Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Pada era globalisasi kini, media sosial menjadi peranan penting dalam menyalur dan menyebarkan maklumat kepada masyarakat dengan lebih pantas. Tidak kurang juga keburukannya, media sosial juga dengan mudah boleh menjadi medium medan penyebaran kebencian, provokasi bahkan sehingga penghinaan terhadap agama. Sejak kebelakangan ini, banyak kejadian yang berlaku di media sosial melibatkan penghinaan terhadap agama Islam sama ada dilakukan oleh individu beragama Islam sendiri atau bukan beragama Islam. Sebagai contoh penghinaan terhadap Baginda SAW, simbol dan syiar agama seperi Kaabah, masjid dan seumpamanya.
Sebagai umat Islam kita berperanan untuk mempertahankan kesucian agama kita apabila dihina, namun syarak telah menetapkan beberapa etika dalam tindak-tanduk kita apabila menghadapi provokasi tersebut antaranya:
[1] Tidak boleh bertindak balas dengan menghina kembali agama mereka atau simbol-simbolnya yang akan menyebabkan reaksi mereka mencela agama Islam kembali. Bahkan tindakan tersebut boleh mendatangkan keburukan terhadap imej Islam itu sendiri dan boleh menjauhkan mereka terhadap agama Islam. Firman Allah SWT:
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.”
(Surah al-An‘am: 108)
[2] Bersabar dalam menghadapi celaan dan penghinaan terhadap Islam kerana bersabar itu merupakan akhlak yang diajar oleh Rasulullah SAW dan terdapat saranan daripada al-Quran. Firman Allah SWT:
وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلًا
Maksudnya: “Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik”.
(Surah al-Muzammil: 10)
[3] Bahkan Allah SWT menyarankan kepada hamba-Nya apabila menghadapi keburukan, kekasaran, celaan dan seumpamanya maka sebaiknya dibalas dengan kebaikan, kesabaran dan kemaafan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat ke 34.
Imam al-Maraghi menyebut bahawa menghadapi keburukan dan celaan dengan kebaikan dan kesabaran akan menyebabkan individu yang melakukan keburukan tersebut akan merasa malu dengan diri dan kelakuan buruknya serta akan meninggalkan kelakuan tersebut.[1]
[4] Masyarakat tidak perlu memviralkan video atau konten yang menghina Islam dan bercanggah dengan hukum syarak. Tindakkan menonton, menyokong, viral dan seumpamanya akan memberi kredit serta rating kepada konten tersebut malahan akan tersebar dengan lebih meluas. Perbuatan memviralkan konten tersebut ditakuti akan termasuk dalam kalangan yang membantu dalam keburukan dan maksiat sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
Surah al-Ma’idah (2)
[5] Menjadi tanggungjawab masyarakat Islam untuk melaporkan video-video yang mengandungi isi kandungan yang kontrovesi atau penghinaan terhadap agama Islam. Di Malaysia, sistem undang-undang wujud untuk mengekang perkara tersebut dan mana-mana individu yang memuat naik video mengandungi penghinaan terhadap agama Islam boleh dikenakan tindakan undang-undang. Hal ini kerana undang-undang yang dicipta oleh pihak kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan masyarakat, kaedah fiqh ada menyatakan:
تَصَرُّفُ الإِمَام عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوط بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat”.
Pada hari ini, tidak dinafikan cabaran dan tribulasi masyarakat Islam begitu besar dan berat. Sudah pasti mereka yang membenci Islam tidak akan berdiam diri dan sentiasa mencuba untuk menyekat, menghina, memperdaya dan melemahkan keimanan masyarakat Islam. Firman Allah SWT:
يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya: “Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”
(Surah al-Taubah: 32)
Dalam karya Ihtiram al-Muqaddasat, Dr. Muhammad ‘Imarah menekankan bahawa umat Islam hendaklah menampilkan akhlak mulia dan sikap terpuji dalam setiap aspek kehidupan termasuk ketika berhadapan dengan musuh. Beliau mengemukakan kisah daripada sirah Nabi SAW yang memperlihatkan contoh akhlak ini iaitu bagaimana Baginda memperlakukan para tawanan perang dengan penuh ihsan seperti memberikan makanan dan layanan yang baik. Perkara ini sangat penting kerana tawanan tersebut asalnya adalah musuh yang berperang menentang Islam, bahkan terdapat dalam kalangan mereka yang telah membunuh tentera Muslim. Namun begitu, Rasulullah SAW tetap menunjukkan akhlak seorang mukmin sejati yang beriman kepada Allah SWT dengan menyantuni mereka secara beradab dan berperikemanusiaan.[2]
Oleh itu, sebagai umat Islam dan pengguna media sosial, kita hendaklah yakin kepada janji Allah SWT, bersabar terhadap ujian dan cabaran serta sentiasa menjaga tingkah laku dan mempamerkan akhlak seorang muslim agar mendapat keredaan Allah SWT.
Wallahu’alam.
Rujukan:
[1] Muhammad bin Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi. (Mesir: Syarkah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1365) Jld. 24 Hlm. 131
دفع سفاهتهم وجهالتهم بالطريق التي هى أحسن الطرق، فقابل إساءتهم بالإحسان إليهم، والذنب بالعفو، والغضب بالصبر والإغضاء عن الهفوات، واحتمال المكاره، فإنك إن صبرت على سوء أخلاقهم مرة بعد أخرى ولم تقابل سفههم بالغضب، ولا أذاهم بمثله، استحيوا من ذميم أخلاقهم، وتركوا قبيح أفعالهم.
[2] Dr. Muhammad ‘Imarah, Ihtiram al-Muqaddasat dalam Haza Huwa al-Islam. (Kaherah: Maktabah al-Syuruk al-Dauliyyah, 1426H) Hlm. 26-27
وبادئ ذي بدء فإن القرآن الكريم قد جعل المعاملة الحسنة للأسرى، وإيثارهم بالطعام - المحبوب والمطلوب - على النفس ، صفة من صفات المؤمنين الأبرار، الذين وعدهم الله - سبحانه وتعالى - بجنات النعيم المقيم ، فقال سبحانه : ﴿إِنَّ الأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسٍ كَانَ مِزَاجُهَا كَافُوراً * عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ اللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا * يُوفُونَ بِالنَّدْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ شَرُّهُ مُسْتَطيراً * وَيُـ وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا * إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا * إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا * فَوَقَاهُمُ اللَّهُ شَرَّ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَلَقَّاهُمْ نَضْرَةً وَسُرُورًا * وَجَزَاهُم بِمَا صَبَرُوا جَنَّةً وَحَرِيرًا ) الإنسان : ٥ -١٢.
ولقد جاءت هذه الآيات في سورة الإنسان»، الذي جاهد غرائز الانتقام من الأسرى - الذين قتلوا إخوانه وذويه - فتسامى فوق غرائز الانتقام هذه، في لحظات القوة والقدرة، وعامل الأسرى الذين تجردوا من كل قوة، بهذا المستوى من مستويات الإنسانية والإيثار .