Pendahuluan
Pelaksanaan kutipan dan sumbangan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pertubuhan kebajikan kini semakin meluas, sejajar dengan perkembangan era teknologi digital. Hal ini didorong terutamanya oleh promosi dan hebahan yang interaktif di media sosial, serta kemudahan untuk melakukan transaksi secara dalam talian. Namun, kebelakangan ini banyak kes pecah amanah dan penyelewengan dana awam yang berlaku apabila sumbangan-sumbangan tersebut tidak disalurkan kepada pihak yang sepatutnya, sebaliknya digunakan untuk kepentingan peribadi.
Justeru, dalam siri Bayan Linnas kali ini, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyediakan garis panduan umum berkenaan pengurusan sumbangan awam oleh NGO. Garis panduan ini diharap dapat memberi bimbingan hukum-hakam kepada NGO atau mana-mana badan yang mengutip sumbangan awam untuk disalurkan kepada kebajikan sama ada kebajikan umum atau khusus. Selain itu, ia juga boleh menjadi panduan bagi masyarakat awam untuk menilai sebelum mendermakan wang mereka.
Takyif Fiqhi bagi Sumbangan Awam
Dalam Islam, sumbangan yang diberikan oleh orang awam kepada NGO untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan mengguna pakai kontrak wakalah. Syeikh al-Khatib al-Syirbini mentakrifkan akad wakalah ini sebagai:
تَفْوِيضُ شَخْصٍ مَا لَهُ فِعْلُهُ مِمَّا يَقْبَلُ النِّيَابَةَ إلَى غَيْرِهِ لِيَفْعَلَهُ فِي حَيَاتِهِ
Maksudnya: "Penyerahan kuasa oleh seseorang bagi suatu perkara yang boleh dilakukannya dan perkara itu pula menerima penggantian (boleh diwakilkan) kepada orang lain untuk dilaksanakan semasa tempoh hidupnya."
Dalam konteks sumbangan awam, NGO merupakan wakil bagi pihak penderma untuk menyampaikan wang atau barang yang diderma kepada pihak yang diinginkan oleh penderma. Apabila suatu kontrak wakalah termeterai, wakil wajib bertindak mengikut had yang ditetapkan kerana dia hanya bekerja atas keizinan pemberi wakil. Keizinan ini boleh diketahui sama ada melalui lafaz yang diucapkan atau adat kebiasaan (uruf) dalam urusan tersebut. Oleh itu, selagi mana tindakan wakil itu selari dengan salah satu daripada aspek berkenaan, maka segala urusan pengurusannya adalah dikira sah.
Pihak wakil yang dilantik pula disifatkan sebagai yad amanah sama ada wakalah itu dengan upah atau secara sukarela. Yad amanah bermaksud wakil tidak perlu menanggung ganti rugi sekiranya berlaku kerosakan pada harta di bawah jagaannya, selagi mana ia berlaku tanpa sebarang kecuaian atau pelanggaran.[1] Namun, sekiranya wakil melampaui batas dalam tindakannya atau cuai dalam menjalankan tugasnya atau melanggar had perwakilan yang telah diizinkan kepadanya, maka dia wajib menanggung ganti rugi.[2] Dalam konteks isu ini, pelanggaran boleh berlaku jika pihak NGO sebagai wakil menggunakan duit sumbangan tersebut bagi apa-apa tujuan selain daripada tujuan sumbangan tersebut diberi tanpa izin daripada penderma sebagai pewakil.
