Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-318: ETIKA MAJLIS BERSELAWAT DAN ZIKIR MENURUT PERSPEKTIF SYARAK

PP_poster_40.jpg

Pendahuluan

Majlis selawat dan zikir merupakan salah satu kaedah yang efektif dalam membimbing masyarakat untuk sentiasa mengingati Allah SWT serta menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Pelaksanaan majlis seumpama ini mampu menciptakan suasana positif yang memberikan impak mendalam kepada setiap individu yang hadir. Selain itu, ia turut berperanan sebagai platform pembelajaran bagi masyarakat untuk mendalami dan mengamalkan bacaan zikir atau selawat khusus dalam kehidupan seharian.

Dalam konteks ini, terdapat keperluan untuk menyediakan garis panduan yang jelas berkaitan adab dan etika penganjuran majlis tersebut. Tanpa garis panduan yang komprehensif, penganjuran majlis berselawat dan zikir dibimbangi akan menyimpang daripada matlamat asalnya, malah berpotensi menimbulkan fitnah serta tohmahan daripada pelbagai pihak. Sehubungan dengan itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan akan mengupas isu ini dari perspektif syarak dalam penulisan kali ini.

Dalil-Dalil & Pandangan Fuqaha Mengenai Majlis Zikir

Selawat merupakan satu puji-pujian kepada Rasulullah SAW dan merupakan salah satu zikir yang dianugerahkan oleh Allah SWT dengan pelbagai kurniaan yang tidak terhitung bagi mereka yang mengucapkannya. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Surah al-Ahzab (56)

Terdapat sebuah hadis yang menunjukkan bahawa kelebihan berhimpun mengadakan majlis yang bertujuan memperingati Allah SWT terutamanya dalam membaca al-Quran. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ تَعَالَى يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah satu kaum berkumpul dalam salah satu rumah Allah (masjid) dengan membaca Kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama melainkan akan dikurniakan ke atas mereka ketenangan, diliputi rahmat, dikelilingi para malaikat dan disebut oleh Allah di hadapan makhluk yang berada di sisi-Nya.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadis di atas merupakan kelebihan membaca al-Quran secara berjemaah. Kelebihan dan keharusan membaca al-Quran secara berjemaah merupakan pandangan mazhab al-Syafi’i dan jumhur ulama.[1] Selain itu juga Imam al-Nawawi berpendapat bahawa sunat duduk di dalam majlis berzikir sebagaimana disunatkan untuk berzikir.[2] Imam al-San’ani memberi komentar tentang hadis di atas yang menunjukkan bahawa hadis tersebut merupakan dalil kelebihan majlis berzikir dan menyertainya.[3]

Manakala berkaitan majlis selawat dan zikir yang disertai iringan peralatan muzik, Syeikh Yusuf al-Qardawi menetapkan beberapa garis panduan dengan menyatakan bahawa hiburan dan nyanyian secara asasnya adalah diharuskan dengan syarat tidak disertakan dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan perbuatan dosa.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-106 memutuskan bahawa melagukan zikir adalah harus jika ianya dilakukan dengan penuh adab dan boleh membawa kepada tercapainya matlamat berzikir. Tetapi jika majlis atau amalan berzikir tersebut dilakukan dengan penggunaan alat-alat muzik yang dilarang sehingga melalaikan dan menghilangkan tujuan sebenar berzikir atau dilakukan di tempat ibadah seperti surau atau masjid sehingga menganggu urusan ibadah orang lain atau majlis yang bercampur antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, maka perbuatan zikir sedemikian adalah dilarang oleh Islam.

Adab & Etika Dalam Majlis Zikir

1.    Memastikan Diri Berada Dalam Keadaan Yang Suci

Bersuci bermaksud membersihkan diri daripada hadas atau kotoran. Kaedah bersuci termasuk mandi wajib, mandi sunat, berwuduk dan bersugi. Antara keadaan yang disunatkan untuk bersuci juga ialah ketika berzikir bagi mengingati Allah SWT. Diriwayatkan daripada Muhajir bin Qunfuz RA, pada satu ketika beliau menziarahi Rasulullah SAW dan mendapati Baginda sedang membuang hadas kecil. Beliau memberikan salam kepada Rasulullah namun Baginda tidak membalasnya. Setelah itu, Rasulullah SAW kemudiannya bersabda:

‏ إِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ عَلَى طُهْرٍ ‏"‏ ‏.‏ أَوْ قَالَ ‏"‏ عَلَى طَهَارَةٍ

Maksudnya: “Aku berasa tidak selesa untuk mengingati Allah melainkan dalam keadaan berwuduk.”

(Riwayat Abu Daud)

Secara zahirnya, hadis ini menunjukkan salah satu adab dalam berzikir iaitu berada dalam keadaan bersuci daripada hadas. Rasulullah SAW amat memuliakan amalan berzikir hingga memastikan diri Baginda berada dalam keadaan bersuci apabila ingin menyebut nama Allah. Dalam menghuraikan adab berzikir, al-Nawawi turut menggariskan beberapa aspek kebersihan diri seperti memastikan mulut dalam keadaan yang bersih dengan cara bersugi sekiranya terdapat kotoran dan basuhan sekiranya terdapat najis di dalamnya. Bahkan, beliau menjelaskan lagi hukum berzikir dalam keadaan mulut bernajis juga adalah makruh[4]. Oleh yang demikian, memastikan diri dalam keadaan bersih dan suci ketika menyertai majlis zikir lebih dituntut kerana ia lebih menepati sunnah Rasulullah SAW.

2.    Sentiasa Memperbaiki Niat

Niat merupakan perkara yang paling penting dalam melaksanakan sesuatu ibadah. Antara peranan niat adalah menetapkan di dalam hati dan fikiran mengenai tujuan asal apabila hendak melakukan sesuatu perkara. Secara asasnya, Allah SWT memerintahkan setiap hamba-Nya untuk beribadah dalam keadaan yang ikhlas iaitu berniat hanya semata-mata dilakukan kerana-Nya sahaja, bukan disebabkan oleh tujuan-tujuan keduniaan yang lain. Berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”

Surah al-Bayyinah (5)

Berdasarkan dalil di atas, penganjuran majlis selawat dan zikir perlu berlandaskan matlamat utama iaitu mendidik masyarakat mengenai alunan zikir yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, membudayakan amalan berselawat serta menyuburkan rasa cinta terhadap Baginda SAW.

Majlis zikir dan selawat seharusnya berlangsung dalam suasana tawaduk, tenang dan mendamaikan kerana setiap individu hadir bagi merendahkan diri kepada Allah SWT serta mengharapkan keredaan-Nya. Oleh itu, memahami dengan jelas niat menyertai majlis ini dan sentiasa memperbaiki niat tersebut akan mendorong individu untuk menjaga tingkah laku dan memelihara diri daripada perbuatan yang boleh mengundang fitnah.

3.    Bersederhana Dalam Mengalunkan Bacaan Zikir dan Selawat

Syariat Islam amat menekankan prinsip kesederhanaan dalam pelbagai aspek kehidupan. Antaranya termasuklah juga tuntutan agar bersikap sederhana ketika berzikir dan berdoa kepada Allah SWT. Berdasarkan firman-Nya:

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

Maksudnya: “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.”

Surah al-A’raf (205)

Menurut Ibn Kathir, antara perkara yang ditekankan dalam ayat ini ialah tuntutan ke atas orang beriman agar berzikir dalam keadaan hati yang berasa takut kepada Allah SWT dan mengharapkan keampunan serta keredaan daripada-Nya. Oleh itu, alunan zikir yang dibacakan mestilah dalam keadaan yang tenang, bukan seperti seruan, laungan dan suara yang terlalu nyaring[5].  

4.    Memelihara Percakapan Dan Tingkah Laku (Warak)

Akhlak dan adab sopan merupakan cerminan masyarakat Islam sebagaimana Rasulullah SAW diutuskan kepada umatnya untuk menyempurnakan akhlak manusia. Menjaga percakapan dan tingkah laku merupakan perkara yang dituntut khususnya ketika berada dalam majlis zikir dan selawat. Firman Allah SWT:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا

Maksudnya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.

Surah al- Isra (53)

Matlamat dan tujuan penganjuran majlis zikir dan selawat adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tujuan berzikir adalah untuk menghadirkan hati dan seseorang itu dituntut sedaya-upaya menjiwai zikir dan selawat yang diungkapkan tersebut.[6] Ini menunjukkan tuntutan supaya memberi tumpuan pada zikir dan selawat dengan tidak menyibukkan diri dalam perkara lain terutamanya perkara yang tidak mendatangkan faedah agar ganjaran daripada Allah SWT dapat dicapai.

 

Tanggungjawab Pihak Penganjur

Dalam menjaminkan kelancaran majlis selawat dan zikir berlangsung, pihak penganjur sebaiknya mengaplikasikan maqasid al-Tadayyun iaitu mengaplikasikan agama dalam kehidupan dengan melahirkan rasa cinta pada Rasulullah SAW mengikut syarak. Manakala dalam kerangka maqasid al-’Umran iaitu konteks pembangunan sosial, pihak penganjur hendaklah menerapkan proses pembentukan akhlak dalam membangunkan masyarakat yang madani.

Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mencadangkan beberapa senarai semak kepada pihak penganjur bagi kelancaran majlis agar selari dengan hukum syarak antaranya:

  1. Mendapat kebenaran daripada pihak berautoriti.
  2. Majlis mestilah dilakukan di tempat yang bersesuaian agar tidak mengganggu ketenteraman awam.
  3. Memastikan majlis tidak disertai oleh perkara yang diharamkan syarak dan boleh mendatangkan fitnah terhadap agama.
  4. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.

Selain itu juga, pihak penganjur boleh rujuk Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali Ke-68 pada 12 April 2005 sebagai panduan.

Penutup

Majlis selawat dan zikir merupakan satu pendekatan rohani yang sangat bermanfaat dalam mendidik jiwa umat Islam untuk sentiasa mengingati Allah SWT dan mencintai Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun, penganjuran majlis seperti ini tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya tanpa berpandukan kepada garis panduan syarak yang jelas.

Adab dan etika seperti menjaga kesucian diri, memperbetulkan niat, bersederhana dalam bacaan serta menjaga akhlak sepanjang majlis adalah asas utama bagi memastikan keberkatan dan kesan positif daripada majlis tersebut. Selain itu, pihak penganjur juga memikul tanggungjawab besar dalam memastikan suasana majlis selawat dan zikir terpelihara daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan kehormatan agama Islam seperti hiburan yang melalaikan, percampuran bebas antara jantina dan lain-lain perkara yang ditegah.

Maka, pelaksanaan majlis selawat dan zikir yang berlandaskan prinsip-prinsip maqasid syariah bukan sahaja dapat menyuburkan elemen kerohanian dalam masyarakat malah berperanan penting dalam pembentukan sahsiah, penyatuan ummah dan pembangunan masyarakat madani. Semoga segala usaha penganjuran majlis seperti ini diterima sebagai amal soleh dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

 Wallahu a'lam.

 

 

Rujukan: 

[1] Abu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-’Arabiy, 1392H) Jld. 17 Hlm. 21

وَفِي هَذَا دَلِيلٌ لِفَضْلِ الِاجْتِمَاعِ عَلَى تِلَاوَةِ الْقُرْآنِ فِي الْمَسْجِدِ) وَهُوَ مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ الْجُمْهُورِ

[2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Azkar. (Beirut: Dar al-Fikr, 1414H) Hlm. 8

اعلم أنه كما يُستحبُّ الذكر يُستحبُّ الجلوس في حِلَق أهله

[3] Muhammad bin Ismail al-San’ani, Subul al-Salam. (t.tp: Dar al-Hadis, t.t.) Jld. 2 Hlm. 700

دَلَّ الْحَدِيثُ عَلَى فَضِيلَةِ مَجَالِسِ الذِّكْرِ وَالذَّاكِرِينَ وَفَضِيلَةِ الِاجْتِمَاعِ عَلَى الذِّكْرِ

[4] Abu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Azkar (t.tp:Dar Ibn Hazm, 2004), 44.

وينبغي أيضا أن يكون فمه نظيفا، فإن كان فيه تغير أزاله بالسواك، وإن كان فيه نجاسة أزالها بالغسل بالماء، فإن ذكر ولم يغسلها فهو مكروه

[5] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-’Azim (Beirut:Dar al-Kutubal-’Ilmiyyah,1998), 3:487.

وأما قوله : ( تضرعا وخيفة ) أي : اذكر ربك في نفسك رهبة ورغبة ، وبالقول لا جهرا ; ولهذا قال : ( ودون الجهر من القول ) وهكذا يستحب أن يكون الذكر لا يكون نداء و [ لا ] جهرا بليغا

[6] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Azkar. (Beirut: Dar al-Fikr, 1414H) Hlm. 12-13

المرادُ من الذكر حضورُ القلب، فينبغي أن يكون هو مقصودُ الذاكر فيحرص على تحصيله، ويتدبر ما يذكر، ويتعقل معناه