Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-336: ADAKAH SEMUA HUTANG TERCELA DALAM ISLAM?

slide_23.JPG

 

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Selalu kita dengar yang hutang itu perkara yang tidak digalakkan, namun sekarang kita dapati ada yang mengajar berkenaan hutang yang baik dan hutang yang tidak baik. Adakah perkara ini bertepatan dengan hukum Islam?

Ringkasan Jawapan

Islam secara umumnya tidak menggalakkan umatnya untuk berhutang tetapi tidak pula mengharamkannya. Kontrak hutang adalah diharuskan oleh syarak jika dilaksanakan mengikut panduan yang ditetapkan. Ia tidak dianggap tercela selagi penghutang mempunyai niat yang jujur dan meminjam mengikut kadar kemampuan. Namun, kawalan hutang perlu ada agar tidak membawa kepada status bankrap. Hutang hanya menjadi tercela apabila diambil tanpa tujuan yang benar, melampaui kemampuan atau dilakukan dengan niat sengaja untuk tidak membayarnya semula.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Jika dilihat kepada beberapa hadis, didapati bahawa antara doa yang sering diminta oleh Rasulullah SAW adalah agar dijauhi daripada hutang. Hal ini boleh dilihat antaranya dalam hadis yang diriwayatkan 'Aisyah RA bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلَاةِ وَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِنْ الْمَغْرَمِ قَالَ إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW sering berdoa dalam solat: “Ya Allah aku berlindung kepadamu dari berbuat dosa dan terlilit hutang.” Lalu ada seseorang yang bertanya: Mengapa anda banyak meminta perlindungan daripada hutang wahai Rasulullah? Baginda menjawab: "Sesungguhnya seseorang apabila berhutang ketika dia berbicara biasanya dia berdusta dan bila berjanji sering mengingkarinya.”

(Riwayat Bukhari)

Meskipun terdapat hadis-hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW meminta dijauhkan daripada hutang, namun ini tidak bermakna ia dilarang secara mutlak. Menurut Dr. Muhammad al-Zuhayli, hukum berhutang tertakluk kepada hukum taklifi yang lima mengikut situasi seperti berikut:

  1. Wajib: Jika seseorang sangat memerlukan dana untuk menyara diri dan keluarga yang mana tiada jalan lain selain berhutang.
  2. Sunat: Dilihat daripada sudut pemiutang yang membantu orang dalam kesempitan.
  3. Harus: Bagi orang yang memerlukan dan mengetahui kemampuannya untuk membayar balik.
  4. Makruh: Jika wang pinjaman digunakan untuk perkara yang tidak mendesak seperti pembaziran atau peminjam tahu dia tidak mampu melunaskannya.
  5. Haram: Jika pinjaman digunakan untuk tujuan maksiat atau perkara yang dilarang syarak. [1]

Dalam memahami perkara ini, kita perlu melihat kepada elemen maqasid hutang, iaitu bertujuan untuk memberi kemudahan (al-taisir) dan menghilangkan kesempitan (raf’ul haraj) dalam urusan kehidupan. Malahan, Rasulullah SAW sendiri pernah berhutang seperti yang diriwayatkan oleh Abi Rafi’:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اسْتَسْلَفَ مِنْ رَجُلٍ بَكْرًا فَقَدِمَتْ عَلَيْهِ إِبِلٌ مِنْ إِبِلِ الصَّدَقَةِ فَأَمَرَ أَبَا رَافِعٍ أَنْ يَقْضِيَ الرَّجُلَ بَكْرَهُ فَرَجَعَ إِلَيْهِ أَبُو رَافِعٍ فَقَالَ مَا أَجِدُ فِيهَا إِلَّا خِيَارًا رَبَاعِيًا فَقَالَ أَعْطِهِ إِيَّاهُ فَإِنَّ خِيَارَ النَّاسِ أَحَسَنُهُمْ قَضَاءً

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah meminjam unta muda daripada seorang lelaki, ketika unta sedekah tiba, maka beliau pun memerintahkan Abu Rafi' untuk membayar unta muda yang dipinjamnya kepada laki-laki tersebut. Lalu Abu Rafi' kembali kepada beliau seraya berkata, "Aku tidak mendapatkan unta muda kecuali unta yang sudah dewasa." Beliau bersabda: "Berikanlah kepadanya, sebaik-baik manusia adalah yang paling baik dalam membayar hutang.”

