Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-355: MENGURUS KRISIS PELARIAN BERTERASKAN FIQH DAN MAQASID

Slide1.JPG

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Dunia pada hari ini sedang berdepan dengan krisis kemanusiaan yang amat meruncing. Peperangan yang berpanjangan, kezaliman rejim, penindasan etnik dan ketidakstabilan politik telah mencetuskan gelombang penghijrahan besar-besaran manusia dari tanah tumpah darah mereka. Rentetan daripada pergolakan ini, negara-negara jiran mahupun negara di benua lain yang dilihat aman termasuklah Malaysia sering kali menjadi destinasi tumpuan atau negara transit bagi golongan pelarian yang mencari perlindungan dan keamanan.

Kehadiran kelompok manusia yang terpaksa melarikan diri dari wilayah konflik seperti Palestin, Syria dan krisis etnik seperti komuniti Rohingya, secara tidak langsung telah mengubah landskap demografi dan mendorong kepada interaksi sosial yang rencam dengan masyarakat tempatan. Laporan terkini mencatatkan sejumlah 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia sehingga Februari lalu[1]. Lantaran itu, faktor perbezaan budaya, cara hidup dan desakan survival kadangkala mencetuskan pertembungan serta isu-isu sosial yang mengundang keresahan awam.

Dalam masa yang sama, kedudukan pelarian dari perspektif perundangan domestik kita masih mempunyai kelompongan yang menyukarkan pihak berkuasa untuk menguruskan isu ini dengan penyelesaian yang tuntas. Lantas, kita berada di suatu persimpangan antara tanggungjawab memelihara kedaulatan serta kebajikan warganegara dan tuntutan persaudaraan kemanusiaan serta keagamaan.

Konsep Pelarian Menurut Perspektif Islam

Menurut takrifan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui United Nations High Commission for Refugees (UNHCR), golongan yang boleh dianggap sebagai pelarian adalah individu atau kumpulan yang terpaksa meninggalkan negara asal mereka[2]. Ini merujuk kepada keadaan seperti kemiskinan dan kepayahan hidup kesan daripada pencabulan hak asasi manusia, konflik dengan pemerintah dan perang saudara yang berlaku dalam negara mereka[3].

Dalam tradisi ilmu Islam (turath), istilah moden ini tidak wujud secara harfiah, namun konsepnya sangat sinonim dengan beberapa istilah syarak. Golongan ini boleh diumpamakan sebagai mustad'af fi al-ard (golongan yang tertindas di bumi). Apabila mereka mula berhijrah untuk menyelamatkan nyawa dan akidah, mereka memakai gelaran muhajir (orang yang berhijrah). Penghijrahan kelompok pelarian yang beragama Islam pada hari ini, demi memelihara nyawa dan tuntutan agama mereka, berkongsi satu nilai roh yang sama dengan sirah penghijrahan golongan Muhajirin dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada zaman Baginda Rasulullah SAW. Tuntutan untuk berhijrah apabila agama dan nyawa diancam dirakamkan secara jelas oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا۟ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ قَالُوٓا۟ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةً فَتُهَاجِرُوا۟ فِيهَا ۚ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-yang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah), malaikat bertanya kepada mereka: "Dalam keadaan apakah kamu ini?" Mereka menjawab: "Kami adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu tempat kembalinya ialah neraka Jahanam, dan ia adalah seburuk-buruk tempat kembali."

Surah al-Nisa' (97)

Dalam menjelaskan ayat di atas Syeikh Tohir Ibn Asyur menjelaskan bahawa para ulama bersepakat bahawa kewajipan hijrah yang dinyatakan dalam ayat tersebut pada asalnya bertujuan membolehkan umat Islam meninggalkan wilayah yang menghalang mereka daripada mengamalkan agama dan melindungi diri daripada penindasan golongan musyrik. Namun, kewajipan khusus tersebut berakhir selepas pembukaan Kota Makkah, sebagaimana ditegaskan dalam hadis:

لا هجرةَ بعدَ الفتحِ ، ولَكن جِهادٌ ونيَّةٌ

Maksudnya: “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Makkah, tetapi yang ada ialah jihad dan niat.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Walau bagaimanapun, para fuqaha menjelaskan bahawa prinsip yang terkandung dalam ayat tersebut masih relevan dalam menentukan hukum berpindah dari sesebuah tempat apabila seseorang Muslim berhadapan ancaman terhadap agama, nyawa, harta atau maruahnya[4].

