Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-334: MALAIKAT MENGAMINKAN DOA KEPADA ORANG SAKIT

 

 

ih334.png

 

Soalan: Benarkah terdapat hadith berkaitan malaikat akan mengaminkan doa yang dibacakan kepada orang yang sakit?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Agama Islam amat menitikberatkan umatnya agar menjaga hubungan sesama manusia serta menunaikan hak masing-masing. Ini kerana, terdapat hadith yang sahih menceritakan berkaitan hak-hak yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim kepada saudaranya:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ: مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ؟، قَالَ: إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَسَمِّتْهُ، وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Maksudnya: “Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. jika Apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” [Riwayat Muslim (2162)]

 

Melihat kepada hadith ini, di antara hak yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim itu adalah menziarahi saudaranya yang sakit. Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith berkaitan malaikat akan mengaminkan doa yang dibacakan kepada orang yang sakit. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith:

 

  • Daripada Ummu Salamah R.anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا حَضَرْتُمُ الْمَرِيضَ، أَوِ الْمَيِّتَ، فَقُولُوا خَيْرًا، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ

Maksudnya: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” [Riwayat Muslim (919)]

 

Imam al-Nawawi (676 H) ketika mensyarahkan hadith mengatakan bahawa padanya (pada hadith ini) menunjukkan sunat mengucapkan perkara yang baik ketika menziarahi orang yang sakit seperti berdoa kepadanya (kepada orang sakit), beristighfar kepadanya, meminta kelembutan dan keringanan kepadanya serta yang seumpama dengannya. Selain itu juga, malaikat akan hadir pada waktu tersebut dan akan mengaminkan ucapan-ucapan mereka. [Lihat: al-Minhaj, 222/6]

Para ahli ulama telah menggariskan beberapa adab untuk diikuti ketika menziarahi orang yang sedang sakit. Di antaranya adalah:

  • Memilih waktu yang sesuai untuk melakukan ziarah.
  • Tidak mengambil tempoh masa yang lama ketika ziarah.
  • Menundukkan pandangan pada perkara-perkara yang diharamkan.
  • Tidak banyak bertanya atau bercakap.
  • Menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan terhadap orang yang sakit.
  • Sentiasa mendoakan yang baik-baik kepada pesakit.

 

Penutup

Kesimpulannya, memang terdapat hadith yang sahih berkaitan perkara ini dan sememangnya kita dituntut untuk menziarahi saudara yang sakit serta mendoakan kepada orang yang sakit kerana malaikat akan mengaminkan setiap doa dan ucapan yang diungkapkan. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa sihat serta memasukkan kita ke dalam syurga-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam