
MUQADIMAH
Usaha institusi kewangan Islam dalam memperkukuh pengalaman digital pelanggan bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan kekal relevan dan berdaya saing wajar dihargai. Platform digital dibangunkan bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan operasi, malah menjadi strategi penting dalam memperkukuh inovasi produk serta menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan. Sehubungan itu, transformasi digital yang disokong oleh pembangunan kepakaran teknologi perlu terus diperkasakan agar industri perbankan Islam mampu memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang di samping mengekalkan daya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi digital.
Kemaslahatan Transformasi Digital
Perkembangan teknologi digital telah mengubah hampir setiap aspek kehidupan manusia termasuk cara masyarakat memperoleh ilmu, berurusan dengan institusi dan menjalankan aktiviti ekonomi. Dalam konteks Islam, digitalisasi bukan sekadar satu bentuk kemajuan teknologi bahkan merupakan satu wasilah yang mampu memperkukuh penyampaian dakwah, meningkatkan kecekapan pentadbiran serta memudahkan urusan ibadah dan muamalat. Selagi pemanfaatannya tidak bercanggah dengan prinsip Syariah, penggunaan teknologi digital adalah selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan segala usaha yang membawa kemaslahatan kepada manusia.
Antara bidang yang paling ketara menerima manfaat daripada digitalisasi ialah kewangan Islam. Perkembangan perbankan digital membolehkan pelanggan mengakses pelbagai perkhidmatan seperti pembukaan akaun, pembayaran zakat, pembiayaan dan pelaburan patuh Syariah secara lebih pantas, mudah dan selamat. Malah, institusi kewangan Islam kini tidak lagi bersaing hanya dari sudut pematuhan Syariah bahkan turut dinilai berdasarkan kualiti pengalaman digital yang ditawarkan kepada pelanggan. Keadaan ini menunjukkan bahawa inovasi teknologi telah menjadi faktor penting dalam memastikan institusi kewangan Islam terus relevan dan berdaya saing dalam memenuhi keperluan masyarakat moden.
Perkembangan ini turut mendorong institusi kewangan Islam memperluaskan perkhidmatan berasaskan digital seperti aplikasi mudah alih, transaksi tanpa tunai dan sistem pengurusan kewangan dalam talian. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, malah memberikan pengalaman yang lebih mudah dan pantas kepada pengguna.
Hal ini dapat dilihat apabila institusi kewangan Islam menyediakan perkhidmatan digital yang boleh diakses pada bila-bila masa tanpa terikat dengan waktu operasi cawangan. Kemudahan ini membolehkan urusan kewangan diurus dengan lebih fleksibel mengikut kesesuaian masa dan keperluan pengguna.
Prinsip Fiqh Terhadap Transformasi Digital
Islam meraikan kemajuan teknologi seiring perkembangan zaman selagi tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak. Sesuatu inovasi tidak dihukum semata-mata kerana sifat baharunya sebaliknya dinilai berdasarkan manfaat (maslahah) dan mudarat yang dihasilkannya. Pendekatan ini membolehkan fiqh terus relevan dalam menangani pelbagai isu kontemporari seperti teknologi kewangan Financial Technology (fintech) yang mengubah landskap kewangan serta memudahkan urusan kehidupan manusia. Dasar yang digubal untuk rakyat ini bertujuan memperkukuhkan impak kewangan Islam. Hal ini selaras dengan kaedah fiqh:
تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah terhadap rakyat itu hendaklah berdasarkan kepada pertimbangan maslahah.”
Dalam kerangka syarak, penggunaan instrumen digitalisasi baharu adalah harus selagi ia menuju kemaslahatan dan manfaat urusan perkhidmatan kewangan. Instrumen ini sebagai aplikasi kaedah tersebut :
الوسائل لها أحكام المقاصد
Maksudnya: "Cara (wasilah) itu mengambil hukum matlamatnya yang hendak dicapai”
Selain itu, memanfaatkan teknologi digital dalam perbankan Islam bukan sekadar memenuhi tuntutan kemajuan teknologi bahkan sebagai usaha merealisasikan maqasid syariah khususnya dalam menjaga harta (hifz al-mal) melalui penyediaan perkhidmatan kewangan yang lebih cekap, telus dan selamat. Justeru, inovasi digital yang mematuhi prinsip syariah dan mampu meningkatkan kemaslahatan pengguna tanpa menjejaskan asas-asas hukum Islam.
Walau bagaimanapun, perkembangan digitalisasi perlu disertai dengan pematuhan terhadap nilai dan prinsip Syariah. Sebarang inovasi teknologi hendaklah bebas daripada unsur penipuan, riba, gharar, penyalahgunaan data serta penyebaran maklumat palsu. Oleh itu, pembangunan teknologi digital dalam institusi Islam hendaklah sentiasa dipandu oleh prinsip amanah, keadilan, ketelusan dan maslahah agar manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat tanpa mengabaikan tuntutan syarak.
Sehubungan itu, aspek pemantauan dan tadbir urus Syariah perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan transformasi digital. Institusi kewangan Islam hendaklah memastikan setiap inovasi dan perkhidmatan digital yang diperkenalkan sentiasa melalui penelitian serta pemantauan berterusan agar kekal mematuhi prinsip Syariah. Pemantauan ini penting bagi memastikan kemajuan teknologi tidak mengabaikan perlindungan terhadap kepentingan pengguna.
Penutup
Islam mengiktiraf perkembangan teknologi sebagai satu medium dalam merealisasikan kemaslahatan selagi penggunaannya mematuhi prinsip-prinsip Syariah. Sehubungan itu, penerapan digitalisasi dalam perbankan Islam bukan sahaja menyokong kemajuan teknologi bahkan turut merealisasikan kerangka maqasid syariah khususnya dalam memelihara harta (hifz al-mal) melalui penyediaan perkhidmatan kewangan yang lebih selamat. Walau bagaimanapun, kemajuan teknologi hendaklah disertai dengan pemantauan serta tadbir urus Syariah yang berterusan bagi memastikan setiap inovasi yang diperkenalkan kekal selari dengan nilai amanah dan keadilan.