Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-357: PEMILIKAN TANAH MENURUT PERSPEKTIF SIYASAH SYAR'IYYAH DAN PERUNDANGAN

PEMILIKAN_TANAH_MENURUT_PERSPEKTIF_SIYASAH_SYARIYYAH_DAN_PERUNDANGAN.jpg

Tanah merupakan elemen yang sangat fundamental dalam kehidupan manusia dan pembangunan sesebuah negara. Ia bukan sekadar aset atau ruang fizikal untuk didiami, malah menjadi tunjang utama bagi aktiviti ekonomi, pertanian, dan kelestarian peradaban. Dalam perspektif yang lebih luas, tanah melambangkan sumber alam yang menuntut kepada tanggungjawab pengurusan yang bijaksana bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara saksama. Keseimbangan dalam penguasaan dan pengurusan tanah amat kritikal bagi mengekalkan keharmonian masyarakat, sekali gus mencerminkan kualiti tadbir urus dan keadilan dalam sesebuah negara.

Mutakhir ini, ruang wacana awam sering kali dihiasi dengan polemik yang menyentuh sensitiviti hubungan antara kaum. Antaranya termasuklah isu berkaitan pemilikan tanah dalam negara. Kebimbangan utama institusi agama terhadap fenomena ini adalah penilaian terhadap implikasinya pada masa hadapan (al-Ma’alat) yang dibimbangi boleh membentuk pola pemikiran yang ekstrem dalam kalangan masyarakat majmuk, sekiranya tidak dipandu dengan pendekatan yang harmoni dan sederhana. Lebih-lebih lagi, apabila sentimen perkauman yang berlebihan disuntik ke dalam kefahaman masyarakat awam, ia kemudiannya akan menyuburkan bibit-bibit kebencian, saling mencurigai, dan unsur keterancaman (insecurity). Harus difahami bahawa perdebatan dalam konteks politik tidak sesuai untuk diterapkan ke dalam konteks realiti harian masyarakat yang menjalani kehidupan secara aman, harmoni, dan saling membantu antara satu sama lain bagi membangunkan negara.

Oleh yang demikian, penulisan artikel ini tujuan memberikan pencerahan daripada perspektif syarak. Pendekatan berteraskan prinsip kesederhanaan dan keseimbangan amat penting dalam menangani isu-isu berkaitan hak dan kenegaraan agar pelaksanaannya bersifat adil dan tidak menzalimi mana-mana pihak yang berkaitan.

Pemilikan Tanah di Malaysia dari Sudut Perundangan

Dalam usaha menelusuri polemik ini secara saksama, adalah menjadi satu keperluan bagi menekuni landasan perundangan tanah air menerusi kanta yang jernih lagi tuntas. Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara telah menggariskan parameter yang jelas dalam mengimbangi hak pelbagai kaum di Malaysia.

Antaranya berdasarkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan secara khusus menyentuh berkenaan tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak[1]. Peruntukan ini merangkumi pelbagai aspek, namun ia dibina di atas semangat keadilan sosial, sebaliknya bukan atas dasar penindasan. Bahkan, dalam peruntukan yang sama, Perlembagaan dengan tegas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong juga bertanggungjawab melindungi "kepentingan sah kaum-kaum lain". Hal ini bermakna, pengiktirafan terhadap kedudukan istimewa kaum Melayu tidak sekali-kali membatalkan atau membenarkan perampasan terhadap hak, kebebasan, dan kepentingan sah warga Malaysia yang berketurunan lain.

Dalam konteks pemilikan tanah secara spesifik, Perkara 89 dalam Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan kuasa berhubung pengekalan, pewartaan dan pembatalan Tanah Rizab Melayu[2]. Peruntukan ini disokong secara pentadbiran dan perundangan oleh Enakmen Rizab Melayu di peringkat negeri-negeri. Kewujudan peruntukan ini adalah satu bentuk perlindungan sosioekonomi bagi memastikan kelangsungan pegangan tanah masyarakat Melayu agar tidak terpinggir dalam arus pembangunan pesat, dan demi mengelakkan ketidakseimbangan pemilikan harta yang boleh menggugat kestabilan negara.

