Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-339: MENILAI KEROSAKAN BUDAYA KELAB MALAM DAN DISKO

DISKO_2.JPG

Pendahuluan

Budaya kelab malam dan disko berkembang sebagai satu bentuk hiburan urban yang semakin diterima dalam kehidupan masyarakat moden. Fenomena ini bukan sekadar perubahan gaya hidup, tetapi mencerminkan pergeseran nilai yang menjejaskan fungsi agama dalam ruang sosial.

Menurut kerangka maqasid, tadayun berperanan mengawal tingkah laku manusia agar selaras dengan tuntutan syariah. Manakala umran menuntut pembinaan masyarakat yang kukuh, berdisiplin dan berpandukan nilai murni. Apabila hiburan tanpa batas diterima sebagai norma, maka agama tidak lagi menjadi rujukan utama dalam menentukan batas tingkah laku. Akibatnya, struktur sosial dibina atas nilai keseronokan semata-mata.

Kelab malam muncul bukan sekadar sebagai ruang hiburan, tetapi sebagai ekosistem yang menggabungkan arak, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan kelalaian akal. Keadaan ini menuntut satu penilaian etika yang tegas dan berpandukan syariah.

Ekosistem maksiat di kelab malam

Islam tidak hanya mengharamkan perbuatan dosa secara langsung, bahkan menutup segala jalan yang membawa kepadanya. Prinsip ini jelas dalam firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Surah al-Israa’ (32)

Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa larangan menghampiri zina merangkumi semua faktor, ruang dan suasana yang boleh mendorong manusia ke arah perbuatan tersebut, meskipun belum sampai kepada perbuatan zina itu sendiri.[1] Prinsip ini membentuk asas kaedah Sadd al-Dhara'i iaitu menutup pintu-pintu kerosakan sebelum ia berlaku.

Kelab malam berfungsi sebagai persekitaran yang menghimpunkan rangsangan syahwat, pergaulan tanpa batas dan suasana yang menghilangkan rasa malu. Kehadiran dalam persekitaran sebegini bukan bersifat neutral. Ia merupakan penyertaan dalam satu sistem sosial yang bertentangan dengan tujuan pemeliharaan agama dan pembinaan nilai masyarakat yang sihat.

Status hadiri majlis yang menghidangkan arak

Arak merupakan elemen teras dalam budaya kelab malam. Larangan terhadap arak bukan hanya tertumpu kepada peminumnya, tetapi turut melibatkan mereka yang hadir dan bersekongkol dalam majlis tersebut. Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ

Maksudnya: Allah melaknat arak, orang yang meminumnya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang membelinya, yang memerahnya, yang meminta diperahkannya, yang membawanya dan yang dibawakan kepadanya.

(Riwayat Abu Dawud)

Berdasarkan prinsip ini, duduk di dalam majlis yang dihidangkan arak adalah haram walaupun seseorang itu tidak meminum arak tersebut.[2] Kehadiran tersebut dikira sebagai sokongan terhadap maksiat yang dilakukan secara terbuka. Dalam konteks kelab malam, arak bukan unsur sampingan, bahkan menjadi asas operasi premis tersebut.

Sokongan ekonomi dan rantaian maksiat

Penglibatan dalam budaya kelab malam turut berlaku melalui sokongan ekonomi. Bayaran masuk, pembelian minuman dan penglibatan pekerjaan semuanya menyumbang kepada kelangsungan industri yang berteraskan maksiat. Prinsip syariah menegaskan bahawa menyokong sesuatu yang haram turut membawa hukum yang sama.

Oleh yang demikian, bekerja atau terlibat dalam sektor yang asasnya ialah perjudian dan arak adalah haram kerana ia membantu menyebarkan dan mengekalkan maksiat dalam masyarakat.[3] Prinsip ini terpakai secara langsung kepada industri kelab malam yang menjadikan perkara haram sebagai sumber keuntungan. Harta yang diperoleh melalui rantaian ini menghakis keberkatan hidup dan melemahkan asas pembinaan masyarakat yang harmoni.