Jika sumbangan sebahagian daripada sumbangan yang diberi itu diperuntukkan sebagai upah kepada NGO, maka kontrak ini disifatkan sebagai wakalah dengan upah (wakalah bi ajr). Kontrak wakalah dengan upah ini adalah harus dengan syarat upah tersebut mestilah diketahui dan dinyatakan dengan jelas semasa kontrak dibuat sama ada ia ditetapkan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak ataupun melalui tawaran ganjaran daripada pemberi wakil.[3]
Hukum Mengambil Sebahagian Duit Sumbangan Bagi Kos Operasi dan Promosi
Seperti yang telah dijelaskan, seseorang wakil tidak boleh melakukan sesuatu dengan duit yang diwakilkan kepadanya melainkan dengan izin daripada pewakil iaitu para penderma. Wakil hanya boleh menyalurkan duit kutipan derma tersebut mengikut apa yang diizinkan kepadanya oleh penderma. Segala penggunaan duit tersebut untuk tujuan yang lain tidak diharuskan melainkan dengan meminta keizinan penderma. Keizinan penderma pula boleh diperoleh sama ada melalui lisan ataupun uruf.
Dalam konteks isu ini, uruf di Malaysia memahami bahawa sejumlah kecil daripada duit sumbangan yang dikutip akan digunakan untuk kos pengurusan oleh wakil yang secara langsung untuk mengagihkan wang tersebut, namun ia tidak meliputi kos untuk promosi. Oleh itu, sebarang penggunaan duit sumbangan selain daripada kos operasi perlu mendapat keizinan daripada penderma terlebih dahulu. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini boleh didapati melalui artikel berikut:
- Irsyad Hukum Siri Ke-857: Hukum Menggunakan Sebahagian Duit Kutipan Derma Untuk Tujuan Pengiklanan
- Irsyad Hukum Siri Ke-855: Benarkah Ngo Boleh Menggunakan 30% Daripada Duit Sumbangan Orang Ramai?
Justeru, NGO diharuskan untuk menggunakan sebahagian wang sumbangan tersebut untuk tujuan promosi bagi merancakkan lagi kutipan, namun ia mestilah dengan keizinan penderma. Keizinan tersebut boleh diperolehi dengan menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat mereka untuk menggunakan peratusan tertentu daripada duit sumbangan bagi membayar kos pengiklanan.
Perkara ini berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke 137/2022 pada 9-10 Jun 2022 yang telah memutuskan bahawa:
- Hukum menggunakan wang sumbangan orang ramai untuk tujuan kebaikan seperti mempromosi sumbangan adalah harus jika mendapat keizinan daripada penderma.
- Keizinan daripada penderma boleh diperolehi dengan cara pihak yang mengumpul derma menyatakan secara jelas pada iklan tentang hasrat mereka untuk menggunakan sebahagian daripada duit sumbangan bagi membayar kos promosi dan pengiklanan
- Jumlah dana yang digunakan bagi tujuan promosi hendaklah sekadar keperluan, di samping memastikan duit tersebut digunakan dengan cermat dan memberi kebaikan kepada penderma.
- Jika wang telah dikumpulkan, pihak pengumpul dana perlu memaklumkan dan mendapat keizinan daripada penderma terlebih dahulu melalui pelbagai cara yang mampu dilakukan sebelum menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk membayar kos pengiklanan.
Hukum Lebihan Sumbangan Khusus Yang Tidak Boleh Disalurkan bagi Tujuan Asal
Isu lebihan sumbangan lazimnya timbul apabila kutipan dibuat secara bermusim atau bagi tujuan tertentu, seperti bantuan kepada mangsa banjir atau sumbangan khas untuk Gaza. Dalam keadaan tertentu, sebahagian dana mungkin berbaki apabila bencana telah berakhir atau saluran penyaluran bantuan tidak lagi tersedia.
Dalam situasi sedemikian, lebihan dana tersebut tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya bagi tujuan lain seperti menampung kos operasi, bayaran pengiklanan kepada pempengaruh dan seumpamanya melainkan untuk tujuan yang sama pada masa akan datang atau bagi tujuan lain yang paling hampir dari sudut manfaat dan maslahatnya.