Walau bagaimanapun, maklumat perundangan ini perlu dilihat secara objektif. Teks Perlembagaan digubal sebagai instrumen pelindung, bukannya sebagai dalil atau senjata bagi menyokong retorik supremasi kaum (ketuanan ras) yang memandang rendah kepada etnik lain. Perlembagaan turut menjamin hak pemilikan harta bagi setiap individu menurut Perkara 13, yang menetapkan bahawa tiada sesiapa pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang[3]. Ini membuktikan bahawa sistem perundangan di Malaysia mengiktiraf sejarah, memelihara identiti pribumi, namun kekal berdiri di atas paksi keadilan sejagat yang menjamin hak pemilikan setiap warganegara tanpa mengira warna kulit.

Pemilikan Tanah Menurut Perspektif Syarak

Tanah merupakan sebuah kawasan atau lapangan yang boleh dibangunkan dengan pelbagai tujuan seperti pertanian, perumahan, pemilikan aset dan seumpamanya. Secara asasnya, syariat Islam telah menyediakan asas dan garis panduan terhadap isu pemilikan harta dan termasuklah tanah.

Berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: "Sesungguhnya bumi ini adalah milik Allah; diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dalam kalangan hamba-hamba-Nya, dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa."

Surah al-A’raf (128)

Ayat ini menunjukkan bahawa pemilikan manusia ke atas tanah secara hakikatnya bersifat sementara dan merupakan satu amanah, manakala Pemilik mutlak alam ini adalah Allah SWT. Oleh itu, pentadbiran, pengagihan, dan pengurusan tanah hendaklah berlandaskan kepada prinsip ketakwaan, keadilan, dan tidak melampaui batas yang ditetapkan-Nya.

Dalam sejarah perundangan Islam, Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa polisi berkaitan pemilikan tanah bagi merancakkan ekonomi dan memberi motivasi kepada umat Islam. Antaranya ialah konsep ihya' al-mawat (menghidupkan tanah yang mati atau terbiar). Terdapat hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa sesiapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka tanah itu menjadi miliknya. Diriwayatkan daripada Sa’id bin Zaid RA bahawa Baginda SAW bersabda:

مَنْ أَحْيَى أَرْضًا مَيِّتَةً فَهِيَ لَهُ وَلَيْسَ لِعِرْقِ ظَالِمٍ حَقٌّ

Maksudnya: "Sesiapa yang menghidupkan tanah yang mati (terbiar), maka ia (tanah itu) menjadi miliknya, dan tidak ada hak bagi 'irq (urat/akar tanaman) yang zalim."

(Riwayat al-Tirmizi)

Pada masa yang sama, terdapat juga hadis lain yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW juga pernah memberikan sebidang tanah kepada beberapa orang sahabat atas dasar kemaslahatan pentadbiran dan ekonomi semasa.

عَنْ أَبْيَضَ بْنِ حَمَّالٍ، أَنَّهُ وَفَدَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَاسْتَقْطَعَهُ الْمِلْحَ فَقَطَعَ لَهُ فَلَمَّا أَنْ وَلَّى قَالَ رَجُلٌ مِنَ الْمَجْلِسِ أَتَدْرِي مَا قَطَعْتَ لَهُ إِنَّمَا قَطَعْتَ لَهُ الْمَاءَ الْعِدَّ ‏.‏ قَالَ فَانْتَزَعَهُ مِنْهُ ‏.

Maksudnya: "Diriwayatkan daripada Abyad bin Hammal RA bahawa beliau pernah menemui Rasulullah SAW untuk meminta konsesi sebuah lombong garam, lalu Baginda pun memberikannya. Sebaik sahaja beliau berlalu, seorang lelaki dalam majlis tersebut bertanya: 'Adakah engkau menyedari apa yang telah engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya apa yang engkau kurniakan itu ibarat air yang mengalir terus (sumber asli yang melimpah).' Perawi menyatakan: Maka Rasulullah SAW pun membatalkan semula pemberian tersebut."

