Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-330: GARIS PANDUAN PAKAIAN BAGI ARTIS WANITA MENURUT ISLAM

GARIS_PANDUAN_PAKAIAN_BAGI_ARTIS_WANITA_MENURUT_ISLAM.jpg

 

MUKADIMAH

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Fenomena artis mengenakan pakaian keterlaluan atas nama seni semakin mendapat perhatian dalam masyarakat Malaysia. Sebagai seorang artis yang dilihat dan diikuti oleh masyarakat, batas kesopanan tetap perlu dijaga. Pakaian bukan sekadar gaya tetapi cerminan nilai, moral dan identiti seseorang lebih-lebih lagi bagi mereka yang tampil di khalayak umum.

Pemakaian bagi wanita muslimah bukan sekadar soal budaya atau kecantikan, tetapi merupakan satu tuntutan syariat yang bertujuan menjaga maruah, kehormatan serta kemaslahatan diri dan masyarakat. Islam menetapkan beberapa garis panduan yang jelas berdasarkan al-Quran dan hadis agar wanita berpakaian dengan cara yang sopan, menutup aurat, dan tidak menimbulkan fitnah.

Garis panduan ini menegaskan bahawa artis sama ada muslim atau tidak wajib menjaga penampilan kerana mereka membawa imej diri, masyarakat dan negara. Islam telah menetapkan adab berpakaian dengan jelas, manakala budaya Malaysia menyokong nilai kesopanan sebagai asas keharmonian sosial.

  • Menutup Aurat dengan Sempurna

Antara perkara utama dalam berfesyen dengan mematuhi prinsip asas syariat ialah memastikan pakaian tersebut benar-benar menutup aurat dan selaras dengan ketetapan agama. Ini bertepatan dengan perintah Allah SWT yang mengarahkan hamba-Nya supaya berpakaian menutup aurat, sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ‎﴿٢٦﴾

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya”

Surah Al-A’raf (26)

Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT menjelaskan bahawa terdapat tiga kategori pakaian, iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian sebagai perhiasan dan pakaian takwa. Istilah اللباس merujuk kepada pakaian asas (daruriyyah) yang berfungsi menutupi aurat. Sementara itu, الريش membawa maksud sesuatu yang dipakai bagi menambah kecantikan luaran (bersifat pelengkap atau takmilat).

Bukan itu saja, kriteria lain yang disebutkan dalam al-Quran juga menetapkan pakaian wanita perlu menutup kecuali yang zahir sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;

Surah al-Nur (31)

Ayat ini menegaskan kewajipan menutup aurat dan mengarahkan wanita melabuhkan tudung sehingga menutupi dada. Begitu juga terdapat hadis Nabi SAW kepada Asma’ binti Abu Bakar:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Wahai Asma’, sesungguhnya apabila seorang wanita telah baligh, tidak boleh terlihat daripadanya kecuali ini dan ini (wajah dan tapak tangan).

(Riwayat Abu Daud)

  • Pakaian Tidak Ketat dan Tidak Menampakkan Bentuk Tubuh

Walaupun menutup aurat, pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh tetap tidak dibenarkan kerana ia bercanggah dengan tujuan menutup aurat iaitu menghalang fitnah.

Rasulullah SAW juga ada menerangkan mengenai golongan yang berpakaian namun dikira sebagai bertelanjang:

ونِساءٌ كاسِياتٌ عارياتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَت

Maksudnya: “Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan”.

(Riwayat Muslim)

Dalam memahami maksud hadith, Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni ada menerangkan maksud كاسِياتٌ عارياتٌ dalam hadith diatas ialah mereka yang berpakaian tetapi bertelanjang dalam tafsirnya[1] seperti berikut:

كاسيات في الصورة عاريات في الحقيقة، لأنهنّ يلبسن ملابس لا تستر جسداً، ولا تخفي عورة، والغرض من اللباس السترُ، فإذا لم يستر اللباس كان صاحبه عارياً

Maksudnya: “Berpakaian namun bertelanjang pada hakikatnya, kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutupi badan dan menyembunyikan aurat, dan tujuan berpakaian ialah menutupi (aurat), maka sekiranya pakaian itu tidak menutupi (auratnya) maka si pemakainya dikira bertelanjang.”

 

  • Pakaian Tidak Jarang atau Nipis

Begitu juga, pakaian wanita hendaklah tebal sehingga tidak menampakkan warna kulit atau bayang tubuh. Pakaian nipis dianggap seolah-olah tidak menutup aurat.

Sifat-sifat pakaian seperti ini jelas ditegah oleh Rasulullah SAW dalam hadis berikut:

صِنْفانِ مِن أهْلِ النَّارِ لَمْ أرَهُما، قَوْمٌ معهُمْ سِياطٌ كَأَذْنابِ البَقَرِ يَضْرِبُونَ بها النَّاسَ، ونِساءٌكاسِياتٌ عارِياتٌ مُمِيلاتٌ مائِلاتٌ، رُؤُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ البُخْتِ المائِلَةِ، لا يَدْخُلْنَ الجَنَّةَ، ولا يَجِدْنَ رِيحَها، وإنَّ رِيحَها لَيُوجَدُ مِن مَسِيرَةِ كَذا وكَذا.