Kedudukan sertai dalam premis maksiat

Berdasarkan kaedah fiqh, prinsip sadd al-zara’i (menutup punca keburukan) menetapkan bahawa segala yang membawa kepada perkara haram turut dihukumkan sebagai haram. Penglibatan di tempat maksiat melalui kehadiran, bayaran yuran masuk, sokongan sosial atau meredai perbuatan tersebut secara tidak langsung adalah dilarang.

Niat yang baik tidak boleh dijadikan alasan menghalalkan perbuatan yang jelas melanggar syarak dan membuka pintu fitnah. Kelab malam dan disko adalah persekitaran yang dominan dengan unsur haram dan syubhah. Perkara ini menjadikan kehadiran di situ bertentangan dengan prinsip pencegahan kemungkaran dalam Islam.

Larangan ini bukan sekadar melindungi individu daripada maksiat, tetapi juga selaras dengan matlamat agama (maqasid tadayyun) dan pembangunan ketamadunan (maqasid umran). Tujuannya adalah memelihara penghayatan agama, mengekalkan nilai moral dan membina masyarakat yang teratur dan beradab.

Pengecualian dan keadaan darurat di kelab malam

Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan pengecualian dalam keadaan tertentu yang benar-benar mendesak.[4] Antaranya termasuklah kehadiran bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang, keselamatan awam atau penyelamatan nyawa. Prinsip ini selari dengan maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan agama (hifz al‑din), nyawa (hifz al‑nafs) dan masyarakat (hifz umran).

Dalam konteks ini, tindakan penguatkuasaan undang‑undang terhadap premis maksiat seperti kelab malam yang menjadi ancaman kepada keselamatan awam, jenayah sosial dan normalisasi dosa boleh dianggap sebagai satu keperluan darurat untuk melindungi masyarakat yang lebih luas daripada kerosakan berterusan. Selain itu, terdapat juga situasi pekerjaan yang bersifat terpaksa dan tiada alternatif lain.

Namun, keharusan berada dalam premis maksiat dalam situasi darurat atau pekerjaan terpaksa hanya dibenarkan dengan syarat yang sangat ketat. Contohnya individu mesti tidak terlibat secara langsung dengan maksiat, kehadiran sekadar memenuhi keperluan, tidak reda atau berasa seronok dengan suasana maksiat dan disertai usaha mencari alternatif yang lebih halal dan selamat.

Dalam konteks ini, setiap tindakan mesti dilaksanakan dengan penuh kesedaran terhadap kewajipan amar makruf dan nahi mungkar, walaupun hasilnya tidak nampak.[5] Hal ini kerana kehadiran dalam premis maksiat menjadi tanggungjawab amanah yang terkawal, bukannya lesen bebas dan tidak menimbulkan kemudaratan tambahan atau menyokong secara langsung atau tidak langsung ekosistem maksiat.

Hiburan Islam sebagai penilai budaya kelab malam

Kelab malam jelas menonjol sebagai persekitaran maksiat. Kehadiran arak, tarian ghairah, muzik melalaikan dan interaksi bebas tanpa batas aurat mengikis disiplin moral. Ia menormalisasi keseronokan tanpa tanggungjawab dan memberi impak negatif kepada masyarakat secara meluas. Aktiviti ini bertentangan dengan prinsip hiburan Islam kerana gagal menyucikan jiwa dan melemahkan ketahanan sosial.