(Riwayat al-Tirmizi)

Sementara dari aspek perbincangan fiqh, para fuqaha telah membahaskan konsep ihya’ al-mawat secara terperinci. Pada asasnya, ihya’ al-mawat merujuk kepada usaha menghidupkan atau memakmurkan tanah yang tidak dimiliki dan tidak dimanfaatkan oleh mana-mana pihak, melalui usaha seperti membina, mengusahakan atau menjadikannya produktif. Walau bagaimanapun, pelaksanaan konsep ini dalam konteks semasa hendaklah diteliti berdasarkan maqasid al-syari‘ah dan siyasah syar‘iyyah, khususnya dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam dan pengurusan sumber negara.

Perbincangan mengenai usaha meneroka kawasan baru mahupun memulihkan tanah terbiar yang tidak bertuan telah diulas secara mendalam oleh para ulama fiqh menerusi bab Ihya’ al-Mawat. Perkara ini bersandarkan kepada sebuah hadis popular daripada Sa’id bin Zaid RA, yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيْتَةً فَهِيَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka dia berhak ke atas tanah tersebut.”

Sunan Abi Dawud (3073)

Melalui kefahaman hadis tersebut, para fuqaha menjelaskan bahawa konsep ini tidak memberikan kebebasan mutlak kepada individu untuk menjalankan aktiviti seperti pertanian, pengorekan tanah, atau seumpamanya di mana-mana lokasi pilihan mereka sendiri semata-mata demi menyahut seruan berkenaan. Syeikh Khalil al-Saharanfuri menghuraikan bahawa istilah 'tanah yang mati' merujuk kepada tanah terbiar tanpa pemilik yang terletak di luar kawasan sesuatu negeri, atau kawasan yang tidak memberikan sebarang kemaslahatan kepada negeri mahupun kampung tersebut. Di samping itu, pandangan yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah[4] dan Imam Malik[5] turut menegaskan bahawa sebarang usaha pengusahaan tanah sedemikian mestilah memperolehi keizinan daripada pihak pemerintah terlebih dahulu.

Dalam hal ini, keizinan pemerintah atau pihak berkuasa mempunyai asas yang kukuh dari sudut syariah apabila tanah tersebut berada di bawah pengurusan negara atau berkaitan dengan kepentingan masyarakat umum. Keperluan mendapatkan kebenaran tersebut bertujuan memastikan tidak berlaku pertindihan tuntutan, pencerobohan hak, perebutan sumber, eksploitasi tanah serta kerosakan alam sekitar. Prinsip ini selaras dengan kaedah fiqh yang bermaksud tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan kepada kemaslahatan, serta prinsip menolak kemudaratan hendaklah didahulukan daripada mendapatkan kemaslahatan apabila berlaku pertentangan antara kedua-duanya.

Kekangan sumber tanah, pertumbuhan populasi yang pesat, serta lonjakan nilai hartanah menjadikan pengurusan tanah pada masa kini bertambah kritikal. Sehubungan itu, doktrin ihya’ al-mawat tidak sepatutnya disalah erti sebagai kebenaran mutlak bagi mana-mana individu untuk menduduki tanah terbiar sesuka hati. Pelaksanaannya mestilah tertakluk di bawah kawalan selia dan kelulusan pihak berkuasa, terutamanya bagi kawasan tanah milik kerajaan atau yang mempunyai implikasi terhadap kemaslahatan umum. Syarak tidak menetapkan hak pemilikan tanah semata-mata berdasarkan tindakan fizikal mendahului orang lain, sebaliknya ia perlu berlandaskan mekanisme perundangan Islam yang sah tanpa menjejaskan hak pihak lain.