Dalam mendapani syariat penghijrahan, Allah SWT telah memberikan satu model interaksi yang paling agung melalui persaudaraan (mu'akhah) antara kaum Ansar dan Muhajirin. Firman Allah SWT dalam memuji sikap penduduk tempatan (Ansar):

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلْإِيمَـٰنَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّآ أُوتُوا۟ وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami kota Madinah serta beriman sebelum mereka (Muhajirin), mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada menaruh perasaan hasad dengki dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada orang-orang (Muhajirin) itu; dan mereka mengutamakan orang-orang (Muhajirin) itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan."

Surah al-Hasyr (9)

Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa antara manifestasi kemuliaan akhlak dan keluhuran jiwa golongan Ansar ialah kecintaan mereka yang mendalam terhadap kaum Muhajirin. Kecintaan tersebut diterjemahkan melalui kesediaan mereka untuk membantu dan meringankan beban saudara-saudara yang berhijrah dengan mengorbankan harta benda serta berkongsi sumber pendapatan yang dimiliki[5].

Perlindungan Terhadap Pelarian Menurut Maqasid Syariah

Syariat Islam bertujuan memelihara keamanan dan kesejahteraan manusia melalui penjagaan lima keperluan asas (al-daruriyyat al-khams), iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Antara objektif utamanya ialah pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs), yang menuntut perlindungan terhadap manusia daripada segala bentuk kezaliman, penindasan dan ancaman demi menjamin kehidupan yang aman, selamat dan bermaruah. Prinsip ini bukan sahaja diterjemahkan melalui peruntukan hukum yang melindungi hak asasi manusia, bahkan dizahirkan dalam bentuk solidariti sosial dan bantuan kepada golongan yang terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka akibat ancaman terhadap agama dan keselamatan diri.

Manifestasi prinsip tersebut dapat dilihat dengan jelas melalui peristiwa persaudaraan (mu’akhah) antara golongan Muhajirin dan Ansar yang diasaskan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah ke Madinah. Dalam sebuah hadis, Abdul Rahman bin Auf RA meriwayatkan:

مَّا قدِمنا المَدينةَ آخى رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بَيني وبينَ سَعدِ بنِ الرَّبيعِ، فقال سَعدُ بنُ الرَّبيعِ: إنِّي أكثَرُ الأنصارِ مالًا، فأَقسِمُ لك نِصفَ مالي، وانظُرْ أيَّ زَوجَتَيَّ هَوِيتَ نَزَلتُ لك عَنها، فإذا حَلَّت تَزَوَّجتَها. قال: فقال له عبدُ الرَّحمَنِ: لا حاجةَ لي في ذلك، هل مِن سوقٍ فيه تِجارةٌ؟ قال: سوقُ قَينُقاعٍ. قال: فغَدا إليه عبدُ الرَّحمَنِ، فأتى بأقِطٍ وسَمنٍ، قال: ثُمَّ تابَعَ الغُدوَّ،
Maksudnya: “Ketika kami tiba di Madinah, Rasulullah SAW mempersaudarakan aku dengan Sa‘d bin al-Rabi‘. Lalu Sa‘d bin al-Rabi‘ berkata: 'Sesungguhnya aku adalah antara orang Ansar yang paling banyak hartanya. Aku akan membahagikan separuh hartaku kepadamu. Lihatlah antara dua isteriku, yang mana satu engkau berkenan, aku akan melepaskannya untukmu; dan apabila tamat tempoh iddahnya, engkau boleh mengahwininya.' Abdul Rahman bin Auf menjawab: 'Aku tidak memerlukan semua itu. Adakah terdapat pasar yang boleh aku berniaga di situ?' Sa‘d menjawab: 'Pasar Bani Qainuqa‘.' Lalu Abdul Rahman pergi ke pasar tersebut pada waktu pagi dan pulang dengan membawa keju kering serta minyak sapi. Beliau terus berulang-alik ke pasar untuk berniaga.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dalam konteks semasa, pelarian yang diberikan perlindungan di sesebuah negara berhak menikmati keselamatan, kebebasan beragama, pemeliharaan maruah dan keperluan asas kehidupan selaras dengan prinsip keadilan dan rahmah dalam Islam. Namun, mereka juga bertanggungjawab untuk mematuhi undang-undang negara, menghormati budaya setempat dan menjaga keharmonian masyarakat sebagai balasan terhadap perlindungan yang diberikan.