Namun begitu, sekiranya pihak NGO berhasrat menggunakan lebihan dana tersebut bagi tujuan lain seperti membiayai kos operasi atau apa-apa keperluan lain, maka kebenaran daripada para penyumbang hendaklah terlebih dahulu diperoleh. Di samping itu, pihak NGO atau mana-mana pihak yang menjalankan kutipan sumbangan awam disarankan supaya menyatakan secara jelas klausa berkaitan pengurusan lebihan dana agar dapat difahami dan dipersetujui oleh para penderma sebelum sumbangan dibuat.
Kewajipan Audit Bagi Menjamin Ketelusan Dalam Pengurusan Sesebuah NGO
Audit merupakan mekanisme penting dalam memastikan sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diurus secara telus, berintegriti dan mematuhi undang-undang. Audit membantu memastikan segala urusan kewangan, pentadbiran dan penggunaan dana dilakukan secara bertanggungjawab serta dapat dipertanggungjawabkan kepada ahli, penderma dan pihak berkuasa.
Dalam konteks memastikan sumbangan awam yang diterima oleh NGO ditadbir urus dengan dengan baik, pihak Kami meletakkan garis panduan pengauditan beberapa aspek, yang bukan hanya tertumpu kepada kewangan semata-mata, tetapi turut melibatkan pentadbiran, pematuhan undang-undang, pengurusan organisasi, dan lebih-lebih lagi dari aspek kepatuhan syariah bagi operasi sesebuah NGO tersebut.
- Audit Kewangan
Audit kewangan menumpukan kepada semakan rekod dan transaksi kewangan NGO bagi memastikan laporan kewangan disediakan secara tepat, telus dan bebas daripada penyelewengan. Audit ini melibatkan semakan terhadap pendapatan dan perbelanjaan, akaun bank, resit, baucar pembayaran, dana sumbangan, geran serta penyata kewangan tahunan organisasi.
Tujuan utama audit kewangan adalah untuk memastikan wang organisasi diurus secara amanah, mengelakkan salah guna dana serta meningkatkan keyakinan penderma dan pihak berkepentingan terhadap pengurusan NGO. Berbeza dengan audit lain, audit kewangan hanya memberi fokus kepada aspek pengurusan wang dan rekod kewangan, bukan kepada keberkesanan program, struktur pengurusan organisasi atau kepatuhan syariah.
- Audit Pematuhan (Compliance Audit)
Audit pematuhan ialah proses penilaian bagi memastikan sesebuah NGO mematuhi semua undang-undang, polisi, peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta organisasi itu sendiri. Audit ini melibatkan semakan terhadap pematuhan Akta Pertubuhan 1966, peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), perlembagaan NGO, polisi dalaman organisasi serta syarat-syarat geran atau tajaan yang diterima.
Selain itu, audit pematuhan juga merangkumi pematuhan terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM) bagi mengelakkan unsur rasuah dan salah guna kuasa, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi memastikan dana NGO tidak terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram, serta Kanun Keseksaan khususnya berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 405 dan Seksyen 406.
Tujuan utama audit pematuhan adalah untuk mengelakkan pelanggaran undang-undang, memastikan operasi NGO dijalankan secara sah dan berintegriti serta mengurangkan risiko tindakan tatatertib, sivil atau jenayah terhadap organisasi dan pegawainya. Berbeza dengan audit kewangan yang menilai ketepatan pengurusan wang dan rekod kewangan, audit pematuhan lebih menumpukan kepada sejauh mana NGO mematuhi peraturan, prosedur dan kehendak undang-undang yang berkuat kuasa dalam pengurusan organisasi.
- Audit Tadbir Urus (Governance Audit)
Audit tadbir urus ialah proses penilaian terhadap cara sesebuah NGO diurus, dipimpin dan bagaimana keputusan dibuat dalam organisasi bagi memastikan pengurusan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab. Audit ini memberi tumpuan kepada struktur jawatankuasa, pembahagian kuasa dan tanggungjawab, keberkesanan mesyuarat, pengurusan konflik kepentingan, pematuhan terhadap polisi organisasi serta tahap akauntabiliti dalam pentadbiran NGO. Audit tadbir urus juga menilai sejauh mana organisasi mengamalkan prinsip-prinsip yang digariskan dalam Kod Tadbir Urus Baik Pertubuhan (Code of Good Governance for Organisations – COGG) yang diperkenalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), antaranya prinsip ketelusan, integriti, kebertanggungjawaban, penglibatan ahli dan pengurusan organisasi yang cekap dan beretika.