Walaupun Islam memberikan pengiktirafan kepada pemilikan dan pemanfaatan harta oleh individu, hak tersebut mempunyai batasan tertentu demi mengelakkan implikasi buruk. Kebebasan pemilikan ini tidak boleh sampai mendorong kepada aktiviti ghasab (perampasan), ta‘addi (pencerobohan), darar (kemudaratan), atau mengabaikan kepentingan masyarakat arus perdana. Justeru, pelaksanaan kuasa pemerintah dalam mengawal, mengurus, dan memberikan keizinan bagi aktiviti ihya’ al-mawat merupakan satu penjelmaan siyasah syar‘iyyah yang amat signifikan dalam tadbir urus moden. Pendekatan bersepadu ini amat diperlukan bagi mewujudkan keadilan sosial, ketertiban hak milik, pemuliharaan alam sekitar, serta memelihara kebajikan ummah secara komprehensif.

Kesemua perbincangan para fuqaha ini membawa kepada satu kesimpulan utama dalam disiplin Siyasah Syar'iyyah iaitu pengurusan, pengagihan, dan undang-undang berkaitan tanah dalam sesebuah negara adalah terletak di bawah bidang kuasa mutlak pemerintah (ulil amri). Hak pengurusan ini dibatasi dan dipandu oleh satu kaedah fiqh yang amat masyhur:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah sentiasa terikat dengan maslahah/kepentingan umum.”

Oleh itu, apabila ulil amri menggubal undang-undang tanah termasuk mewujudkan Tanah Rizab Melayu dan pada masa yang sama mengeluarkan geran pegangan bebas (freehold) atau pajakan (leasehold) kepada kaum-kaum lain ia adalah satu bentuk tasarruf (tindakan pentadbiran) yang sah di sisi syarak kerana ia mengambil kira pemeliharaan keamanan, membasmi kemiskinan merentas kaum, dan mencapai maslahah negara. Dakwaan sempit pihak tertentu yang melangkaui undang-undang ini dan bertindak menafikan terus hak warga lain adalah bertentangan dengan prinsip tadbir urus harta dalam kerangka siyasah syar'iyyah.

Perbincangan dalam Konteks Malaysia

Isu pemilikan tanah menjadi perkara yang sensitif lebih-lebih lagi dalam landskap sebuah negara majmuk yang unik seperti Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa sejarah pembentukan negara ini dibina menerusi kontrak sosial yang mengiktiraf kedudukan istimewa kaum Bumiputera. Pada ketika ini, perundangan sedia ada telah menjamin kelestarian hak penduduk asal sambil, dan pada masa yang sama turut mengiktiraf dan tidak menafikan hak dan kebebasan kaum lain yang telah diangkat statusnya sebagai warganegara yang sah.

Justeru, isu pemilikan dan hak tanah mesti diuruskan secara amat berhemah, objektif, dan bijaksana oleh para pemimpin politik, intelektual, serta pemegang taruh (stakeholders). Menggunakan pendekatan provokasi yang ekstrem untuk mendapatkan keuntungan politik jangka pendek adalah perbuatan yang mengancam struktur kestabilan sosial.

Dalam mendepani isu ini, pemikir Islam semasa telah menggariskan kerangka maqasid syariah yang relevan untuk diaplikasikan. Pertama, prinsip Maqasid 'Umran (objektif ketamadunan dan pembangunan manusia) menuntut agar tanah dan sumber ekonomi negara dibangunkan untuk manfaat semua warganegara, mewujudkan negara yang makmur tanpa kelompok yang melarat. Kedua, dari sudut Maqasid al-Tadayyun (memelihara kualiti keberagamaan dan etika), umat Islam dituntut untuk menunjukkan akhlak berpolitik yang murni, menepati janji (termasuk kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan), serta bersikap adil terhadap kawan mahupun kelompok yang berbeza. Manakala prinsip yang ketiga pula ialah Hifz al-Amn al-Mujtama' (memelihara keselamatan dan keamanan masyarakat). Retorik perkauman yang keterlaluan dilihat bercanggah dengan maqasid ini kerana ia mengundang perpecahan, keresahan sivil, dan ketidakstabilan negara.