Kerangka Fiqh Mizan: Keseimbangan Antara Rahmah dan 'Adl

Perbincangan tidak akan sempurna tanpa meletakkan neraca yang jelas. Berdasarkan prinsip Fiqh Mizan, kita sering berhadapan dengan pertembungan maslahah. Di satu sisi, kita dituntut oleh prinsip Rahmah (kasih sayang) untuk merealisasikan hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa) buat golongan pelarian yang jika dihantar pulang, berdepan risiko kematian dan penindasan.

Di sisi yang lain pula, kita terikat dengan prinsip 'Adl (keadilan) untuk menjaga kebajikan rakyat tempatan. Keadilan menuntut pemerintah untuk merealisasikan hifz al-mal (pemeliharaan kestabilan ekonomi, dan hifz al-amn (pemeliharaan ketenteraman awam) masyarakat tempatan. Kemasukan pelarian secara tidak terkawal kadangkala memberikan tekanan kepada infrastruktur negara, sistem kesihatan, dan mencetuskan persaingan dalam sektor ekonomi tidak formal.

Asas kepada kedua-dua tuntutan ini adalah kaedah fiqh yang muktabar iaitu:

لا ضَرَرَ ولا ضِرَارَ

Maksudnya: "Tidak boleh melakukan kemudaratan (kepada orang lain) dan tidak boleh membalas kemudaratan (dengan kemudaratan)."

Kaedah ini mengisyaratkan bahawa usaha memberikan perlindungan kepada pelarian hendaklah dilaksanakan secara seimbang agar tidak menjejaskan keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan warganegara secara serius. Pada masa yang sama, prinsip keadilan dan kemanusiaan menuntut agar pintu ihsan tidak ditutup sepenuhnya terhadap golongan yang teraniaya. Justeru, pendekatan yang terbaik ialah mencari titik keseimbangan antara tuntutan rahmah terhadap pelarian dan tanggungjawab memelihara kedaulatan, keselamatan serta kemaslahatan negara.

Realiti di Malaysia

Dalam meneliti isu pelarian di Malaysia, perlu difahami bahawa pada asalnya negara ini bukan antara negara yang bersetuju menandatangani Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967[6]. Namun demikian, atas pertimbangan kemanusiaan, kerajaan Malaysia telah membenarkan UNHCR beroperasi bagi menguruskan pendaftaran, penentuan status dan penempatan semula pelarian ke negara ketiga. Sejak tahun 1975, kerjasama antara Malaysia dan UNHCR telah membantu menangani pelbagai isu pelarian, khususnya dalam proses penempatan semula pelarian Vietnam ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand[7].

Walaupun peranan UNHCR dalam pengurusan pelarian di Malaysia amat signifikan, masih terdapat beberapa cabaran yang menjejaskan keberkesanan tadbir urus pelarian. Antaranya ialah ketiadaan dasar nasional yang khusus berkaitan pelarian serta kekurangan mekanisme penyelarasan yang formal antara kerajaan Malaysia dan UNHCR[8]. Keadaan ini menyebabkan proses saringan dan penentuan status pelarian dilaksanakan secara berasingan, manakala perkongsian data dan maklumat tidak berlaku secara menyeluruh. Akibatnya, kerajaan berdepan kesukaran untuk memperoleh gambaran yang tepat mengenai jumlah, latar belakang dan status pelarian yang berada dalam negara.

