. Lugujjo Sendegeya, I. P. Da Silva and M. Amelin. "Feasibility of conserving energy through education: The case of Uganda as a developing country." In Proceedings from the International Conference on Advances in Engineering and Technology, pp. 385-394. Elsevier Science Ltd, 2006.

[3] “Energy Conservation” laman sesawang RELX SDG Resource Centre, diakses pada 04 Julai 2025, https://sdgresources.relx.com/energy-conservation

[4] Fakhr al-Dīn al-Rāzī, Mafātīḥ al-Ghayb (al-Tafsīr al-Kabīr), (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī, 3rd ed., 1420),. 20: 329-330. Teks asal:

فَهَهُنَا أَمَرَ رَسُولَهُ بِمِثْلِ ذَلِكَ الْوَصْفِ فَقَالَ: وَلا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلى عُنُقِكَ أَيْ لَا تُمْسِكْ عَنِ الْإِنْفَاقِ بِحَيْثُ تُضَيِّقُ عَلَى نَفْسِكَ وَأَهْلِكَ فِي وُجُوهِ صِلَةِ الرَّحِمِ وَسَبِيلِ الْخَيْرَاتِ، وَالْمَعْنَى: لَا تَجْعَلْ يَدَكَ فِي انْقِبَاضِهَا كَالْمَغْلُولَةِ الْمَمْنُوعَةِ مِنَ الِانْبِسَاطِ: وَلا تَبْسُطْها كُلَّ الْبَسْطِ أَيْ وَلَا تَتَوَسَّعْ فِي الْإِنْفَاقِ تَوَسُّعًا مُفْرِطًا بِحَيْثُ لَا يَبْقَى فِي يَدِكَ شَيْءٌ. وَحَاصِلُ الْكَلَامِ: أَنَّ الْحُكَمَاءَ ذَكَرُوا فِي كُتُبِ «الْأَخْلَاقِ» أَنَّ لِكُلِّ خُلُقٍ طَرَفَيْ إِفْرَاطٍ وَتَفْرِيطٍ وَهُمَا مَذْمُومَانِ، فَالْبُخْلُ إِفْرَاطٌ فِي الْإِمْسَاكِ، وَالتَّبْذِيرُ إِفْرَاطٌ فِي الْإِنْفَاقِ وَهُمَا مَذْمُومَانِ، وَالْخُلُقُ الْفَاضِلُ هُوَ الْعَدْلُ وَالْوَسَطُ كَمَا قَالَ تَعَالَى: وَكَذلِكَ جَعَلْناكُمْ أُمَّةً وَسَطاً [الْبَقَرَةِ: ١٤٣] . ثُمَّ قَالَ تَعَالَى: فَتَقْعُدَ مَلُوماً مَحْسُوراً أَمَّا تَفْسِيرُ تَقْعُدَ، فَقَدْ سَبَقَ فِي الْآيَةِ الْمُتَقَدِّمَةِ. وَأَمَّا كونه مَلُوماً فَلِأَنَّهُ يَلُومُ نَفْسَهُ وَأَصْحَابُهُ أَيْضًا يَلُومُونَهُ عَلَى تَضْيِيعِ الْمَالِ بِالْكُلِّيَّةِ وَإِبْقَاءِ الْأَهْلِ وَالْوَلَدِ فِي الضُّرِّ وَالْمِحْنَةِ، وَأَمَّا كَوْنُهُ مَحْسُوراً فَقَالَ الْفَرَّاءُ: تَقُولُ الْعَرَبُ لِلْبَعِيرِ: هُوَ مَحْسُورٌ إِذَا انْقَطَعَ سَيْرُهُ وَحَسَرْتُ الدَّابَّةَ إِذَا سَيَّرَهَا حَتَّى يَنْقَطِعَ سَيْرُهَا

[5] Yaḥyā ibn Sharaf Abū Zakariyyā al-Nawawī, al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim ibn al-Ḥajjāj, (Beirut: Dār Iḥyāʾ al-Turāth al-ʿArabī, 1392 H), 17: 55. Teks asal:

وَمَعْنَى الدُّنْيَا خَضِرَةٌ حُلْوَةٌ يُحْتَمَلُ أَنَّ الْمُرَادَ بِهِ شَيْئَانِ أَحَدُهُمَا حُسْنُهَا لِلنُّفُوسِ وَنَضَارَتُهَا وَلَذَّتُهَا كَالْفَاكِهَةِ الْخَضْرَاءِ الْحُلْوَةِ فَإِنَّ النُّفُوسَ تَطْلُبُهَا طَلَبًا حَثِيثًا فَكَذَا الدُّنْيَا وَالثَّانِي سُرْعَةُ فَنَائِهَا كَالشَّيْءِ الْأَخْضَرِ فِي هَذَيْنِ الْوَصْفَيْنِ وَمَعْنَى مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا جَاعِلُكُمْ خُلَفَاءَ مِنَ الْقُرُونِ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ فَيَنْظُرُ هَلْ تَعْمَلُونَ بِطَاعَتِهِ أَمْ بِمَعْصِيَتِهِ وَشَهَوَاتِكُمْ