Bagi mengimbangi tuntutan ini, umat Islam sewajarnya menghayati kerangka pemikiran Fiqh al-Mizan. Konsep perundangan dan siyasah kontemporari ini menuntut agar setiap pertimbangan dasar dilakukan dengan neraca yang tepat. Pemimpin masyarakat berbilang kaum perlu menyedari peranan dan kedudukan mereka. Apabila mereka berucap di khalayak awam atau mengulas isu-isu sensitif, mereka tidak lagi sekadar bercakap atas kapasiti ketua kepada satu kaum tertentu semata-mata, tetapi berdiri sebagai pemimpin bagi sebuah entiti negara majmuk. Sebarang penyataaan yang bersifat ekstrem bukan sahaja melukakan hati sebahagian rakyat, malah mencemarkan imej pentadbiran Islam yang meletakkan keadilan sebagai asas pemerintahan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, isu pemilikan tanah dan pengiktirafan kaum di Malaysia telah lama termaktub dan diselesaikan secara cermat di dalam kerangka perundangan negara, bermula dari Perlembagaan Persekutuan sehinggalah ke enakmen-enakmen di peringkat negeri. Perundangan ini telah berjaya melaksanakan fungsinya untuk menjamin hak masyarakat Melayu dan Bumiputera, dan secara serentak mengiktiraf kepentingan sah warganegara yang lain.

Dari perspektif syarak, pemerintahan negara yang meletakkan undang-undang berteraskan kemaslahatan awam adalah selari dengan kehendak siyasah syar'iyyah dan bertepatan dengan kaedah fiqh. Oleh yang demikian, perbincangan atau kritikan terhadap mana-mana polisi berkaitan isu ini pada masa hadapan mestilah dilaksanakan secara profesional, berhemah, matang, dan bijaksana. Kesepaduan nasional dan keamanan masyarakat amat bernilai, dan memeliharanya merupakan sebahagian daripada tuntutan agama dan maqasid yang mulia.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Ayu Nor Azilah Mohamad, Mohamed Ali Haniffa, dan Wayu Nor Asikin Mohamad, "Perlembagaan Persekutuan Malaysia Mengharmonikan Ikatan Masyarakat Majmuk di Malaysia: Harmonising the Community in Malaysia Through the Malaysian Federal Constitution," Journal of Muwafaqat 2, no. 1 (2019): 60 - 72.

[2] Mohd Afiq Shafirin Abd Aziz, "HAK KEISTIMEWAAN MELAYU-ISLAM DI MALAYSIA: SATU ANALISIS DARI PERSPEKTIF PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN: Islamic-Malay Privileges in Malaysia: An Analysis from The Perspective of The Federal Constitution," Asian People Journal (APJ) 6, no. 1 (2023): 82-92.

[3] Zalina Zakaria, "Pengambilan tanah secara paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960: gangguan kepada Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan?," Jurnal Syariah 14, no. 2 (2006): 73-86.

[4] Muhammad Asyraf al-Adzim Abadi, ‘Aun al-Ma’bud (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1415), jld. 8: hlm. 227

وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ لَا يَمْلِكُهَا بِالْإِحْيَاءِ حَتَّى يَأْذَنَ لَهُ السُّلْطَانُ فِي ذَلِكَ وَخَالَفَهُ صَاحِبَاهُ فَقَالَا بِقَوْلِ عَامَّةِ الْعُلَمَاءِ انْتَهَى

[5] Muhammad bin ;Ali al-Syaukani, Nail al-Authar, ed. ‘Isam al-Din al-Dhababiti (Mesir: Dar al-Hadith, 1993), jld. 5: hlm. 362

وَعَنْ مَالِكٍ: يَحْتَاجُ إلَى إذْنِ الْإِمَامِ فِيمَا قَرُبَ مِمَّا لِأَهْلِ الْقَرْيَةِ إلَيْهِ حَاجَةٌ مِنْ مَرْعًى وَنَحْوِهِ