Soalan :
Apakah benar kisah Nabi Sulaiman dan semut dan adakah terdapat hadith yang melarang untuk membunuh semut ?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berkenaan dengan kisah Nabi Sulaiman dan semut, ia merupakan kisah yang sahih dan kisah ini dirakam oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an. Firman Allah SWT :
حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Maksudnya : “(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”. [ al-Naml : 18 ]
Di dalam tafsir al-jalalayn, ayat ini bermaksud: “Apabila mereka sampai di lembah semut iaitu di kota Thaif atau di negeri Syam (yang dimaksud adalah semut-semut kecil dan semut-semut besar). Telah berkata raja semut ketika melihat bala tentara Nabi Sulaiman: “Hai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarang kalian, agar kalian tidak dipijak oleh Sulaiman dan bala tenteranya sedangkan mereka tidak menyedarinya”. Semut dianggap sebagai makhluk yang dapat bercakap, namun percakapan ini hanya berlaku sesama mereka sahaja”.
Sebelum kami menjawab persoalan ini, maka kami sertakan beberapa hadith yang menceritakan berkaitan semut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW :
نزَل نبيٌّ منَ الأنبياءِ تحتَ شجرةٍ ، فلدَغَتْه نملةٌ ، فأمَر بجهازِه فأُخرِج من تحتِها ، ثم أمَر ببيتِها فأُحرِق بالنارِ ، فأَوحى اللهُ إليه فهلَّا نملةً واحدةً
Maksudnya : “Terdapat seorang nabi daripada nabi-nabi telah singgah di bawah sebuah pohon, kemudian baginda telah digigit oleh seekor semut,. Maka baginda memerintahkan agar mengeluarkan semut tersebut dari bawah pohon itu lalu memerintahkan agar membakar sarang semut tersebut. Kemudian Allah SWT mewahyukan kepada Nabi tersebut : “Apakah hanya kerana seekor semut (yang mengigitmu lalu kamu membakar kesemuanya)”. [Riwayat al-Bukhari, kitab permulaan penciptaan makhluk, bab lima haiwan yang tergolong fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram, no.hadith 3072, Muslim, kitab salam, bab larangan membunuh semut, no.hadith 4158, Abu Daud, kitab Adab, bab membunuh semut kecil, no.hadith 4581]
Ibn Hajar telah menaqalkan pendapat al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini, al-Nawawi berkata, hadith ini membawa maksud dibolehkan membunuh semut bagi syariat nabi tersebut. Begitu juga, dibolehkan membunuh semut dengan menggunakan api. Ini kerana, asal dalam membunuh dan membakar adalah tidak berlaku kekerasan (penyeksaan) padanya, bahkan ia (di dalam hadith ini) membakar lebih dari seekor semut (sarang). Adapun di dalam syariat kita tidak dibolehkan membakar haiwan dengan menggunakan api melainkan dalam masalah Qisas yang mencukupi syaratnya. Begitu juga, tidak dibolehkan disisi kami membunuh semut berdasarkan hadith Ibn Abbas di dalam kitab sunan (kitab yang menghimpunkan hadith-hadith). [Lihat: Fath al-Bari, 6:358]
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda :
كنَّا معَ رسولِ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ في سَفَرٍ، فانطلقَ لحاجتِهِ فرأَينا حُمَرةً معَها فرخانِ فأخذنا فَرخَيها، فجاءتِ الحُمَرةُ فجعلت تفرِشُ، فجاءَ النَّبيُّ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ فقالَ: من فجعَ هذِهِ بولدِها؟ ردُّوا ولدَها إليها. ورأى قريةَ نملٍ قد حرَّقناها فقالَ: مَن حرَّقَ هذِهِ؟ قُلنا: نحنُ. قالَ: إنَّهُ لا ينبَغي أن يعذِّبَ بالنَّارِ إلَّا ربُّ النَّارِ
Maksudnya : “Kami bersama Rasulullah SAW dalam satu permusafiran, kemudian baginda SAW pergi untuk menunaikan hajatnya (keperluan). Kemudian, kami melihat seekor burung bersama dua ekor anaknya. Lalu kami mengambil kedua anaknya dan burung tersebut datang dan mengepak-ngepak sayapnya. Kemudian Nabi SAW datang dan bersabda : “Siapakah yang menyakiti burung ini dengan mengambil anaknya ? kembalikan anaknya kepadanya. Setelah itu, baginda SAW melihat sebuah sarang semut yang telah kami bakar dan baginda SAW bersabda: Siapakah yang membakar sarang ini ? Kami menjawab: Kami (yang membakarnya). Baginda SAW bersabda lagi: Sesungguhnya tidak layak untuk menyeksa dengan api melainkan Allah SWT kerana Dia adalah penguasa api”. [Riwayat Abu Daud, kitab Jihad, bab larangan membakar musuh dengan api, no. hadith: 2300]
Imam al-Khattabi dalam mensyarahkan hadith ini, padanya (hadith ini) petunjuk bahawa membakar sarang serangga adalah makruh. Adapun semut terdapat keuzuran baginya amat sedikit. Ini kerana, kemudharatannya boleh dihilangkan tanpa menggunakan cara membakar (dengan api). Nabi SAW telah bersabda daripada Abu Hurairah RA, bahawa baginda SAW bersabda:
إنَّ نبيًّا مِنَ الأنبياءِ قَرصتهُ نملةٌ، فأمرَ بقريةِ النَّملِ، فأُحْرِقَت، فأوحى اللَّهُ عزَّ وجلَّ إليهِ: في أن قرصَتكَ نملةٌ، أَهْلَكْتَ أمَّةً منَ الأُمَمِ تسبِّحُ
