Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-255: PERKARA SUNAT KETIKA MAGHRIB

 

 

Soalan: Apakah benar syaitan akan masuk ke rumah yang terbuka ketika waktu Maghrib?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Kebanyakan manusia pada hari ini mengambil ringan dengan beberapa panduan yang telah diajar oleh Nabi SAW berdasarkan hadith-hadith yang Baginda SAW tinggalkan. Antaranya adalah berkaitan perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika masuknya waktu senja. Ini kerana, dinyatakan di dalam hadith bahawa syaitan berkeliaran pada waktu tersebut.

 

Syaitan dari sudut bahasa bermaksud jauh daripada kebenaran. Adapun dari sudut istilah pula bermaksud setiap yang memberontak sama ada daripada kalangan jin atau manusia serta bersifat atau melalui jalan kejahatan.

 

Berdasarkan soalan di atas, sememangnya kita tidak digalakkan untuk berada di luar rumah pada waktu senja disebabkan pada waktu syaitan sedang berkeliaran. Maka, di sini kami nukilkan sebuah hadith sahih yang menunjukkan petunjuk atau panduan daripada Nabi SAW kepada kita apabila tibanya waktu senja.

 

  • Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَتْ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ، وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” [Riwayat al-Bukhari (3304) dan Muslim (2012)]

 

Perkara seperti ini, banyak dinyatakan oleh para ulama’ ketika mereka mensyarahkan atau memahami hadith ini. Antaranya ialah, Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) berkata bahawa hadith ini menunjukkan perintah (arahan) menutup pintu-pintu pada malam hari (apabila tibanya senja). Itu adalah sunnah yang diperintah akannya sebagai tanda kasih kepada manusia daripada (terkena kecelakaan atau keburukan) syaitan manusia dan jin. [Lihat: al-Istizkar, 363/8]

 

Selain itu juga, Imam al-Nawawi (676 H) berkata bahawa hadith ini mempunyai banyak faedah berkaitan kebaikan dan adab yang melibatkan maslahah akhirat dan dunia. Maka, Nabi SAW mengajar adab-adab ini yang merupakan sebab terselamatnya daripada kecelakaan syaitan dan Allah SWT menjadikan sebab-sebab ini agar menjadi penyebab terselamatnya kita daripada kecelakaan atau keburukan syaitan ini.

 

Di samping itu juga, maksud menahan anak adalah melarang mereka daripada keluar pada waktu. Ini kerana, dibimbangi anak tersebut terkena kejahatan syaitan itu disebabkan banyaknya mereka (syaitan). [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 185/13]

 

Hal ini juga disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini (977 H) bahawa sunat menutup pintu ketika masuknya senja. [Lihat: Mughni al-Muhtaj, 139/1] Antara hikmah mengapa dilarang melepaskan budak-budak pada waktu senja adalah disebabkan syaitan berkeliaran pada waktu itu dan pergerakan syaitan lebih aktif berbanding siang hari kerana kegelapan itu akan menambahkankan kekuatan syaitan berbanding waktu yang lain sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H). [Lihat: Fath al-Bari, 31/6]

 

Penutup

Kesimpulannya, melihat kepada beberapa pandangan para ulama’ di atas, maka kami simpulkan bahawa kita dituntut atau disunatkan untuk menutup pintu atau tingkap apabila tibanya waktu senja dan perkara ini juga selalu dipesan atau diingatkan oleh orang-orang tua. Ini kerana, syaitan-syaitan berkeliaran pada waktu tersebut serta dibimbangi akan terkena keburukan, kecelakaan atau kejahatan berpunca daripada syaitan tersebut kerana syaitan ini sifatnya adalah menyakiti manusia. Sebelum kami menutup perbahasan ini, suka bagi kami untuk berkongsi kata-kata daripada seorang ulama’ berkaitan hadith di atas:

 

  • Berkata Ibn Daqiq al-‘Aid (702 H):

فِي الْأَمْرِ بِإِغْلَاقِ الْأَبْوَابِ مِنَ الْمَصَالِحِ الدِّينِيَّةِ وَالدُّنْيَوِيَّةِ حِرَاسَةُ الْأَنْفُسِ وَالْأَمْوَالِ مِنْ أَهْلِ الْعَبَثِ وَالْفَسَادِ وَلَا سِيَّمَا الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Pada perintah agar ditutup pintu-pintu adalah melibatkan maslahah agama dan dunia yang mana dengan itu akan memelihara diri dan harta daripada orang yang sia-sia dan merosakkan terutamanya syaitan-syaitan.” [Lihat: Fath al-Bari, 87/11]

 

Akhirnya, marilah sama-sama kita mengamalkan petunjuk Nabi SAW ini agar kita terselamat daripada fitnah syaitan yang terkutuk. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara diri dan seluruh ahli keluarga daripada perkara-perkara yang tidak baik. Amin.

 

Wallahua’alam