Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-326: GURAUAN MELAMPAU DENGAN SENTUHAN FIZIKAL ADALAH SATU BENTUK KEZALIMAN

GURAUAN_MELAMPAU_DENGAN_SENTUHAN_FIZIKAL_ADALAH_SATU_BENTUK_KEZALIMAN.jpg

SOALAN

Baru-baru ini tular insiden di mana seorang pelajar diperlakukan dengan ganas dengan alasan bergurau. Apakah hukum syarak ke atas pelaku yang melakukan gurauan fizikal sehingga memudaratkan mangsa?

RINGKASAN JAWAPAN

Insiden buli fizikal di IPT yang tular baru-baru ini menzahirkan kekeliruan serius dalam masyarakat apabila gurauan dijadikan alasan untuk menormalisasikan perbuatan zalim. Islam secara tegas melarang perbuatan ini melalui al-Quran dan sunnah yang mengharamkan sebarang ejekan lisan serta kemudaratan fizikal kerana ia adalah satu bentuk kezaliman. Tindakan ini secara langsung mencabuli prinsip utama maqasid syariah pada pelbagai peringkat termasuk merosakkan maruah (hifz al-‘ird), nyawa (hifz al-nafs) dan akal (hifz al-‘aql) individu, di samping menjejaskan tujuan beragama (maqasid al-Tadayyun) serta meruntuhkan asas masyarakat bertamadun (maqasid al-‘Umran). Sehubungan itu, gabungan intervensi melalui pendidikan nilai dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas seperti Akta Anti-Buli mesti digerakkan secara menyeluruh. Tujuannya adalah untuk mendidik masyarakat bahawa gurauan yang memudaratkan, walaupun diselubungi tawa tetap merupakan satu kezaliman yang tidak boleh diterima sama sekali.

HURAIAN JAWAPAN

Pendahuluan

Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melakukan kekerasan fizikal terhadap seorang rakan sambil disambut sorakan dan gelak tawa. Fenomena ini bukan insiden terpencil, sebaliknya menggambarkan trend buli yang kian meningkat. Statistik Kementerian Pendidikan Tinggi merekodkan lebih 600 kes buli di IPT dalam separuh pertama tahun 2025, peningkatan 38% berbanding tahun sebelumnya. Kejadian ini menunjukkan kekeliruan serius dalam masyarakat apabila perbuatan zalim disalah anggap sebagai gurauan.

Larangan Mengejek dan Merendahkan Maruah

Masalah ini berpunca daripada kegagalan memahami batas antara jenaka yang sihat dengan perbuatan yang mencabuli hak serta maruah individu. Al-Quran menegaskan larangan mengejek (lā yaskhar), mencela (lā talmizū) dan memberi gelaran buruk (lā tanābazū) seperti berikut:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٞ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرٗا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءٞ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرٗا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Surah al-Hujurat (11)

Menurut al-Maraghi, sukhriyah (ejekan) ialah perbuatan merendahkan seseorang dengan sengaja menonjolkan aib atau kekurangannya sehingga membuat orang lain ketawa dan memperolok-olokkannya.[1] Mungkin sahaja orang yang diejek memiliki hati yang lebih tulus dan jiwa yang lebih suci daripada si pengejek. Dengan merendahkan seseorang yang dimuliakan Allah SWT, si pengejek sebenarnya sedang menzalimi dirinya sendiri.[2]

Perkara ini seiring dengan penegasan bahawa pemeliharaan maruah insan (ḥifẓ al-ʿirḍ) adalah antara tujuan utama maqasid syariah. Perbuatan memperlekeh atau menghina rakan dengan gelak tawa, apatah lagi disertai kekerasan fizikal jelas melanggar prinsip tersebut. Gurauan yang melampaui batas seperti ini bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan bentuk kezaliman kerana ia menyakiti hati, merendahkan maruah dan menafikan hak individu untuk dihormati. Sekali gus bercanggah dengan ajaran Islam yang menekankan penghormatan dan pemeliharaan kehormatan manusia.

Larangan Memberi Kemudaratan Fizikal dan Mental

Selain itu, kekeliruan menganggap gurauan fizikal yang memudaratkan sebagai hiburan berpunca daripada kegagalan memahami prinsip Islam yang melarang sebarang bentuk kezaliman. Kemampuan untuk tidak menyakiti orang lain ini adalah kayu ukur kesempurnaan iman sebagaimana sabda Nabi SAW:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: Seorang Muslim yang sempurna imannya ialah orang yang tidak menyakiti sesama Muslim dengan kata-kata atau perbuatannya.