Sebaliknya, Islam mengiktiraf hiburan sebagai sebahagian daripada fitrah manusia untuk berehat dan mencari keseronokan. Namun, hiburan yang sah mesti menjadi alat pembinaan jiwa dan masyarakat, bukan sekadar pengalih perhatian daripada kewajipan agama atau norma sosial. Garis panduan menetapkan bahawa hiburan sah mesti bebas maksiat, menjaga adab dan aurat, tidak melalaikan kewajipan agama atau tanggungjawab sosial dan tidak melibatkan perkara haram.[6]

Dengan keadaan demikian, kelab malam yang gagal memenuhi kriteria ini bukan sekadar hiburan, tetapi ancaman kepada maqasid tadayun dan umran. Aktiviti hiburan yang tidak terkawal menekankan keseronokan peribadi berbanding tanggungjawab. Akibatnya, masyarakat yang dibina atas hiburan semata-mata tanpa asas moral dan sosial kehilangan keseimbangan, ketertiban dan integriti sosial. Oleh itu, prinsip hiburan Islam menjadi garis panduan kritikal untuk menilai, menapis dan mengawal budaya hiburan supaya akhlak individu dan kesejahteraan masyarakat tidak rosak.

Kesimpulan

Budaya kelab malam dan disko jelas melampaui sekadar hiburan. Ia merupakan ancaman nyata kepada disiplin moral dan integriti sosial. Kesedaran masyarakat mesti diperkukuh supaya individu mampu mengenal pasti persekitaran yang merosakkan akhlak dan mengekalkan tanggungjawab sosial.

Kerajaan perlu bertindak proaktif melalui penguatkuasaan tegas terhadap premis maksiat, pelaksanaan garis panduan hiburan beretika dan penyediaan alternatif hiburan sihat yang membina. Polisi yang berpandukan maqasid tadayun dan umran mampu memperkukuh masyarakat berdisiplin, beretika dan menangkis kesan negatif daripada aktiviti yang tidak terkawal.

Akhirnya, pengukuhan nilai moral dan sosial bukan tanggungjawab individu sahaja. Ia menuntut kerjasama strategik antara komuniti, pemimpin agama dan pihak berkuasa untuk mewujudkan ekosistem hiburan yang selamat, bermanfaat dan memelihara kesejahteraan masyarakat moden.

[1] Ismail bin Umar Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, ed. Sami bin Muhammad Salamah (Riyadh: Dar Taybah, 1999), jil. 5, hlm. 72.

[2] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, “Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-222 Hukum Duduk Di Dalam Majlis Yang Dihidang Arak Padanya,” 20 Februari 2018, https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/2384-irsyad-al-fatwa-siri-ke-222-hukum-duduk-di-dalam-majlis-yang-dihidang-arak-padanya

[3] General Iftaa’ Department of Jordan, “Hukum Bekerja di Tempat Perjudian dan Kasino,” Fatwa No. 3547, https://aliftaa.jo/fatwa/3547/

[4] Fadl bin ‘Abd Allah Murad, al-Qawa‘id al-Umm lil-Fiqh (wa Atharuha fi al-Sina‘ah al-Fiqhiyyah al-Mutaqadimah wa al-Mu‘asirah): Dirasah Ta’siliyyah Tanziliyyah li-I‘adah Taf‘iliha fi Waqi‘ina al-Fiqhi al-Mu‘asir, cet. 1 (Damsyiq: Dar Ibn Kathir, 2025), 390. Teks asal:

وقد جعل تاج الدين السبكي في الاشباه قاعدة الضرورات هذه منتزعة من قاعدة الضرر يزال

[5] Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri, Tuhfah al-Murid ‘ala Jawharah al-Tawhid, (Kaherah: Dar al-Salam, t.t.), 1:329. Teks asal:

واعلم أن لوجوب الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر شروطا، أحدها: أن يكون المتولي لذلك عالما بما يأمر به وينهى عنه، فالجاهل بالحكم لا يحل له الأمر ولا النهي فليس للعوام أمر ولا نهي فيما يجهلونه، وأما الذي استوى في معرفته العام والخاص ففيه للعالم وغيره الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر.

[6] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Garis Panduan Hiburan Dalam Islam Edisi Kedua (Putrajaya: JAKIM, 2015), https://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/2025/Garis_Panduan_Hiburan_Dalam_Islam_Edisi_Kedua_2015.pdf.