(Riwayat Muslim)

Imam Muslim mensyarahkan hadis ini menyebut bahawa hadis ini merupakan dalil keharusan berhutang dan Rasulullah SAW berhutang kerana ada keperluan walaupun Baginda sentiasa memohon perlindungan daripada keberhutangan.[2]

Dalam konteks realiti masa kini, hutang hampir tidak boleh dielakkan bagi memiliki keperluan asas seperti rumah dan kenderaan. Namun, berhutang untuk perkara asas ini mestilah berdasarkan kemampuan penghutang. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain dengan niat untuk membayarnya kembali, maka Allah SWT akan membantunya melunaskan hutang itu. Tetapi sesiapa yang mengambil harta tersebut dengan niat untuk tidak membayarnya, maka Allah akan membinasakannya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Tambahan pula, hutang juga boleh menjadi satu instrumen pelaburan seperti mengambil pembiayaan ASB atau mengambil pembiayaan mikro perniagaan. Perkara seperti ini membantu peniaga-peniaga khususnya industri kecil dan sederhana untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka lalu meningkatkan pendapatan mereka. Namun, mereka juga mestilah melengkapkan diri dengan ilmu berkenaan strategi perniagaan yang lebih baik untuk mengurangkan risiko kerugian.

Walaupun diharuskan, kawalan hutang perlu ada agar tidak membawa kepada kebankrapan. Data terkini menunjukkan trend keberhutangan yang membimbangkan di Malaysia apabila sebanyak 4,875 kes kebangkrapan baru direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025. Secara purata, sekitar 17 hingga 18 individu didaftarkan bankrap setiap hari. Kumpulan umur 35 hingga 44 tahun mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 39.7% daripada keseluruhan kes, manakala kes melibatkan individu bawah 30 tahun dikesan melonjak hampir 60% pada tahun 2025. Punca utama kepada situasi ini adalah kegagalan mengurus pinjaman peribadi yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah kes (45% hingga 49%), diikuti oleh pinjaman perniagaan (16%-19%) serta sewa beli kenderaan dan perumahan.[3]

Oleh itu, setiap individu wajib memastikan nisbah hutang mereka berada pada tahap yang sihat dan sentiasa berniat jujur untuk melunaskannya bagi mendapatkan pertolongan Allah SWT. Sebarang kesulitan dalam pengurusan kredit perlulah dirujuk kepada agensi profesional seperti AKPK untuk penstrukturan semula sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Kesimpulan

Islam secara umumnya tidak menggalakkan umatnya untuk berhutang tetapi tidak pula mengharamkannya. Kontrak hutang adalah diharuskan oleh syarak jika dilaksanakan mengikut panduan yang ditetapkan. Ia tidak dianggap tercela selagi penghutang mempunyai niat yang jujur, meminjam mengikut kadar kemampuan, serta mempunyai kawalan diri agar tidak terjebak dalam kancah bankrap. Justeru, hutang hanya menjadi tercela apabila diambil tanpa tujuan yang benar, melampaui kemampuan atau dilakukan dengan niat sengaja untuk tidak membayarnya semula.

WaAllahua’lam.

[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’i, (Beirut: Dal al-Qalam, 2011), 3:166.

فيجوز للشخص المحتاج أن يطلب قرضاً من غيره إذا علم من نفسه القدرة على الوفاء ، ويندب لمن طلب منه أن يبذله لمحتاجه ، وقد يحرم القرض إذا كان يقترض ليصرفه في معصية ، كشرب الخمر ، وقد يكره إذا كان يصرفه في غير مصلحة كالبذخ ، أو كان الشخص يعلم من نفسه العجز عن الوفاء ، وقد يجب إذا كان محتاجاً إليه لينفقه على نفسه وأهله وعياله ولا سبيل له غيره

[2] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj bi Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392H), 11/37.

وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ جَوَازُ الِاقْتِرَاضِ وَالِاسْتِدَانَةِ وَإِنَّمَا اقْتَرَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لِلْحَاجَةِ وَكَانَ صلى الله عليه وسلم يَسْتَعِيذُ بِاللَّهِ مِنَ ‌الْمَغْرَمِ وَهُوَ الدَّيْنُ

[3] Sila lihat: https://www.mdi.gov.my/wp-content/uploads/2025/06/BRIEF-NOTE-MEI-2025.pdf