Selain itu, walaupun pemegang kad UNHCR diberikan perlindungan sementara atas dasar kemanusiaan dan prinsip non-refoulement, mereka tidak mempunyai hak perundangan yang lengkap seperti kebenaran bekerja secara sah, akses penuh kepada pendidikan awam dan kemudahan kesihatan[9]. Ketiadaan status perundangan yang jelas menyebabkan sebahagian pelarian bergantung kepada sektor tidak formal untuk meneruskan kehidupan, sekali gus meningkatkan risiko eksploitasi dan menimbulkan pelbagai isu sosial. Justeru, satu kerangka pengurusan pelarian yang lebih tersusun dan seimbang diperlukan bagi memastikan aspek keselamatan negara, kebajikan pelarian dan keharmonian masyarakat dapat dipelihara secara berkesan[10].

Dalam mendepani cabaran krisis kemanusiaan ini, Malaysia telah mengorak langkah proaktif melalui pengukuhan kerangka pengurusan isu penghijrahan paksa di peringkat domestik. Antara inisiatif signifikan yang dilaksanakan adalah pelancaran sistem pendaftaran nasional yang dikenali sebagai Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) pada Januari 2026[11]. Manifestasi kesungguhan ini menggambarkan iltizam negara untuk mewujudkan satu mekanisme tadbir urus yang lebih tersusun, berwibawa, dan menyeluruh dalam memberikan perlindungan kepada golongan yang tertindas demi memelihara kemaslahatan serta kedaulatan tanah air.

Syor dan Tindakan pada Masa Hadapan

Bagi menguruskan fenomena yang kompleks ini secara holistik, satu anjakan penyelesaian perlu diteroka menerusi tiga lapisan utama:

  1. Menggubal Dasar Pelarian Nasional yang Komprehensif: Kerajaan perlu mewujudkan satu dasar khusus yang menjadi panduan utama dalam pengurusan pelarian secara sistematik, selaras dengan keperluan keselamatan negara dan prinsip kemanusiaan.
  2. Meningkatkan Kerjasama Strategik antara Kerajaan dan UNHCR: Mekanisme kerjasama yang lebih jelas perlu dibangunkan, khususnya dalam aspek saringan pelarian, perkongsian maklumat dan penyelarasan dasar bagi menjamin tadbir urus yang lebih cekap dan telus.
  3. Memupuk Sikap Rahmah dan Tanggungjawab Sosial dalam Kalangan Masyarakat: Masyarakat perlu dididik dengan nilai toleransi, mengelakkan stereotaip perkauman dan menyalurkan sebarang kebimbangan melalui saluran yang sah, selaras dengan semangat persaudaraan dan kemanusiaan yang dianjurkan oleh Islam.
  4. Memperkasa Kesedaran Pelarian terhadap Tanggungjawab Bersama dalam Memelihara Keharmonian Sosial: Pelarian hendaklah mematuhi undang-undang negara, menghormati budaya masyarakat setempat, menjaga ketenteraman awam serta menghargai perlindungan yang diberikan bagi memastikan keharmonian sosial terus terpelihara.

Secara keseluruhannya, isu pelarian merupakan suatu cabaran kemanusiaan yang menuntut keseimbangan antara tuntutan rahmah dan keadilan dalam kerangka syariah. Islam mengiktiraf keperluan untuk melindungi golongan yang tertindas serta memelihara hak-hak asasi mereka, khususnya yang berkaitan dengan nyawa, agama dan maruah. Pada masa yang sama, kepentingan keselamatan negara, kestabilan sosial dan kebajikan rakyat tempatan juga perlu dipelihara. Oleh itu, pengurusan pelarian di Malaysia memerlukan pendekatan yang lebih tersusun melalui kerjasama erat antara kerajaan dan UNHCR, penggubalan dasar yang komprehensif, pengukuhan kesedaran masyarakat terhadap nilai kemanusiaan, serta pemerkasaan tanggungjawab pelarian terhadap negara penerima. Hanya melalui keseimbangan antara prinsip kemanusiaan, maqasid syariah dan keperluan tadbir urus negara, isu pelarian dapat diuruskan secara adil, berkesan dan lestari demi kemaslahatan semua pihak.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] "Data UNHCR rekod 215,600 pelarian di Malaysia setakat Februari," Harian Metro, 13 Jun 2026, https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/06/1368425/data-unhcr-rekod-215600-pelarian-di-malaysia-setakat-februari.