Maksudnya: “Dua golongan termasuk ahli neraka ialah wanita-wanita yang berpakaian separuh bogel (kerana memakai pakaian yang nipis atau yang menampakkan susuk badan), yang berjalan dengan berlenggang lenggok (seperti perjalanan seorang pelacur), yang kepalanya terhuyung-hayang laksana kelana unta yang bergoyang-goyang, wanita-wanita itu tidak akan memasuki syurga, sedangkan bau syurga itu akan tercium dalam jarak sekian dan sekian.”

(Riwayat Muslim)

  • Tidak Menyerupai Pakaian Lelaki

Islam melarang wanita memakai pakaian yang khusus bagi lelaki, seperti pakaian yang direka untuk menyerupai identiti maskulin.

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Nabi SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.

(Riwayat al-Bukhari)

  • Tidak Menyerupai Pakaian Agama Lain atau Golongan Fasik

Wanita muslimah tidak boleh memakai pakaian yang menyerupai identiti atau simbolik agama lain atau pakaian khas golongan maksiat yang boleh menimbulkan fitnah. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk daripada kaum tersebut.

(Riwayat Abu Daud)

  • Tidak Berlebihan Menarik Perhatian (Tabarruj)

Pakaian tidak boleh bertujuan menonjolkan diri, riak atau menarik perhatian lelaki. Ini termasuk pakaian yang terlalu glamor, berkilat atau aksesori berlebihan sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertabaruj seperti wanita jahiliah dahulu.

Surah Al-Ahzab (33)

Pakaian Melambangkan Identiti Bangsa dan Negara

Malaysia ialah negara majmuk, tetapi nilai budaya dan moral tetap menjadi asas kehidupan masyarakatnya. Sama ada seseorang artis itu Muslim atau bukan Muslim, mereka tetap membawa imej negara apabila tampil dalam media tempatan atau antarabangsa.

Rukun Negara yang kelima jelas menyebut “Kesopanan dan Kesusilaan” bukan hanya prinsip moral untuk rakyat umum, tetapi juga garis panduan etika kepada semua tokoh awam termasuk artis. Pakaian yang terlalu seksi atau melampau bukan sahaja tidak mencerminkan adab budaya Malaysia, tetapi juga mencemarkan imej negara.

Seorang artis bukan sekadar individu yang menghasilkan karya tetapi merupakan figura awam yang mewakili akhlak masyarakat, budaya negara dan identiti Malaysia di mata dunia.

Apabila mereka melanggar batas kesopanan atas alasan seni, implikasinya tidak terhenti pada diri mereka sahaja tetapi memberi gambaran buruk terhadap nilai masyarakat Malaysia sendiri. Ramai artis dunia menunjukkan bahawa kematangan dan kreativiti tidak memerlukan pakaian yang terdedah. Keanggunan, keyakinan dan profesionalisme boleh ditampilkan melalui reka bentuk pakaian yang elegan, gaya yang sederhana tetapi berkarisma dan penampilan yang menghormati norma masyarakat. Kreativiti tidak terhad pada keberanian mendedahkan tubuh, malah kreativiti sebenar ialah menghasilkan penampilan menarik tanpa melanggar nilai moral.

PENUTUP

Garis panduan pemakaian bagi artis wanita bukan bertujuan menyulitkan tetapi sebagai pelindung maruah, harga diri dan kehormatan wanita. Penampilan artis mempunyai implikasi sosial yang besar khususnya dalam membentuk norma kesopanan masyarakat. Apabila dapat menjaga garis panduan ini, sudah pasti gaya penampilannya akan menjadi cerminan peribadi sebagai seorang Muslim, bahkan turut mempengaruhi masyarakat awam ke arah kebaikan. Berdasarkan prinsip al-Quran, hadis serta budaya Malaysia, pemakaian keterlaluan tidak wajar dijadikan alasan di bawah nama seni.

Dalam negara yang menekankan kesopanan dan kesusilaan, artis mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk menampilkan imej yang profesional, beretika dan mencerminkan maruah diri serta negara. Dengan mengikut garis panduan, para artis juga membantu menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berakhlak, bermoral dan beradab, sekali gus dilihat dengan pandangan yang baik oleh mayarakat tempatan mahu pun antarabangsa. Seni yang berpaksikan nilai bukan sahaja lebih berkualiti tetapi juga lebih dihormati dan memberi manfaat kepada masyarakat. Dengan itu, pemakaian beradab yang selarass dengan ajaran Islam dan budaya Malaysia menjadi asas penting dalam membentuk industri seni yang matang, bermaruah dan disegani.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Muhammad ‘Ali al-Sabuni, Tafsir Rawai’ul Bayan fi Tafsir Ayat al-Ahkam min al-Quran al-Karim. Damsyik: Dar al-Fikr, 2001. h.385