Tujuan utama audit ini adalah untuk memastikan NGO diurus secara profesional, mengukuhkan keyakinan ahli dan masyarakat serta mengelakkan kelemahan pengurusan yang boleh menjejaskan reputasi dan keberkesanan organisasi. Berbeza dengan audit kewangan yang memberi fokus kepada rekod dan transaksi kewangan, audit tadbir urus lebih menumpukan kepada aspek kepimpinan, sistem pengurusan dan proses membuat keputusan dalam organisasi.
- Audit Operasi dan Program
Audit operasi dan program ialah proses penilaian terhadap keberkesanan pelaksanaan aktiviti dan program yang dijalankan oleh sesebuah NGO bagi memastikan setiap program mencapai objektif dan sasaran yang telah ditetapkan. Audit ini memberi tumpuan kepada aspek pelaksanaan projek, pencapaian matlamat program, kecekapan penggunaan sumber kewangan dan tenaga kerja serta impak program kepada masyarakat atau kumpulan sasaran.
Melalui audit ini, organisasi dapat menilai sama ada dana dan sumber yang digunakan memberikan hasil yang berkesan serta memberi manfaat kepada penerima. Audit operasi dan program juga membantu mengenal pasti kelemahan dalam pelaksanaan aktiviti supaya penambahbaikan dapat dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan organisasi. Berbeza dengan audit kewangan yang menumpukan kepada rekod dan transaksi kewangan atau audit pematuhan yang menilai kepatuhan terhadap peraturan dan prosedur, audit operasi dan program lebih memfokuskan kepada hasil, keberkesanan dan pencapaian sebenar sesuatu program NGO.
- Audit Kepatuhan Syariah (Shariah Compliance Audit)
Audit kepatuhan syariah ialah proses penilaian bagi memastikan semua aktiviti, pengurusan kewangan dan operasi sesebuah NGO mematuhi prinsip-prinsip syariah Islam. Audit ini memberi tumpuan kepada sumber dana dan sumbangan, penggunaan dana halal, kontrak dan transaksi, pelaksanaan aktiviti organisasi serta pengurusan dana berkaitan zakat, wakaf dan sedekah supaya bebas daripada unsur yang bercanggah dengan hukum syarak seperti riba, gharar, penipuan dan penyalahgunaan amanah.
Audit ini juga bertujuan memastikan setiap urusan organisasi dilaksanakan secara telus, beretika dan selaras dengan prinsip maqasid syariah dalam menjaga agama, harta dan kepentingan masyarakat. Selain meningkatkan keyakinan masyarakat Islam terhadap NGO, audit kepatuhan syariah membantu organisasi memastikan setiap dana yang diterima dan dibelanjakan diurus secara patuh syariah dan mencapai tujuan kebajikan yang ditetapkan.
Penutup
Pengurusan sumbangan awam oleh NGO merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelusan dan kepatuhan terhadap syarak serta undang-undang negara. Dalam Islam, sumbangan awam berasaskan konsep wakalah yang mewajibkan pihak NGO bertindak sebagai wakil yang amanah kepada para penderma. Oleh itu, setiap dana yang diterima hendaklah diurus mengikut tujuan asal sumbangan dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa keizinan penderma. Tambahan pula, NGO terutama yang berunsur kebajikan bukan entiti untuk mengaut keuntungan diri, sebaliknya ia merupakan satu jalan untuk berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan.