[2] United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), "Refugees," UNHCR Malaysia, diakses pada 13 Jun 2026, https://www.unhcr.org/my/about-unhcr/who-we-protect/refugees.

[3] Norazira Ali, “Cabaran-cabaran Pelarian Rohingya Muslim: Kajian Kes di Pulau Pinang,” dalam Conference Proceedings of Social Sciences Postgraduate International Seminar (SSPIS) 2014 (Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 2014), 265–274,

[4] Tahir Ibn Asyur, Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (Tunisia : al-Dar al-Tunisiyyah,1984), 5:178.

وقَدِ اتَّفَقَ العُلَماءُ عَلى أنَّ حُكْمَ هَذِهِ الآيَةِ انْقَضى يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ لِأنَّ الهِجْرَةَ كانَتْ واجِبَةً لِمُفارَقَةِ أهْلِ الشِّرْكِ وأعْداءِ الدِّينِ، ولِلتَّمَكُّنِ مِن عِبادَةِ اللَّهِ دُونَ حائِلٍ يَحُولُ عَنْ ذَلِكَ، فَلَمّا صارَتْ مَكَّةُ دارَ إسْلامٍ ساوَتْ غَيْرَها، ويُؤَيِّدُهُ حَدِيثُ «لا هِجْرَةَ بَعْدَ الفَتْحِ ولَكِنْ جِهادٌ ونِيَّةٌ» فَكانَ المُؤْمِنُونَ يَبْقَوْنَ في أوْطانِهِمْ إلّا المُهاجِرِينَ يَحْرُمُ عَلَيْهِمُ الرُّجُوعُ إلى مَكَّةَ. وفِي الحَدِيثِ «اللَّهُمَّ أمْضِ لِأصْحابِي هِجْرَتَهم ولا تَرُدُّهم عَلى أعْقابِهِمْ» قالَهُ بَعْدَ أنْ فُتِحَتْ مَكَّةُ. غَيْرَ أنَّ القِياسَ عَلى حُكْمِ هَذِهِ الآيَةِ يَفْتَحُ لِلْمُجْتَهِدِينَ نَظَرًا في أحْكامِ وُجُوبِ الخُرُوجِ مِنَ البَلَدِ الَّذِي يُفْتَنُ فِيهِ المُؤْمِنُ في دِينِهِ، وهَذِهِ أحْكامٌ يَجْمَعُها سِتُّ أحْوالٍ.

[5] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, (Saudi : Dar Ibn al-Jauzi, 1431H), 7:227.

وقوله: ﴿يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ﴾ أي: من كرمهم وشرف أنفسهم يحبون المهاجرين ويواسونهم بأموالهم.

[6] Gerhard Hoffstaedter, "Refugees, Islam, and the State: The Role of Religion in Providing Sanctuary in Malaysia," Journal of Immigrant & Refugee Studies 15, no. 3 (2017): 279, https://doi.org/10.1080/15562948.2017.1288285.

[7] Dazmin Daud, Wardatul Hayat Adnan, Kholyn Ruran Jonathan, dan Hrrison Aris. "Policies and Issues Relating to Vietnamese Boat People in Malaysia." EDUCATUM – Journal of Social Science 8, no. 1 (2022): 83–91. https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/EJOSS/article/view/4986.

[8] Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), "Media Statement No. 12-2025: SUHAKAM Calls for Urgent Implementation of the National Security Council (NSC) Directive No. 23" (Kuala Lumpur: SUHAKAM, 17 Februari 2025), https://suhakam.org.my/2025/02/media-statement-no-12-2025_suhakam-calls-for-urgent-implementation-of-the-national-security-council-nsc-directive-no-23/.

[9] Fiona Leh Hoon Chuah et al., "The Health Needs and Access Barriers Among Refugees and Asylum-Seekers in Malaysia: A Qualitative Study," International Journal for Equity in Health 17, no. 1 (2018): 5, https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/30111329/.

[10] Choo Chin Low, "Asylum Seekers and Refugees in Malaysia: Policy and State Responses," Journal of Asian Public Policy 14, no. 1 (2021): 22–38.

[11] United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) Malaysia, "UNHCR Malaysia," diakses pada 13 Jun 2026, https://www.unhcr.org/my/.