Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-130: GANJARAN SOLAT DI MASJID AL-HARAM

 

Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan ganjaran pahala solat di masjid al-Haram?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Masjid al-Haram (المسجد الحرام) merupakan sebuah masjid yang terletak di kota Makkah yang dilihat antara tempat yang suci bagi umat Islam di seluruh dunia. Masjid ini juga di dalamnya terletak rumah Allah iaitu baitullah atau dinamakan Ka'bah yang menjadi arah kiblat bagi seluruh umat Islam apabila ingin mengerjakan ibadah solat. Selain itu juga, nama masjid al-Haram disebut di dalam al-Qur’an di beberapa tempat, antaranya:

 

  • Firman Allah SWT:

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ

Maksudnya: “Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalang manusia dari jalan Allah (agama Islam) dan dari memasuki Masjid al-Haram (Makkah) yang Kami jadikan ia sebagai tempat beribadah bagi seluruh umat manusia (yang beriman) sama ada yang menetap di situ atau yang datang berziarah”. [al-Haj:25]

 

Imam Ibn Kathir mengatakan ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjadikan ia (masjid al-Haram) sebagai tempat ibadah bagi semua manusia dan tidak ada perbezaan antara yang bermukim di tempat tersebut ataupun orang yang tinggal jauh dari tempat tersebut. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 409/5]

 

Demikianlah jelaslah pada kita bahawa masjid al-Haram merupakan salah satu masjid yang mulia kerana namanya dinukilkan di dalam al-Qur’an yang mulia. Di samping itu juga, masjid al-Haram terletak di dalam tempat yang mulia iaitu Makkah al-Mukarramah.

 

Matan Hadith

Antara matan hadith yang menceritakan akan kelebihan masjid al-Haram adalah:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram”. [Riwayat Muslim (1394)]

 

Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadith ini pada bab kelebihan solat di masjid Makkah dan Madinah, pengecualian di dalam hadith tersebut telah menjadi perselisihan antara ulama’ dalam menentukan samada Makkah atau Madinah yang lebih mulia. Sebahagian mereka iaitu mazhab Syafie dan jumhur mazhab Syafie mengatakan Makkah dan masjid al-Haram lebih mulia daripada Madinah. Sebahagian lagi iaitu Imam Malik dan kumpulan yang bersama dengannya mengatakan bahawa Madinah dan masjid al-Nabawi lebih mulia daripada Makkah dan masjid al-Haram. Untuk itu, mazhab al-Syafie serta jumhur memahami pengecualian itu adalah dengan mengatakan bahawa solat di masjid al-Haram lebih afdhal daripada solat di masjid al-Nabawi. Adapun Imam Malik dan kumpulan yang bersama dengannya mengatakan bahawa yang dimaksudkan solat di masjid al-Nabawi kemuliannya lebih berbanding solat di masjid al-Haram kerana ia dibaca tanpa “أ” iaitu tidak membawa maksud lebih mulia.

 

Selain itu juga, mazhab kami iaitu mazhab Syafie tidak mengkhususkan kelebihan solat di kedua masjid tersebut hanya diperolehi apabila seseorang itu menunaikan solat fardhu sahaja bahkan ia umum dan termasuk juga di dalam kesemua solat-solat sunat. Kesimpulannya, kelebihan solat di masjid al-Nabawi melebihi solat di masjid lain dengan seribu kali solat ganjaran yang diberikan melainkan solat di masjid al-Haram kerana ia melebihi seribu solat sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 163/9]

 

Persoalan

Antara persoalan yang timbul berkaitan masalah ini adalah:

 

Soalan: Benarkah solat di Masjid al-Haram mendapat 100 ribu kali ganda pahala berbanding solat di tempat lain?

 

Jawapan: Hal ini disebut di dalam sebuah hadith, yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”. [Riwayat Ahmad (15271)] [Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad]

 

Berdasarkan hadith ini, jelas menunjukkan bahawa ganjaran bagi sesiapa yang menunaikan solat di masjid al-Haram adalah amat besar berbanding masjid-masjid yang lain.

 

Soalan: Adakah solat di mana-mana masjid di Makkah akan mendapat ganjaran seperti di dalam hadith kerana kesemuanya adalah tanah haram ataupun ganjaran tersebut hanya diperolehi apabila seseorang itu menunaikan solat di masjid al-Haram sahaja?

 

Jawapan: Hal ini menjadi perbahasan dalam kalangan para ulama’ dalam menentukan masalah ini. Namun begitu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa ganjaran yang besar atau gandaan pahala itu diperolehi bagi sesiapa yang menunaikan solat di masjid al-Haram dan ia juga meliputi tanah haram keseluruhannya.

 

Kami cenderung dengan pendapat ini kerana ia juga merupakan pendapat Atha’ bin Abi Rabah berdasarkan hadith di dalam musnad Abi Daud al-Thoyalisi. Begitu juga, ia juga merupakan pendapat al-Zarkashi dan juga al-Ruyani.

 

Ganjaran ini meliputi keseluruhan tanah haram termasuklah masjid al-Haram. Pendapat ini dipegang oleh mazhab Hanafi mengikut pendapat yang masyhur, mazhab Maliki dan juga mazhab al-Syafie bahawa ganjaran yang besar ini meliputi tanah haram Makkah keseluruhannya. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 239/37] Antara dalil bagi menyokong pendapat ini terdapat di dalam musnad Abi Daud al-Thoyalisi:

 

يَا أَبَا محمد ، هَذَا الفَضْلُ الَّذِي تَذْكُرُ فِي المَسْجِدِ الحَرَامِ وَحْدَهُ أَوْ فِيْ الَحَرمِ؟ قَالَ: لَا بَلْ فِيْ الحَرَمِ فَإِنَّ الحَرَمَ كُلَّهُ مَسْجِد

Maksudnya: “Atha’ telah ditanya: Wahai Abu Muhammad (Atha’ bin Abi Rabah), kelebihan yang kamu sebutkan ini hanya pada masjid al-Haram sahaja ataupun pada tanah haram? Maka beliau menjawab: Tidak, bahkan ia pada tanah haram kerana tanah haram semuanya adalah masjid”. [Lihat: Musnad al-Thoyalisi, no. Hadith 1464, 707/2]

 

Tambahan pula, walaupun masjid al-Haram mengalami perubahan dari sudut saiz dan binaannya tetapi sesiapa yang solat di tempat tersebut akan mendapat ganjaran yang sama seperti orang yang solat di bahagian yang asal masjid.

 

Soalan: Apakah terdapat larangan bermusafir ke masjid-masjid bagi tujuan ibadah?

 

Jawapan: Terdapat sebuah hadith yang menunjukkan larangan untuk kita menyusahkan diri bermusafir melainkan pada tiga buah masjid sahaja iaitu masjid al-Haram, masjid al-Nabawi dan juga masjid al-Aqsa. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara  (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”. [Riwayat al-Bukhari (1189)]

 

Penutup

Kesimpulannya, tidak dinafikan lagi bahawa solat di masjid al-haram dan juga masjid al-Nabawi mempunyai kelebihan yang amat besar dan tersendiri. Dengan itu, kami nyatakan sekali lagi bahawa ganjaran yang dimaksudkan di dalam hadith berikut adalah bagi sesiapa yang menunaikan solat di masjid al-Haram dan  ia juga meliputi tanah haram keseluruhannya. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kesempatan untuk menunaikan solat di tempat yang mulia seperti ini. Amin.

 

Wallahua’lam