Selain itu, masyarakat awam juga mesti memainkan peranan dalam membanteras penyelewengan sumbangan awam dengan menilai dengan teliti dahulu suatu badan yang meminta apa-apa sumbangan dari segi ketelusan dan audit mereka sebelum menginfakkan harta.
Sebagai kesimpulan, berikut dirumuskan garis panduan umum pengurusan sumbangan awam oleh NGO berdasarkan penjelasan yang telah diberikan dalam siri Bayan Linnas kali ini:
- NGO hendaklah memahami bahawa pengurusan sumbangan awam berasaskan konsep wakalah (perwakilan) yang mewajibkan amanah dan tanggungjawab terhadap penderma dalam melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan.
- Setiap dana sumbangan hendaklah digunakan mengikut tujuan asal yang dinyatakan oleh penderma dan tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan lain tanpa keizinan.
- NGO wajib memastikan segala pengurusan dana dilakukan secara telus, berintegriti dan boleh dipertanggungjawabkan kepada masyarakat.
- Penggunaan sebahagian dana sumbangan bagi kos pengurusan hanya dibenarkan dalam kadar yang munasabah serta selaras dengan uruf dan keperluan operasi.
- Penggunaan dana bagi tujuan promosi dan pengiklanan hendaklah mendapat keizinan jelas daripada penderma melalui makluman yang dinyatakan secara terbuka.
- Sebarang lebihan sumbangan khusus yang tidak dapat digunakan bagi tujuan asalnya hendaklah digunakan pada tujuan yang sama pada masa akan datang atau pada tujuan lain yang paling hampir dari sudut manfaatnya.
- Penggunaan lebihan wang bagi tujuan yang lain seperti belanja mengurus, kepentingan NGO atau tujuan lain yang tiada kaitan dengan tujuan asal ia dikutip adalah diharamkan melainkan dengan izin para penderma.
- Segala bentuk perbelanjaan hendaklah direkod dan didokumentasikan dengan sistematik bagi mengelakkan penyelewengan dan salah guna kuasa.
- NGO hendaklah melaksanakan audit kewangan secara berkala bagi memastikan ketepatan rekod kewangan dan mengelakkan pecah amanah.
- NGO wajib mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa termasuk Akta Pertubuhan 1966, peraturan ROS, Akta SPRM 2009, AMLA 2001 dan undang-undang lain yang berkaitan.
- Tadbir urus organisasi hendaklah dilaksanakan secara profesional dengan pembahagian kuasa yang jelas, pengurusan konflik kepentingan dan budaya akauntabiliti.
- Setiap program dan aktiviti NGO hendaklah dinilai dari sudut keberkesanan, impak kepada penerima dan kecekapan penggunaan sumber organisasi.
- NGO yang mengurus dana berkaitan zakat, wakaf dan sedekah hendaklah memastikan semua operasi mematuhi prinsip-prinsip syariah serta bebas daripada unsur haram seperti riba, gharar dan penipuan.
[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, (Damsyik: Dar al-Qalam, 2011) 3:348
إن يد الوكيل على الأموال الموكَّل في التصرف بها يد أمانة ، سواء كانت الوكالة بأجر وعوض ، أو كان الوكيل متبرعاً ، فلا يضمن ما تلف في يده بلا تفريط أو تعدٍّ
[2] Ibid
فإن تعدَّى الوكيل في تصرفاته ، أو قصَّر في واجباته ، أو خالف في وكالته المأذون له بها ، ضَمِنَ
[3] Ibid, 3.349
وتجوز الوكالة بأجر على العمل، لأن النبي ﷺ وكَّل بعض الصحابة في أعمال، ووكل السعاة في جمع الزكاة، وأعطاهم على ذلك أجراً مقابل عملهم، كما سبق في حديث سهل بن سعد الساعدي وعمر بن الخطاب رضي الله عنهما. ولكن في حالة الوكالة بأجر يشترط أن يكون الأجر معلوماً عند العقد، ، سواء كان باتفاق الطرفين، أو بجُعْل من الموكِّل