Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-350: LARANGAN MENYANDARKAN PERBUATAN MAKI HAMUN KEPADA ALLAH SWT

LARANGAN_MENYANDARKAN_PERBUATAN_MAKI_HAMUN_KEPADA_ALLAH_SWT.jpg

SOALAN

Assalamualaikum. Apakah hukum seseorang mengatakan bahawa dalam al-Quran bahawa Allah SWT memaki hamun orang yang kafir daripada kalangan hambaNya?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Perbuatan menyandarkan kata-kata maki hamun kepada Allah SWT adalah perbuatan yang bercanggah dengan akidah Islam dan haram di sisi syarak kerana ia menyalahi prinsip tanzih Allah daripada segala kekurangan dan menyifatkan sifat kesempurnaan kepada Allah SWT. Perbuatan tersebut juga mencerminkan adab yang buruk terhadap Allah, sedangkan para nabi seperti Nabi Ibrahim AS dan Nabi Khidr AS telah menunjukkan contoh terbaik dalam berbahasa dengan penuh adab yang tinggi bagi Allah SWT. Oleh itu, setiap Muslim wajib memelihara tutur kata terhadap Allah SWT sebagai tanda keimanan dan pengagungan kepada-Nya.

Waallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Perbuatan menyatakan bahawa Allah SWT maki hamun orang kafir adalah satu kenyataan yang salah dari sudut akidah dan buruk adabnya (su’ al-adab) terhadap Pencipta. Hal ini jelas bertentangan dengan prinsip dan asas akidah umat Islam yang meyakini bahawa Allah SWT bersifat dengan semua kesempurnaan dan suci daripada segala kekurangan. Ini kerana sifat memaki hamun ini seperti difahami lahir daripada gelojak perasan dan emosi yang tidak terkawal. Oleh yang demikian, mustahil bagi Allah SWT bersifat sedemikian kerana ia sifat kelemahan dan kekurangan yang wajib untuk disucikan Allah SWT daripadanya.

Dalam hal ini, sememangnyat terdapat ayat-ayat di dalam al-Quran dimana Allah SWT melaknat golongan kafir, musyrikin dan munafiqin. Walau bagaimanapun, hal ini bukanlah bermaksud bahawa sifat tersebut boleh untuk disandarkan kepada Allah SWT. Ini kerana laknat dalam al-Quran adalah bertujuan sebagai amaran dan teguran keras kepada umat manusia bahawa perbuatan tertentu seperti membunuh, fitnah dan sebagainya yang sangat berbahaya sehingga pelakunya boleh terputus daripada rahmat Tuhan. Bahkan ini juga, hal ini bercanggah dengan suruhan kepada orang mukmin untuk tidak menjadi seorang yang suka mencela dan melaknat. Sabda Nabi SAW:

ليس المُؤمِنُ بالطَّعَّانِ ولا اللَّعَّانِ ولا الفاحشِ ولا البَذيءِ

Maksudnya: Orang mukmin itu bukanlah yang suka mengaibkan orang lain, yang banyak melaknat orang lain, yang suka mencarut dan suka berkata-kata keji dan buruk.

(Riwayat al-Tirmidzi)

Di samping itu, dalam membahaskan adab para nabi dalam menisbahkan sesuatu kepada Allah SWT, para ulama sering menampilkan contoh-contoh daripada al-Quran yang menggambarkan kefahaman akidah yang benar dan ketinggian adab mereka terutamanya kepada Allah SWT. Hal ini kerana para nabi bukan sahaja menyampaikan wahyu, bahkan menjadi model terbaik dalam aspek adab terhadap Allah SWT, termasuk dalam cara menisbahkan perkara yang baik dan yang zahirnya buruk. Hal ini sebagai contoh Imam al-Baghawi menyebutkan dalam tafsirnya berkaitan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Khidr AS. Kata beliau:

(وَإِذَا مَرِضْتُ) أضاف إبراهيم عليه السلام المرض إلى نفسه وإن كان من الله تعالى لأنَّ قومه كانوا يعدونه عيباً فاستعمل حسن ‌الأدب، نظيرها في قصة الخضر عليه السلام حيث قال: {‌فَأَرَدْتُ ‌أَنْ ‌أَعِيبَهَا} (4). وقال: {فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا}.

Maksudnya: Firman Allah SWT: Dan apabila aku sakit, Nabi Ibrahim AS menyandarkan penyakit kepada dirinya sendiri, walaupun hakikatnya ia datang daripada Allah SWT. Hal ini kerana kaumnya menganggap penyakit sebagai suatu aib, maka Baginda menggunakan adab yang halus dalam tutur katanya. Perkara ini sebanding dengan kisah al-Khidr AS ketika beliau berkata: Maka aku ingin mencacatkannya. Dan di tempat lain, beliau berkata: Maka Tuhanmu menghendaki agar kedua-duanya mencapai usia dewasa mereka. [1]

Ini menunjukkan bahawa para nabi mengamalkan adab yang baik dan tinggi dengan tidak menisbahkan perkara yang zahirnya buruk kepada-Nya secara langsung, walaupun mereka meyakini bahawa semua yang berlaku adalah di bawah kehendak dan takdir Allah SWT. Sebaliknya, mereka menisbahkan kebaikan secara jelas kepada Allah sebagai tanda pengagungan dan pengiktirafan terhadap kesempurnaan-Nya. Pendekatan ini menjadi asas penting dalam memahami hubungan antara akidah dan adab iaitu menegaskan bahawa Allah adalah Pencipta segala sesuatu, namun dalam ungkapan yang terpelihara yang mencerminkan kesucian dan keagungan-Nya.

Dalam hal ini, sememangnya Allah SWT memiliki sifat redha dan murka seperti yang ada di dalam al-Quran dan Sunnah. Namun kedua-duanya tidak boleh disamakan dengan sifat makhluk. Imam al-Tahawi menyebutkan dalam kitab al-Aqidah al-Tahawiyyah bahawa:

وإنّ الله تعالى يغضب ويرضى لا كأحد من الورى.

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT murka dan redha tidak sama dengan mana-mana makhluk.

Oleh yang demikian, ulama Ahli Sunah Waljamaah menetapkan sifat murka dan redha sebagai sifat Allah yang sabit melalui nas al-Qur’an dan al-Sunnah namun tanpa menyerupakannya dengan emosi manusia yang penuh kekurangan dan kelemahan. Dalam hal ini, murka Allah bukanlah ledakan emosi atau perubahan jiwa sebagaimana makhluk, sebaliknya ia merujuk kepada kehendak Allah untuk menghukum atau membalas perbuatan yang dimurkai-Nya. Begitu juga redha Allah bukan sekadar perasaan senang, tetapi menunjukkan penerimaan dan pemberian ganjaran terhadap hamba-Nya yang taat.[2]

Kesimpulan

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa perbuatan menyandarkan kata-kata maki hamun atau ungkapan yang keji lain kepada Allah SWT adalah bercanggah dengan akidah Islam serta dihukum haram di sisi syarak kerana menyeleweng dalam kefahaman sifat-sifat kesempurnaan Allah SWT. Hal ini kerana prinsip Ahli Sunnah Waljamaah menuntut agar Allah SWT disucikan daripada segala bentuk kekurangan dan keburukan.

Selain itu, dari sudut adab, perbuatan ini jelas menunjukkan kecacatan dalam adab terhadap Allah SWT. Sedangkan para nabi seperti Nabi Ibrahim AS dan Nabi Khidr AS sendiri mencontohkan adab yang tinggi ketika menisbahkan sesuatu kepada Allah. Oleh itu, umat Islam wajib memelihara lisan dan adab dalam berbicara tentang Allah SWT, kerana ia mencerminkan kesempurnaan iman serta pengagungan terhadap-Nya.

Waallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Baghawi, Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud, Ma’alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran (Jeddah, Dar al-Taybah: 1997), jld. 6, hlmn. 118.

[2] Sa’id Fudah, al-Syarh al-Kabir ‘ala al-Aqidah al-Tahawiyyah (Beirut: Dar al-Dzakhair, 2014), jld. 2, hlmn. 1249. إن غضب الله ليس كغضبنا، غضب الله يعنى إرادته الانتقام والتعذيب، ورضاه يعنى إرادته الإنعام.