Menurut al-Baidawi, hadis ini menegaskan bahawa kesempurnaan Islam dan iman seseorang bergantung pada kemampuannya menahan diri daripada menyakiti orang lain sama ada melalui perbuatan fizikal (tangan) mahupun ucapan atau perbuatan yang menyakitkan hati (lidah, ejekan, ancaman). Mengabaikan hak dan maruah sesama Muslim atau mana-mana insan yang dilindungi syariat merupakan tanda kekurangan iman dan pengabaian terhadap tuntutan Islam yang sebenar.[3]

Setiap perbuatan yang menimbulkan kemudaratan fizikal dan mental jelas menyalahi prinsip pemeliharaan nyawa dan tubuh badan (ḥifẓ al-nafs) serta akal dan kesihatan mental (ḥifẓ al-‘aql) dalam Islam. Sebagai contoh, insiden di IPT yang melibatkan kekerasan fizikal dan tekanan emosi memperlihatkan pelanggaran prinsip tersebut secara nyata. Tindakan sebegini bukan sahaja mencerminkan kelemahan iman, malah menunjukkan pengabaian tanggungjawab menjaga maruah sesama manusia. Justeru itu, wajib dihentikan untuk memastikan keselamatan individu serta memelihara kemaslahatan masyarakat secara menyeluruh.

Penutup

Tuntasnya, gurauan melampau dengan sentuhan fizikal jelas merupakan satu bentuk kezaliman kerana ia bukan sahaja menyalahi norma sosial dan undang-undang, tetapi juga mencederakan maruah serta keselamatan individu. Perbuatan ini melibatkan perlakuan yang merendahkan orang lain sehingga menghakis kehormatan dan keyakinan diri mangsa. Hukum syarak menetapkan bahawa perbuatan sebegini adalah haram.

Sementara itu, tindakan sedemikian menjejaskan keselamatan fizikal dan kesejahteraan mental yang jelas bertentangan dengan prinsip pemeliharaan nyawa dan tubuh badan (ḥifẓ al-nafs) serta akal dan kesihatan mental (ḥifẓ al-‘aql). Insiden seperti di IPT ini menunjukkan kelemahan iman dan pengabaian tanggungjawab menjaga maruah sesama manusia.

Perbuatan ini juga menjejaskan maqasid al-Tadāyun iaitu tujuan syariah dalam menjaga akhlak, iman dan kehormatan individu. Sementara itu ia merosakkan maqasid al-‘Umrān sebagai tatanan masyarakat yang selamat, harmoni dan bertamadun. Sehubungan itu, pendidikan nilai, intervensi berterusan dan penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Anti-Buli perlu digerakkan secara menyeluruh supaya masyarakat memahami bahawa gurauan yang mencederakan, walaupun diselubungi tawa, tetap merupakan kezaliman yang tidak boleh diterima sama sekali.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Aḥmad ibn Muṣṭafā al-Marāghī, Tafsīr al-Marāghī, (Kaherah: Muṣṭafā al-Bābī al-Ḥalabī wa-Awlādihi, 1365 H/1946 M), 26: 132. Teks asal:

السخرية: الاحتقار وذكر العيوب والنقائص على وجه يضحك منه، يقال سخر به وسخر منه، وضحك به ومنه، وهزىء به ومنه والاسم السخرية والسخرى (بالضم والكسر) 

[2] Ibid, 26: 133. Teks asal:

فينبغى ألا يجترىء أحد على الاستهزاء بمن تتقحمه عينه لرثاثة حاله، أو لكونه ذا عاهة فى بدنه، أو لكونه غير لبق فى محادثته، فلعله أخلص ضميرا وأنقى قلبا ممن هو على ضد صفته، فيظلم نفسه بتحقير من وقّره الله تعالى.

[3] ʿAbd Allāh ibn ʿUmar al-Bayḍāwī, Tuḥfat al-Abrār Sharḥ Maṣābīḥ al-Sunnah, ed. Lajnah Mukhtaṣṣah bi-Ishrāf Nūr al-Dīn Ṭālib (Kuwait: Wizārat al-Awqāf wa-al-Shuʾūn al-Islāmiyyah, 2012/1433 H), 1: 70. Teks asal:

من لم يراع حكم الله تعالى في ذمام المسلمين والكف عنهم لم يكمل إسلامه, ومن لم يكن له جاذبة نفسانية إلى رعاية الحقوق وملازمة العدل فيما بينه وبين الناس فلعله لا يراعي ما بينه وبين الله تعالى, فيخل بإيمانه.