“Dahulu ada di antara para Nabi telah digigit oleh seekor semut, kemudian Nabi tersebut memerintahkan untuk mendatangi sarang semut tersebut lalu membakarnya. Maka Allah mewahyukan kepada Nabi tersebut : Apakah kerana seekor semut yang menggigitmu, kemudian kamu menghancurkan umat daripada umat-umat yang bertasbih”. [Riwayat Ibn Majah, kitab Buruan, bab haiwan yang tidak boleh dibunuh, no. Hadith 3216][Hadith sahih]
Aku berkata: Semut terbahagi kepada dua kumpulan, kumpulan pertama yang membawa mudharat maka dibolehkan (membunuhnya) bagi mengelakkan mudharat. Manakala, kumpulan kedua adalah semut yang tidak memberi mudharat. Semut jenis ini mempunyai kaki yang panjang dan tidak dibolehkan membunuhnya. [Lihat: Ma’alim al-Sunan, 2:283]
Daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda :
نَهَى رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ عن قَتلِ أربعٍ منَ الدَّوابِّ، النَّملةِ، والنَّحلَ، والهُدهُدِ، والصُّرَدِ
Maksudnya : “Rasulullah SAW melarang membunuh empat jenis binatang yang melata: semut, lebah, hudhud (burung) dan salah satu jenis burung”. [Riwayat Abu Daud, kitab Adab, bab membunuh semut kecil, no. hadith: 4583, Ibn Majah, kitab Buruan, bab yang tidak boleh dibunuh, no. hadith: 3215]
Imam al-Syaukani ketika mensyarahkan hadith ini, Al-Shurd (الصرد) adalah sejenis burung dan ia boleh dimakan mengikut mazhab Malik. Telah berkata Ibn Arabi: Sesungguhnya larangan Rasulullah SAW daripada membunuhnya adalah disebabkan orang arab mempunyai kepercayaan akan berlaku sesuatu yang buruk pada burung tersebut. Untuk itu, Nabi SAW menghalang daripada membunuhnya bagi menghilangkan daripada hati-hati mereka kepercayaan yang salah ini. Terdapat satu pendapat di dalam mazhab al-Syafie sepertimana pendapat Malik bahawa bagi sesiapa yang bermuhrim (dalam keadaan ihram) akan mendapat balasan jika membunuhnya. Adapun semut pula, seolah-olah telah berlaku ijmak dalam larangan membunuhnya. Telah berkata al-Khattabi: “Sesungguhnya larangan membunuh semut yang dimaksudkan adalah al-Sulaimaniy (jenis semut yang tidak membawa mudharat) iaitu mengelak kecelakaan daripadanya tidak kira yang kecil”. Hal ini juga disebut di dalam Syarh al-Sunnah. Adapun lebah, telah diriwayatkan bahawa dibolehkan memakannya oleh sebahagian salaf (generasi terdahulu). Selain itu, Hudhud pula diriwayatkan bahawa ia boleh dimakan dan ini diambil daripada pendapat di dalam mazhab al-Syafie bahawa perlu membayar fidyah bagi orang yang membunuhnya (Hudhud). [Lihat: Nail al-Awthar, 8:141]
Pendapat ulama dalam masalah membunuh semut
Para ulama ‘ telah berselisih pendapat dalam menentukan adakah dibolehkah membunuh semut atau serangga, ada di antara mereka yang mengharamkan dan ada juga yang membolehkan untuk kita membunuh semut atau serangga ini tetapi dengan syarat yang tertentu.
- Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ mengatakan telah berkata Ashab Syafie bahawa tidak boleh membunuh lebah, semut, burung dan katak. Selain itu, al-Baihaqi dan selain daripadanya juga berpendapat tidak boleh membunuh haiwan tersebut berdasarkan hadith Ibn Abbas RA. [Lihat: al-Majmu’, 7:316]
- Adapun antara fatwa-fatwa sebahagian ulama komtemporari seperti Syeikh Ibn Baz, Syeikh Soleh Ibn Uthaimin dan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili membolehkan untuk membunuh semut dengan syarat jika semut tersebut membawa mudharat dan ancaman kepada kita. Ia boleh dibunuh dengan apa-apa cara sekalipun melainkan tidak dibolehkan membunuhnya dengan api. Di samping itu, membunuhnya tanpa sebab adalah dilarang sama sekali berdasarkan nas-nas di dalam hadith Nabi SAW.
Tarjih
Berdasarkan apa yang telah dinyatakan, kami lebih cenderung kepada pendapat yang diboleh membunuh semut ini jika ia membawa mudharat kepada kita. Sekiranya, ia tidak membawa mudharat atau ancaman maka hukumnya adalah tidak boleh untuk membunuhnya berdasarkan hadith Nabi SAW yang jelas melarang kita membunuh semut tanpa sebab.
Penutup
Dalam isu menghormati haiwan adalah diperintahkan dengan istilah “Ihsan” kepada makhluk berdasarkan nas-nas yang disebut oleh Rasulullah SAW dan juga perintah Allah SWT agar kita berlaku baik kepada sesama makhluk. Antaranya sebuah hadith yang dimuatkan oleh Imam al-Nawawi di dalam karyanya, daripada Syaddad RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan atas setiap perkara. Maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik. Tajamkanlan alat sembelihan dan tenangkanlah haiwan sembelihan”. [Riwayat Muslim, kitab buruan, sembelihan dan haiwan-haiwan yang dimakan, bab perintah agar berlaku ketika menyembelih, no. hadith 3615]
Semoga Allah SWT memberi kita taufiq dan hidayah dalam melakukan setiap tindakan yang kita lakukan seharian. Amin.
Wallahua’lam